Saleh Yaakob nak kahwin lagi? Biarlah, dia mampu, buktinya ketiga-tiga isterinya yang terdahulu bersetuju dan redha. Itu petunjuk atau “clue” kemampuan paling utama. Adapun tulisan miskin di bawah ini adalah sekadar pendapat peribadi saya yang fungsinya lebih kepada peringatan kepada diri sendiri. Maka, hayatilah ia dengan tenang.

 

Manusia adalah milik Pencipta. Semua, tidak ada yang terkecuali. Siapa pun dia dan apa pun statusnya, anak, ibu, bapa, suami, isteri, adalah milik Pencipta. Isteri bukan milik suami, dia cuma dipinjamkan kepada suami untuk dia berfungsi sebagai manusia bernama isteri, menjalankan kerja-kerja atau tugas-tugas keisteriannya di muka bumi ini. Apa pun yang dibuat dia sebagai seorang isteri, dipantau dan diperhati Pencipta dari atas sana. Begitu juga suami, pemiliknya adalah Pencipta, bukan isterinya. Dia, cuma dipinjamkan sementara oleh Pencipta kepada isteri untuk dia berfungsi sebagai suami. Begitu juga ibu bapa dan anak-anak, mereka bukan milik sesiapa melainkan dipinjamkan sementara oleh Pencipta kepada manusia untuk; ibu menjalankan fungsi ibu, bapa sebagai bapa dan anak-anak dengan fungsi dan kewajipannya sebagai anak. Dengan memberi dan mengatur fungsi-fungsi itulah maka Pencipta memerhati dan menilai mutu atau kualiti kerja kita sebagai makhluk.

Kerana semua itu milik Pencipta, maka Dia berhak untuk menarik dan mengambilnya bila-bila masa. Samada Dia mengambil hakNya semula dengan cara mencabut nyawa kita atau dengan menjauhkan orang-orang kesayangan dari kita, kita tetap akan berasa kehilangan. Darjah pedih atas kehilangan itu mungkin tidak sama. Ia bergantung kepada hati dan jiwa kita yang sebenarnya dikawal oleh akal kita. Jiwa dikawal akal? Ya, jiwa sebenarnya dikawal akal. Sebab itu ayat pertama diturunkan Pencipta menyuruh kita agar “membaca´´. Mengapa? Kerna membaca adalah pintu kepada ilmu. Kerna ilmu adalah kunci untuk memperkasa akal. Bila akal perkasa, maka ia akan mengawal jiwa dengan baik dan jadilah akhirnya jiwa itu hebat. Contoh, kalau kita banyak membaca, kita akan tahu bahawasanya manusia itu hakikatnya milik Allah. Allah pinjamkan sahaja misalnya anak kepada ibu bapa, isteri kepada suami, dan sebaliknya. Begitu juga kawan kepada kawan, kekasih kepada kekasih. Dah namanya pinjam tentu suatu masa akan diambilNya semula. Bila akal kita memproses maklumat ini ia akan menghantar isyarat kepada jiwa agar REDHA menerima kehilangan. Maklumat atau informasi itu adalah ilmu yang sumbernya boleh pelbagai (membaca, pengalaman, bergaul dengan mereka yang berilmu dan lain-lain). Ilmu memperkasa akal terlebih dahulu sebelum akal mengawal jiwa menjadi hebat. Redha bukan hanya pada kata-kata, redha pada hati, pada jiwa, yang kemudiannya terserlah pada tindak tanduk, tingkah laku.

Sebab itu sebenarnya, tidak ada istilah merampas dalam situasi seorang perempuan bercinta hatta berkahwin dengan suami orang. Merampas siapa daripada siapa? Merampas suami daripada isteri? Kedua-duanya milik Pencipta, suami bukan milik isterinya, isteri bukan milik suaminya. Merampas dari Pencipta? Adakah kuasa kita melebihi kuasa Dia untuk kita mampu merampas milikNya? Sedangkan kita juga dicipta olehNya, adalah juga milikNya. Namun, kita kena ingat, memanglah kita semua ini milik Allah tetapi Allah memberi autoriti kepada kita untuk menjadi “tuan sementara´´ untuk kita saling menjaga di antara satu sama lain di muka bumi ini. Seorang lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya melarikan anak dara orang kerana Allah telah memberi autoriti kepada kedua ibu bapanya untuk menjaga dan mengawalnya. Begitu juga seorang isteri tidak boleh bebas sewenang-wenangnya kerana Allah telah memberi autoriti kepada suaminya untuk menjaga dan mengawalnya. Ibu bapa mempunyai autoriti ke atas anak-anak, dan suami ke atas isteri. Autoriti itu juga adalah pinjaman. Ia bukan mutlak. Ia boleh dilucutkan bila-bila masa mengikut kehendakNya. Dan ia juga ada hadnya. Autoriti bapa ke atas anak perempuan tamat sebaik anaknya itu berkahwin. Autoriti suami ke atas isterinya tamat sebaik isterinya itu diceraikan. Contoh dalam konteks perlucutan autoriti pula ialah jika si ayah tiba-tiba menjadi gila maka dia sudah tidak mempunyai apa-apa autoriti ke atas anak-anaknya lagi.

Nampaknya dalam hal ini, ayah dan suami lebih mempunyai autoriti. Persoalannya, siapa pula yang mempunyai autoriti ke atas dua golongan ini? Jawapannya, keadaan! Contohnya, isteri tidak boleh berkahwin lain kerana Allah telah memberi autoriti kepada suaminya untuk menjadi pemiliknya yang sementara. Selagi mana ia bergelar isteri kepada suami tersebut, dia tidak boleh berkahwin lain. Manakala suami pula boleh berkahwin lain meskipun sudah beristeri. Akan tetapi suami yang ingin berkahwin lain perlu mendapat keizinan daripada pihak yang mempunyai autoriti ke atasnya iaitu “keadaan´´. Keadaanlah yang akan menentukan samada suami boleh atau tidak berkahwin lain atau dengan kata lain, layak atau tidak berkahwin lain. Adakah suami ingin berkahwin lain atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan dan diizinkan syarak? Misalnya, isteri yang sedia ada menjadi tidak siuman lalu tidak boleh lagi menjalankan fungsinya sebagai isteri. Atau isteri tidak mampu melahirkan zuriat, atau isteri mengidap penyakit berat hingga tidak boleh melaksanakan kewajipannya sebagai isteri. Jika hanya kerana nafsu, agama menyarankan agar berpuasa sunat untuk mengekang nafsu. Sesuatu yang dilakukan atas dasar nafsu juga tidak pernah menghasilkan keputusan atau pengakhiran yang indah. Tenangkah hati si suami itu jika dia berkahwin lain sedangkan hati isterinya luka dan setiap saat menangis hiba? Dan tenangkah hati perempuan yang menjadi isteri baru itu sedangkan hati isteri lama yang luka setiap saat mengingat dan mempotretkannya sebagai perampas?

Parameter utama untuk seorang suami mengukur kemampuannya berkahwin lebih dari satu ialah isterinya sendiri. Jika si suami memaklumkan kepada si isteri bahawa dia ingin berkahwin lain dan si isteri setuju dan redha maka itu bermakna dia mampu. Mengapa begitu? Ia perlu dianalisis atau diteliti begini; apabila isteri itu setuju ia bermakna isteri itu yakin bahawa suaminya akan berlaku adil. Apabila isteri yakin suaminya akan berlaku adil maka itu menunjukkan yang si suami itu adalah seorang yang soleh dan beriman. Tidak ada orang yang lebih tahu tentang seorang lelaki atau suami melainkan isteri yang sentiasa di sisinya. Suami yang soleh yang menjalankan tugas dan kewajipannya sebagai suami terhadap isteri yang dipinjamkan Allah kepadanya dengan baik dan sempurna, dengan cemerlang dan gemilang, pasti akan turut meningkatkan kesolehan isterinya hingga dia mampu redha jika suaminya itu mahu berkahwin lain. Kerna suami yang soleh tidak mungkin ingin berkahwin lain semata-mata hanya kerana nafsu, mungkin kerana sebab-sebab tertentu misalnya kasihan melihat seorang janda beranak 8 yang terbiar dan berhasrat untuk membantunya. Dengan cara apa lagi si suami itu tadi dapat membantu janda tersebut jika tidak dengan cara berkahwin dengannya yang dengan itu mereka terelak dari fitnah dan perkahwinan sahajalah yang boleh merealisasikan hasrat si suami itu tadi untuk membantu menanggung janda tersebut zahir dan batin.

Keterbalikkan dari hal di atas, jika sebaliknya isteri tidak bersetuju apabila suami menyuarakan hasratnya untuk berkahwin lain maka itu tandannya suami tidak mampu. Sebab utama isteri tidak setuju ialah kerana isteri bimbang hidupnya akan disia-siakan dan dirinya akan dilupakan jika suami mempunyai isteri baru. Dari mana datangnya perasaan bimbang itu? Sudah tentu dari pengalaman hidupnya sendiri bersama suami yang sering mengabaikannya atau tidak menjalankan kewajipannya sebagai suami ke atasnya dengan baik. Kalau belum berkahwin lain sudah jarang balik ke rumah kerana sibuk berpeleseran dengan kawan-kawan, lepas berkahwin lain lagilah susah hendak balik. Kalau belum berkahwin lain sudah garang dengan isteri, lepas berkahwin lain kemungkinan untuk menjadi lebih garang adalah tinggi kerana tanggungjawab semakin banyak dan berat. Jika belum berkahwin lain isteri sudah jarang-jarang merasa dibelai, lepas berkahwin lain lagilah peluang untuk dibelai itu menjadi tipis kerana bertambah pula orang yang nak dibelainya si suami. Benda-benda itulah yang difikirkan si isteri yang menjadikannya bimbang dan takut lalu menyatakan tidak setuju. Jika hak ke atas isteri itu ditunaikan dengan cemerlang isteri malah mungkin menyarankan kepada suaminya agar berkahwin lain, usahkan hendak menghalang!

Tidak salah hendak menumpang kasih dengan suami orang, kerana itu Allah yang maha mengetahui membenarkan lelaki memiliki sehingga empat isteri. Salah satu hikmahnya adalah agar wanita-wanita yang “tercicir´´ seperti wanita yang sudah lanjut usia tetapi masih tidak dipinang orang, atau janda yang tidak terbela, atau wanita yang teraniaya (mangsa rogol, mangsa lacur, mangsa sendiket) dan sebagainya dapat diselamatkan dan dilindungi dan dalam masa yang sama dapatlah mereka menumpang kasih. Namun, berhati-hatilah kerana bukan semua suami orang boleh ditumpang, boleh menjadi dahan. Teliti akhlaknya, selidiki latarnya. Jangan tertipu dengan keindahan sementara alam bercinta kerna dalam keadaan manusia itu berhubung tanpa ikatan, akan sentiasa ada iblis dan syaitan yang menjadikan rencah perhubungan itu enak dan mengasyikkan. Ilusi sentiasa terkehadapan mengatasi realiti!

Andai tidak terelak dari mempunyai perhubungan istimewa dengan suami orang, maka berhati-hatilah. Macam mana kita nak tahu suami orang itu soleh, ikhlas, berkualiti dan seumpamanya? Pertama, hayati setiap tutur katanya. Jangan pula kita rasa hebat jika dia memilih kita sebagai tempat  untuk meluahkan masalahnya dengan isterinya. Itu tanda suami yang tidak soleh. Tanda suami bermasalah. Jangan dekati dia agar tidak terperangkap dalam apa-apa jua perasaan terhadapnya. Suami yang baik dan soleh tidak akan sekali-kali mengadu masalah rumahtangganya kepada perempuan lain. Tidak sekali-kali! Kedua, selidiki latar belakangnya, siapa isterinya, siapa anak-anaknya. Jika dia memiliki isteri dan anak-anak yang cemerlang sudah tentu dia juga adalah suami dan ayah yang cemerlang. Jika perhubungan sudah terlalu jauh maksudnya sudah sampai ke tahap dia meluah sayang, minta dia kenalkan kita kepada isterinya. Seorang suami yang soleh dan yakin akan kesolehannya pasti tidak mempunyai masalah untuk memperkenalkan kita kepada isterinya kerana dia tahu isterinya tidak akan marah kerana isterinya adalah isteri yang solehah kepada sirinya yang terlebih dahulu soleh. Dan itu juga tandanya dia memilih kita bukan atas dasar nafsu, mungkin atas sebab-sebab tertentu, misalnya kerana merasa kasihan lalu berhasrat untuk membantu dan bagi mengelak fitnah, penyelesaiannya adalah berkahwin. Akan tetapi jika dia mengelak atau bermati-matian tidak mahu isterinya tahu perhubungan kita dengannnya maka itu tanda dia bukan suami yang soleh, dia tidak ikhlas dan dia sebenarnya takut pada bayang-bayangnya sendiri. Kerana dia tahu tidak mungkin isterinya setuju kerana dia sendiri tidak pernah menjadi suami yang baik kepada isterinya, maka dia tidak mahu kita dan isterinya bertemu kerana bimbang rahsia dia yang menjadi suami yang tidak cemerlang akan terbongkar. Sebaliknya dia akan mengajak kita meneruskan hubungan rahsia tersebut hingga kalau nak berkahwin pun dibuat secara rahsia atau kahwin lari. Tenangkah hidup jika itu berlaku? Tenangkah hidup si suami itu atau isteri barunya?

Manusia tidak pernah merasa hebat kerana memiliki kasih Allah, sebaliknya berasa hebat jika dapat memiliki kasih sesama manusia. Jika ditakdirkan kita tidak ada jodoh dengan suami orang, usahlah bersedih. Samada suami orang atau bukan, mereka itu tidak kekal, suatu hari mungkin akan pergi dan pasti akan mati, tetapi Allah kekal selamanya, rasa hebat memiliki kasih Allah boleh dinikmati selamanya kerana Allah itu wujud selamanya. Jika ditakdirkan kita tidak ada jodoh dengan sesiapa hingga ke akhir hayat kita pun, maka itu tidak menjadi suatu kekurangan apa-apa kepada diri kita sebaliknya mungkin itulah cara Allah mahu memberi kita peluang untuk mengumpul lebih pahala sabar dan pahala tabah. Bukan senang untuk redha menahan hati yang sunyi. Namun, kenyataan ini bukan bermakna saya mendoakan sesiapa begitu, atau mahu sesiapa begitu dan bukan juga alasan untuk sesiapa di luar sana berputus asa daripada berusaha dan berdoa untuk diketemukan jodoh. Bukan! Sebaliknya saya berdoa agar sesiapa jua bertemu jodoh yang soleh tidak kira apa statusnya dan berdoa moga impian untuk menjadi isteri solehah tercapai dan cita-cita untuk memperolehi zuriat yang soleh dan solehah itu terlaksana. Tulisan miskin ini cuma satu justifikasi atas apa yang telah berlaku berdasarkan bacaan dan pengalaman, dan juga atas apa yang mungkin berlaku.

 

Satu-satunya pelabuhan untuk pelayar tegar adalah KEMATIAN. Mereka tidak membiarkan diri mereka dipukul ombak, malah merekalah yang memukul ombak! Mereka melawan badai, bukan berpatah ke pantai! 

Kentallah, wahai hati!

Sumber gambar:- Google

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

  1. Seniora bile nk kawen lagi pulak?
    Buat la rekod Kg. Teluk Daing lagi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *