Adalah menjadi kelumrahan atau kecenderungan kepada para bijaksana juga bijaksini, menulis artikel atau buku di dalam bidang mereka, menggunakan jargon-jargon yang sukar difahami, menggunakan bahasa yang kadang-kadang terbelit urat kepala untuk dicerapi, dengan putar pusing fakta dan hujahnya yang terjuling biji mata untuk diselami.

Ya, tahu ilmu tuan tinggi, tinggi mencecah awan. Tetapi tuan bertanyakah kepada diri sendiri, kepada siapa ditujukan segala ekspresi? Jika kepada saya atau mereka sewaktu saya yang sangat marhain akan cakup akal ini, maka tuanlah profesor syok sendiri, yang sebenarnya tidak tahu mengajar orang bodoh menjadi pandai, yang tuan tahu, hanya memberitahu kepada yang sudah tahu bahawa kuda itu kuda, dan kaldai itu kaldai?

Tuan, ilmu bukan untuk tuan menjadi perasan, ilmu adalah untuk tuan, saya dan mereka berdekat-dekat dengan Tuhan. Maka, dengan stail tuan yang tuan fikir sudah tersangat ampuh, sebetulnya jahil kami tidak pun tersuluh, malah kami berasa yang diri kami ini semakin menekuni semakin mengjauh, jauh dan jauh …

Lainlah jika tuan seorang profesor kesusateraan yang memang tuntutan keilmuan tuan penuh kemetaforaan, kehipebolaan, kesimiliran dan kemelankolikan? Sehingga angin bisu mampu berbisik, awan lesu bisa menangis dan ombak boleh berbicara pada batu-batu rindunya maya karin terhadap aron aziz?

Akan kami ini, menangislah sendiri-sendiri di hadapan meja stadi ini dengan helaian-helaian buah fikir tuan yang semakin diselak, semakin senak, semakin dimutola´ah, semakin hilang arah …

Kamikah yang tidak faham bahasa atau tuankah yang terlalu hebat berbahasa?

Actos de habla (Speech acts), antara buku kesayangan, Searle adalah fenomena kepada kajian-kajian speech act. Inilah yang sedang saya tekuni sekarang, mengkaji tentang speech acts dan isu politeness merentas bangsa dan budaya.
 

How to do things with words, mula asalnya tercetus ilmu speect act adalah daripada akalan si Austin, seorang ahli falsafah tersohor. Buku ini adalah kompilasi kuliah-kuliahnya yang telah diusahakan oleh para pelajarnya untuk dibukukan, lama setelah kematian beliau.
 

Sebahagian daripada rujukan dalam pengajian saya.
 

Koleksi novel-novel berbahasa sepanyol. 
  
05. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

Hakikatnya susah nak jumpa orang yang boleh “berbuat” sehebat “berdebat”. Debat di lidah, dan lidah selamanya tidak pernah bertulang. “Buat” pula pada tindakan, guna “tulang”, ada konteks, ada keadaan, ada faktor penyumbang dan juga penumbang. Semua boleh diteorikan ikut logik fikiran, tetapi tidak semua boleh dipraktiskan bila kita benar-benar duduk di dalam keadaan. Contohnya, waktu kita sihat kita marahkan orang sakit yang tidak mahu makan ubat, macam-macam kita kata; “dah sakit degil pula”, “suka hang lah, nyawa hang”, “eiyy teruknya, budus punya worang”, dan macam-macamlah. Tapi bila tiba giliran kita pula sakit baru kita tahu yang pada masa itu bukan kita sengaja tidak mahu makan ubat atau minum banyak air atau apa-apalah yang boleh menyembuhkan segera kita daripada kesengsaraan, tetapi otak kita sebenarnya telah dilemahkan oleh virus-virus yang menyerang yang menghantar isyarat kebencian kepada segala ubat-ubatan dan makanan-makanan kesihatan. Itulah yang dinamakan faktor penumbang.

