Mama, mengapa bila sembahyang kita pakai telekung warna putih? Telekung warna lain takde ke?

Dulu ya, warna putih sahaja. Sekarang telekung ada dalam bermacam-macam warna.

Mama suka warna apa?

Putih!

Warna-warna lain?

Suka juga, tapi bukan sebagai telekung sembahyang. Telekung sembahyang mama suka yang warna putih sahaja.

Kenapa?

Bila sembahyang mama nakkan kekusyukkan, sebab itu mama suka telekung yang warnanya putih sahaja, putih seputih-putihnya.

Tapi, macam mana pula putih boleh dikaitkan dengan kekusyukkan?

Putih mengingatkan kita kepada kain kafan, kepada kematian, langsung menambahkan kesungguhan kita untuk memaksimumkan kualiti sembahyang.

Oo gitu…

Seboleh mungkin kita mahu sembahyang kita itu mampu menjadikan kita serendah-rendahnya hamba kepada setinggi-tingginya DIA, Pemilik dan Pencipta semesta alam.

Ooo (angguk-angguk)…

Sebab itu mama suka pada telekung yang warnanya putih sahaja, putih putih-seputihnya. Tanpa sulam, tanpa kerawang, tanpa motif bunga-bunga, tanpa warna, tanpa apa-apa!

Tapi, bukankah sulam, kerawang, bunga-bunga, dan semua warna-warna itu cantik? Maka ia akan menambah-cantikkan lagi telekung kita, kan mama?

Betul, cantik. Tapi kerana ia cantik dan mencantikkan telekunglah mama tak suka. Kerana fitrah mata dan jiwa manusia Tuhan jadikan melirik dan asyik kepada benda-benda yang cantik. Ketika sembahyang kita mahu jiwa kita difokus sepenuhnya kepada Tuhan. Macam mana jiwa nak fokus jika mata asyik melihat kepada keindahan sulam dan kerawang, ada pula motif bunga-bunga yang cantik pelbagai warna. Nanti mata sibuk membuat analisis sulam, analisis kerawang, analisis bunga dan analisis warna. Tuhan entah ke mana.

Hihihi (ketawa tutup mulut), kakaklah tu, hihihihi…

Sebab itu jika mahu jiwa mempersempahkan sepenuh-penuhnya keasyikkan dan kekusyukkan cinta kepada DIA, putihlah solusinya. Yang warnanya putih sahaja, putih seputih-putihnya. Jiwa kita tenang, jiwa makmum yang lain di dalam saf juga tenang. Tiadalah ada rasa untuk berbicara soal dunia di dalam rumah Allah jika kita bersembahyang di masjid atau surau.

Berbicara soal dunia?

Jika si fulan ini melihat si fulan itu memakai telekung bersulam cantik berkerawang indah, mungkin akan ada dorongan untuk bertanya; beli di mana, berapa harga, macam mana rasa, bagaimana nak jaga dan sebagainya. Kan?

Hmm, betul juga tu mama.

Lagipun, putih itukan lambang kebersihan.

Tapi mama, tidakkan warna putih mudah nampak kotor jika terkena kekotoran?

Ya betul. Sebab itulah warna putih dikaitkan dengan warna kebersihan. Oleh kerana warna putih mudah nampak kotor jika terkena kekotoran, maka cepatlah kekotoran itu dikesan, dan cepatlah juga usaha-usaha untuk menyucikannya dilakukan. Jika ia pakaian, maka kekalah ia di dalam kebersihan.

Oo begitu…

Bandingkan pula dengan warna-warna lain. Warna hitam misalnya. Memang susah nampak comot tetapi jika ada kekotoran ia sukar dikesan. Bila sukar dikesan, maka kekal melekatlah kekotoran itu pada zatnya selama-lamanya sehingga ia diketahui lalu dicuci. Nampak tak?

Nampak, nampak… (angguk-angguk)…

Mmm, mama rasa dah masuk waktu solat isyak ni, jom kita sembahyang, ek…

Jom! (senyum, comel)…

Nota:-

Dahulu, telekung atau di Terengganu di panggil baju sembahyang hanya wujud di dalam warna putih sahaja. Tetapi kini, ia ada di dalam bermacam-macam warna. Ketika telekung bersulam mula wujud, sulamnya kecil-kecil sahaja. Tetapi lama kelamaan sulam-sulamnya makin besar, makin banyak motif-motifnya dan kerawang-kerawangnya juga makin berselirat dan berserabut.

Saya suka telekung yang dulu-dulu. Yang warnanya putih sahaja. Putih seputih-putihnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *