Semalam aku menegur Habibah yang lupa berdoa selepas solat. Sekonyong-konyong itu juga aku terkenangkan ramadhan yang lepas apabila aku dan kakak berdialog tentang doa.

Aku: Anak mama kenapa sedih?

Kakak: Kakak sedih kerana kakak rasa Tuhan tidak pernah sayangkan kakak (tunduk).

Aku: Kenapa kakak rasa begitu?

Kakak: Sebab, Tuhan tidak pernah tunaikan apa yang kakak mahu. Sebaliknya Tuhan sentiasa mengeciwakan kakak.

Aku: Adakah bila kakak mahukan sesuatu, kakak berdoa kepada Tuhan?

Kakak: Adakah “berdoa” itu ialah menadah tangan ke langit selepas solat?

Aku: Ya!

Kakak: Tak!

Aku: Mengapa tidak?

Kakak: Bolehkah kakak minta apa yang kakak mahu dengan berdoa?

Aku: Sudah tentu!

Kakak: Apa sahaja?

Aku: Ya! Apa sahaja!

Kakak: Betul?

Aku: Ya, betul!

Kakak: Tuhan tak marah?

Aku: Mengapa Tuhan nak marah? Bukankah Tuhan itu maha pengasih lagi penyayang?

Kakak: Tapi, kakak takut Tuhan tak terima. Kakak takut Tuhan kata kakak melampau.

Aku: Mama tak fikir Tuhan akan marah, bahkan Tuhan akan suka. Manusia itu lemah, Tuhan itu gagah. Logiklah yang lemah meminta daripada yang gagah. Lagipun, Tuhan itu Tuan, Pencipta, manakala kita ini pula hamba. Maka logiklah hamba meminta-minta daripada Pencipta. Sedangkan kita ini pun dicipta olehNya, dan nyawa kita ini juga adalah anugerah daripadaNya, maka logiklah dipohon apa sahaja daripadaNya.

Kakak: Kakak ingat berdoa tu mesti baca ayat quran dan mesti dalam bahasa arab. Sebab tu kakak takut nak minta apa yang kakak mahu semasa berdoa, sebab kakak tak pandai bahasa arab. Dulu kat Malaysia ada belajar tapi sekarang dah lupa.

Aku: Kita boleh berdoa dalam apa jua bahasa, dan kita boleh minta apa sahaja selagi ianya benda yang baik.

Kakak: Oo. Boleh tak kalau kakak nak minta Tuhan bagi kakak baju princess? Kakak suka sangat dengan satu baju princess tu.

Aku: Boleh!

Kakak: Tapi, jika Tuhan tunaikan permintaan kakak, siapakah yang akan belikan baju itu untuk kakak nanti?

Aku: Sudah tentu mama. Kerana kakak berada di bawah peliharaan mama.

Kakak: Alaaa, kalau macam tu, mesti Tuhan tak akan tunaikan punya. Sebab dah acap kali kakak minta mama belikan, tapi mama buat derk ajer. Sebaliknya mama tanya; untuk apa? Bukan nak beli pun! (sedih)

Aku: Sayang, sebab itu kakak kena berdoa.

Kakak: Mama suruh kakak minta dan berdoa kepada Tuhan, tapi mama tak nak belikan, macam mana?

Aku: Sayang, dengar dulu cakap mama. Sebab itu kakak kena berdoa tanpa jemu. Kakak berdoa, moga Allah limpahkan rezeki untuk mama, agar mama mempunyai cukup duit untuk membeli baju princess tersebut. Dan, berdoa moga Allah melembutkan hati mama hingga mama rasa nak beli baju tu untuk kakak. Dan berdoalah juga agar baju itu membawa seribu kebaikan kepada kakak.

Kakak: Boleh tak kalau kakak nak berdoa agar mama jadi kaya dan banyak harta? Supaya mama boleh belikan apa sahaja yang kakak mahu?

Aku: Boleh! Tapi, sebelum kakak doakan agar mama kaya, kakak kena doakan agar Allah mengkayakan hati dan jiwa mama dahulu. Boleh?

Kakak: Kaya hati dan jiwa? Apa tu? Kakak tak faham.

Aku: Kaya hati dan jiwa maknanya mama mempunyai hati dan jiwa yang sungguh baik, mulia dan senantiasa takutkan Allah. Hati dan jiwa yang bertaqwa.

Kakak: Kenapa kakak kena doakan itu dahulu?

Aku: Kerana, sekalipun mama kaya dan mempunyai banyak harta tetapi jika hati dan jiwa mama miskin, mungkin mama tidak akan belikan baju princess tersebut untuk kakak.

Kakak: Mengapa?

Aku: Sebab orang yang hati dan jiwanya miskin akan bersifat kedekut apabila dia kaya. Dia menjadi takut untuk bersedekah atau membelanjakan hartanya sekalipun ke jalan yang hak. Malah semakin dia kaya, semakin dia kedekut dan sombong pula.

Kakak: Oo. Ok. Kakak akan doakan itu nanti. Erm, selain daripada baju, boleh tak kalau kakak nak minta benda-benda lain lagi daripada Tuhan?

Aku: Sudah tentu boleh!

Kakak: (senyum)

Aku: Boleh mama tahu, benda-benda lain yang kakak nak minta itu?

Kakak: Hihihi, tak boleh. Rahsia!

Aku: Rahsia? Oklah, rahsia, rahsialah. Tapi, pastikan ia benda yang baik kerana Tuhan tidak membenarkan kita mendoakan keburukan atau meminta benda-benda yang tidak baik, ok?

Kakak: Baik!

Aku: (mencium kedua pipi dan dahinya)

Kakak: (beredar ke bilik air)

Susulan daripada dialog di atas adalah air mataku yang bertali arus oleh doa yang sungguh qudus dari hati seorang anak yang tulus. Telah ku titip doa tersebut di dalam blog ini beberapa bulan lepas (baca di sini).

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *