Sejak dari minggu lepas, saya pulun ganti puasa. Fuhh, amat mencabar. Kala cuaca amat panas dan kering, dan magrib pula amat lewat di summer ini, saya pula berlapar dan berdahaga di samping terpaksa juga meneruskan rutin saya sebagai pelajar dan ibu yang tegar. Hasrat saya untuk segera menggantikan puasa sebaik berakhir ramadhan yang lepas tidak tercapai. Salah satu sebabnya ialah, sebaik berakhir summer (selepas raya), musim luruh akan menyusul dan selepas itu akan datang pula musim sejuk. Cuaca di musim luruh sudah mula sejuk dengan angin yang mengilukan tulang. Manakala di musim sejuk pula, usah diceritalah akan sejuknya. Meskipun di musim luruh terutamanya di musim sejuk waktu siangnya amat singkat (magrib lebih kurang pukul 5 petang), tetapi saya tidak mampu berpuasa di kala itu kerana cuaca yang amat sejuk akan meningkatkan metabolisma badan membuatkan perut saya berasa amat kepedihan dan senantiasa berada dalam kelaparan yang luar biasa. Telah saya cuba untuk berpuasa di dua musim tersebut tetapi hanya boleh selama 2 hari sahaja. Sebaliknya di musim panas pula, meskipun terpaksa menahan perut hingga ke pukul 10 malam (pukul 10 baru maghrib), tetapi saya boleh tahan kerana cuaca yang amat panas menyebabkan saya menjadi tidak berselera makan sebaliknya lebih banyak meminum air.

 

Kala kelaparan begini, mulalah datang pelbagai keinsafan; atas nasib mangsa-mangsa kebuluran di benua afrika sana dan juga nasib para faqir miskin di seluruh dunia. Mulalah datang penyesalan atas kerakusan menikmati makanan tanpa memikirkan akan nasib orang-orang yang kelaparan. Menitik air mata keinsafan ini dan bertekad, ramadhan nanti biarlah disambut sederhana dari segi penyediaan makanan sebaliknya dilebihkan pada tadarus al-Quran dan bangun solat malam. Kadang-kadang kita ini belum lagi kaya raya, belum lagi harta melimpah tetapi sudah lupa kepada mereka yang hidup susah. Bila ramadhan semakin hampir, yang banyak diwarwarkan ialah iklan biskut raya dan seumpamanya (lihat sahajalah di dalam FB), jarang sekali ada iklan atau peringatan yang mengajak kita umat Islam berfikir; akan azabnya si miskin, akan deritanya si faqir, lalu ramadhan dipenuhi oleh amalan-amalan dan zikir, bukan bulan untuk menyumbat mulut dan perut dengan segala bagai juadah yang hingga otak pun turut tersumbat untuk berfikir. Selamat menggantikan puasa kepada diriku, hambaNya yang hina.

 

Cukuplah berbuka dengan sehidangan ini sahaja bersama air masak dan sepotong buah.

 

Apabila kemusafiran saya di Valladolid berjaya dijejaki menerusi blog miskin ini, maka ada sedikit rasa bahagia dan lega di jiwa saya. Saya bahagia dan lega kerana adalah juga walau sedikit manfaat blog ini kepada pembaca. Meskipun apa yang saya tulis mungkin hanya sampah pada sesetengah orang, namun ternyata kewujudan blog ini menambah koleksi kenalan, dan rujukan kepada mereka yang berhasrat ke Valladolid atas sesuatu urusan. Allah mengatur sesuatu perkara itu dengan secantik-cantik kejadian meskipun kadang-kadang kita gagal melihatnya di permulaan.

Kepada Suhaida Abdullah dan Hazlina Ali, dua insan yang dahulunya tidak pernah saya kenali, terima kasih atas silaturrahim yang diberi yang bermula dari usaha kalian untuk menjejaki saya menerusi blog ini. Saya menghargainya dan berdoa moga silaturrahim ini berpanjangan. Maha kaya Allah yang menemukan kita, maha kaya Dia juga yang telah membuka pintu hati saya untuk menukil di blog ini yang dengan sebab itu kemusafiran saya di sini dikesani lalu saya dihubungi. Alhamdulillah, pada hari kalian bertandang ke bumi Valladolid ini, saya berada dalam keadaan sihat yang maksimum yang dengan kesihatan tersebut saya mampu membantu apa yang perlu. Bantuan yang dihulur (jika layak dipanggil bantuan) adalah tersangat kecil dan minimum berbanding hikmah atau faedah yang diperolehi iaitu persahabatan dan silaturrahim.

Terima kasih kerana mempercayai saya dan terima kasih jugalah atas hadiah-hadiah yang dibawa.


 
 
 

Mereka yang ku kenal menerusi blog ini.

 

Setelah berminggu-minggu aku pening tentang data dan ke hulu ke hilir mencari orang yang sudi menjadi RA, akhirnya semalam Allah menunjukkan kepadaku jalan. Adapun, masalah yang ku hadapi begini; data kajianku terbahagi kepada dua, data Malaysia dan data Sepanyol. Respondennya adalah orang-orang Melayu dan Sepanyol. Kedua-dua data mempunyai masalah. Data dari Malaysia masih belum diterima. Dengan sebab itu urusan memperosesnya juga tertangguh. Data Sepanyol pula tidak boleh dibaca, oleh sebab itu urusan untuk menganalisisnya juga tertangguh.

Instrumen kajianku seperti yang lazim digunakan dalam kajian-kajian speech acts lain ialah DCT (Discourse Completion Test). DCT adalah kaedah yang diperkenalkan oleh Blum Kulka et. al. (1989) untuk mendapatkan data tentang speech acts. Beliau adalah antara pelopor kajian tentang speech acts. DCT adalah ujian melengkapkan wacana yang mengandungi situasi-situasi berbentuk provokasi. Responden dikehendaki membaca dan menghayati situasi-situasi tersebut dan membayangkan diri mereka berada di dalamnya lalu mengungkapkan atau menulis di ruangan yang disediakan, ujaran yang akan mereka hasilkan jika sekiranya mereka berada dalam situasi-situasi tersebut. Masalah yang ku hadapi ialah, aku tidak dapat membaca apa yang responden tulis di dalam soal selidik yang telah diedarkan. Tulisan tangan orang Sepanyol sangat berbeza dengan tulisan orang kita kerana mereka menulis dalam bentuk tulisan eropah.

Puas aku bertanya kepada orang itu dan orang ini, kalau-kalau mereka sudi menjadi tukang baca jawapan-jawapan responden itu sekaligus menjadi RA ku. Malangnya aku bertindak salah masa. Universiti sedang berada di hujung semester, pelajar tengah exam dan sibuk menyiapkan segala tugasan. Mana mungkin pelajar yang tengah sibuk gila-gila itu hendak menyibukkan lagi diri mereka dengan menjadi RA ku? Maka hampalah aku. Aku usul pula bertanya kepada kawan-kawan Sepanyol yang bukan pelajar, kalau-kalau mereka kenal sesiapa yang sudi menjadi RA ku beerti sanggup datang ke rumahku setiap hari sehingga semua data siap dibaca dan ditaip untuk kemudiannya diklasifikasikan pula dan dimasukkan dalam SPSS. Namun, jawapan yang ku terima juga hampa. Kebanyakkannya tidak sanggup datang ke rumah dan duduk berjam-jam mengadap kertas dan komputer walaupun hendak dibayar. Lagipun, orang Sepanyol bila masuk sahaja musim panas (summer) mereka sudah tidak ada mood untuk bekerja, sebaliknya mood untuk bercuti atau vacations berkobar-kobar. Maka pening dan bungkamlah aku berhari-hari, berminggu-minggu memikirkannya.

Namun, Allah itu maha adil, dan maha memakbul doa-doa hambanya yang ikhlas. Setelah setiap saat berdoa agar ditunjukkan jalan, akhirnya Allah menunjukkan kepadaku jalan. Ia berlaku dengan tidak semena-mena. Semalam, pagi aku ke bank di pusat bandar menyelesaikan beberapa urusan yang tidak kurang juga peningnya. Alahai bank! Selesai urusan di bank, aku mengajak hubby merayau dengan niat hendak melarikan seketika mindaku dari kepeningan memikirkan macam-macam perkara. Setelah puas merayau dan window shopping, aku mengajak hubby pulang. Aku berjalan pulang dalam keadaan bungkam, minda sedetik pun tidak berhenti dari memikirkan tentang data, manakala jiwa tidak putus-putus berdoa; “Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan, hambaMu ini sungguh lemah, akan tetapi ya Allah aku tidak akan sekali-kali menyerah kalah.” Tiba di flat di mana kami tinggal, aku dan hubby menunggu pintu lift terbuka dengan sabar. Hubby nampak risau kerana aku terlalu bungkam. Diam membisu kerana jiwa terlalu runsing. Sebaik pintu lift terbuka aku terus menyerbu masuk. Bumm, badanku berlaga dengan tubuh orang. Aarr?? Oh, ada orang keluar dari lift rupanya. Jauhnya aku mengelamun hingga tidak nampak ada orang dalam lift. Rupa-rupanya orang yang ku langgar itu adalah jiran depan rumahku sendiri. Sepasang suami isteri yang kebetulan turun untuk ke pasar. Ditegurnya aku dengan ramah. Si suami bertanya kenapa aku nampak bungkam. Aku sekonyong-konyong bercerita tentang masalah yang ku hadapi. Tiba-tiba si isteri berkata, “haa, cuba tanya anak saya, dia kerja di hujung minggu sahaja, hari-hari lain dia free, lepak sahaja di rumah dengan laptopnya. Pergilah tanya dia, dia ada di rumah sekarang.” Oh, aku mula nampak sinar di hujung kegelapan ini. Aku segera naik, tekan loceng rumah jiranku itu dan terpacul anaknya yang hansem di muka pintu. Hansem satu hal, budi bahasa, masyaallah kalah kita orang Islam. Yang bestnya, dia terus setuju tanpa banyak bicara sebaik selesai ku nyatakan hajatku. Oh, leganya ya Allah, terima kasih Allah, kepadaMu jua aku meminta dan merujuk, sesungguhnya Engkau maha mengurnia ya Allah.

Memang sudah lama ku tahu yang jiranku mempunyai anak lelaki berkelulusan dalam bidang filosofi. Dia juga adalah bekas pelajar di fakulti sama di mana aku menuntut. Bidangnya juga tidak lari jauh dari bidangku cuma jurusan sahaja yang berbeza. Maka mulai hari ini dan hari-hari ke seterusnya seperti mana janjinya, dia akan datang ke rumahku pada setiap 11 pagi untuk membantuku memperoses data-data Sepanyol sehingga selesai. Alhamdulillah, sebesar syukur ke hadratMu, ya Allah. Terima kasih Allah!

 

 
 
 
 
 

Pintu rumah jiranku yang betul-betul bersetentang dengan pintu rumahku, tengah-tengah itu lift.

 

Kebelakangan ini saya sungguh sibuk dan nanar. Banyaknya hal yang nak diselesaikan; kad pengenalan (sudah acap kali berulang alik ke pejabat pendaftaran dan balai polis), bank (pemotongan aneh, pengambilan komisyen di luar makluman dan lain-lain), borang-borang sekolah anak (lazimnya bila nak cuti panjang, sekolah akan keluarkan pelbagai borang yang perlu diisi dengan teliti; borang subsidi makanan, bantuan buku sekolah, pendaftaran semester berikutnya dan lain-lain lagi) dan sudah tentu dalam sekian banyak hal, hal yang paling memeningkan ialah hal-hal berkaitan pembelajaran (data dari Malaysia belum diterima maka dengan itu masih belum boleh dianalisis sedangkan ia telah jauh melangkau waktu yang telah ditetapkan, data Sepanyol pula tidak boleh dibaca maka dengan itu terpaksa mencari pembantu berbangsa Sepanyol yang cekap membaca tulisan tangan, supervisor tidak boleh ditemui hingga entah sampai bila kerana baru sahaja menjalani pembedahan mata dan terpaksa berehat, dan lain-lain lagi). Itulah cabaran, itulah ujian. Jika tidak, tidaklah dinamakan kita ini golongan profesional. Profesionalisma itu bukan sahaja pada ilmu dalam bidang yang dikaut selama berdamping dengan ahli-ahli akademik di universiti, tetapi juga merangkumi pelbagai ilmu lain seperti, ilmu mengurus waktu, mengurus stress, mengurus masalah, mengurus rumahtangga, mengurus belanja, mengurus kejutan budaya, mengurus kejutan cuaca, mengurus aktiviti sosial, dan mengurus sejuta satu macam hal lagi, yang diperolehi selama bermusafir jauh begini. Malah, urusan-urusan yang selain daripada akademik itulah sebenarnya yang lebih susah nak diurus, yang lebih mencabar, yang lebih sukar, yang kadang-kadang sampai terfikir nak kemas baju dan beg lalu pulang sahaja ke tanah air. Pulang dengan tangan kosong? Oh TIDAK!! Pantang menyerah kerana sudah difirman Allah, bahawasanya kesukaran itu hanya dianugerah kepada mereka yang mampu meredah. Kepada mereka yang terpilih untuk mengecap sedikit sensara dalam menghadapi apa jua badai yang melanda, maka berbanggalah kerana anda sebenarnya adalah insan-insan yang telah diketahui Allah mampu menghadapinya.

Kentallah wahai jiwa, akan perjalanan masih jauh, masih jauuuhhh sebenarnya, meskipun nanti PhD sudah di dalam tangan, kita tetap perlu terus berjalan kerana target kita adalah nuuunn negara akhirat yang kekal abadi. Bernilaikah PhD di sana nanti? Tepuk dada, tanyalah iman, tanyalah hati, tanyalah akan tujuan dan niat memburu PhD!

 

 

 

Pembaca budiman, sudilah kiranya meneka akan apakah gerangannya perkara di dalam gambar tertera. Kepada peneka yang berjaya, hadiah berupa cenderahati dari Sepanyol akan dikirim tentunya. Adapun pembaca yang berjaya akan dihubungi segera menerusi nama dan email empunya. Akan keputusan adalah muktamad, dan jawapan yang tepat akan diumumkan bersama-sama nama pemenang di suatu hari yang akan ditetap. Dalam sekian banyak keserabutan yang wujud dalam hidup kita, kita juga memerlukan sedikit ruang untuk berseloka dan bersuka-suka. Maka sudilah kiranya pembaca meneka…

 

Jumaat yang bahagia. Apa kata hari ni kita main masak-masak, nak? Masak apa? Masak apa sahaja yang boleh dimakan. Adapun, yang tak boleh dimakan, masak pun tak guna, tetap tak boleh dimakan. Misalnya, masak ikan, sayur, ayam, puding, daging atau apa-apa sajalah, janji bila masak boleh ditelan. Kalau masak sup pam basikal atau tom yam tukul besi, nanti kan terkehel lak gusi atau gigi nak memamahnya.

Hurm, pasal semalam ada beli ikan anchoa (bilis besar), jadi apa kata kita masak anchoa celup tepung? Fuhh, bukan nak puji diri sendiri, tapi anchoa goreng celup tepung dari air tangan makcik memang senantiasa laris. Tak pernah jualan tak habis, licin sokmo. Kalah ikan celup tepung pok long di pantai Teluk Ketapang Darul Iman. Sekilo beli, sekilo goreng, sekilo habis, nah 3 kilo naik berat badan. Nasib baik makcik mengidap penyakit metabolisma, so lepas makan terus buang, maka takdelah sampai 5 kilo naiknya.

 

Anchoa celup tepung.

 

Resepi anchoa celup tepung? Eh takkan tak tahu? Tepung beras? Eh, tak, takde tepung-tepung berasnya. Mana nak cari tepung beras di Valladolid Darul Nothing ni? Ada beras pun syukur. Kalau tak, makan pizzalah hari-hari. Ahaks, pizzalah sangat! Makcik tak pernah guna tepung beras selama berkecimpung sebagai penggoreng anchoa di sini. Dah tu pakai tepung apa? Tepung gomok? Tepung gandumlah, tepung gomok gimana rupa pun makcik tak tahu! Alaa, tepung gandum biasa, campur secubit garam dan air paip. Pastikan air paip sebab kalau diguna air mati, dia tak mau, dia tak umpphh! Sebab air mati kerana namanya “air mati” maka ia turut mematikan atau menamat-riwayatkan keinginan untuk gandum-gandum itu naik dan ranggup. Hurm, ni teori makciklah, boleh terai kalau tak percaya.

Okeh, macam biasa mula-mula baca bismillah dulu, kemudian barulah diletak kuali di atas dapur. Hidupkan api, tonggeng botol minyak (makcik guna perkataan tonggeng sebab botol minyak makcik besar, kalau botol kecik, guna perkataan tuang), dan tunggu hingga minyak panas. Sebelum itu, selamkan anchoa ke dalam bancuhan tepung, garam dan air paip hingga kesemua anchoa lemas. Pastikan anchoa benar-benar lemas kerana jika ia tidak benar-benar lemas maka ia akan terpekik terlolong di dalam kuali nanti dek kepanasan. Bila minyak dah panas membara, bolehlah ditohok (minta maaf, makcik guna perkataan tohok demi untuk memertabatkan lagi bahasa ibunda makcik) anchoa-anchoa yang kelemasan itu tadi ke dalam kuali.

 

Ranggup dan enak.

 

Macam mana nak tahu anchoa-anchoa itu telah masak? Apakah tanda-tanda dan petunjuk-petunjuknya? Jika nak bersalin, antara tandanya ialah pecah ketuban. Tetapi jika ketuban pecah tika anchoa sedang di kuali itu maknanya dah dekat sangat nak bersalin dan tidak perlulah tunggu hingga anchoa masak. Terus ke klinik swasta berdekatan. Pertama, kenapa swasta? Ahh, makcik sebenarnya trauma dan teramat fobia dengan klinik-klinik atau hospital-hospital kerajaan. Banyak pengalaman buruk bersalin di situ. Menyesal makcik kerana dulu pergi menyerah diri ke klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan. Baik pergi ke klinik-klinik dan hospital-hospital pembangkang. Fuhh!! Kedua, kenapa berdekatan? Eh, kalau berjauhan, nanti bersalin dalam lift! Dak pun atas tangga (in case lift hospital rosak).

Oh ya, berbalik kepada cerita anchoa tadi, makcik suka balik-balikkan anchoa di dalam kuali tanpa menunggu hingga ia masak sebelah-sebelah dulu (minta maaflah kalau tak faham ayat ni, sebab makcik sendiri pun rasa keliru, eheh..). Bila sentiasa dibalik-balikkan, anchoa-anchoa tersebut akan rata garingnya, maka terelaklah ia dari hangit atau hangus sebelah. Bila dah masak, angkat pelan-pelan dengan penuh tertib terening (minta maaf, sekali lagi makcik guna perkataan klasik “terening” demi untuk mendaulatkan bahasa ibunda makcik dan demi cinta kasih makcik yang tak berbelah bahagi terhadap bahasa ibunda makcik). Bercakap tentang bahasa ibunda ni kan, jangan ingat bila makcik dah bermusafir sejauh ini maka makcik jadi lupa diri, terus bermata biru termasuklah dengan otak-otaknya sekali biru. Isshhkkk, takde! Takde maknanya tu. Di mana bumi makcik pijak, maka di situlah pakcik makcik junjung. Eh, salah, langit. Maafkan makcik, dah tua-tua ni, nyanyuk. Makcik tetap rindukan budu meski hari-hari hidung makcik duk hidu bau keju. Makcik tetap berkomunikasi terutamanya dengan pakcik dalam bahasa ibunda makcik hingga makcik perasan, jiran-jiran pun dah mula reti menyebut budu, belacan, petai, sodek dan takmboh.

 

Jangan lupa, air lada atau "colek".

 

Wokey, anchoa-anchoa tu kan, bila dah masak, letak dalam pinggan arcopal di atas alas meja zara dan, … hey tunggu apa lagi, makan lerr… Opss, baca bismillah dulu dan jangan lupa doa makan. Selamat mencuba dan kepada kaum adam, jangan lupa pergi masjid ya, hari ini hari Jumaat! Balik jumaat, haa, makan anchoa. Polok, jangang dok polok!

 

Rombongan orang panjang ke pusat bandar.

 

2 minggu lepas, kota Valladolid kecoh dengan kehadiran orang-orang panjang. 5 orang panjang yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan termasuk seorang berkerusi roda telah keluar membeli belah di pusat bandar Valladolid. Kehadiran mereka telah menarik perhatian orang ramai termasuk aku yang kebetulan berada di situ untuk membeli beberapa barang keperluan.

Keadaan menjadi bertambah kecoh dan kelam kabut apabila orang-orang panjang tersebut telah bergaduh sesama sendiri dengan suara yang membelah bumi tentang barang-barang yang perlu mereka beli. Aksi dan gelagat selamba mereka telah menyebabkan orang ramai yang lalu lalang berhenti dan mengelilingi mereka untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku. Aku turut menyelit di celah-celah orang ramai itu, malangnya bateri kamera tidak cukup untukku merakam aksi-aksi mereka, tetapi sempatlah snap beberapa keping gambar untuk tatapan pembaca.

 

Diekori orang ramai.

 

OPKU (Orang panjang kurang upaya).

 

Berarak ke kedai. Orang panjang nak shopping.

 

Kerusi roda gergasi!

 

Tiba-tiba berlaku rompakan. Ni lerr perompaknya.

 

Menunggu seorang lagi yang sesat entah ke mana.

 

Rupa-rupanya dilarikan peminat.

 

Orang-orang panjang di atas sebenarnya adalah pelakon-pelakon teater yang sedang melakonkan suatu sketsa bagi menambah-meriahkan lagi minggu pesta Valladolid. Yang uniknya ia tidak dilakonkan di pentas khas sebaliknya dilaksanakan secara spontan dan semulajadi di tengah-tengah orang ramai yang pada mulanya terkejut dan terpinga-pinga dengan kehadiran mereka. Orang Sepanyol sangat gemar berpesta. Macam-macam pesta diadakan di sepanjang tahun. Di Valladolid, pelbagai pertunjukkan diadakan di sepanjang seminggu pesta dilangsungkan. Ada pertunjukkan silap mata, teater, musik, tayangan filem, nyanyian dan lain-lain lagi yang boleh ditonton oleh sesiapa sahaja secara percuma.

 

Stesen TV turut membuat liputan. Ermm, macam ada yang tak kena aje dengan wartawan TV tu? Pe dia?

30 dalil mengapa saya sayang supervisor saya.

  1. Comel (baby-faced)
  2. Berkulit putih samar
  3. Tinggi
  4. Mempunyai senyuman yang menawan
  5. Rapi
  6. Berjalan laju
  7. Bersopan santun
  8. Bertimbang rasa
  9. Mudah berkira
  10. Mudah tersenyum
  11. Bukan pengumpat
  12. Bukan pendesak
  13. Bukan pemarah
  14. Tidak suka melaga-laga
  15. Tidak suka mengadu domba
  16. Tidak bercakap besar
  17. Tidak bongkak
  18. Tidak takbur
  19. Tidak angkuh
  20. Tidak hangin
  21. Tidak sombong
  22. Pakar dalam bidangnya (pragmatics)
  23. Tinggi ilmunya
  24. Tinggi keyakinan dirinya
  25. Cekap membaca hati dan fikiran orang lain
  26. Perfectionist
  27. Optimist
  28. Positif
  29. Aktif
  30. Kritis

 

Saya tidak pasti, daripada 30 dalil yang dikemukakan di atas berapakah daripadanya yang menjadi dalil di pihaknya pula untuk saya menjadi pelajar kesayangannya? Jika ada 5 daripada 30 yang disenarikan di atas, sudah cukup untuk membuatkan saya gembira. Namun, demi untuk berbaik sangka, maka saya menganggap dia menyayangi dan menyenangi saya kerana dia amat menghormati dan mengambil berat tentang diri saya. Meskipun dia tidak pernah mengejar saya untuk menyudahkan sesuatu, tidak juga mendesak agar melakukannya di dalam tempoh yang dia mahu, sebaliknya saya diberi sepenuh kebebasan untuk menentukan waktu temu janji mengikut kelapangan saya, tetapi itu bukan bermakna dia tidak cakna tetapi dia sebenarnya tidak mahu mengkelam-kabutkan saya kerana dia cukup faham akan status saya sebagai seorang ibu, isteri, dan pelajar yang tegar. Tidak ada satu pun antara ketiga-tiga status tersebut digalas saya secara sambilan, semuanya secara sepenuh masa. Kerana itu saya memilih untuk tidak “study” di fakulti, sebaliknya membuka mini ofis di satu sudut terhimpit di bilik tidur saya yang sempit. Berulang alik dari meja study ke meja memotong sayur adalah perkara biasa. Bergilir-gilir memegang pen dan sodek kayu juga adalah perkara biasa, hingga kadang-kadang saya termenulis dengan sodek dan termenumis dengan pen. Bergilir-gilir mengadap muka periuk dan skrin laptop juga telah menjadi lumrah yang indah. Tak usah dicerita akan kelam kabutnya, usah diperihal akan letih dan lelahnya, akan tetapi, apa lagi pilihan yang saya ada melainkan melakukannya dengan hati yang terbuka. Redha dan redah adalah prinsip yang saya pegang sekarang ini. Redha dengan lelah dan redah walau payah. Allah maha tahu, kerana itu Dia menganugerahkan saya supervisor yang sebagus itu. Takbir!!

 

Fakulti Filosofi dan Letrasi, Universidad de Valladolid.

Dalam seminggu, selalunya akan ada satu hari yang kita berasa amat malas. Lazimnya ia terjadi pada hari minggu. Kadang-kadang ia berlaku pada hari sabtu, kadang-kadang pula pada hari ahad. Dalam konteks aku, ia banyak berlaku pada hari sabtu. Hari ni, hari sabtu. Oleh yang demikian, seperti sabtu-sabtu yang lepas, hari ini juga aku terpenjara dalam rasa malas yang amat. Malas dalam serba serbi. Malas nak bangun pagi, malas nak gosok gigi, malas nak tengok cermin, malas nak mandi, malas nak makan, malas nak masak, malas nak tengok tv, malas nak baca buku, malas nak menulis, malas nak keluar, malas nak berborak, malas nak mengemas, malas nak berdandan, malas nak berfikir, hatta malas nak bermalas-malas. Dahsyat! Namun, dalam banyak-banyak sabtu yang malas, sabtu hari ini adalah sabtu yang paling malas. Malah, nak kata malas pun malas, haih! Nak layan fb pun malas, nak buka blog pun malas, nak jenguk-jenguk blog orang pun malas, nak main game kat internert pun malas, malasnya! Dahtu, nak buat apa? Nak habiskan teks ni pun malas, huih! Malas, malas dan malas! Janganlah hendaknya budak-budak itu merengek ajak aku pergi playground. Aiyy malasnya nak keluar sebab malas nak tukar baju sebab malas nak mandi. Janganlah hendaknya budak-budak itu mengoder itu ini, nasi lemak, nasi minyak dan segala bagai. Oh malasnya nak masak sebab malasnya nak ke pasar sebab malasnya nak keluar sebab malasnya nak tukar baju sebab malasnya nak mandi. Mandi? Oh adakah semua malas ini berpunca daripada malas mandi? Aiyy, janganlah, malasnya aku nak mandi sebab malas nak gosok gigi acap kali dan malas nak sental bandan sebab malas nak lumur sabun sebab malas nak bukak botol sabun. Biarlah aku tak mandi, aku tak kisah pun. Roomate aku pun tak kisah. Dia malah mengatakan yang aku tetap wangi walaupun 5 hari tak mandi. So, macam mana nak selesaikan rasa malas ni? Ahh, malasnya nak selesai! Oh tidak, roomate ku seperti memberi isyarat agar aku beredar dari laptopku ke ruang tamu. Katanya ada program tv yang sedap. Alaa, dia tak tahu ke yang hari ini adalah hari malasku? Camne ni? Nak beritahu dia yang aku malas nak tengok tv pun, aku malas!

“Hurm, ayang, sori ya. Hari ini hari malas anja. Oleh itu anja malas nak bagitahu ayang yang anja malas nak kata yang anja malas. Fahami anja, ok! Di hari malas anja, anja malas nak kata malas!”

Anja sihat?

Alaaa, dia ni. Dah kata hari ini hari malas anja. Malaslah nak kata anja tak sihat, malas, tau!

Abang bawa anja jumpa doktor?

Tidakkkkkkkkkkkk!!!!! Malasnya nak jawab sebab malas nak jumpa doktor sebab malas nak keluar sebab malas nak tukar baju sebab malas nak mandi sebab malas nak gosok gigi dan malas nak lumur sabun sebab malas nak tuang sabun sebab malas nak buka botol sabun sebab malas nak ambil botol sabun, sebab malas nak berjungkit sebab malas nak malassssss!! Malasssssssssss! HAIH!!!

Soalan:-  Ada berapa banyak perkataan “malas” dalam teks di atas? Ahh, malaslah nak kira! Dah kata tadi kan, aku MALAS!

Suatu pagi, ketika aku menghampiri meja study ku, aku terpandang sekeping nota yang telah diletakkan di atas laptopku. Nota itu telah ditulis oleh si kakak dalam bahasa Sepanyol yang terjemahannya berbunyi begini;

Mama, kakak nak buat pengakuan tentang beberapa dosa yang telah kakak dan adik lakukan.

Tahun 2008, kakak dan adik telah mengambil 2 helai kertas A4 mama tanpa pengetahuan mama.

Tahun 2009, kakak dan adik telah meminum air gas mama tanpa keizinan mama, dan kami telah top up botol air gas itu dengan air paip supaya mama tidak dapat mengesannya.

Tahun 2010, kakak dan adik telah mengambil sebutir coklat mama, tanpa kebenaran mama.

Mama, kakak membuat pengakuan ini kerana kakak tidak mahu masuk neraka, kakak dan adik hendak masuk syurga. Ampunkan kami mama, janganlah potong jari dan tangan kami. Kasihanilah kami, maafkanlah kami, kakak dan adik berjanji tidak akan mengulanginya lagi dan tidak akan sekali-kali mengambil barang orang lain tanpa keizinan tuannya lagi. Maafkan kami ya mama.

Yang benar,

Kakak

(Mama, jangan lupa hari sabtu ni kita chat di FB, dan mama boleh email kakak kalau ada apa-apa yang mama nak beritahu).

Ketika aku membaca nota ini, si kakak dan adik berada di sekolah. Pelbagai perasaan berbaur di dalam diriku selepas membacanya. Aku berasa sungguh terharu atas pengakuan ikhlas kakak (10 tahun manakala si adik 9 tahun) akan dosa-dosanya itu.

Sebenarnya, sehari sebelum pengakuan itu dibuat, aku telah memberi syarahan panjang lebar tentang perbuatan mencuri. Aku juga telah memberi amaran keras kepada mereka iaitu sesiapa di antara mereka yang di tangkap mencuri akan dipotong samada jari atau tangan bergantung kepada nilai barang yang dicuri dan sebab musabab ia dicuri. Aku juga telah menjelaskan secara terperinci akan maksud dan klasifikasi mencuri. Alhamdulillah syarahanku telah memberi kesan kepada mereka.

Di samping berasa terharu, aku juga sebenarnya berasa geram dan lucu. Bertahun aku tertipu dengan kelicikkan mereka yang telah menggantikan air gas yang luak di dalam botolnya dengan air paip. Patutlah setiap kali meminumnya aku perasan yang rasanya agak aneh malah kadang-kadang ia langsung tidak mempunyai rasa air gas walaupun baru sehari dibeli. Sungguhpun begitu, aku tidak mengambil kisah akan hal itu kerana menyangka yang air gas di Sepanyol memang mempunyai rasa yang sedikit berbeza daripada yang di tanah air. Rupa-rupanya selama ini aku telah menogok air paip berperisa klorin pekat, adeh!

Namun, ayat terakhir yang telah ditulis oleh kakak di dalam kurungan telah membuatkan aku ketawa terbahak-bahak. Mungkin kakak atau adik takut untuk berdepan denganku setelah menulis pengakuan itu. Lantas diusulnya aku agar berhubung dengan mereka menerusi FB atau email sahaja, jika ada sesuatu yang hendak diberitahu. Macamlah kakak dan adik tinggal jauh dariku beribu-ribu batu, sedangkan jarak sekolah mereka dengan rumah tak sampai pun setengah batu.

Malam itu sebelum tidur aku telah memanggil kedua-dua kakak dan adik mengadapku. Aku lantas bertanyakan kepada mereka tentang surat pengakuan dosa yang telah ditulis itu. Kedua-duanya tunduk memandang lantai, tidak berani memandang wajahku. Tiba-tiba seluruh ruang jiwaku diterjah rasa kasihan. Aku lantas memeluk keduanya sambil berkata; Sayang, mama ampunkan segala dosa sayang dan berjanjilah bahawa sayang tidak akan mengulanginya lagi di masa hadapan. Mama cuma menyampaikan, tetapi yang melarang manusia berbuat dosa itu ialah Tuhan. Jika kakak dan adik sayangkan mama, takutlah kepada Tuhan dan taatlah kepada Tuhan. Berhamburan air mata mereka berdua tumpah di bajuku. Pada malam itu, dalam esak yang panjang, mereka telah membuat sumpah aku janji untuk menjadi anak yang baik dan sumpah aku janji untuk tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang.

Sesungguhnya ia adalah pengakuan dosa dan sumpah aku janji yang paling menyentuh hati dalam sejarah hidupku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...