Seorang kenalan berbangsa Cuba berwarganegara Sepanyol (lelaki) telah datang ke rumah saya. Orangnya sungguh baik. Dengan santunnya dalam bertingkah laku, dengan lembutnya dalam berbicara, dengan sopannya dalam mendepani saya, dan juga dengan kacaknya yang memukau jiwa (muda lagi, berusia 25 tahun). Pendek kata dia ada segala-galanya, kecuali …… AGAMA!  Dia memberitahu saya bahawa dia seorang yang tidak mempunyai agama, tidak mempercayai mana-mana agama dan tidak meyakini mana-mana Tuhan. “Mengapa?” Tanya saya. Jawapan beliau “Sekian lama saya mencari-cari satu agama yang boleh meyakinkan saya bahawa agama itulah yang terbaik. Dan dalam banyak-banyak agama, saya paling tertarik kepada Islam. Namun, bila saya melihat terlalu banyak persengketaan antara sesama penganut Islam khususnya di dunia arab hari ini, saya menjadi ragu dan menjadi tidak yakin untuk menganut agama itu. Saya mahu mencari agama yang boleh memberikan saya ketenangan dan hidup di dunia ini dengan aman”. Dalam kunjungannya yang amat singkat itu, tidak sempat untuk saya menerangkan kepadanya, sejelas-jelasnya, bahawa yang salah itu bukanlah AGAMA, tetapi sikap sebahagian penganutnya yang tidak menghayati AGAMA. Sikap kita yang suka bertelagah sesama sendiri telah memberi imej yang amat buruk kepada agama kita sendiri, juga telah menakutkan mereka yang sedang tercari-cari kebenaran seperti pemuda Cuba itu tadi. Saya berdoa moga Allah ketemukan saya dan dia lagi dan saya diberi kesempatan untuk sekurang-kurangnya menjadi batu asas yang dipijak dalam usaha dia untuk mendaki sebuah jambatan besar, menuju agama yang benar. Jiwa saya tersentuh apabila sebelum pulang dia menghadiahkan kepada saya sebuah beg plastik yang apabila saya buka, di dalamnya terkandung beberapa buku tentang Islam di dalam bahasa Sepanyol. “Ambillah” katanya. “Semua itu adalah buku-buku yang saya sendiri beli dan baca”. “Kenapa hadiahkannya kepada saya?” tanya saya terpinga. Dia menjawab “Ambillah, saya sudah tidak memerlukannya lagi”, kemudian, sebelum melangkah pergi dia berkata “Doakan, moga saya bertemu dengan agama benar yang sekian lama saya mencari”. Oh ….

Antara buku yang dihadiahkannya kepada saya. Buku tentang Islam, tentang kebenaran agama Allah, dan tentang Muhammad yang ditulis di dalam bahasa Sepanyol.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

  1. Salam Dee,

    Biarkang dia dulu, sekurang-kurangnya dia masih mencari, belum dapat jer. Yg org Islam born Muslims ni pun apa hal? Macam elok sangat!

  2. semoga Allah memberi taufiq dan hidayah kepadanya…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *