Mama, apa kaitan cinta dengan galak?

Mm, nape tetiba tanya camtu? Nape tetiba nak tahu?

Entah! Terbaca dalam satu buku.

Buku apa?

Entah! Tak ingat.

Bila ada cinta maka kita akan melakukan sesuatu dengan galak, seperti galaknya kita mengSMS, menelefon, bertukar madah romantis dan bla bla bla ketika hati sedang berputik cinta kepada si dia.

Si dia? Boypren atau girlpren la tu …

Serba rasa galak, nak keluar dengan dia galak, nak bercakap dengan dia galak, nak berjumpa dengan dia galak, nak galak dengan dia lagilah galak. Semua galak.

Wah, galaknya!!

Maka supaya ada rasa galak nak bekerja, pun kena ada rasa cinta dahulu kepada kerja. Cinta itu suka, kasih, sayang, senang, gembira dan apa-apa lah yang termasuk dalam medan makna cinta. Agar pengajian disempurnakan dengan galak, perlu ada rasa cinta kepada ilmu, rasa cinta kepada guru, rasa cinta kepada kajian, rasa cinta kepada penulisan. Dah cinta baru galak menulis, baru galak hendak menyiapkan tesis.

Oh, mama tak cintakah kepada cekgu mama? Macam tak galak jer buat kerja sekolah …

Hubungan kita dengan Tuhan pun begitulah. Supaya ada rasa galak nak melakukan semua yang Tuhan perintah dan menjauhi segala yang Dia tegah, kena ada rasa cinta kepadaNya terlebih dahulu. Kena cinta Dia dahulu, baru datang rasa galak nak melaksanakan suruhanNya.

Kalau tak cinta?

Keterbalikan daripada itu, jika di dalam jiwa tidak ada rasa galak nak solat, tidak ada rasa galak nak menutup aurat, tidak ada rasa galak nak menjaga batas-batas pergaulan, tidak ada rasa galak nak bla bla bla bla, pendek kata tidak ada rasa galak nak melakukan kebaikan dan meninggalkan keburukan, maknanya kita mungkin tidak cinta Dia.

Tak cinta?

Mari kita periksa dahulu suhu cinta kita kepadaNya!

Suhu cinta? Nak ukur dengan apa?

Dengan menilai darjah galak di dalam diri. Galak nak buat baik ke, atau galak nak buat sebaliknya, benda tak baik.

Mmm?

Jika tidak ada rasa galak nak buat baik, mungkin rasa cinta kepada Tuhan yang menyuruh kita berbuat baik juga tidak ada.

Angguk.

Sudah masuk waktu solat magrib, galak tak nak solat berjemaah?

Hah, galak, galak … hehe …

Kalau galak cepat-cepatlah berwuduk, siapkan sejadah dan kita solat sama-sama.

Orait (berlarian menyiapkan sejadah di ruang tamu)

Melatih anak-anak kecil menghayati dan mencintai solat berjemaah, sudah tentu ia harus dimulakan di rumah.

Tok, tok, tok …

Siapa?

Saya.

Siapa?

Juan!

Oh, Juan, ada apa ya? (setelah pintu dibuka)

Boleh saya masuk?

Boleh, sila masuk.

Terima kasih.

Maaf, rumah agak bersepah.

Takpe, rumah saya pun. Ada anak kecil, kan?

Memang, rumah ada anak kecil jarang je kemas.

Takpe, saya faham, faham sangat.

Erm, ada apa ya Juan?

Oh ya, tujuan kedatangan saya adalah untuk menjemput awak sekeluarga makan tengahari di rumah saya ahad ini. Saya akan masakkan hidangan special yang berasal dari kampung saya, Asturias (utara Spain).

Ya ka? Terima kasih banyak-banyak. Tapi, tak menyusahkan ke?

Tak. Saya memang dah berniat nak ajak awak sekeluarga makan di rumah saya. Ingat tak, tempoh hari masa kita jumpa kat hospital, saya ada beritahu awak nak ajak makan, kan?

Ya. Saya ingat. Kalau macam tu, oklah. Ahad ni kami pergi. Terima kasih kerana menjemput.

Sama-sama. Oh ya, ini ada sedikit sumbangan dari saya. Saya harap awak sudi menerimanya (sambil mengeluarkan beberapa keping note 50 dari poket bajunya)

Hah? (terkejut). Tapi, untuk apa?

Untuk belanja awak hari-hari. Buat beli barang dapur, beli makanan untuk anak-anak, dan apa-apa sajalah.

Tapi, banyak ni. Saya tak mampu bayar.

Saya tak hutangkan. Saya hadiahkan. Ambil!

Banyak ni. Kut ya pun hadiah, takkan sebanyak ni?

Saya ikhlas. Ini bukan hutang. Ini hadiah dari saya, berupa wang.

Tapi, saya tak biasa terima wang sebanyak tu dari orang yang saya tak biasa. Saya rasa semacam untuk mengambilnya.

Ambil. Bukan terlalu banyak pun. Saya tahu awak sedang dalam kesusahan dan perlukan wang. Saya sangat faham keadaan awak kerana saya juga pernah berada jauh di negara orang. Ambil .. (beria menghulurkan)

Saya segan sangat-sangat. Sungguh!

Tak perlu segan, tak perlu rasa apa-apa. Kerana saya memberi dengan sepenuh hati saya. Ambillah ..

Mm, baiklah, sebelum saya bersetuju untuk menerimanya, boleh dak awak jawab soalan saya dahulu?

Tentu!

Jika saya tidak mahu menerima wang ini, adakah ia akan melukakan hati awak?

Ya! Saya akan berasa terluka dan terkilan kerana tidak dapat meringankan beban awak. Jika awak hendak bayar, begini, suatu hari nanti setelah awak pulang ke negara awak dan bertemu dengan seorang Spanish yang sedang dalam kesusahan, awak bantu dia macam saya bantu awak. Itu sudah dikira membayar.

Oh (sebak dan mengalir air mata).

Terima kasih Juan, kalau begitu saya menerimanya dengan ikhlas juga, dengan niat agar hati awak gembira.

Ok, saya sangat gembira mendengarnya. Saya minta diri dulu, ingat ya ahad ni, pukul 2.30 petang (meletakkan wang di dalam tanganku sambil bangun untuk berlalu).

Nota:-

Juan dan isterinya Noelia adalah jiranku. Rumah mereka di tingkat satu manakala rumahku di tingkat empat. Juan adalah pensyarah di universiti di mana aku menuntut, manakala isterinya seorang guru. Ketika aku dan keluarga berada di rumahnya di hari dia menjemput untuk makan tengahari, dia telah beria-ria meminta aku, suami dan anak-anak membaca al quran dari quran yang telah dibelinya ketika berbulan madu di Jordan. Ketika suamiku mengalunkan ayat-ayat suci Allah, dia tekun mendengar dan meniliti terjemahan yang disediakan.

Kemudian, Juan menunjukkan kepadaku koleksi bukunya, termasuk beberapa buku tentang Islam. Semuanya terususun kemas dan rapi di rak besar di ruang tamu rumahnya. Menurutnya, sebahagian daripada buku-buku tersebut adalah pemberian daripada kawan-kawannya, manakala yang lain-lain adalah dibelinya sendiri. Dia juga memaklumkan kepadaku bahawa sebahagian besar daripada kawan-kawannya semasa menuntut di Universiti Cambrigde dahulu adalah muslim.

Moga Allah memberikan kepada insan mulia ini hidayah dan melorongkan kepadanya cahaya ke jalan yang benar, amin.

Juan, isteri dan dua anak mereka, Gabriel dan Carmen.

Ikan dorada di masak di dalam oven dengan cara menimbusnya dengan empat kilo garam.

Mama, dah lama kakak tak nampak mama shopping.

Hah? tanjat mama.

Hahaha, … nape mama dah tak shopping sekarang?

Takde fulus nak.

Fulus tu apa?

Pitis!

Pitis tu apa?

Ahh, dinero, dinero … (dinero, perkataan Spanish = pitis).

Ohh, sebelum ni mama ada je pitis?

Sebelum ni, sekarang tidak lagi, dah bengkrap.

Nape bengkrap?

Itulah akibatnya jika kita tidak pandai berjimat, boros. Ketika berpitis berbelanja tak hingat. Beli itu beli ini, semua rasa nak beli.

Memang pun kakak tengok mama macam tu, erm ..

Hurm, so kakak jangan buat yang serupa, kena ada batas dalam berbelanja sekalipun kita fikir kita berduit. Kena tahu membezakan apa yang kita perlu dengan apa yang kita mahu.

Apa maksud, tahu membezakan yang kita perlu dengan yang kita mahu, mama?

Yang kita perlu adalah “keperluan” yang jika tiada akan mencacatkan kehidupan, seperti makanan asas (beras, ikan, sayur), pakaian asas (baju, seluar, kain, tudung, stokin, kasut), dan segala macam keperluan asas yang lain (api, air, gas, lain-lain). Yang kita mahu pula adalah benda-benda yang melangkaui keperluan asas, benda yang jika tidak ada tidak akan menjejaskan kehidupan. Selalunya nafsulah yang menjadikan kita mahu ini mahu itu. Nafsulah yang membuatkan kita terbeli benda yang kita tidak perlu. Misalnya, kita sudah ada cukup baju untuk dipakai, kita beli yang baru semata-mata kerana mahu bergaya dan dipandang lawa. Kita sudah ada cukup banyak beg tetapi kita tetap mahukan beg yang baru kerana kita tertipu dengan trend dan fesyen. Begitu.

Ooo, tapi kakak tak pernah tukar beg sekolah, beg yang sama kakak pakai sejak kita ke mari, kira-kira lima tahun lepas.

Ya, mama tahu anak mama ni sungguh baik orangnya. Mama tahu kakak tak suka menyusahkan mama. Malah kakak senantiasa mempermudahkan urusan mama. Mama ucap berbanyak-banyak terima kasih atas segala kerjasama yang telah kakak berikan.

Kakak cuma mahu mama gembira, itu sahaja. (senyum, ala tomey)

Oh anak, syurgalah hendaknya nanti tempat mu, amin ya rabbul alamin. (memeluk dan mencium dahi kesayanganku, pengarang jantung hatiku)

Nota:-

Oh, pertayaan kakak tetiba membuatkan aku rindu untuk shopping. Tapi ahhh …

Sangat tidak waras apabila kemeluapan untuk shopping melonjak ke tahap maksimum di saat ketiadaan fulus. Tetapi, ia jauh lebih baik daripada shopping dengan ketidak-warasan di tahap maksimum ketika sedang berfulus.

Allah maha bijak, bila DIA mengatur, kita terakur, tersungkur!

Mengidolakan adalah menghayati dan mempraktis seluruhnya kelakuan sang idola. Selamat meningkatkan keidolan kepada baginda Rasulullah s.a.w dalam segenap kehidupan.

Baginda tidak meminta diraikan kelahirannya tetapi baginda menyeru diamalkan ajarannya.

Apakah yang membezakan status-status di FB itu sebagai “hendak menunjuk-nunjuk” atau “hendak berkongsi”? Kita terpaksa menerima, bahawa yang membezakan keduanya adalah “HATI PEMBACA atau HATI PENILAI”. Jika hati itu negatif, yang positif pun akan sentiasa di negatifkan. Sebaliknya, jika hati positif, yang negatif tetap akan diambil sebagai “ada hikmah” atau “ada pengajaran”.

Contohnya, ada orang warwarkan di statusnya tentang kejayaan keluarganya dalam perniagaan. Yang berhati negatif akan menganggap ia sebagai “mahu menunjuk-nunjuk”. Yang berhati positif pula mungkin akan mengambilnya sebagai suatu teladan, suatu perkongsian, suatu cabaran malah suatu bentuk motivasi berguna untuk dirinya melonjak ke level yang sama.

Lain halnya dengan status yang berbunyi begini:

keluarga aku adalah keluarga terkaya atau terberjaya di dunia, takde sorang pun rakyat Malaysia boleh lawan!

Atau ditulisnya begini:

Dalam dunia ni, anak akulah yang paling lawa, paling cute, paling macho, k? ko, ado?

Itu pun sebelum lancang mulut menuduh dia nak menunjuk-nunjuk kita kena kaji pragmatiknya dahulu; digunakan dalam konteks apa? kata-kata itu ditujukan kepada siapa? untuk gurauan sesama kenalan rapatkah? atau saja-saja menyakat atau memprovokasi kamcing-kamcing atau member-member yang udah bertahun-tahun serasi atau dengan kata lain “kacik molek”?

Begitu juga gambar, yang tidak perlu diusaha selidik lagi akan niatnya ialah gambar-gambar yang menyembul aurat sendiri atau gambar-gambar kemewahan yang ditag pula dengan kata-kata seperti:

Rumah tokwan aku, kaya raya, rumah menteri kesihatan pun tak sebesar rumah tokwan aku!

Kalau dia letak gambar ruang tamu rumah dia meskipun ada sofa kulit buaya besar gedabak dan ada skrin tv sebesar lori balak, biaq pi kat dia laa, kebetulan yang duduk atas sofa tu ialah tokki dia, dan dia upload gambar tu pasal nak perkenalkan pada rakan-rakan dia, “inilah tokkiku”. Tak boleh ke mempositifkan hati begitu? Dan yang berhati negatif pula, duk pi buat analisis sofa, analisis perabut rumah orang segala bagai tu, nape?? Terluang sangatkah masa? Takde kerja sangat la tu ya?

Suka dinasihatkan, kepada yang berasa status-status atau gambar-gambar si fulan itu si fulan ini di FB itu sebagai serba tak kena, serba tak selesa padanya, dan serba yang dia baca dan dia lihat dia TERmenderita dengan perasaan kemenyampahan, plisss anda ada dua pilihan; tutup akaun FB anda sebab hakikatnya takde siapa paksa anda main FB (ke abah paksa?), atau pilihan kedua, anda block atau remove atau unfriend semua mereka yang anda fikir menulis bukan-bukan atau meletak gambar bukan-bukan, agar anda tidak TERmenderita kemuntahan atau kegelian telinga yang akhirnya boleh membuat anda biul.

Pun begitu, tulisan ini tidak sekali-kali menyokong status-status di FB yang melampaui batas samada batas agama, bahasa maupun provokasi ke atas bangsa. Fokus nukilan ini ialah kepada mereka yang sering meluah “meluat” atau “menyampah” dengan status orang ini, status orang itu, gambar orang ini, gambar orang itu.

Meluat tapi tak buka FB sehari macam kucing tergeliat urat!

 Nenek yang celik FB, hehe …

Aikk, nape luah kat sini, bukan di FB? Haishh, nanti orang meluat pula atau sakit-sakit urat. FB bila kita post sesuatu ia akan dilihat meskipun tanpa niat untuk melihat tetapi bila ia terpampang di status maka mahu tak mahu, suka tak suka akan terlihatkan. Tetapi blog, hanya mereka yang rajin baca blog atau secara kebetulan terjumpa sesuatu blog ketika sedang search benda lain, yang akan membuka dan membacanya. So kalau anda meluat itu salah sendiri, siapa suruh buka dan baca? FB pula tak boleh kata salah sendiri, tak boleh persoal “napa pi baca”? Sebab nama pun jaringan sosial, memang untuk supaya post kita dilihat, dibaca dan terkesankan, kan?

 

Laporan akhbar:http://www.harian-metro-online.com/dera-saya-menyesal-serah-fatin

 

Asal ada kes dera kanak-kanak, penderanya adalah “teman lelaki” si ibu. Persoalan:-

  1. Mengapa ibu ada teman lelaki? – ibu sunyi
  2. Mengapa ibu sunyi? – ibu tiada suami
  3. Mengapa ibu tiada suami? – ibu bercerai
  4. Mengapa ibu bercerai? – suami lari/mati/ada perempuan lain/tak serasi/salah sendiri/takdir
  5. Di mana ahli keluarga ibu; mak, ayah, adik beradik? – tidak endah/tidak peduli/tidak ambil tahu/tidak cakne/susah tanggung sendiri
  6. Di mana masyarakat ibu; jiran, kawan, saudara mara? – tidak perihatin/lebih seronok memfitnah daripada bertanya apa masalah atau meringankan yang susah, lebih cenderung mengeji daripada mengambil peduli

 

Solusi:-

  1. Ibu – tabah dan redha menghadapi ketentuan dalam perkahwinan, kuatkan iman dan semangat.
  2. Suami ibu – yang diceraikan ibu, bukan anak-anak. Tanggungjawab bapa kepada anak-anak tidak putus sekalipun terputus hubungan dengan ibu mereka akibat daripada terputus ikatan perkahwinan. Bertanggungjawab memberi nafkah secukupnya kepada anak-anak yang dengan itu terelak beban ditanggung sendirian oleh si ibu yang boleh membuatnya tertekan zahir dan batin.
  3. Ahli keluarga ibu – mengambil peduli tentang ibu, memberi sokongan moral dan material walau apa pun sebab kegagalan rumahtangganya. Apabila ibu telah bercerai samada hidup maupun mati dengan suaminya, maka tanggungjawab menjaga kebajikan ibu beralih kepada bapanya semula dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli keluarganya untuk meneruskan hubungan yang baik dengan ibu dan membantu apa yang perlu. Jika ibu masih berkehendakkan kepada suami, maka menjadi tanggungjawab ahli keluarga si ibu untuk merealisasikan perkahwinan ke seterusnya si ibu dengan berusaha mencari jodoh yang sesuai agar zahir ibu terpelihara dan kekosongan batin ibu terisi.
  4. Masyarakat ibu – sahabat, rakan taulan, jiran-jiran dan ahli masyarakat yang lain harus cakna dan mengambil tahu tentang ibu dengan memberi sepenuhnya motivasi untuk ibu meneruskan hidup sebagai ibu tunggal yang berjaya dan berkualiti. Jangan difitnah dan usah dikeji. Tiada ibu rela diceraikan sekalipun atas kesalahannya sendiri. Bukan kehendaknya untuk menjadi ibu tunggal tetapi takdirlah yang telah menentukan perkahwinannya berakhir dengan perpisahan. Kasihanilah ibu tunggal, bimbinglah mereka, jangan sisihkan mereka, berilah mereka keyakinan bahawa hidup akan kembali bersinar dengan mereka menyerah seluruhnya jiwa dan pergantungan mereka kepada Tuhan.

 

Dengan demikian, tidaklah si ibu mencari teman lelaki sebagai alternatif untuk berlindung atau memohon bantuan yang akhirnya akan menjerat diri dan kehidupan mereka di hari kemudian, seperti berlakunya kes penderaan demi penderaan.

 

Gambar dari Harian Metro

Apa tidak menangis jiwa, apa tidak teruntun raga, melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa bengkak mukanya, lebam sini sana, patah tulang patah semua, malah ada yang melayang nyawa kerana didera?

AYUH CAKNA

MASYARAKAT = SAYA, ANDA, KITA!

Mama, mengapa bila sembahyang kita pakai telekung warna putih? Telekung warna lain takde ke?

Dulu ya, warna putih sahaja. Sekarang telekung ada dalam bermacam-macam warna.

Mama suka warna apa?

Putih!

Warna-warna lain?

Suka juga, tapi bukan sebagai telekung sembahyang. Telekung sembahyang mama suka yang warna putih sahaja.

Kenapa?

Bila sembahyang mama nakkan kekusyukkan, sebab itu mama suka telekung yang warnanya putih sahaja, putih seputih-putihnya.

Tapi, macam mana pula putih boleh dikaitkan dengan kekusyukkan?

Putih mengingatkan kita kepada kain kafan, kepada kematian, langsung menambahkan kesungguhan kita untuk memaksimumkan kualiti sembahyang.

Oo gitu…

Seboleh mungkin kita mahu sembahyang kita itu mampu menjadikan kita serendah-rendahnya hamba kepada setinggi-tingginya DIA, Pemilik dan Pencipta semesta alam.

Ooo (angguk-angguk)…

Sebab itu mama suka pada telekung yang warnanya putih sahaja, putih putih-seputihnya. Tanpa sulam, tanpa kerawang, tanpa motif bunga-bunga, tanpa warna, tanpa apa-apa!

Tapi, bukankah sulam, kerawang, bunga-bunga, dan semua warna-warna itu cantik? Maka ia akan menambah-cantikkan lagi telekung kita, kan mama?

Betul, cantik. Tapi kerana ia cantik dan mencantikkan telekunglah mama tak suka. Kerana fitrah mata dan jiwa manusia Tuhan jadikan melirik dan asyik kepada benda-benda yang cantik. Ketika sembahyang kita mahu jiwa kita difokus sepenuhnya kepada Tuhan. Macam mana jiwa nak fokus jika mata asyik melihat kepada keindahan sulam dan kerawang, ada pula motif bunga-bunga yang cantik pelbagai warna. Nanti mata sibuk membuat analisis sulam, analisis kerawang, analisis bunga dan analisis warna. Tuhan entah ke mana.

Hihihi (ketawa tutup mulut), kakaklah tu, hihihihi…

Sebab itu jika mahu jiwa mempersempahkan sepenuh-penuhnya keasyikkan dan kekusyukkan cinta kepada DIA, putihlah solusinya. Yang warnanya putih sahaja, putih seputih-putihnya. Jiwa kita tenang, jiwa makmum yang lain di dalam saf juga tenang. Tiadalah ada rasa untuk berbicara soal dunia di dalam rumah Allah jika kita bersembahyang di masjid atau surau.

Berbicara soal dunia?

Jika si fulan ini melihat si fulan itu memakai telekung bersulam cantik berkerawang indah, mungkin akan ada dorongan untuk bertanya; beli di mana, berapa harga, macam mana rasa, bagaimana nak jaga dan sebagainya. Kan?

Hmm, betul juga tu mama.

Lagipun, putih itukan lambang kebersihan.

Tapi mama, tidakkan warna putih mudah nampak kotor jika terkena kekotoran?

Ya betul. Sebab itulah warna putih dikaitkan dengan warna kebersihan. Oleh kerana warna putih mudah nampak kotor jika terkena kekotoran, maka cepatlah kekotoran itu dikesan, dan cepatlah juga usaha-usaha untuk menyucikannya dilakukan. Jika ia pakaian, maka kekalah ia di dalam kebersihan.

Oo begitu…

Bandingkan pula dengan warna-warna lain. Warna hitam misalnya. Memang susah nampak comot tetapi jika ada kekotoran ia sukar dikesan. Bila sukar dikesan, maka kekal melekatlah kekotoran itu pada zatnya selama-lamanya sehingga ia diketahui lalu dicuci. Nampak tak?

Nampak, nampak… (angguk-angguk)…

Mmm, mama rasa dah masuk waktu solat isyak ni, jom kita sembahyang, ek…

Jom! (senyum, comel)…

Nota:-

Dahulu, telekung atau di Terengganu di panggil baju sembahyang hanya wujud di dalam warna putih sahaja. Tetapi kini, ia ada di dalam bermacam-macam warna. Ketika telekung bersulam mula wujud, sulamnya kecil-kecil sahaja. Tetapi lama kelamaan sulam-sulamnya makin besar, makin banyak motif-motifnya dan kerawang-kerawangnya juga makin berselirat dan berserabut.

Saya suka telekung yang dulu-dulu. Yang warnanya putih sahaja. Putih seputih-putihnya.

Bila saya boleh jumpa Prof?

Erm, kita jumpa 31 hb.

Baik.

31 hb Disember 2012 (depan fakulti):-

Fakulti tutup, semua pintu terkunci. Kita tak boleh masuk.

So, macam mana Prof?

Kita cuba tengok library sana (menunjuk ke arah library awam berdekatan).

Tutup jugalah Prof, hari ni semua tutup ka?

Tak semua. Pejabat-pejabat kerajaan buka separuh hari.

Oo gitu, so macam mana Prof?

Kita discuss kat bar, jom!

Ok, baik (berjalan sama-sama ke bar berdekatan)

Di bar:-

Awak nak minum apa?

Kopi.

Kopi apa?

Kopi dengan gula.

Aar? Kopi apa?

Kopi ngan gula! (ulang suara dengan ton sedikit tinggi tapi lembut)

Yelah, tapi kopi apa?

Err … kopi laa … ngan gula!?

Kopi o ke kopi susu?

Oh, kopi o, ya ya kopi o (aiseh salah sebut) ..

Ok, kopi o satu, kopi susu satu (prof order).

Erm ..

Ok, jom, kita discuss pasal chapter awak ni, bla bla, bla, bla, bla, bla (10 minit siap bla bla bla)

Ok, baik Prof, saya akan baiki macam yang Prof nak.

Ok, orait.

Chapter yang satu lagi tu Prof?

Oh yang itu saya tertinggal di ofis, belum baca.

So, pertemuan kita seterusnya bila ya Prof?

Erm, 8 hb januari baru fakulti buka, kita tengok dulu, 6 hb awak email saya.

Ok, baik.

Orait, ada apa-apa soalan lagi? (sambil menunjuk signal mahu bangun)

Err, erm, buat sementara ni takde Prof.

Ok, kalau camtu, sampai di sini saja untuk hari ni (bangun).

Err, ya ya (bangun juga)

Ok, adiós, jumpa lagi 8 hb.

Terima kasih banyak-banyak Prof kerna belanja kopi.

Sama-sama, ok selamat tahun baru, adiós (sambil berlalu dengan laju)

Erm, ya selamat tahun baru juga buat Prof, adiós… (terpinga-pinga, secepat itu diskusi, selaju itu dia pergi, dalam cawan masih berbaki separuh lagi kopi)

Nota:

Empat tahun menjadi pelajar di bawah seliaanya, baru kali ini buat pertama kalinya dia mempelawa aku minum kopi bersama, di hari terakhir tahun 2012, 31 hb Disember 2012. Itu pun kerana fakulti dikunci sempena cuti krismas. Semenjak Rajoy mengambil alih tampuk pimpinan Sepanyol, penjimatan besar-besaran telah dilakukan untuk memulihakan ekonomi negara mereka. Salah satu usaha penjimatan itu termasuklah mengunci semua pintu bangunan fakulti di universiti-universiti awam mereka ketika cuti umum untuk mengelakkan tenaga seperti eletrik, air, gas dan sebagainya diguna meskipun oleh staf mereka sendiri.

Dalam konteks orang lain mungkin minum atau makan bersama supervisor sudah menjadi perkara biasa, tetapi tidak bagiku. Supervisorku adalah seorang yang sangat skema, sangat formal, sangat spesifik, sangat berprotokol, sangat objektif dan segala macam sangat lagi yang seumpamanya. Dia bukan seorang yang boleh duduk bersembang-sembang dengan pelajar di cafe, dia bukan seorang yang suka duduk di dalam kumpulan, dia suka bersendirian, dia bukan seorang yang boleh diajak bersantai dan bergurau senda, dia hanya bercakap dan berbicara soal-soal penting dan mustahak sahaja.

Maka semalam, 31 hb Disember 2012, adalah HARI INI DI DALAM SEJARAH, bila mana dia telah TERsudi membelanjakan aku secawan kopi, yang saiz cawannya sebesar ibu jari kaki sahaja (saiz tipikal cawan kopi di bar-bar di Sepanyol). Punyalah aku gabra di hari pertama dalam sejarah minum kopi bersama supervisor sendiri. Tu yang pi minta kopi ngan gula tu, hak hak hak…. kat Malaysia pun orang tak order “kopi ngan gula satu!”.

Hampeh!

Cawan ini kecil sahaja, besar sikit jer daripada ibu jari kaki, huhu …

Bertanya Insyirah:

Mama, REDHA itu apa?

Aku (bersungguh dan serius):

REDHA itu terima, samada sukarela maupun paksa. Biar tersembul urat kepala, biar banjir air mata, biar berkecai jiwa dan raga, terima! Maka “terima” itu, REDHA.

Aku senyum melihat Insyirah angguk-angguk kepala, bangga kerana cepat dia menangkap maksudku.

Insyirah:

Mama, mama kena REDHA. Meski tersembul urat kepala mama, walau banjir Valladolid kerna air mata mama, meski berkecai jiwa raga mama, mama kena REDHA.

Tiba-tiba jantungku berdebar. 

Insyirah:

Mama, kakak, ….. kakak telah terDELETE satu folder mama. Kakak minta ampun tapi mama kena REDHA!

Aku:

Hah??? Folder mana satu??

Insyirah:

Folder “Pihejdi”!

Tersembur tart nanas dari mulut Anita Serawakku, bertaburan di alfombra biru. Tubuh tiba2 lesu, terkulai kaku. Urat kepala tersembul seperti banir pepohon kayu. Air mata pula tak terkeluar kerna konon-kononnya kontrol ayu, jiwa, raga, bakul, retak dan rekah seribu.

Oh, mempraktis REDHA itu tidak semudah mensyarahkannya, uwaaaaaaaaaaaaaa….

Bayangkan jika tiba-tiba suatu hari, Allah mengdeletekan matahari dari alam ini, maka bulan pun tidak akan bercahaya. 

Suatu sore:-

Habibah: Mama, cekgu bagi borang, cekgu suruh adik masuk pertandingan mengarang.

Mama: Ya ka? Baguslah (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Cekgu suruh adik buat karangan, mama ada idea dak?

Mama: Erm, entah, cekgu suruh adik kan, adik buatlah (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Lepas adik buat, adik tunjuk mama, mama boleh cek tak?

Mama: Erm, adik buat dulu, pastu kita tengoklah mama sempat cek ke tidak, mama banyak kerja ni ya (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: (berlalu pergi dengan wajah keciwa)

Sehari selepas itu:-

Habibah: Mama, adik macam takde idealah, boleh mama bagi panduan apa yang perlu adik masukkan dalam karangan ni?

Mama: Adik, mama banyak kerja ni, kalau tak siap kerja mama, matilah kita, adik buatlah, karangan adik kan? (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Tapi, adik cuma nak mama beritahu point-pointnya sahaja, pastu adik karanglah sendiri.

Mama: Adik fikirlah sendiri, adik kan bijak, lagi pun adik yang menyertai pertandingan tu kan, bukan mama. Jadi, seharusnya adiklah yang mengarang dan memikirkan idea-ideanya. Mama sibuk sangat ni (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Ok laa, baiklah, adik buat sendirilah (berlalu ke bilik, hampa).

Dua hari selepas itu:-

Habibah: Mama, adik dah siap dah mengarang.

Mama: Muy bien (very good) (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Mama bacalah, adik nak mama baca dulu sebelum adik hantar pada cekgu, mama baca ek…

Mama: Mama sibuk sayang, mama kena hantar chapter ni besok, biar cekgu kat sekolahlah baca, k? (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Mama baca sikit pun jadilah, adik nak tahu juga respon mama ke atas karangan adik ni, ok ke tidak, ek? (sambil menghulur kertas karangannya).

Mama: Sayang, sungguh mama sibuk ni ha, besok mama nak kena hantar, nanti apa kata cekgu mama pula kerja tak siap, kan? Adik tunjuk kat cekgu, biar cekgu adik baca, k? Mama yakin adik buat dah ok tu… (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Baiklah (berlalu hampa, hampir mengalir air mata)

Tiga hari selepas itu:-

Habibah: Mama, adik dah serahkan pada cekgu karangan tu. Cekgu suruh adik isi borang dan cekgu kata akan serahkan karangan adik tu kepada pihak penganjur.

Mama: Oo ya ka? Alhamdulillah (sambil meneruskan kerja-kerja menaip)

Habibah: Tak siap lagi ke kerja mama, mama?

Mama: Tadi pagi dah hantar satu, ni mama nak siapkan yang lain pula. Macam nilah adik, mama ada tanggungjawab dan mama kena laksanakan tangungjawab ni, adik sabar ya (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Oo gitu. Mama, tak tahulah adik boleh menang ke tidak dalam pertandingan tu, cekgu pilih adik sorang jer wakil sekolah.

Mama: Ya ka? Tahniahlah, mama bangga karangan adik terpilih mewakili sekolah, k? (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Seminggu selepas itu:-

Telefon berbunyi, ring ring

Mama: Hello!

Suara di telefon: Hello, selamat pagi, mama Habibah ke ni?

Mama: Selamat pagi, ya saya mama Habibah, siapa di sana ya?

Suara di telefon: Saya José, guru besar sekolah Habibah.

Mama: Oh señor José, ada apa ya?

Suara di telefon: Begini, saya baru dihubungi pihak penganjur memaklumkan yang anak puan, Habibah, telah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan mengarang!

Mama: Aar?? Biar betul? (terkejut badak!!!)

Suara di telefon: Betul! Jadi pihak penganjur meminta saya memaklumkan kepada puan bahawa puan perlu ke sekian-kian tempat pada sekian-kian haribulan untuk mengambil hadiah yang dimenangi.

Mama: Boleh saya tahu apa hadiahnya ?

Suara di telefon: Oh itu saya tidak tahu, puan kena pergi mengambilnya sendiri dan mesti membawa bersama Habibah.

Mama: Baiklah kalau begitu, terima kasih ya señor atas maklumat ini.

Suara di telefon: Ok, sama-sama. Oh ya pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada puan.

Mama: Err, tahniah kepada saya? Tapi bukan saya yang menyertai, anak saya. Saya baca pun tidak karangan dia.

Suara di telefon: Takpelah, kata orang, di belakang seorang anak yang hebat itu adalah mamanya yang hebat!

Mama: Oh, err, ya2 betul tu huhu (malu, sungguh rasa diri tersindir!).

Nota:

Pada hari ditetapkan, aku, suami, Habibah dan dua orang lagi anakku pun pergilah ke tempat yang diarahkan untuk mengambil hadiah yang telah dimenangi. Tempatnya agak jauh dari rumah dan di lokasi yang aku tidak biasa. Jenuh bertanya jiran, bas nombor berapa untuk ke sana. Ya, bas yang dinaiki sudah betul, turun pula di tempat yang salah. Dalam semak samun lak tu. Nah, 7 kilometer jalan kaki lima beranak, meredah gelap malam untuk sampai ke tempat yang dimaksudkan. Sudahlah cuaca maha sejuk, winter. Beku kepala.

Mulanya ku ingat, cuma pergi, ambil hadiah dan pulang. Rupa-rupanya siap ada pertunjukan, ada dewan, ada pentas, ada jemputan kehormat, ada ucapan, dan ahli keluarga kepada pemenang-pemenang menjadi tetamu-tetamu istimewa pada malam itu. Cekgu Habibah pun turut datang sebagai tanda sokongan dan berbangga atas kemenangan Habibah. Walaupun cuma tempat ketiga, tetapi daripada 500 penyertaan, Habibah satu-satunya peserta bukan Sepanyol, Muslim dan Melayu, atau dengan lain perkataan, dia satu-satunya anak orang asing. Oh ya, pertandingan mengarang yang disertai itu adalah pertandingan mengarang di dalam bahasa Sepanyol.

Teruk tak teruk tahap kepedulian aku, pada malam penyampaian hadiah itulah baru aku tahu bahawa pertandingan itu adalah pertandingan mengarang di antara pelajar-pelajar sekolah rendah di seluruh Valladolid. Dan Habibah telah terpilih untuk mewakili sekolahnya. Sebenarnya, Habibah telah cuba beberapa kali untuk memberitahuku tentang detail pertandingan itu tetapi kerana aku asyik buat derk ajer, dia akhirnya akur bahawa kesibukkan aku dan ketaksuban aku kepada kerja tidak boleh diganggu usik oleh informasi-informasi yang “remeh” begitu.

Ketika Habibah naik ke pentas untuk menerima hadiah, aku tiba-tiba sebak. Bukan sebak atas kemenangannya, tapi sebak mengenangkan kembali detik-detik dia memberitahuku tentang pertandingan itu dan sebak mengingatkan detik-detik dia meminta bantuanku untuk menyiapkan karangannya. Betapa aku telah gagal dalam ujian kecil Allah ini untuk menguji hati dan kepekaan aku sebagai seorang ibu, sehingga aku meletakkan kerja-kerja duniaku sebagai tanggungjawab utama, bukan Habibah, kakak dan adiknya, tiga permata, tiga amanah Allah yang telah aku lahirkan dengan gadaian nyawaku sendiri.

Habibah memang berhak menerima kemenangan itu, bukan kerana karangannya, tetapi kerana ketabahannya menghadapi karenah aku sebagai ibu dan atas sikap tidak pernah putus asanya dalam mengusahakan sesuatu. TAHNIAH HABIBAH! FELICIDADES!!

Ketua juri, juga penyampai hadiah.

Dari kanan, pemenang tempat pertama, kedua dan Habibah.

Bersama barisan juri yang dijemput untuk menyampaikan hadiah.

 Cekgu kelas yang telah memilih Habibah untuk mewakili sekolah.

Habibah, jika adik terbaca tulisan mama ini, mama minta ampun dengan adik di atas segala keTERabaian mama ke atas adik selama ini, dan mama doakan adik sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah azza wajalla.

Mama sayang adik dan bangga punya anak seperti adik!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...