Tidaklah saya menyarankan agar kita membiarkan sahaja orang yang sakit itu hanyut dalam kesakitannya atau mati terus, tetapi apa yang hendak saya utarakan di sini ialah tidak semua benda boleh dilaksana, semudah merencana. Dan janganlah terlalu ringan mulut menghina dan mengcemuh sedangkan jika peluang itu berada di tangan kita atau kita berada dalam keadaan yang serupa belum tentu kita mampu mengendalikannya mengikut idea kita yang kita fikir adalah yang paling ampuh. Ampuh pada akal, belum tentu teguh pada praktikal. Dalam contoh orang sakit tadi, jika kita sabar melayaninya, jika kita maklum akan kesakitannya, jika kita faham akan duduk perkaranya, maka depanilah dia dengan baik, dengan ikhlas. Jika kita bijak memujuk, mungkin dia akan mendengar kata, mungkin dia akan percayakan kita, maka tidaklah keadaannya menjadi semakin teruk. Inilah pula yang dikatakan faktor penyumbang. Keteguhan kita kepada keyakinan bahawa “penyabar tidak pernah kecundang, Allah dah janji merekalah pemenang” menyumbang kepada kesihatan dia, menyumbang kepada kesejahteraan dia. Dia sihat, dia sejahtera sama maknanya dengan kita hebat, kita berjaya!

Mempraktis,
tidak semudah teori-teori yang keluar dari bibir-bibir yang menyinis.
Namun menyinis, itulah yang memperbaiki praktis.
Meletak getar pada jiwa yang pesimis,
memacu nadi menjadi optimis.
Dan, menyinis atas landasan kewarasan,
bukan atas perasaan keamokan.

Setelah lama duduk dalam keadaan tidak berpitis, maka semalam, setelah memperolehi pitis, saya membawa anak-anak ke supermarket, membenarkan mereka memilih apa yang mereka mahu makan, mengizinkan mereka membuat keputusan atas apa yang mereka mahu saya masakkan.

Pada mulanya saya ingin memasak ikan singgang, lauk kegemaran saya dan hubby sejak dari zaman berzaman. Maka saya merancang mahu membeli dua atau tiga potong ikan aya untuk disinggangkan. Malangnya tiada pula ikan aya di supermarket yang saya berkunjung itu pada hari tersebut. Agak keciwa jugalah kerana sudah lama saya mendambarkan ikan singgang setelah kali terkahir saya memakannya setahun lepas. Manakala anak-anak pula, sebaik terlihat kelibat ketam di situ, terus terjerit-jerit kegembiraan, “nak ketam, nak ketam” jerit mereka. Melihatkan harganya yang agak murah pada hari itu (sebelum ini harga ketam amat mahal di sini), maka saya terus membelinya dengan banyak. Niat di hati agar mereka dapat menikmatinya puas-puas setelah hampir dua minggu makan bertengat dek kering pitis.

Sampai di rumah, si kakak dan adik bergaduh, seorang mahu ketam itu dimasak merah bertelur, seorang lagi ingin ia dimasak kuning berlemak. Alahai, selepas kata sepakat gagal dicapai, akhirnya mama membuat keputusan, demi anak-anak, yess mama akan masak kedua-duanya, merah bertelur dan kuning berlemak.

Maka, ketam-ketam itu pun dibahagikanlah kepada dua, satu untuk masak merah, satu lagi untuk masak kuning. Lepas sejam, yess semua telah tersedia di meja, anak-anak melompat gembira, “yeyyy ketam, ketam”. Mama pula tersenyum puas dapat menunaikan kemengidaman anak-anak. Papa pula jenis tak kisah, masaklah apa pun, merah, kuning, hijau hatta ungu sekalipun dia bedal. Bagus sungguh lidah dia yang langsung tidak memilih rasa. Asal makanan, semua sedap padanya.

Maka, makanlah kami berlima sepuas-puasnya ketam yang dimasak dua cara. Bahagia tak terkata melihat mereka memakannya dengan ria, meskipun macam-macam alat dibawa ke meja guna untuk mengetuk sepit ketam, lesung batu, tukul besi, senduk kayu, atau guna gigi kapak ajer, ahhhhhhh seronoknya menikmati ketam yang banyak dan ada pilihan menu pula, merah atau kuning. Banyak tak banyak ketam yang dibeli, sampai semua dah kenyang kepuasan, ketam masih berbaki. So, apa lagi, simpanlah untuk esok hari, dah tentu mama tak perlu susah payah masak lauk lain lagi. Dan dapatlah mama buat OT main FB, ehem …

Cair, santan di sini adalah terhad, mujur ada juga sebuah dua kedai menjualnya. Santan dari dalam tinnya memang cair, tak dicampur air pun ia cair.

 Masak merah pedas bertelur, biar rupa tak cantik, asal rasanya menarik, tertarik.

Mari mengucap syukur atas segala nikmat dan pemberian dariNya.

01. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

“Berdamba” perlu disepakejkan dengan “berusaha”.

Damba tanpa usaha, adalah sia-sia.

Usaha tanpa damba adalah bahaya.

Kerna damba menghidupkan usaha, memotivasikan usaha.

Dan usaha merealisasikan damba, mengkabulkan damba.

Damba adalah jiwa, keinginan, dan azam.

Usaha pula adalah tenaga, tindakan dan kesungguhan.

Mari mengapungkan damba dan mempertingkatkan usaha demi sebuah redha dan syurgaNya.

Gambar-gambar di atas dirakam di kawasan rekreasi Rondilla berdekatan kawasan tempat tinggal penulis di Valladolid, Spain.

Adapun syurgaNya di sana jauh lebih indah. Lebih meriah.

Ada orang tidak boleh ditegur dengan kata-kata, kerana hatinya cepat terasa, macam saya. Tetapi itu tidak bermakna yang orang macam saya ini harus dibiar hanyut dalam kederhakaan mereka kepadaNya (jika mereka derhaka) dan lemas dalam kesalahan mereka kepada manusia (jika mereka berdosa sesama manusia). Ada cara dan kaedahnya. Jika tidak boleh dengan kata-kata, gunalah tinta. Tetapi menggunakan tinta juga harus berhati-hati. Bahasa biarlah lembut, indah, agar nasihat itu berbekas di hati.

Setiap kali ingin melontar nasihat, fikirkan begini; kita mahu orang yang kita nasihati itu kembali kepada Ilahi, kita bukan mahu menunjuk-nunjuk yang ilmu kita ini tinggi. Andai betul tinggi, adakah Allah suruh kita membangga-banggakan diri? Kita hendak orang yang kita nasihati itu masuk syurga bersama-sama kita, kita bukan mahu menghukum mereka masuk neraka. Neraka, hak siapa? Kita ingin orang yang kita nasihati itu mendapat semaksimumnya manfaat, kita bukan hendak mewarwarkan kepada mereka yang kita ini hebat. Hebatkah kalau sekadar mampu melaknat sedangkan hubungan mereka dengan Allah tidak pula menjadi semakin dekat, semakin rapat?

Tidak ada manusia yang sempurna, sebab itu nasihat itu berguna. Namun, nasihat yang berguna adalah nasihat yang memberi makna, yang mampu menembusi kalbu sedalam-dalamnya, yang berupaya menjadikan yang dinasihati bertambah takut dan gerun kepadaNya. Dan, penasihat juga harus sabar, harus tenang, harus istiqamah, kerana hakikatnya, tidak ada satu benda pun di dalam dunia Allah, boleh diraih dengan mudah tanpa melalui jalan susah payah. Begitu juga dakwah. Dakwah bukan semudah mengucapnya di lidah, dakwah hadir di dalam pakej duka dan lelah, air mata dan darah, redha dan redah, berhikmah dan istiqamah. Ini, kalau sampai peluh sebutir pun enggan tertitis, maka molek berhenti berdesis. Berhenti menguis. Bukan tidak optimis, bukan masalah pesimis, tetapi  tidak semua yang kita hendak akan datang kepada kita seolah-olah seperti kita yang mengawal suis. Kenyataannya, tidak semua teori itu mudah dipraktis, menegak, melaksana hakikatnya tidak sesenang menyinis, dan takdir kita pula bukan kita yang melukis. Plisss …

Selamat berjuang, dari saya hambaNya yang hina. Moga Allah mengampuni, menunjuk kita ke jalan pulang … 

Orang melayu bila dipuji cantik atau dipuji segala yang baik akan berkata “eh, mana ada..” (dalam hati geletek suka). Orang putih pula bila dipuji cantik akan berkata “ah, tima kaseh, tengkyu” (omputih yang reti cakap melayu). Mengapa bukan orang melayu yang berkata “tengkyu” dan bukan pula omputih yang berkata “mana ada”, bila dipuji?

Berterima kasih kepada pujian dalam budaya orang melayu adalah lambang “keperasanan” yang tanpa disedari implikasinya ialah pujian tersebut “tidak ikhlas” atau dengan kata lain diutarakan “tanpa rela”. Lalu, bagi orang melayu pujian harus ditolak dengan respon “eh, mana ada”. Lidah macam tidak suka, tetapi di hati gembira? Orang melayu memang begitu, mementingkan pandangan orang lain terhadap diri mereka, lebih daripada pandangan mereka sendiri terhadap diri mereka dan lebih daripada pendirian atau prinsip mereka sendiri yang mereka ada, kerana melayu adalah “high context culture”.

Manakala bagi omputih pula, pujian harus diterima dan perlu dihargai dengan ucapan “tengkyu”. Menolak pujian bermakna tidak menghargai keihlasan pemuji sekaligus menjatuhkan air muka orang yang memuji. Implikasinya pula ialah mereka tidak akan memuji melainkan atas apa yang patut dipuji dan dituju pujian hanya kepada mereka yang layak dipuji. Sekalipun wujud pujian yang tidak ikhlas, mungkin joke semata atau sindiran, tetapi bagi mereka menyelongkar hati orang itu tidak penting. Yang penting adalah ekspresi diri, atas apa yang mereka yakini, atas prinsip yang mereka teguhi, atas pendirian yang mereka dukungi. Hal tersebut demikian kerana mereka adalah “low context culture”, keterbalikan daripada melayu.

Erm, boleh nampak tak apa yang tidak kena dengan hati orang melayu? Nak kata dengan prinsip sebegitu orang melayu hidup rukun damai, bercakaran juga.

Mari memuji Ilahi, dari saya hambaNya yang hina.

Budak-budak bila mereka buat perangai kepada ibu bapa, itu bukan saja-saja, semuanya ada makna. Kadang-kadang mereka nak mengetest bahasa, kadang-kadang mereka nak mengetest market mereka. Yang pasti, Allah mencipta mereka dan mengurnia mereka untuk mengetest kita. So, buat test validity & realibility dengan mereka dulu sebelum keluar kepada masyarakat, jika tak lepas, tak boleh rasa hebat walau tercecah langit sekalipun darjat dan pangkat …

 

Selamat bersabar-sabar dalam melayan telatah dan kemengada-ngadaan mereka, dari saya, hambaNya yang hina …

 
Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada ubat
untuk jiwa yang ralat.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada darah
untuk perasaan yang parah.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada solusi
untuk hati yang mati.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada cat
untuk dada yang berkarat.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada cahaya
untuk minda yang tidak bermaya.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada lampu
untuk otak yang buntu.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada gendang
untuk kalbu yang gersang.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada tukul
untuk fikiran yang tumpul.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada makanan
untuk roh yang kelaparan.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada penyembuh
untuk semangat yang lumpuh.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada peta
untuk mata yang buta.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada penyuluh
untuk batin yang rapuh.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada penawar
untuk iman yang hambar.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada tongkat
untuk akal yang terencat.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada pedang
untuk akhlak yang tempang.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada peta jalan pulang
untuk diri yang termenyimpang.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada tazkirah
untuk kita ke alam barzah!
 
 

La adquisición de cualquier conocimiento es siempre útil al intelecto, que sabrá descartar lo malo y conservar lo bueno (Leonardo da Vinci).

Pengetahuan tentang apa sahaja ilmu adalah senantiasa berguna untuk intelek, yang mampu menyingkirkan yang tidak baik dan memelihara yang baik (Leonardo da Vinci).

Mari mencintai ilmu, dari saya hambaNya yang hina.

 
Ada benda.
boleh dihembur
macam peluru kapur.
Ada benda.
kena dikubur
sekalipun hati sakit dan menggelupur.
 
Ada benda boleh dimuntah.
ada benda terpaksa ditelan, dikedarah.
Ada benda boleh dilaung-laungkan,
seantero buana tahu tidak mengapa.
Ada benda kena dilindung-lindungkan,
di jerit pada dunia pun tiada guna.
Ada benda boleh dikongsi
ada benda disimpan sendiri.
Ada benda perlu publisiti
ada benda diam-diam ubi, berisi.

 

Jangan atas dasar “wall kita”
kita tulis apa sahaja kita suka.
Kerana yang punya mata,
yang meniliknya,
ada hati
ada rasa.
 
Lainlah kalau wall kita
kambing yang baca!!
 

Que Allah te de la paciencia y la fuerza de Ayub
Que Allah te guíe como guió a Musa
Que Allah te perdone como perdonó a Adam
Que Allah te de una parte de la belleza de Youssef
Que Allah te conceda una descendencia virtuosa como la de Zakaría
Que Allah te ame como su amor por Ibrahim
Que Allah te abra las puertas del Paraíso como a Muhammad (sas)
Que Allah te de el espíritu de Hawa
Que Allah te de la pureza de Maryam
Que Allah te de la fe de Asiya
Que Allah te de la belleza de Sarah
Que Allah te de el amor de Khadija
Que Allah te de el conocimiente de Aisha
Y la bendición de estar entre ellas en el Paraíso, ¡IN SHAA ALLAH!
Dí: Alahumma Amín, Amín, Amín
(ia rabbi al-alamin)

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...