Mak limah: Paknya, kita nak sidai baju, boleh tengok-tengokkan ikan goreng atas dapur tu?

Pak Hussein: Bolehh! (ke dapur, kuali ditenung tajam).

Mak limah keluar ke ampaian. Sambil menyidai, mak limah menyanyi lagu-lagu Sheila Majid. Minat benar mak limah dengan penyanyi bersuara sengau tu. Banyak sudah lagu yang mak limah karaoke sama banyak dengan kain yang mak limah sidai. Tiba-tiba mak limah tercium bau hangit yang teramat dan setelah diamati dan dianalisis didapati bau itu datangnya dari dapur mak limah sendiri. Mak limah konpius; “Haih takkan lah bau ikan goreng aku, kan dah pesan kat paknya tadi” (kata mak limah di dalam hati). Namun, dek kerana kehangitannya makin ketara beserta asap yang berkepul-kepul di udara raya, mak limah meluru masuk ke dapur dan …

Mak limah: Ya Allah, apa dah jadi dengan ikan goreng aku! (Mak Limah memandang pak Hussein penuh tanda tanya) Nape paknya tak tutup api dan angkat ikan goreng ni? Kan dah pesan tadi?

Pak Hussein: (tergagap-gagap) Tapi saya memang tengok ikan tu.

Mak Limah: (geram) Kalau tengok nape sampai rentung, asap berkepul-kepul sampai semput dibuatnya?

Pak Hussein: Eh membebel lak awak ni, dari tadi saya duk tengok, tak berganjak pun dari dapur ni haa. (penuh yakin)

Mak Limah: Yang tengok saja tu kenapa? Balik-balikkan lah dan angkat bila dah masak!

Pak Hussein: Mana ada awak suruh balik-balikkan atau angkat, awak pesan suruh tengok-tengokkan aje!

Mak Limah: Apa? (geram tahap ultraman).

Akibat kejadian tersebut, pak Hussein terpaksa makan nasi bungkus di kedai selama seminggu. Mak limah merajuk besar.

Senario di atas adalah manifestasi kegagalan manusia memahami lakuan ilokutif yang terlindung di sebalik lakuan lokutif. Akibatnya, lakuan perlokutif telah tidak dapat dilaksanakan, lalu timbul huru hara dan salah faham. Pak Hussein telah gagal memahami lakuan ilokutif (permintaan agar membalik-balikkan ikan atau mengangkatnya jika telah masak) sebaliknya pak Hussein sekadar memahami lakuan lokutif mak limah (pertanyaan akan kemampuan atau keupayaan beliau untuk melihat ikan dalam kuali). Oleh kerana itu, pak Hussein telah gagal melaksanakan lakuan perlokutif (tindakan yang mak limah harap daripada beliau iaitu membalik-balikkan ikan di dalam kuali atau mengangkatnya jika telah masak). Kesan kecil; Makan nasi berlauk ikan hangus. Kesan lebih besar dan serius; Mak limah keciwa, hilang keyakinan pada pak Hussein dan merajuk (masalah rumah tangga).

Mesej: Ilmu pragmatik penting untuk mengekalkan keharmonian dalam rumah tangga.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *