Saya sangat suka dipeluk ketika sedih dan marah terutamanya oleh tangan-tangan kecil yang suci. Tetapi saya tidak mungkin menikmati itu jika saya tidak terlebih dahulu memeluk mereka ketika mereka sedih dan marah. Ya, marah tidak boleh direda dengan marah, tetapi ia sering kalah kepada sikap mengalah. Mengalah itu pula bukan maknanya lemah, mengalah itu adalah sabar yang sangat indah!

Insyirah dipeluk oleh guru sekolahnya yang amat pengasih.

 

Suatu hal yang saya sangat-sangat suka dan kagum di Sepanyol ini ialah sikap guru-guru sekolah mereka yang amat profesional, ikhlas, penuh ilmu psikologi, serta melayan pelajar-pelajar mereka seperti anak-anak sendiri. Mereka sangat sabar dan tidak cepat melatah dengan karenah kanak-kanak. Mereka memilih profesion guru kerana mereka sukakan kanak-kanak dan kerana mereka ikhlas untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak. Mereka melaksanakan kerja mereka dengan penuh amanah dan amat berhemah. Ikhlas mereka tidak dilaungkan tetapi ia jelas daripada setiap tindakan dan perbuatan, hingga meresap begitu mendalam ke jiwa dan perasaan kanak-kanak yang dipertanggungjawabkan.

Kanak-kanak di sini jika ditanya; “mana lebih kasih, cekgu atau mama?” Mereka jawab; “Cekgu!” Tiga tahun anak-anak saya bersekolah di sini, tidak pernah walau satu hari pun mereka merengek untuk tidak mahu ke sekolah. Hari minggu pun mereka minta untuk ke sekolah. Malah jika boleh, tidur pun mereka mahu tidur di sekolah. Di tanah air dahulu, lepas sebulan bersekolah, hari-hari anak saya mencari helah untuk tidak mahu ke sekolah. Jika disebut; “takyah pi sekolahlah hari ni, nampak cam demam jerr” (padahal tak demam pun), mereka melompat-lompat gembira. Sebaliknya di sini, bila dihalang ke sekolah atas arahan doktor kerana demam yang amat kuat sekalipun, mereka menangis dan merayu-rayu hiba. Lepas sebulan bersekolah di sini, anak-anak saya terus berkata; “mama, kita orang taknak balik ke Malaysia, sekolah sana tak best, kita orang nak sekolah kat sini selamanya!” Berbanding ketika mereka mula-mula masuk darjah satu di tanah air dahulu, lepas hanya seminggu ke sekolah, mereka cakap; “mama, boleh tak kakak taknak sekolah? Tak bestlah sekolah!” Kini mereka sudah mula bungkam kerana tahu hujung tahun depan mereka terpaksa pulang juga ke Malaysia dan menyambung sekolah mereka di sana.

Dan sesuatu yang amat menarik untuk dikongsi adalah bahawa waktu kerja guru-guru di sini adalah sama dengan waktu kerja penjawat-penjawat awam mereka yang lain. Waktu mula bekerjanya sama dan waktu pulangnya juga adalah sama. Infrustruktur? Alahai, kebanyakan sekolah kadang-kadang sayu kita melihat; dengan buruknya, dengan tidak ada rupa sekolahnya, dengan kekurangan dalam serba serbinya. Bilik guru mereka juga tidak secantik bilik guru di sekolah-sekolah di negara kita. Tiada kemudahan satu meja untuk seorang guru, sebaliknya mereka berkongsi meja bulat atau meja panjang yang buruk, beramai-ramai. Secara fizikal, sekolah-sekolah di Malaysia jauh lebih cantik dan lebih, dalam serba serbinya. JAUH! Tetapi, lebihnya sekolah mereka adalah pada keikhlasan dan kekuatan jiwa serta jati diri guru-guru mereka yang amat-amat berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi!

Mari kita renungkan bersama dengan hati yang lapang…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *