SEDAR ialah kita tersentak dan bertindak, bukan mengucapnya di mulut tetapi duduk memeluk lutut. Dan untuk SEDAR, kadang-kadang hati perlu “dibakar”, biar leka menggelupur, biar khayal tersungkur. Biar nanti yang tinggal adalah abu-abu yang akan menjadi baja kepada percambahan tunas-tunas jiwa yang segar dan baru.

Apa kaitan tart nanas di dalam gambar di bawah dengan persoalan sedar di atas? Baca seterusnya ulasan di bawah gambar…

Kaitan tart nanas dengan isu di atas ialah ia merupakan analogi mudah untuk memahami maksud sedar. Tart nanas dipilih kerana ia merupakan antara biskut raya yang popular dan digemari ramai termasuk diri saya sendiri.

Saya memang hantu tart nanas. Saya tidak ada masalah untuk memamahnya tanpa henti hingga ke balang ketiga pun di dalam satu-satu masa. Yang menjadi masalah ialah untuk berhenti. Saya tahu atau sedar bahawa memakannya dalam kadar yang banyak adalah tidak baik untuk kesihatan dan boleh menjadi punca obes disebabkan oleh kandungan gulanya yang tinggi.

Namun, apalah maknanya jika hanya diucap “saya sedar” tanpa apa-apa usaha atau tindakan untuk berhenti memakannya. Itu bukan sedar tetapi menipu diri sendiri mengatakan sedar. Tetapi untuk berhenti menikmatinya nasihat yang lembut kadang-kadang tidak berbekas maka perlu kepada nasihat yang keras yang berbaur ugutan misalnya dan dengan perkataan-perkataan yang boleh menggerunkan saya tentang bahaya memakannya terlalu banyak (inilah yang dimaksudkan dengan “kadang-kadang hati perlu dibakar”). Maka barulah saya seolah-olah seperti tersentak, tersedar dari lamunan ketart-nanasan yang mengasyikkan yang kemudiannya menggerakkan pula anggota badan saya seperti tangan dan mulut daripada berhenti mengambil dan mengunyahnya. Begitu.

Selamat sedar diri, dari saya hambaNya yang hina.

Nikmat tidur kita bukan pada dengkurnya yang melodik, tidak juga pada mimpinya yang dramatik. Nikmat tidur kita ialah apabila kita bangkit pada keesokan pagi dengan nafas yang masih boleh ditarik dan dengan suara yang masih boleh dipekik.

 Bersyukur atas setiap hela nafas yang dikurnia, berterima kasih kerna masih diberiNya nyawa.

_____________________________________________________________________________________

Si es bueno vivir, todavía es mejor soñar, y lo mejor de todo, despertar – A. Machado  

Mimpi seorang hamba yang bangun dengan bangun seorang hamba yang bermimpi, adalah berbeza. Yang pertama, melaksana apa yang terencana, manakala yang kedua merencana apa yang tidak terlaksana.

Mari menjadi hamba yang berpijak di bumi nyata!

But…

“We must also realize that nothing happens without a purpose. Nothing. Not even broken hearts. Not even pain. That broken heart and that pain are lessons and signs for us. They are warnings that something is wrong. They are warnings that we need to make a change. Just like the pain of being burned is what warns us to remove our hand from the fire, emotional pain warns us that we need to make an internal change. That we need to detach. Pain is a form of forced detachment. Like the loved one who hurts you again and again and again, the more dunya hurts us, the more we inevitably detach from it. The more we inevitably stop loving it” (YASMIN MOGAHED).

 

Suatu masa dulu, dia tahu masak air jer, tu pun kadang-kadang tak masak! Hari ini, dia tahu semua, bukan setakat memasak (sup, kari, gulai, nasi minyak, nasi lemak, segala bagai), malah dia juga cekap mengemas rumah dan mengurus anak-anak. Itu saya suka, suka sangat-sangat. Tapi yang saya benci, dia mula nak merampas piala “berleter” yang dahulunya senantiasa di dalam genggaman saya. Buruk betul bila lelaki berleter. Namun yang indahnya ialah, bila selama 3 tahun kami bertukar posisi (saya lebih banyak di “opis”, manakala dia lebih banyak di “rumah”), maka dia mula faham erti “seorang isteri” dan saya pula faham makna “seorang suami”!

Rumahtangga yang baik ibarat bergabungnya seorang perempuan buta dengan seorang lelaki pekak .

(terjemahan kata-kata daripada gambar di atas),

dengan maksud, apabila kelebihan yang dimiliki masing-masing dimanfaatkan untuk melengkapkan kekurangan masing-masing, maka gemerlap dan bermaknalah rumahtangga itu.

Selamat mendamaikan rumahtangga, dari saya, hambaNya yang hina.

Apabila mata memandang apa yang tidak pernah dipandang, maka hati pun berasa apa yang tidak pernah dirasa

(terjemahan literal kata-kata di dalam gambar). 

Adapun perasaan manusia sering teruja dikala memandang sesuatu yang baru, yang tidak pernah dilihat sebelumnya. Begitulah juga adanya keanehan dan kepelikan di tempat orang, yang jika ditenung, diamati, akan terbuah pelbagai perasaan, lalu terselak dan tersentaklah roh dan fikiran yang terhijab dengan segala kebebalan. Andai berkesempatan, rebutlah peluang untuk mengembara mengenal negara orang agar terbuka dan terkuak segala jumud-jumud dan kebekuan yang bertahun membelit minda dan rasa. Meski terbelit dengan segala susah dan payah tetapi indahnya bermusafir itu tak terungkap hanya dengan madah dan lidah. Bumi Allah ini luas dalam ketersembunyian segala ilmunya meski dalam dunia yang penuh dengan teknologi hari ini ia amat sempit dalam jarak dan langkahnya. Keluar, dan pandanglah alam yang terbentang luas dan panjatlah syukur tanpa henti kepada Ilahi di setiap hela nafas.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...