Ada orang tidak boleh ditegur dengan kata-kata, kerana hatinya cepat terasa, macam saya. Tetapi itu tidak bermakna yang orang macam saya ini harus dibiar hanyut dalam kederhakaan mereka kepadaNya (jika mereka derhaka) dan lemas dalam kesalahan mereka kepada manusia (jika mereka berdosa sesama manusia). Ada cara dan kaedahnya. Jika tidak boleh dengan kata-kata, gunalah tinta. Tetapi menggunakan tinta juga harus berhati-hati. Bahasa biarlah lembut, indah, agar nasihat itu berbekas di hati.

Setiap kali ingin melontar nasihat, fikirkan begini; kita mahu orang yang kita nasihati itu kembali kepada Ilahi, kita bukan mahu menunjuk-nunjuk yang ilmu kita ini tinggi. Andai betul tinggi, adakah Allah suruh kita membangga-banggakan diri? Kita hendak orang yang kita nasihati itu masuk syurga bersama-sama kita, kita bukan mahu menghukum mereka masuk neraka. Neraka, hak siapa? Kita ingin orang yang kita nasihati itu mendapat semaksimumnya manfaat, kita bukan hendak mewarwarkan kepada mereka yang kita ini hebat. Hebatkah kalau sekadar mampu melaknat sedangkan hubungan mereka dengan Allah tidak pula menjadi semakin dekat, semakin rapat?

Tidak ada manusia yang sempurna, sebab itu nasihat itu berguna. Namun, nasihat yang berguna adalah nasihat yang memberi makna, yang mampu menembusi kalbu sedalam-dalamnya, yang berupaya menjadikan yang dinasihati bertambah takut dan gerun kepadaNya. Dan, penasihat juga harus sabar, harus tenang, harus istiqamah, kerana hakikatnya, tidak ada satu benda pun di dalam dunia Allah, boleh diraih dengan mudah tanpa melalui jalan susah payah. Begitu juga dakwah. Dakwah bukan semudah mengucapnya di lidah, dakwah hadir di dalam pakej duka dan lelah, air mata dan darah, redha dan redah, berhikmah dan istiqamah. Ini, kalau sampai peluh sebutir pun enggan tertitis, maka molek berhenti berdesis. Berhenti menguis. Bukan tidak optimis, bukan masalah pesimis, tetapi  tidak semua yang kita hendak akan datang kepada kita seolah-olah seperti kita yang mengawal suis. Kenyataannya, tidak semua teori itu mudah dipraktis, menegak, melaksana hakikatnya tidak sesenang menyinis, dan takdir kita pula bukan kita yang melukis. Plisss …

Selamat berjuang, dari saya hambaNya yang hina. Moga Allah mengampuni, menunjuk kita ke jalan pulang … 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *