Suatu sore:-

Habibah: Mama, cekgu bagi borang, cekgu suruh adik masuk pertandingan mengarang.

Mama: Ya ka? Baguslah (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Cekgu suruh adik buat karangan, mama ada idea dak?

Mama: Erm, entah, cekgu suruh adik kan, adik buatlah (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Lepas adik buat, adik tunjuk mama, mama boleh cek tak?

Mama: Erm, adik buat dulu, pastu kita tengoklah mama sempat cek ke tidak, mama banyak kerja ni ya (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: (berlalu pergi dengan wajah keciwa)

Sehari selepas itu:-

Habibah: Mama, adik macam takde idealah, boleh mama bagi panduan apa yang perlu adik masukkan dalam karangan ni?

Mama: Adik, mama banyak kerja ni, kalau tak siap kerja mama, matilah kita, adik buatlah, karangan adik kan? (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Tapi, adik cuma nak mama beritahu point-pointnya sahaja, pastu adik karanglah sendiri.

Mama: Adik fikirlah sendiri, adik kan bijak, lagi pun adik yang menyertai pertandingan tu kan, bukan mama. Jadi, seharusnya adiklah yang mengarang dan memikirkan idea-ideanya. Mama sibuk sangat ni (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Ok laa, baiklah, adik buat sendirilah (berlalu ke bilik, hampa).

Dua hari selepas itu:-

Habibah: Mama, adik dah siap dah mengarang.

Mama: Muy bien (very good) (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Mama bacalah, adik nak mama baca dulu sebelum adik hantar pada cekgu, mama baca ek…

Mama: Mama sibuk sayang, mama kena hantar chapter ni besok, biar cekgu kat sekolahlah baca, k? (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Mama baca sikit pun jadilah, adik nak tahu juga respon mama ke atas karangan adik ni, ok ke tidak, ek? (sambil menghulur kertas karangannya).

Mama: Sayang, sungguh mama sibuk ni ha, besok mama nak kena hantar, nanti apa kata cekgu mama pula kerja tak siap, kan? Adik tunjuk kat cekgu, biar cekgu adik baca, k? Mama yakin adik buat dah ok tu… (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Baiklah (berlalu hampa, hampir mengalir air mata)

Tiga hari selepas itu:-

Habibah: Mama, adik dah serahkan pada cekgu karangan tu. Cekgu suruh adik isi borang dan cekgu kata akan serahkan karangan adik tu kepada pihak penganjur.

Mama: Oo ya ka? Alhamdulillah (sambil meneruskan kerja-kerja menaip)

Habibah: Tak siap lagi ke kerja mama, mama?

Mama: Tadi pagi dah hantar satu, ni mama nak siapkan yang lain pula. Macam nilah adik, mama ada tanggungjawab dan mama kena laksanakan tangungjawab ni, adik sabar ya (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Habibah: Oo gitu. Mama, tak tahulah adik boleh menang ke tidak dalam pertandingan tu, cekgu pilih adik sorang jer wakil sekolah.

Mama: Ya ka? Tahniahlah, mama bangga karangan adik terpilih mewakili sekolah, k? (sambil meneruskan kerja-kerja menaip).

Seminggu selepas itu:-

Telefon berbunyi, ring ring

Mama: Hello!

Suara di telefon: Hello, selamat pagi, mama Habibah ke ni?

Mama: Selamat pagi, ya saya mama Habibah, siapa di sana ya?

Suara di telefon: Saya José, guru besar sekolah Habibah.

Mama: Oh señor José, ada apa ya?

Suara di telefon: Begini, saya baru dihubungi pihak penganjur memaklumkan yang anak puan, Habibah, telah memenangi tempat ketiga dalam pertandingan mengarang!

Mama: Aar?? Biar betul? (terkejut badak!!!)

Suara di telefon: Betul! Jadi pihak penganjur meminta saya memaklumkan kepada puan bahawa puan perlu ke sekian-kian tempat pada sekian-kian haribulan untuk mengambil hadiah yang dimenangi.

Mama: Boleh saya tahu apa hadiahnya ?

Suara di telefon: Oh itu saya tidak tahu, puan kena pergi mengambilnya sendiri dan mesti membawa bersama Habibah.

Mama: Baiklah kalau begitu, terima kasih ya señor atas maklumat ini.

Suara di telefon: Ok, sama-sama. Oh ya pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada puan.

Mama: Err, tahniah kepada saya? Tapi bukan saya yang menyertai, anak saya. Saya baca pun tidak karangan dia.

Suara di telefon: Takpelah, kata orang, di belakang seorang anak yang hebat itu adalah mamanya yang hebat!

Mama: Oh, err, ya2 betul tu huhu (malu, sungguh rasa diri tersindir!).

Nota:

Pada hari ditetapkan, aku, suami, Habibah dan dua orang lagi anakku pun pergilah ke tempat yang diarahkan untuk mengambil hadiah yang telah dimenangi. Tempatnya agak jauh dari rumah dan di lokasi yang aku tidak biasa. Jenuh bertanya jiran, bas nombor berapa untuk ke sana. Ya, bas yang dinaiki sudah betul, turun pula di tempat yang salah. Dalam semak samun lak tu. Nah, 7 kilometer jalan kaki lima beranak, meredah gelap malam untuk sampai ke tempat yang dimaksudkan. Sudahlah cuaca maha sejuk, winter. Beku kepala.

Mulanya ku ingat, cuma pergi, ambil hadiah dan pulang. Rupa-rupanya siap ada pertunjukan, ada dewan, ada pentas, ada jemputan kehormat, ada ucapan, dan ahli keluarga kepada pemenang-pemenang menjadi tetamu-tetamu istimewa pada malam itu. Cekgu Habibah pun turut datang sebagai tanda sokongan dan berbangga atas kemenangan Habibah. Walaupun cuma tempat ketiga, tetapi daripada 500 penyertaan, Habibah satu-satunya peserta bukan Sepanyol, Muslim dan Melayu, atau dengan lain perkataan, dia satu-satunya anak orang asing. Oh ya, pertandingan mengarang yang disertai itu adalah pertandingan mengarang di dalam bahasa Sepanyol.

Teruk tak teruk tahap kepedulian aku, pada malam penyampaian hadiah itulah baru aku tahu bahawa pertandingan itu adalah pertandingan mengarang di antara pelajar-pelajar sekolah rendah di seluruh Valladolid. Dan Habibah telah terpilih untuk mewakili sekolahnya. Sebenarnya, Habibah telah cuba beberapa kali untuk memberitahuku tentang detail pertandingan itu tetapi kerana aku asyik buat derk ajer, dia akhirnya akur bahawa kesibukkan aku dan ketaksuban aku kepada kerja tidak boleh diganggu usik oleh informasi-informasi yang “remeh” begitu.

Ketika Habibah naik ke pentas untuk menerima hadiah, aku tiba-tiba sebak. Bukan sebak atas kemenangannya, tapi sebak mengenangkan kembali detik-detik dia memberitahuku tentang pertandingan itu dan sebak mengingatkan detik-detik dia meminta bantuanku untuk menyiapkan karangannya. Betapa aku telah gagal dalam ujian kecil Allah ini untuk menguji hati dan kepekaan aku sebagai seorang ibu, sehingga aku meletakkan kerja-kerja duniaku sebagai tanggungjawab utama, bukan Habibah, kakak dan adiknya, tiga permata, tiga amanah Allah yang telah aku lahirkan dengan gadaian nyawaku sendiri.

Habibah memang berhak menerima kemenangan itu, bukan kerana karangannya, tetapi kerana ketabahannya menghadapi karenah aku sebagai ibu dan atas sikap tidak pernah putus asanya dalam mengusahakan sesuatu. TAHNIAH HABIBAH! FELICIDADES!!

Ketua juri, juga penyampai hadiah.

Dari kanan, pemenang tempat pertama, kedua dan Habibah.

Bersama barisan juri yang dijemput untuk menyampaikan hadiah.

 Cekgu kelas yang telah memilih Habibah untuk mewakili sekolah.

Habibah, jika adik terbaca tulisan mama ini, mama minta ampun dengan adik di atas segala keTERabaian mama ke atas adik selama ini, dan mama doakan adik sentiasa di dalam lindungan dan rahmat Allah azza wajalla.

Mama sayang adik dan bangga punya anak seperti adik!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *