22. May 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

KS: Awak ni kan, ke hulu ke hilir dengan suami.

Aku: Eh biarlah, suami kita. Kalau berkepit dengan suami orang? Atau lelaki lain? Boleh?

KS: Maksud saya, tak boleh ke kalau awak ke mana-mana seorang?

Aku: Boleh!

KS: Dahtu?

Aku: Saya suka suami ikut, rasa lebih selamat dan selesa.

KS: Tapi sebab sebenarnya bukan kerana awak suka, tapi awak terpaksa, kan?

Aku: Yalah. Kerana nak keselamatan terjamin, terpaksalah bawa suami. Lebih terjamin daripada jalan sorang-sorang.

KS: Tapi, sebenarnya dia yang paksa awak, kan?

Aku: Aarr? Maksud awak?

KS: Dia yang nak ikut, kan? Dia yang paksa awak ajak dia, kan?

Aku: Eh, mana ada. Saya yang paksa dia. Saya tak selesa jalan sorang-sorang dan takut.

KS: Bohong!

Aku: Betul! Tapi kalau dia paksa pun, apa masalah? Dia berhak.

KS: Haa, kan dah kata. Dia yang tetapkan peraturan, kan?

Aku: Peraturan?

KS: Dia yang tentukan bahawa awak mesti ke mana-mana dengan dia, kan?

Aku: Ya, dan tidak!

KS: Kenapa ya dan tidak lak?

Aku: Ya, dalam konteks; sebagai suami dia ada hak ke atas saya. Tidak, dengan maksud; walaupun dia ada hak, tapi dia bukan jenis mengongkong.

KS: Betul ke tak mengongkong?

Aku: Laa, suami saya, saya tau la.

KS: Habis, yang ke hulu ke hilir dengan dia tu, apa?

Aku: Sebenarnya, saya yang nak dia temankan saya. Saya takut nak pi mana-mana sorang.

KS: Alasan! Apa nak takut?

Aku: Laa, Spain ni bukan kampung saya, bukan tanah tumpah darah tok nenek moyang saya, dah tentu saya takut.

KS: Takut apa?

Aku: Laa, saya kan orang asing kat sini, jalan sorang-sorang apa-apa hal kan susah?

KS: (cebik bibir)

Aku: Dah suami ada, baiklah jalan dengan suami. Lagipun suami tak kerja. Duduk rumah sorang-sorang pun bosan gak. Baik dia ikut saya.

KS: Tapi saya penuh yakin sebab sebenarnya ialah kerana dia mengongkong awak. Dominan ke atas awak. Dia tak nak lepaskan awak bebas buat apa yang awak suka. Dia tak bagi awak keluar dengan kawan-kawan awak, kan?

Aku: Tidak benar! Dia tidak pernah mengongkong saya, sebaliknya di sini, sayalah yang lebih banyak mengongkong dia. Maksud saya, kerana risaukan saya dan anak-anak, dia sanggup tidak keluar berpeleseran, malah setiap masa bersama saya.

KS: Ahh! Keadaan sebenar tidak begitu. Saya tahu sangatlah orang Islam ni. Saya dah berkawan lama dengan ramai orang Islam dan dah lama saya perhatikan kehidupan mereka. Lelaki Islam suka menindas wanita, suka mendominasi wanita dan memandang rendah pada wanita.

Aku: Oh, itu tidak benar, tidak benar sama sekali!

KS: Awak pun macam tu. Tengok, ke hulu ke hilir diikutnya awak. Hingga awak mai jumpa saya pun dia ikut. Tak boleh ke dia biarkan awak bebas melakukan aktiviti yang awak suka dan bebas keluar dengan siapa sahaja yang awak suka?

Aku: Aarr? Kalau dah seorang isteri boleh buat apa sahaja yang dia suka dan bebas pula keluar dengan siapa sahaja yang dia suka tanpa perlu merujuk suami, apa gunanya lagi suami dalam hidupnya? Apa maknanya lagi suami kepada dia? Apalah sangat fungsi suami? Untuk apa dia bersuami?

KS: Jika suami berhak ke sana ke mari sesuka hati, mengapa isteri tidak? Mengapa isteri perlu mendapat keizinan suami sedangkan tidak sebaliknya?

Aku: Siapa kata suami boleh keluar sesuka hati? Siapa cakap suami boleh buat sesuka hati? Agama mana mengajar begitu? Islam tidak begitu!

KS: Tapi itulah yang sering saya perhatikan dalam kehidupan keluarga Islam, dalam kehidupan rumahtangga Islam.

Aku: Awak perhatikan siapa? Keluarga mana? Bilangan mereka yang awak perhatikan itu cukup ke tidak untuk mewakili seluruh umat Islam? Peratusnya valid atau tidak untuk dibuat kesimpulan yang semua orang Islam begitu?

KS: Sudah berpuluh-puluh tahun, sejak dari muda lagi saya bergaul dengan orang-orang arab Morocco yang berhijrah ke sini. Saya sudah masak dengan perangai mereka.

Aku: Yang awak perhatikan itu adalah mereka yang berhijrah ke Sepanyol sahaja. Adakah awak turut memerhati atau mengkaji mereka yang tidak berhijrah, yakni, orang-orang Morocco yang duduk menetap di tanah air mereka sendiri? Seperti yang kita maklum, orang-orang Morocco yang berhijrah ke sini adalah daripada golongan berpendidikan rendah, atau dengan lain perkataan, mereka yang berstatus rendah. So, bolehkah dibuat kesimpulan atau digeneralisasikan apa yang awak nampak atau perhati itu ke atas seluruh umat Islam di dunia ini? Awak tak pernah tengok atau perhati kehidupan orang-orang Islam lain di negara-negara lain. Malah pemerhatian awak ke atas orang-orang Islam Morocco itu sendiri pun terhad kepada mereka yang berhijrah ke mari sahaja. Kehidupan mereka yang di Morocco sana terlepas daripada pemerhatian awak.

KS: Tapi, dari dahulu hingga sekarang saya perhatikan sama sahaja. Lelaki atau suami Islam tetap dominan dan menindas kaum wanita atau isteri. Malah ada yang mengurung isterinya di rumah, tidak membenarkan isteri keluar walau untuk bergaul dengan jiran-jiran berdekatan.

Aku: Mungkin itu adalah kes-kes terpencil, yang sebab musabab mereka berbuat begitu hanya mereka sahaja yang tahu. Mungkin itu dilakukan atas sebab-sebab tertentu. Jika kita tidak tahu keadaan sebenar kita tidak boleh serkap jarang. Melainkan kita bertanya dan mereka mengesahkan atau memberitahu begitu.

KS: Apapun secara keseluruhannya, saya tetap melihat lelaki Islam sebagai amat dominan, lebih berkuasa dan menindas wanita.

Aku: Itu pendapat peribadi awak yang awak simpulkan daripada sudut pandangan awak sendiri. Awak berhak untuk mempunyai apapun tanggapan berdasarkan apa yang awak lihat dan perhati. Namun, adalah salah untuk membuat kesimpulan sedangkal itu kerana sebagai orang Islam yang memang dilahirkan Islam saya tidak pernah melihat itu berlaku dalam kehidupan sebenar kebanyakkan keluarga Islam. Hal seperti yang awak perkatakan itu bukanlah hal yang dianjur atau dituntut Islam. Tanggungjawab seorang lelaki atau suami dalam Islam itu jelas. Ia amat besar dan berat. Kesilapan yang dilakukan oleh segelintir suami Islam yang penghayatannya ke atas agama tidak begitu mendalam telah disalah tafsir sebagai kehidupan usulan Islam, walhal Islam yang sebenar tidak begitu. Sudah fitrah dunia, kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semua terpalit. Kerana setitik nila, habis rosak susu sebelanga.

KS: Hurm, awak sendiri yakin yang awak tidak dikongkong?

Aku: Yakin 100%! Awak tak boleh buat kesimpulan dengan melihat keadaan hidup saya dan suami di sini. Di sini, kami orang asing. Jika ada pilihan untuk ke mana-mana berteman mengapa memilih untuk jalan sorang-sorang? Dan teman yang paling selesa, yang paling saya percaya, yang paling saya berasa selamat, sudah tentulah suami saya sendiri. Kebetulan pula di sini suami tidak bekerja, jadi 24 jam dia boleh menemani saya ke mana pun saya pergi. Jika di sini awak nampak 24 jam saya berkepit dengan dia, keadaan di Malaysia tidak serupa, berbeda. Di sana, kami terikat dengan jadual kerja masing-masing. Setiap hari selain daripada hari minggu, kami hanya boleh bertemu pada sebelah malam sahaja, itupun dalam keadaan masing-masing penat setelah seharian bekerja. Nak berjalan ke sana sini, hatta nak makan bersama pun hanya boleh direalisasikan di hujung minggu. Sebab itu saya kata, adalah tidak adil sama sekali untuk menilai kehidupan orang Islam secara keseluruhan dengan hanya memerhati segelintir sahaja yang berhijrah ke sini.

KS: Tapi saya tak suka awak bawa suami awak ke sini tau.

Aku: Kenapa?

KS: Ni kan pejabat persatuan wanita, macam tak sesuai je lelaki datang.

Aku: Itu ke sebabnya atau awak jeles?

KS: Iskkk!! Nak jeles apa?

Aku: Saya rasa awak perlukan seorang lelaki.

KS: Untuk apa?

Aku: Agar ada orang yang memeluk dan membelai. Agar tidur malam ditemani, agar hidup terisi dan tidaklah terlalu sunyi.

KS: Untuk apa semua itu? Huh, saya tak perlukan semua itu. Saya boleh hidup tanpa lelaki! (angkuh).

Aku: Tapi kan, cuba awak fikir, andai ibu awak dahulu berfikiran sama seperti awak, maka tidak akan lahirlah awak ke dunia ini, tidak berpeluanglah awak melihat dunia ini dan tidak berpeluanglah awak mengenali saya ini? Nasib baik mak awak tak anti lelaki dan berkahwin dengan ayah awak dahulu.

KS: (sepi).

Aku: Saya pulang dulu, besok kita jumpa lagi ya kakak! (aku memeluknya erat dan mencium kedua pipinya).

 

Nota:-

KS adalah singkatan kepada Kakak Sepanyol. Individu yang terlibat dalam perbualan di atas adalah Presiden Persatuan Wanita Rondilla (kawasan di mana aku tinggal) yang telah sudi mengambil aku dan keluargaku menjadi keluarga angkat beliau. Beliau bernama Elena, berusia 57 tahun, seorang pesara guru dan tidak pernah berkahwin di sepanjang hidupnya. Agak banyak juga jasa beliau kepada aku dan keluarga di sini. Terlalu banyak sebenarnya pertolongan yang telah dihulurnya kepada aku dan keluarga dalam menambah-ringankan lagi beban serta kesusahan yang terpaksa ditempuh di sini. Cuma satu sahaja, beliau agak prejudis dan anti lelaki. Tahap keantiannya kepada lelaki amat extrim hingga beliau melihat kewujudan lelaki di atas muka bumi ini sebagai tidak lebih dari hanya untuk menyakitkan dan memusnahkan wanita. Mungkinkah tugasnya sebagai Presiden Persatuan Wanita yang antara fungsinya ialah menerima aduan dan membantu isteri-isteri yang di dera dan di aniaya suami, yang telah menjadikannya begitu? Atau mungkinkah pengalaman hidupnya sendiri yang telah membentuk beliau begitu? Wallahua´lam. Apapun aku menghormati dan menyayanginya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

  1. cuba approvekan komen saya…. kakdi boleh login sekejap. saya nak tengok Ok ke tidak ( sistem komen tu normal atau tidak)

    co.admin
    dhiah.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *