10. May 2011 · 11 comments · Categories: Dialog

Pada suatu petang yang berbahang (dek teriknya mentari dan keringnya udara) anak-anakku telah bertanya kepadaku tentang faedah solat. Pertanyaan itu terbit ekoran daripada tindakanku menegur salah seorang daripada mereka yang solat terlalu laju tanpa toma´ninah.

 

Anak: Kenapa mama suruh kita orang solat?

Aku: Bukan mama yang suruh nak, mama cuma menyampaikan apa yang Tuhan suruh.

Anak: Apa faedahnya solat tu mama, kadang-kadang rasa letih bila solat (buat muka letih).

Aku: Ada sesiapa boleh beritahu mama, agaknya mengapa Tuhan suruh kita solat?

Anak: Mmm, supaya syaitan tak ganggu kita?

Aku: Tuhan boleh fardukan kita supaya membaca al-Quran sahaja kalau tak nak syaitan ganggu kita. Tapi, mengapa Tuhan fardukan sembahyang? Dan mengapa lima waktu? Mengapa tidak sekali atau dua kali sahaja?

Anak: Mmm, supaya kita boleh berdoa macam-macam kepada Tuhan?

Aku: Jika sekadar untuk berdoa, Tuhan boleh fardukan kita supaya mengangkat tangan ke atas dan kemukakan apa yang hendak dipinta sahaja tanpa perlu sembahyang. Persoalannya, mengapa Tuhan mewajibkan solat ke atas kita?

Anak: Mmm, supaya kita jadi orang yang baik?

Aku: Pandai! Supaya kita menjadi manusia yang baik. Ok, sekarang boleh terangkan kepada mama, macam mana solat boleh membentuk kita menjadi manusia yang baik?

Anak: Mmm, macam mana ya? Bila kita solat mama tak marah, tak denda kita?

Aku: Ok, beritahu mama, apa itu solat?

Anak: Mmm, solat itu sembahyanglah.

Aku: Ya, betul. Ok, beritahu mama apa perlu kita buat supaya kita dikatakan bersolat?

Anak: Mmm, angkat takbir, baca fatihah, rukuk, bangun, sujud, salam?

Aku: Pandai! Ok, sekarang beritahu mama, sebelum solat apa kita kena buat dulu?

Anak: Mmm, pakai telekung?

Aku: Betul! Ok, sebelum pakai telekung?

Anak: Mmm, wuduk?

Aku: Bagus! Boleh ceritakan pada mama, wuduk itu apa?

Anak: Mmm, bersihkan badan?

Aku: Bersihkan sebahagian anggota badan, bagus! Ok, sebelum berwuduk, apa perlu kita buat dulu?

Anak: Mmm, masuk bilik airlah?

Aku: Pandai! Ok, sebelum masuk bilik air?

Anak: Mmm, pakai tuala dulu?

Aku: Hihihi (gelak kecil). Ok, betul, pakai tuala. Sebelum tu? Maksud mama, apa yang perlu kita lihat dahulu sebelum kita ke bilik air untuk berwuduk?

Anak: Mmm, lihat jam?

Aku: Bagus, pandai! Tapi, kenapa kita perlu lihat jam?

Anak: Mmm, sebab nak tahu dah masuk ke belum waktu sembahyang?

Aku: Bijak! Tapi, kenapa kita kena tahu dah masuk ke belum waktu solat?

Anak: Mmm, supaya kita solat dalam waktu?

Aku: Pandai! Sekarang cuba beritahu mama semula, perkara-perkara yang perlu dilakukan sebelum solat, ikut turutan.

Anak: Mmm, mula-mula tengok jam. Dah masuk waktu, pergi bilik air, wuduk. Dah wuduk, pakai telekung. Dah pakai telekung, berdiri, kemudian angkat takbir, lepas tu baca fatihah, rukuk, bangun, sujud, duduk antara dua sujud, bangun, bla, bla, bla, dan seterusnya hingga salam. Lepas solat, berdoa?

Aku: Wuaa, pandai! Bagus! Ok, sekarang mari kita persoalkan satu persatu setiap tindakan yang telah disenaraikan itu. Pertama, boleh beritahu mama, jika Tuhan tidak mengfardukan solat, agak-agaknya kita kisah tak tentang waktu? Kita nak tengok tak jam kerap-kerap?

Anak: Mmm, mungkin tak!

Aku: Kedua, jika Tuhan tidak mewajibkan solat, agak-agaknya kita nak basuh tak badan kita kerap-kerap sekurang-kurangnya lima kali sehari?

Anak: Mmm, tak kut?

Aku: Ketiga, jika Tuhan tidak menyuruh hambanya solat, rasa-rasanya kita malu dan pelik tak keluar rumah dengan mendedahkan aurat?

Anak: Mmm, rasa-rasanya tak malu, dan tak pelik!

Aku: Keempat, jika Tuhan tidak memerintahkan kita bersolat, kita sanggup tak berdiri untuk satu tempoh, kemudian rukuk, kemudian sujud, kemudian duduk, kemudian bangun semula, kemudian duduk semula, berulang kali?

Anak: Mmm, tak sanggup aarr, macam penat jerr.

Aku: Bagus! Anak-anak mama semua pandai.

Anak: (Sengeh gigi kapak).

Aku: Ok, setelah menjawab semua persoalan tersebut, sekarang mari kita fikir apa yang tersembunyi di sebalik semua jawapan itu. Yang tersembunyi itulah yang dipanggil hikmah atau faedah.

Anak: Aarr? Apa tu mama? (berkerut)

Aku: Pertama, jika Tuhan tidak mengfardukan solat, mungkin kita tidak akan kisah dengan waktu. Maka hikmah solat ialah, mengajar manusia mengurus waktu. Kedua, jika Tuhan tidak memerintahkan solat, mungkin kita tidak akan menyucikan tubuh kita dengan kerap atau langsung tidak menyucinya. Hikmahnya, solat mengajar manusia tentang kebersihan. Ketiga, jika Tuhan tidak menyuruh kita bersolat, mungkin kita tidak akan berasa malu atau pelik untuk mendedahkan aurat. Maka hikmah solat, mengajar manusia agar menjaga dan menutup aurat. Keempat, jika Tuhan tidak mewajibkan solat, mungkin kita akan keberatan untuk melakukan amalan-amalan yang menjadi rukun di dalam solat yang memerlukan fokus, kesabaran dan disiplin yang tinggi. Hikmahnya, solat mendidik manusia agar berdisiplin.

Anak: (Terlopong, takjub).

Aku: Apabila manusia bijak mengurus waktu, tahu menjaga kebersihan diri, memelihara aurat dan berdisiplin tinggi di dalam hidup, maka jadilah manusia tersebut manusia yang baik. Kesimpulannya, solat membentuk manusia menjadi makhluk yang baik dan bermutu.

Anak: Ooo (angguk-angguk kepala).

Aku: Sekarang, faham kenapa Tuhan suruh kita solat? Atau faedah solat?

Anak: Faham, mama! (menjawab serentak).

Aku: Bagus! Moga Allah merahmatimu. Amin.

Anak: (Bertebaran mencari telekung).

Aku: Ehmm, wuduk dulu ya.

Anak: Eh lupa! (berlari ke bilik air).

Aku: Harr, tengok jam dulu, dah masuk ke belum waktunya?

Anak: Aisey, lupa lagi (keluar dari bilik air, berlari tengok jam).

Aku: Hahaha (gelak bahagia).

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

11 Comments

  1. assalamualaikum…

    saya ingin copy coretan dialog9 utk diadaptasi buat bakal isteri yg seorang mukallaf..
    maaf, coretan ini sgt membina bkn sahaja dari segi verbal (tutur kata) tetapi juga dari segi rohaniah dan jasmani..
    minta izin..

    • Walaikumussalam,

      Alhamdulillah, sialakan wahai saudara aizad, saya amat berbesar hati dan bersyukur jika benarlah apa yg dinukil saya itu memberi seribu makna kepada diri saudara. Saya doakan rumahtangga saudara yg bakal dibina mendapat rahmat dan berkat dari Allah hingga syurga, amin.

  2. Alhamdulillah. saya terpegun membaca setiap patah dialog diatas. Izinkan saya berkongsi artikel ini di dalam blog saya ye. terima kasih dan semoga Allah merahmati sdri sekeluarga.

    • Terima kasih atas doa. Doa yang sama untuk saudari juga. Apa jua yang baik dan memberi manfaat diizinkan untuk dikongsi, alhamdulillah, selagi mana mematuhi syarat2 perkongsian.

  3. Makcik, izin saya mengelink kan blog ini! So inspired 🙂
    Moga anak-anak ini menjadi anak soleh.

  4. alhamdulillah..saya sangat suka dialog puan bersama anak-anak.
    saya mohon copy untuk diberi kepada kawan2 yang agak culas bersolat. nak tegur secara berhikmah ikut contoh puan.
    semoga menjadi pencen kubur buat puan.

    • SALAM. Ambil. sebar. yang menarik. yang baik. lebih molek. lebih cantik. dengan izin pemilik. link/kreditkan kepada dhiah.com. bukan kerna cita mahu masyhur tetapi mahu jujur. kerna kita ini orang timur beradab berluhur. kerna kita ini muslim syumul cinta kepada makmur.

  5. Assalamualikum wbt.. mohon share..

    • SALAM. Ambil. sebar. yang menarik. yang baik. lebih molek. lebih cantik. dengan izin pemilik. link/kreditkan kepada dhiah.com. bukan kerna cita mahu masyhur tetapi mahu jujur. kerna kita ini orang timur beradab berluhur. kerna kita ini muslim syumul cinta kepada makmur.

  6. najiha dhania bt idris

    izinkan saya share ya 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *