Mama, boleh dak adik nak buat surprise untuk mama?

Surprise? Surprise apa?

Surprise hari lahir.

Bila?

Pada hari lahir mama laa..

Macam mana nak buat tu?

Adik akan suruh mama pergi kedai, masa mama takde adik akan hiaskan meja dengan bunga dan belon, kemudian bila mama balik, mama buka pintu ….. surprise!!!!!!

Kakak nak buat surprise jugalah, kakak nak letak hadiah atas meja, hadiah tu kakak tutup dengan kain, mama ingatkan apa, bukak-bukak taraaaaa ……surprise!!!! (menyampuk si kakak).

Tapi mama jangan bagitahu kat mama sendiri ya adik dan kakak nak buat surprise, k? ………….tapi, aikk, aarrr??? (garu2 kepala)

(dia baru sedar yang dia sedang menceritakan surprise yang dia rancang untuk mengsurprisekan mama, kepada mama sendiri)!!

¡¡¡¡Dia terkantoi!!!!

 _______________________________________________________________________________________________________

Hahahahahaha, rasa macam tak nak bagi jer anak-anak menjadi dewasa, kan? Rasa macam nak mereka kanak-kanak selamanya. Kerna hati nurani kanak-kanak sungguh suci, sungguh murni dan putih bersih seperti embun pagi. Mereka sentiasa ikhlas dalam ekspresi diri. Meskipun kadang-kadang mereka itu memeningkan tetapi kehadiran mereka di dalam hidup kita amat-amatlah membahagiakan.

Mereka memberi makna kepada kehidupan, mereka memberi kita peluang untuk mengecap segala rencah yang wujud di dalam perasaan; suka, duka, pahit, tawar, ria dan debar. Mereka membuatkan hidup kita penuh dengan surprise-surprise yang tidak terduga. Bayangkan jika mereka tiada, hidup sungguh sunyi dan sudah tentu ibu bapa akan berada dalam keadaan yang “tidak tahu hendak buat apa”.

Masa kita terisi dengan telatah “macam-macam” mereka, hidup kita beerti dengan proses kedewasaan mereka. Jika wujud segelintir manusia yang tidak suka kepada kanak-kanak dan tidak tahu menghargai, apatah lagi menyiksa mereka, maka saya tidak tahu manusia jenis apakah mereka itu, perlu dibencikah atau dikasihani? Perlukah dihumban ke gaung api, atau dirawat diberi terapi?

Saya juga manusia biasa, kadang-kadang terkhilaf jua dalam bertingkah laku dan bertutur bicara dengan mereka. Tetapi jika itu berlaku, saya akan mencari satu waktu khusus untuk memesrai mereka, meminta maaf kepada mereka dan cuba mengkanak-kanakkan diri saya sendiri agar mereka berasa yang saya sungguh-sungguh menyesal dan mahu mereka menerima saya semula. Jangan lupa ya, pelukan dan ciuman adalah penawar paling mujarab untuk membeli hati dan jiwa anak-anak.

Mengapa perlu membeli hati dan jiwa mereka? Atau, mengapa perlu melayan mereka seperti permaisuri atau raja? Ahh, jangan pula kita lupa, besok-besok waktu kita tua, kita mahu kita juga dilayan seperti raja, kita juga mahu diri kita menjadi permaisuri di hati mereka, kita mahu kita sebagai ibu bapa tidak dilupa, malah selamanya bertahta di dalam ingatan mereka. Kita mahu mereka terus-terusan mendoakan kita selepas kepergian kita. Tetapi tidakkah pelik, jika kita mengharapkan begitu dari mereka sedangkan terlebih dahulu kepada mereka kita memperlakukan sebaliknya, menganggap mereka sebagai beban dan menyusahkan, menganggap kehadiran mereka sebagai bala dan menyulitkan.

Sayang tidak cukup jika hanya disimpan di dalam perasaan, atau sekadar diluah pada semata-matanya ucapan. Sayang, jika benar-benar sayang, perlu diserlahkan ke dalam tindakan, perlu dimanifestasikan, harus didemostrasikan ke dalam perlakuan yang kanak-kanak boleh faham bahawa sesungguhnya mereka itu kita sayang. Jika makna sayang itu sekadar pada ungkapan “I love u”, kerbau pun mampu berkata yang sama jika diajar, diasuh bercakap setiap hari. Maka, apa bezanya kita dengan kerbau?

Bersungguh-sungguhlah kita wahai ibu bapa untuk mengajak anak-anak menjadi hambaNya yang berjaya. Kejayaan adalah subjektif. Tidak semestinya di dalam pelajaran. Namun, walau apa pun mereka jadi di masa depan, matlamat utama kita adalah untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan dan untuk memerdekakan diri mereka daripada ketakutan selain daripada Tuhan.

Cuando nace un niño nace la esperanza de un mejor mundo, la esperanza se pierde cuando los padres no lo saben educar (Bila lahir seorang kanak-kanak maka lahirlah harapan untuk dunia yang lebih baik, harapan musnah apabila ibu bapa tidak tahu mendidik).

Mari menyayangi kanak-kanak dengan sepenuh jiwa raga kita, dari saya hambaNya yang hina.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

  1. Salam Dee,
    nanti buat2 surprise taw!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *