Ramadhan 2009 adalah tahun pertama aku dan keluargaku berpuasa di bumi asing. Bulan puasa jatuh pada musim panas yang siangnya sangat panjang (pukul 6 pagi sudah cerah dan 9.45 malam baru magrib). Namun begitu, ibadah puasa tetap dijalani dengan tabah, malah dua orang anak perempuanku berusia 8 dan 7 tahun juga turut berpuasa. Suatu hari, cekgu mereka telah menelefonku lalu berlangsunglah dialog di antara aku dan cekgu tersebut seperti berikut:-

Cekgu: Selamat tengahari, puan ibu kepada Insyirah dan Habibah?

Aku: Ya.

Cekgu: Saya cekgu Elena, .

Aku: Ada apa cekgu? Anak-anak saya okey?

Cekgu: Puan ada suruh anak-anak puan puasa?

Aku: Ya, anak-anak saya puasa.

Cekgu: Nape puan suruh mereka puasa?

Aku: Kami muslim, so bulan ramadhan kami wajib puasa.

Cekgu: Tak perlu puan terangkan tentang puasa kepada saya. Walaupun saya bukan Islam, tetapi saya tahu tentang puasa. Dah lama saya berkawan dengan orang arab Islam yang berhijrah ke sepanyol.

Aku: Oh, ya ke, bagus tu cekgu! (kagum).

Cekgu: Awak tak patut paksa anak-anak awak puasa, mereka masih kecil. Puasa hanya diwajibkan kepada orang dewasa.

Aku: Saya tak paksa, mereka berpuasa dengan kerelaan sendiri.

Cekgu: Mana boleh, kalau awak tak paksa, mustahil mereka sanggup berlapar.

Aku: Betul cekgu, saya tak paksa, mereka sendiri yang mahu puasa.

Cekgu: Memang awak ibu mereka, tapi awak tak boleh buat mereka macam tu, mereka ada hak untuk melakukan apa yang mereka suka dan berhak untuk tidak melakukan apa yang mereka tidak suka. Sekalipun tak paksa, awak perlu halang mereka daripada meneruskannya kerana mereka masih kecil. Mereka tidak tahu kesannya.

Aku: Tadi cekgu ada kata, mereka berhak melakukan apa yang mereka suka. Mereka suka puasa dan nak puasa, jadi saya biarkan.

Cekgu: Seperti yang saya katakan tadi, mereka masih kecil, macam mana awak boleh biarkan mereka ke sekolah dalam keadaan lapar, camne nak belajar?

Aku: Cekgu, puasa memang ibadah yang diwajibkan ke atas orang dewasa atau akil baligh sahaja. Tetapi kanak-kanak juga perlu digalakkan berpuasa agar mereka tidak menghadapi masalah untuk menjalaninya kelak kerana sudah biasa. Sungguhpun begitu seperti yang telah saya tegaskan, saya tidak memaksa. Mereka sendiri memutuskan untuk berpuasa. Sebagai ibu saya menyokong.

Cekgu: Awak tak kasihankah pada mereka? Camne nak belajar dengan baik dalam keadaan begitu? (diulangnya bertanya soalan yang sama).

Aku. Untuk pengetahuan cekgu, saya telah mula berpuasa sejak berusia 6 tahun lagi. Begitu juga kebanyakkan kanak-kanak Islam di negara saya. Jika puasa itu memudaratkan dan boleh menghilangkan tumpuan kepada pelajaran, tak mungkin saya boleh belajar hingga ke mari, ke tahap tertinggi ini. Setiap tahun saya berpuasa, dan setiap tahun saya mendapat keputusan cemerlang.

Cekgu: Anak awak boleh mati jika terus berpuasa. (dengan suara tinggi).

Aku: Cekgu, seperti yang telah saya katakan tadi, saya berpuasa sejak berusia 6 tahun dan masih hidup hingga ke hari ini. Begitu juga kedua ibu bapa saya, malah nenek saya juga masih hidup. Kami semua berpuasa sejak kecil.

Cekgu: Mmm, suka hati awaklah, tapi kalau apa-apa jadi pada anak-anak awak, ia adalah salah awak 100%. Okey, bye.

Aku: Adiós!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *