05. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

Hakikatnya susah nak jumpa orang yang boleh “berbuat” sehebat “berdebat”. Debat di lidah, dan lidah selamanya tidak pernah bertulang. “Buat” pula pada tindakan, guna “tulang”, ada konteks, ada keadaan, ada faktor penyumbang dan juga penumbang. Semua boleh diteorikan ikut logik fikiran, tetapi tidak semua boleh dipraktiskan bila kita benar-benar duduk di dalam keadaan. Contohnya, waktu kita sihat kita marahkan orang sakit yang tidak mahu makan ubat, macam-macam kita kata; “dah sakit degil pula”, “suka hang lah, nyawa hang”, “eiyy teruknya, budus punya worang”, dan macam-macamlah. Tapi bila tiba giliran kita pula sakit baru kita tahu yang pada masa itu bukan kita sengaja tidak mahu makan ubat atau minum banyak air atau apa-apalah yang boleh menyembuhkan segera kita daripada kesengsaraan, tetapi otak kita sebenarnya telah dilemahkan oleh virus-virus yang menyerang yang menghantar isyarat kebencian kepada segala ubat-ubatan dan makanan-makanan kesihatan. Itulah yang dinamakan faktor penumbang.

Tidaklah saya menyarankan agar kita membiarkan sahaja orang yang sakit itu hanyut dalam kesakitannya atau mati terus, tetapi apa yang hendak saya utarakan di sini ialah tidak semua benda boleh dilaksana, semudah merencana. Dan janganlah terlalu ringan mulut menghina dan mengcemuh sedangkan jika peluang itu berada di tangan kita atau kita berada dalam keadaan yang serupa belum tentu kita mampu mengendalikannya mengikut idea kita yang kita fikir adalah yang paling ampuh. Ampuh pada akal, belum tentu teguh pada praktikal. Dalam contoh orang sakit tadi, jika kita sabar melayaninya, jika kita maklum akan kesakitannya, jika kita faham akan duduk perkaranya, maka depanilah dia dengan baik, dengan ikhlas. Jika kita bijak memujuk, mungkin dia akan mendengar kata, mungkin dia akan percayakan kita, maka tidaklah keadaannya menjadi semakin teruk. Inilah pula yang dikatakan faktor penyumbang. Keteguhan kita kepada keyakinan bahawa “penyabar tidak pernah kecundang, Allah dah janji merekalah pemenang” menyumbang kepada kesihatan dia, menyumbang kepada kesejahteraan dia. Dia sihat, dia sejahtera sama maknanya dengan kita hebat, kita berjaya!

Mempraktis,
tidak semudah teori-teori yang keluar dari bibir-bibir yang menyinis.
Namun menyinis, itulah yang memperbaiki praktis.
Meletak getar pada jiwa yang pesimis,
memacu nadi menjadi optimis.
Dan, menyinis atas landasan kewarasan,
bukan atas perasaan keamokan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *