Layan suami seperti “pelacur kelas pertama” agar rumah tangga bahagia? Hurm, benarkah? Kenyataan di atas membuatkan minda kerdil saya lumai dek diterjah pelbagai persoalan. Antaranya:-

  1. Sudah tidak ada benda lain lagikah di dunia ini yang boleh dijadikan model untuk rumah tangga bahagia hingga golongan pelacur diangkat sebagai contoh terbaik?
  2. Apakah definisi “pelacur” dari segi bahasa dan syarak?
  3. Apakah pula definisi “pelacur kelas pertama”?
  4. Apakah perbezaan di antara “pelacur biasa” dengan “pelacur kelas pertama”?
  5. Apakah ruang lingkup tugas atau pekerjaan seorang pelacur?
  6. Apakah hukum menjadi pelacur?
  7. Apakah hukum mereka yang menyokong atau terlibat dalam kegiatan pelacuran samada secara langsung maupun tidak langsung?
  8. Apakah persepsi/sensitiviti masyarakat terutamanya yang beragama Islam terhadap perkataan “pelacur”?
  9. Apakah kedudukan “pelacur” dari segi undang-undang di negara kita? Diiktiraf?
  10. Wujudkah dokumentasi “layanan pelacur ke atas pelanggan” dalam apa jua bentuk; rencana, artikel, rakaman dan lain-lain, yang memperincikan “layanan di ranjang” untuk tontonan orang ramai?
  11. Jika jawapan kepada soalan 10 di atas adalah “tidak wujud”, lalu, bagaimanakah pihak yang menyarankan agar suami dilayan seperti “pelacur kelas pertama” tahu akan hebatnya “layanan” tersebut? Melainkan jika; penyaran adalah pelacur itu sendiri, suami penyaran pernah melanggani pelacur lalu menceritakannya secara detail kepada penyaran (suami balik cerita kat isteri?), pelacur sendiri bercerita kepada penyaran (penyaran berkawan dengan pelacur/penyaran wartawan/penyiasat persendirian/pengkaji pelacur?), penyaran pernah menonton video “layanan pelacur”, penyaran melihat dengan mata sendiri bagaimana pelacur melayan pelanggan, penyaran menemu bual suami-suami atau lelaki-lelaki yang pernah melanggan pelacur (suami atau lelaki mana yang bangga sangat melanggan pelacur hingga dengan secara suka rela memperihalkannya pula kepada orang lain?)?

Selama saya hidup di atas muka bumi ini, sejak dari mula pandai berfikir (mungkin dalam usia 4 atau 5 tahun) hingga ke hari ini, saya tidak pernah mendengar orang mengaitkan pelacur atau pelacuran dengan hal-hal yang positif, melainkan negatif belaka. Pertama, menjadi pelacur itu hukumnya adalah haram kerana ia melibatkan zina yang merupakan dosa besar. Rujukan “pelacur” sebagaimana yang difahami masyarakat sekian lama ialah “perempuan yang mengambil upah melayan/melakukan hubungan seks/memuaskan nafsu seks, lelaki yang bukan suaminya”. Bila bukan dengan suami maka ia menjadi zina yang haram dan hina. Dalam Islam, larangan terhadap zina itu jelas hingga usahkan berzina, mendekati zina sahaja sudah berdosa. Islam menegah bukan sahaja zina, bahkan juga bibit-bibit zina. Larangan atau tegahan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan betapa hinanya zina dan buruknya akibat atau kesan daripada berzina. Macam mana pula pelacur yang sah-sah tidak dapat dipisahkan erti atau dunianya daripada zina itu dijadikan perumpamaan atau model untuk rumah tangga bahagia? Layanlah suami seperti pelacur melayan pelanggannya wahai sang isteri andai kamu mahu agar rumah tanggamu aman dan jitu? Begitu?

Saranan di atas adalah saranan yang dangkal. Mengambil yang hina sebagai model untuk sesuatu kebaikan adalah pincang. Mengapa memilih pelacur, mengapa tidak memilih atau menjadikan isteri-isteri rasulullah sebagai model? Atau sekurang-kurangnya isteri-isteri kepada mereka yang rumah tangganya diketahui cemerlang dan berkualiti? Mengapa pelacur? Hasil yang diperolehi daripada menjadikan pelacur sebagai model rumah tangga sebenarnya adalah kehancuran, bukan kebahagian! Marilah bersama memikirkannya wahai pembaca. Pelacur melayan pelanggan semata-mata kerana wang, kerana melacur itu adalah sumber pendapatannya, adalah pekerjaannya. Kerana itulah juga dia dipanggil pelacur. Adakah pelacur melayan pelanggan dengan kasih sayang meskipun berlaku hubungan seks sesama mereka? Hubungan seks tidak semestinya berlaku atas dasar kasih sayang. Analoginya, seorang perogol yang berjaya merogol mangsanya dalam erti kata berjaya melakukan hubungan seks dengan mangsanya, adakah hubungan itu terjadi atas dasar kasih sayang? Atas dasar kewajipan? Atas dasar tanggung jawab? Pelacur hanya mempersembahkan tubuh badannya samata untuk dinikmati lelaki tetapi tidak jiwa dan hati. Pelacur tidak melayan lelaki dengan roh, dengan hati, dengan jiwa, sebaliknya yang diberi hanya tubuh semata-mata. Adakah kita mahu menyarankan kepada isteri agar melayan suami begitu? Pelacur hanya akan “berkhidmat” jika diberikan wang, jika tidak, berputih mata sahajalah. Jika isteri juga menetapkan wang sebagai syarat untuk “berkhidmat”, makin tinggi bayaran, makin baik “servisnya”, no money no “servis”, maka tidakkah itu akan menghancurkan rumah tangga? Seperkara lagi, Islam yang syumul telah mengajar penganutnya tentang akhlak dan adab-adab dalam melakukan hubungan suami isteri. Adakah pelacur melayan pelanggannya mengikut adab-adab yang disarankan agama? Kalau sudah pelacur itu sendiri adalah pekerjaan yang tidak diterima agama, yang tidak bermoral, yang tidak bermaruah, maka hingga ke tahap mana kita boleh bertanggapan bahawa mereka yang melacur itu mempunyai akhlak, moral dan adab yang baik? Kalau sudah mahkota atau maruah diri dijadikan bahan dagangan, maka di manakah kemuliannya? Menggalakkan isteri melayan suami seperti pelacur adalah suatu malapetaka kepada rumah tangga. Layanlah suami seperti Khadijah atau Aisyah melayan Rasulullah!

Usulan dangkal itu juga telah mencetuskan beberapa persoalan lain seperti; Adakah rumah tangga dibina atas dasar seks semata-mata? Adakah fungsi isteri tidak lebih daripada hanya menjadi pemuas nafsu seks suami semata-mata? Adakah kebahagian atau kerukunan rumah tangga hanya boleh dicapai dengan kepuasan seks semata-mata? Adakah seks adalah segala-galanya? Ketidak-puasan seks mungkin boleh menjadi bibit perpecahan dalam rumah tangga, itu diakui. Namun, seorang suami yang menjadikan seks sebagai alasan perpisahannya dengan isteri jelas menunjukkan bahawa tujuan beliau mendirikan rumah tangga juga adalah semata-mata kerana seks . Tidakkah si suami itu terfikir, mengapa agaknya si isteri dingin di ranjang? Tidakkah dia berusaha untuk mencari sebab atau puncanya terlebih dahulu sebelum dengan angkuh menyalahkan si isteri atau meninggalkannya? Adakah kedinginan isteri diranjang boleh dijadikan alasan untuk si suami mencari hiburan di luar seperti melanggan pelacur, berzina dengan perempuan simpanan atau dengan mana-mana perempuan murahan? Suami bukanlah seorang budak kecik yang tidak tahu halal haram sesuatu perbuatan. Adakah logik geram dengan isteri keluar cari pelacur? Tidak puas hati dengan layanan isteri, lari buat benda haram? Kalau betul sekalipun tidak puas dengan isteri, perlu ke cari pelacur? Apa, sudah tidak ada jalan lain lagi kah? Kenapa yang haram juga yang dicari? Dan, persoalan paling utama ialah; Mengapa suami tidak berusaha untuk menjadi suami yang soleh terlebih dahulu sebelum mengharapkan isterinya menjadi isteri yang solehah? Mengapa suami tidak terlebih dahulu melayan isteri seperti seorang puteri jika mahu isterinya pula melayannya  seperti bidadari? Kita nak isteri layan kita macam bidadari, yang kita pula layan isteri tak ubah seperti hamba abdi? Bolehkah? Tahukah para suami bagaimana Rasulullah melayan isteri-isteri baginda?

Kesimpulannya, menyarankan kepada golongan isteri agar melayan suami seperti pelacur, tidak kiralah kelas apa pelacur itu (makin tinggi kelas pelacur bukankah bermakna makin senior atau makin jalang pelacur itu?) adalah salah sama sekali. Usulan yang dangkal! Model terbaik untuk kita sebagai umat Islam dalam apa jua perkara termasuk rumah tangga adalah Rasulullah dan para isteri baginda. Pelacur, lebih-lebih lagi kelas pertama? Nauzubillahiminzaalik! Bak kata mak bedah dalam drama swasta; simpang malaikat 44!

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Layanmacampelacur_/Article/

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *