Oh lamanya tak update blog ini, hingga ia sepi dan “berhabuk”. Bukan tidak ada cerita, bukan malas, bukan tiada idea atau ilham tetapi masa tidak mengizinkan. Dan saya juga sudah lama tidak mempersembahkan pengalaman-pengalaman saya di pemusafiran ini atau di mana-mana jua dalam bentuk dialog yang merupakan trademark utama blog ini. Jadi, entri saya pada kali ini adalah sebuah dialog dan ia merupakan dialog yang ke 44. Selamat membaca …

 _______________________________________________________________________________________________________

Saya ditemu ramah oleh perempuan arab morrocco yang anaknya sebaya dan sekelas dengan putra saya, Abdullah.

Dia: Mm, pakai tudung, muslim?

Saya: Ya!

Dia: Asal mana?

Saya: Malaysia.

Dia: Oo…

Saya: Awak mak Aya kan? (Aya nama anaknya)

Dia: Ya (angguk-angguk)

____________________________

Senyap seketika. Tiba-tiba …

____________________________

Dia: Habis tu awak solat dan puasa jugakah?

Saya: Ya, dah tentu, ia wajib kan?

Dia: Ya ya wajib.

Saya: Nape awak tanya?

Dia: Tak, …mm, baguslah awak solat dan puasa.

Saya: Ya, Islam tak kira bangsa, Allah perintah kita solat dan puasa, solat dan puasalah kita.

Dia: Baguslah awak, solat dan puasa. Saya, walaupun orang arab tetapi saya kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak! Puasa, oklah boleh buat.

Saya: Aar?? Tapi kenapa? Nape kadang-kadang solat, kadang-kadang tidak? Majikan tak kasi?

Dia: Tak, bukan. Saya kerja sejam sahaja sehari. Jadi amah di rumah orang. Jadi takde  masalah untuk solat.

Saya: Habis tu?

Dia: Susahlaaa, contohnya bila “bersama” suami, sebelum solat kan kita kena angkat hadas besar, so kadang-kadang saya lupa, asyik buat kerja rumah, jadi macam mana nak solat dalam keadaan berhadas? Lagi satu, rambut saya lebat dan panjang, kalau saya mandi payah nak kering, ambik masa, bila kering waktu solat dah habis. Itu yang jadi tak ter-solat tu!

Saya: ????

______________________________________________________________________________________________

Nota:

Saya tidak hairan dengan pengakuan ikhlas wanita arab tersebut. Kerana meskipun dia berbangsa arab tetapi kearaban itu bukan jaminan ilmu dan amalnya. Lagipun dia adalah antara berjuta orang arab morocco yang berhijrah ke Sepanyol untuk mencari pekerjaan. Dan penghijrahan mereka itu adalah disebabkan oleh mereka tiada atau kurang pendidikan yang menyebabkan mereka gagal menempatkan diri mereka di negara mereka sendiri. Oleh kerana negara mereka miskin, maka peluang pekerjaan tidak banyak, lalu mereka terpaksa berhijrah.

Jika mereka berhijrah ke negara-negara Islam atau negara-negara yang majoriti penduduknya adalah Islam, itu tiada masalah. Tetapi, apabila golongan ini berhijrah ke negara-negara anti Islam seperti Sepanyol ia amat bahaya apabila perlakuan dan tindak tanduk mereka disalah ertikan oleh penduduk tempatan sebagai perlakuan dan tindak tanduk yang mewakili Islam secara keseluruhan. Contohnya, kerana orang-orang morocco yang berhijrah ke Sepanyol ini adalah daripada golongan tidak berpendidikan atau rendah pendidikan, maka ada antara mereka yang amat jahil hingga tidak tahu bahawa solat dan menutup aurat itu wajib ke atas setiap muslim tanpa mengira bangsa dan negara.

Kerana jahil juga mereka percaya bahawa solat, puasa dan menutup aurat itu tidak wajib kepada mereka yang berkelana di negara-negara bukan Islam. Mereka juga percaya bahawa di negara bukan Islam, umat Islam halal memakan apa sahaja kerana tiada pilihan. Mana mungkin tiada pilihan sedangkan wujud kedai-kedai daging halal, dan bukankah makanan boleh dimasak sendiri di rumah menggunakan bahan-bahan mentah yang soheh halal dan bersih tanpa was-was? Malah, sekalipun misalnya tiada kedai daging halal di tempat berkelana, perlukah juga memakan daging sedangkan pilihan lain seperti ikan dan segala jenis makanan laut ada dijual merata? Paling tidak pun, makanlah sayur dan telur sahaja.

Berbalik kepada soal bahaya, di manakah bahayanya? Begini, apabila orang tempatan di negara bukan Islam misalnya Sepanyol dah biasa melihat puak-puak arab morocco ini tak puasa, tak tutup aurat, makan apa sahaja, tidak menjaga halal haram dalam pergaulan dan sebagainya, maka mereka akan menganggap bahawa begitulah Islam. Sedangkan golongan yang diperhati itu adalah golongan yang terdiri daripada mereka yang jahil agama disebabkan oleh kurang pendidikan. Bayangkan, di negara sendiri pun mereka tidak mendapat tempat.

Apabila Islam telah disalah-ertikan begitu maka apabila datang ke negara mereka golongan yang benar-benar mengamal Islam seperti solat, puasa, tutup aurat (yang perempuan bertudung dan tidak memakai seksi), menjaga batas pergaulan dan menghindar persentuhan dengan bukan muhrim, maka golongan ini akan cenderung dianggap sebagai golongan extrem, terrorist dan puak pelampau agama. Meskipun mereka itu datang hanya dengan tujuan untuk menyambung pelajaran, tetapi mereka akan disalah anggap sebagai datang untuk menyebar agama, untuk meracuni atau berdakwah kepada rakyat mereka. Maka, golongan ini akan cenderung dipandang serong dan diawas setiap masa seperti pesalah diintip dan diawas oleh polis dan pihak berkuasa.

Lebih malang, terutamanya kepada perempuan Islam ialah apabila mereka yang senegara yang diketahui oleh rakyat tempatan sebagai juga beragama Islam tetapi tidak bertudung, yang apabila ditanya “mengapa tidak bertudung?”, menjawab begini; saya datang bukan untuk menyebar agama, saya bukan extremist, saya tidak mahu orang prejudis terhadap saya kerana tujuan kedatangan saya adalah semata-mata untuk belajar dan pulang dengan PhD! Jawapan begitu jika diterbalikkan membawa maksud; yang memakai tudung itu ialah mereka yang mahu menyebar agama, extremist dan datang bukan semata-mata kerana mahu belajar atau mahu membawa pulang PhD, sebaliknya …ada udang besar di sebalik batu!

Apa maksud, tidak mahu orang prejudis? Bimbang jika manusia prejudis, jika Allah prejudis?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *