Apakah yang membezakan status-status di FB itu sebagai “hendak menunjuk-nunjuk” atau “hendak berkongsi”? Kita terpaksa menerima, bahawa yang membezakan keduanya adalah “HATI PEMBACA atau HATI PENILAI”. Jika hati itu negatif, yang positif pun akan sentiasa di negatifkan. Sebaliknya, jika hati positif, yang negatif tetap akan diambil sebagai “ada hikmah” atau “ada pengajaran”.

Contohnya, ada orang warwarkan di statusnya tentang kejayaan keluarganya dalam perniagaan. Yang berhati negatif akan menganggap ia sebagai “mahu menunjuk-nunjuk”. Yang berhati positif pula mungkin akan mengambilnya sebagai suatu teladan, suatu perkongsian, suatu cabaran malah suatu bentuk motivasi berguna untuk dirinya melonjak ke level yang sama.

Lain halnya dengan status yang berbunyi begini:

keluarga aku adalah keluarga terkaya atau terberjaya di dunia, takde sorang pun rakyat Malaysia boleh lawan!

Atau ditulisnya begini:

Dalam dunia ni, anak akulah yang paling lawa, paling cute, paling macho, k? ko, ado?

Itu pun sebelum lancang mulut menuduh dia nak menunjuk-nunjuk kita kena kaji pragmatiknya dahulu; digunakan dalam konteks apa? kata-kata itu ditujukan kepada siapa? untuk gurauan sesama kenalan rapatkah? atau saja-saja menyakat atau memprovokasi kamcing-kamcing atau member-member yang udah bertahun-tahun serasi atau dengan kata lain “kacik molek”?

Begitu juga gambar, yang tidak perlu diusaha selidik lagi akan niatnya ialah gambar-gambar yang menyembul aurat sendiri atau gambar-gambar kemewahan yang ditag pula dengan kata-kata seperti:

Rumah tokwan aku, kaya raya, rumah menteri kesihatan pun tak sebesar rumah tokwan aku!

Kalau dia letak gambar ruang tamu rumah dia meskipun ada sofa kulit buaya besar gedabak dan ada skrin tv sebesar lori balak, biaq pi kat dia laa, kebetulan yang duduk atas sofa tu ialah tokki dia, dan dia upload gambar tu pasal nak perkenalkan pada rakan-rakan dia, “inilah tokkiku”. Tak boleh ke mempositifkan hati begitu? Dan yang berhati negatif pula, duk pi buat analisis sofa, analisis perabut rumah orang segala bagai tu, nape?? Terluang sangatkah masa? Takde kerja sangat la tu ya?

Suka dinasihatkan, kepada yang berasa status-status atau gambar-gambar si fulan itu si fulan ini di FB itu sebagai serba tak kena, serba tak selesa padanya, dan serba yang dia baca dan dia lihat dia TERmenderita dengan perasaan kemenyampahan, plisss anda ada dua pilihan; tutup akaun FB anda sebab hakikatnya takde siapa paksa anda main FB (ke abah paksa?), atau pilihan kedua, anda block atau remove atau unfriend semua mereka yang anda fikir menulis bukan-bukan atau meletak gambar bukan-bukan, agar anda tidak TERmenderita kemuntahan atau kegelian telinga yang akhirnya boleh membuat anda biul.

Pun begitu, tulisan ini tidak sekali-kali menyokong status-status di FB yang melampaui batas samada batas agama, bahasa maupun provokasi ke atas bangsa. Fokus nukilan ini ialah kepada mereka yang sering meluah “meluat” atau “menyampah” dengan status orang ini, status orang itu, gambar orang ini, gambar orang itu.

Meluat tapi tak buka FB sehari macam kucing tergeliat urat!

 Nenek yang celik FB, hehe …

Aikk, nape luah kat sini, bukan di FB? Haishh, nanti orang meluat pula atau sakit-sakit urat. FB bila kita post sesuatu ia akan dilihat meskipun tanpa niat untuk melihat tetapi bila ia terpampang di status maka mahu tak mahu, suka tak suka akan terlihatkan. Tetapi blog, hanya mereka yang rajin baca blog atau secara kebetulan terjumpa sesuatu blog ketika sedang search benda lain, yang akan membuka dan membacanya. So kalau anda meluat itu salah sendiri, siapa suruh buka dan baca? FB pula tak boleh kata salah sendiri, tak boleh persoal “napa pi baca”? Sebab nama pun jaringan sosial, memang untuk supaya post kita dilihat, dibaca dan terkesankan, kan?

Sudah ampat tahun maa tidak menghadiri kenduri kawin, maka sudah ampat tahun juga tidak merasa nasik minyak kenduri kawin. Dari dulu lagi aku memang gemar makan nasik minyak kenduri kawin. Tapi yang aku suka ialah nasik minyak gulai daging Terengganu yang dihidangkan di majlis-majlis kawin di negeri Terengganu sahaja. Adapun nasik minyak ke, nasik apa ke, yang dimasak atau dihidang di kenduri kendara di neger-negeri lain selain daripada Terengganu tidak berapa nak serasi dengan lidah keTerengganuan pekat aku. Senang citer aku hanya suka nasik minyak kenduri kawin yang made in Terengganu sahaja.

Semalam adalah hari yang aku menggelupur dek seksa kemengidaman nasik minyak kenduri kawin. Bukan tak biasa masak nasik minyak di sini malah dah banyak rekod dunia dicipta kerna banyaknya memasak makanan-makanan tradisional terutamanya menu Terengganu selama bermusafir di bumi laga lembu ini. Tetapi yang aku teringin dan mahu sangat-sangat itu ialah nasik minyak kenduri kawin. Oh, mana nak cari, jika adapun kenduri kawin mampuih takkan ada nasik minyak punya. Nak buat? Hoho tak pernah pun seumur hidup aku daripada zaman tak pandai memasak hingga ke zaman pandai memasak sikit-sikit, bertanya apakah resepinya lauk nasik minyak kenduri kawin itu? Tak pernah!!! Yelah takkan dah selesai ngap dua tiga pinggan nak pergi ke belakang pula tanya tuan rumah, “mokcik, mokcik letok mengde gok dalang kuwoh gulai yang sedak angak tuh? Kabo ke kiter etek!”, takkanlah, kan? Lagipun mana aku pernah ada minat nak masak selama di tanah air? Huhu …

Ok, back to kemenggelupuran nak makan nasik minyak kenduri kawin tu tadi, lepas dah tak tertahan macam pengantin yang dah tak sabau-sabau nak akad nikah, maka aku pun carilah resepinya di internet. Mudah je kan? Taip nasik minyak gulai Terengganu kat google search then keluarlah beratus-ratus web yang ada kaitan ngan nasik minyak dan gulai Terengganu. Maka selongkarlah aku satu persatu mencari resepi yang senang, yang tak banyak guna bahan, yang bahan-bahannya ada dan wujud di negara orang. Yess, jumpa. Apa lagi, print, pi dapur, cek tengok ada ke tak bahan-bahannya di rak, dan yess ….. semua ada, yipppiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!!!!!

Dan inilah hasilnya seperti yang terpapar di dalam gambar di bawah. Mempersembahkan jeng jeng jeng ……. NASIK MINYAK KENDURI KAWIN VALLADOLID!! Taraaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa … enjoy!!

Ingat anak kawin esok-esok tak nak pakai catering ah, nak masak sendiri …. (aceh) …

 

 

Kepada bakal-bakal pengantin di luar sana, selamat menyediakan nasik minyak kenduri ya, dan kepada yang belum lagi “bakal” maka didoakan sungguh-sungguh agar ditemukan jodoh yang soleh dan solehah dengan kadar segera serta berbahagia kedua-dua mempelai hendaknya, hingga ke syurga. Amin.

Kepada yang mengenali diri hamba ini, jangan lupa menjemput!

Mama, boleh dak adik nak buat surprise untuk mama?

Surprise? Surprise apa?

Surprise hari lahir.

Bila?

Pada hari lahir mama laa..

Macam mana nak buat tu?

Adik akan suruh mama pergi kedai, masa mama takde adik akan hiaskan meja dengan bunga dan belon, kemudian bila mama balik, mama buka pintu ….. surprise!!!!!!

Kakak nak buat surprise jugalah, kakak nak letak hadiah atas meja, hadiah tu kakak tutup dengan kain, mama ingatkan apa, bukak-bukak taraaaaa ……surprise!!!! (menyampuk si kakak).

Tapi mama jangan bagitahu kat mama sendiri ya adik dan kakak nak buat surprise, k? ………….tapi, aikk, aarrr??? (garu2 kepala)

(dia baru sedar yang dia sedang menceritakan surprise yang dia rancang untuk mengsurprisekan mama, kepada mama sendiri)!!

¡¡¡¡Dia terkantoi!!!!

 _______________________________________________________________________________________________________

Hahahahahaha, rasa macam tak nak bagi jer anak-anak menjadi dewasa, kan? Rasa macam nak mereka kanak-kanak selamanya. Kerna hati nurani kanak-kanak sungguh suci, sungguh murni dan putih bersih seperti embun pagi. Mereka sentiasa ikhlas dalam ekspresi diri. Meskipun kadang-kadang mereka itu memeningkan tetapi kehadiran mereka di dalam hidup kita amat-amatlah membahagiakan.

Mereka memberi makna kepada kehidupan, mereka memberi kita peluang untuk mengecap segala rencah yang wujud di dalam perasaan; suka, duka, pahit, tawar, ria dan debar. Mereka membuatkan hidup kita penuh dengan surprise-surprise yang tidak terduga. Bayangkan jika mereka tiada, hidup sungguh sunyi dan sudah tentu ibu bapa akan berada dalam keadaan yang “tidak tahu hendak buat apa”.

Masa kita terisi dengan telatah “macam-macam” mereka, hidup kita beerti dengan proses kedewasaan mereka. Jika wujud segelintir manusia yang tidak suka kepada kanak-kanak dan tidak tahu menghargai, apatah lagi menyiksa mereka, maka saya tidak tahu manusia jenis apakah mereka itu, perlu dibencikah atau dikasihani? Perlukah dihumban ke gaung api, atau dirawat diberi terapi?

Saya juga manusia biasa, kadang-kadang terkhilaf jua dalam bertingkah laku dan bertutur bicara dengan mereka. Tetapi jika itu berlaku, saya akan mencari satu waktu khusus untuk memesrai mereka, meminta maaf kepada mereka dan cuba mengkanak-kanakkan diri saya sendiri agar mereka berasa yang saya sungguh-sungguh menyesal dan mahu mereka menerima saya semula. Jangan lupa ya, pelukan dan ciuman adalah penawar paling mujarab untuk membeli hati dan jiwa anak-anak.

Mengapa perlu membeli hati dan jiwa mereka? Atau, mengapa perlu melayan mereka seperti permaisuri atau raja? Ahh, jangan pula kita lupa, besok-besok waktu kita tua, kita mahu kita juga dilayan seperti raja, kita juga mahu diri kita menjadi permaisuri di hati mereka, kita mahu kita sebagai ibu bapa tidak dilupa, malah selamanya bertahta di dalam ingatan mereka. Kita mahu mereka terus-terusan mendoakan kita selepas kepergian kita. Tetapi tidakkah pelik, jika kita mengharapkan begitu dari mereka sedangkan terlebih dahulu kepada mereka kita memperlakukan sebaliknya, menganggap mereka sebagai beban dan menyusahkan, menganggap kehadiran mereka sebagai bala dan menyulitkan.

Sayang tidak cukup jika hanya disimpan di dalam perasaan, atau sekadar diluah pada semata-matanya ucapan. Sayang, jika benar-benar sayang, perlu diserlahkan ke dalam tindakan, perlu dimanifestasikan, harus didemostrasikan ke dalam perlakuan yang kanak-kanak boleh faham bahawa sesungguhnya mereka itu kita sayang. Jika makna sayang itu sekadar pada ungkapan “I love u”, kerbau pun mampu berkata yang sama jika diajar, diasuh bercakap setiap hari. Maka, apa bezanya kita dengan kerbau?

Bersungguh-sungguhlah kita wahai ibu bapa untuk mengajak anak-anak menjadi hambaNya yang berjaya. Kejayaan adalah subjektif. Tidak semestinya di dalam pelajaran. Namun, walau apa pun mereka jadi di masa depan, matlamat utama kita adalah untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan dan untuk memerdekakan diri mereka daripada ketakutan selain daripada Tuhan.

Cuando nace un niño nace la esperanza de un mejor mundo, la esperanza se pierde cuando los padres no lo saben educar (Bila lahir seorang kanak-kanak maka lahirlah harapan untuk dunia yang lebih baik, harapan musnah apabila ibu bapa tidak tahu mendidik).

Mari menyayangi kanak-kanak dengan sepenuh jiwa raga kita, dari saya hambaNya yang hina.

Setelah lama duduk dalam keadaan tidak berpitis, maka semalam, setelah memperolehi pitis, saya membawa anak-anak ke supermarket, membenarkan mereka memilih apa yang mereka mahu makan, mengizinkan mereka membuat keputusan atas apa yang mereka mahu saya masakkan.

Pada mulanya saya ingin memasak ikan singgang, lauk kegemaran saya dan hubby sejak dari zaman berzaman. Maka saya merancang mahu membeli dua atau tiga potong ikan aya untuk disinggangkan. Malangnya tiada pula ikan aya di supermarket yang saya berkunjung itu pada hari tersebut. Agak keciwa jugalah kerana sudah lama saya mendambarkan ikan singgang setelah kali terkahir saya memakannya setahun lepas. Manakala anak-anak pula, sebaik terlihat kelibat ketam di situ, terus terjerit-jerit kegembiraan, “nak ketam, nak ketam” jerit mereka. Melihatkan harganya yang agak murah pada hari itu (sebelum ini harga ketam amat mahal di sini), maka saya terus membelinya dengan banyak. Niat di hati agar mereka dapat menikmatinya puas-puas setelah hampir dua minggu makan bertengat dek kering pitis.

Sampai di rumah, si kakak dan adik bergaduh, seorang mahu ketam itu dimasak merah bertelur, seorang lagi ingin ia dimasak kuning berlemak. Alahai, selepas kata sepakat gagal dicapai, akhirnya mama membuat keputusan, demi anak-anak, yess mama akan masak kedua-duanya, merah bertelur dan kuning berlemak.

Maka, ketam-ketam itu pun dibahagikanlah kepada dua, satu untuk masak merah, satu lagi untuk masak kuning. Lepas sejam, yess semua telah tersedia di meja, anak-anak melompat gembira, “yeyyy ketam, ketam”. Mama pula tersenyum puas dapat menunaikan kemengidaman anak-anak. Papa pula jenis tak kisah, masaklah apa pun, merah, kuning, hijau hatta ungu sekalipun dia bedal. Bagus sungguh lidah dia yang langsung tidak memilih rasa. Asal makanan, semua sedap padanya.

Maka, makanlah kami berlima sepuas-puasnya ketam yang dimasak dua cara. Bahagia tak terkata melihat mereka memakannya dengan ria, meskipun macam-macam alat dibawa ke meja guna untuk mengetuk sepit ketam, lesung batu, tukul besi, senduk kayu, atau guna gigi kapak ajer, ahhhhhhh seronoknya menikmati ketam yang banyak dan ada pilihan menu pula, merah atau kuning. Banyak tak banyak ketam yang dibeli, sampai semua dah kenyang kepuasan, ketam masih berbaki. So, apa lagi, simpanlah untuk esok hari, dah tentu mama tak perlu susah payah masak lauk lain lagi. Dan dapatlah mama buat OT main FB, ehem …

Cair, santan di sini adalah terhad, mujur ada juga sebuah dua kedai menjualnya. Santan dari dalam tinnya memang cair, tak dicampur air pun ia cair.

 Masak merah pedas bertelur, biar rupa tak cantik, asal rasanya menarik, tertarik.

Mari mengucap syukur atas segala nikmat dan pemberian dariNya.

 
Ada benda.
boleh dihembur
macam peluru kapur.
Ada benda.
kena dikubur
sekalipun hati sakit dan menggelupur.
 
Ada benda boleh dimuntah.
ada benda terpaksa ditelan, dikedarah.
Ada benda boleh dilaung-laungkan,
seantero buana tahu tidak mengapa.
Ada benda kena dilindung-lindungkan,
di jerit pada dunia pun tiada guna.
Ada benda boleh dikongsi
ada benda disimpan sendiri.
Ada benda perlu publisiti
ada benda diam-diam ubi, berisi.

 

Jangan atas dasar “wall kita”
kita tulis apa sahaja kita suka.
Kerana yang punya mata,
yang meniliknya,
ada hati
ada rasa.
 
Lainlah kalau wall kita
kambing yang baca!!
 

Kalau asyik makan ikan gulai dan budu, apa yang saya belajar tentang keju? Kadang-kadang rasa masa terbuang kerna terlalu taksubkan ikan singgang, sepatutnya saya merebut peluang untuk belajar masakan orang. Tuhan tidak menghantar saya sejauh ini untuk balik-balik sambal bilis, hari-hari kari, sikit-sikit nasik lemak. Tuhan nak saya belajar daripada penghuni benua ini yang hari-hari makannya sayur, yang hari-hari makannya teratur. Tak hairanlah mereka panjang umur. Saya bukan lupa diri, saya cuma berasa rugi kerna mengsia-siakan peluang yang mungkin diberi hanya sekali!

Yang ini tetap idaman kalbu, tengkyu bonda!

Lamanya saya tidak menukil di blog ini. Bukan tidak ada cerita atau peristiwa yang hendak dikongsi akan tetapi masa amat-amatlah tidak mengizinkan. Hidup saya kebelakangan ini berpusatkan data siang dan malam. Pendek kata, tidur data, bangun data, makan data, minum data, mimpi pun, mimpikan data. Data pula, data yang amat subjektif, amat-amatlah kompleksnya. Tetapi tidak mengapa, asalkan ada kemahuan, ada kehendak, maka akan terbitlah daya dan kekuatan untuk melaksanakannya hingga sempurna. Insyaallah ia akan berakhir dengan manis, dan kesusahan ini apabila ia sudah berlalu nanti ia akan menjadi kenangan indah terabadi di dalam hidup saya, suami dan tiga cahaya mata kami. Perjalanan masih panjang, selagi hayat belum terhenti, kita perlu terus melangkah dan berlari, mengejar waktu dan mengejar…. restu!

Jam menunjukkan pukul 11.25 pagi. Alaaa belum datang lagi si Diego ni, dah dekat sebelas setengah (rungutku dalam hati). Lambat lagilah jawabnya nak siap analisis ni. Tapi, tak mengapa, yang penting dia datang dan dia sanggup datang setiap hari (memujuk hati). Lambat sikit pun tak apa. Erm, walaupun setengah jam itu bukan lagi sikit namanya. Lebih kurang pukul 11.35 pagi loceng rumah berbunyi. Yeap dia datang. Lebih lambat daripada biasa pula hari ni. Tapi, tidak mengapalah kerna yang penting dia tetap datang dan syukurlah dia sanggup datang. Kan?

Aku meluru membuka pintu. Meluru, kerana kalau boleh aku tidak mahu mengsiakan walau sedetik pun waktu. Sebaik pintu dibuka terpacul wajah Diego, seperti biasa dengan wajah baru bangun tidurnya dan dengan senyumnya yang penuh gula. “Hola!”, dia menyapaku, sapaan lazim orang Sepanyol. “Hola!”, aku membalas sambil mengisyaratkan kepadanya agar masuk. Sebaik dia duduk, maka bermulalah sesi memperoses data untuk hari itu. Pukul 12.50 dia sudah menunjukkan isyarat mahu pulang. Ada hal katanya. Tetapi, sebelum keluar dia memberitahuku bahawa dia mahu memberikanku sesuatu. Sesuatu? Aku tertanya-tanya. Diego pula macam sengaja nak bagi aku suspen. “Tunggu”, katanya. “Saya balik kejap dan datang semula dalam beberapa minit”. Aku menunggu penuh teka teki.

Selang beberapa minit, Diego kembali. Mataku terpaku pada objek di tangannya. “Nah, terimalah hidangan balas dari kami buat anda sekeluarga”, katanya dalam nada ceria. “Apa tu?” tanya anakku yang sulung. “Oh, ini tarta de queso (kek keju), mak saya buat sendiri, khas untuk kalian semua”. “Wauu, nampak sedap dan menyelerakan”, kataku. “Ia enak dan manis, rasalah” usulnya. “Maaf, kami puasa, inikan ramadhan” kata hubby ku. “Eh lupa, maaf, so malam nantilah ya baru dapat rasa” balasnya. “Ya, malam nanti kami rasa, oh sungguh tidak sabar hendak memakannya”, kataku. Diego senyum lebar. “Ok, besok beritahu saya apa rasanya, ek!” pintanya. “Dah tentu, saya akan segera melaporkan kepada pihak sana nanti” jawabku dalam nada bergurau. Semua orang gelak termasuk Abdullah. Faham ke Abdullah? Diego meminta diri untuk pulang manakala aku, hubby dan anak-anak tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepadanya. “Peluk cium untuk mama ya” jeritku sebaik Diego sampai di depan pintu rumahnya yang betul-betul bertentangan dengan pintu rumahku. “Orait!” balas Diego. “Adiós” lambainya. “Adiós!” balas kami beramai-ramai.

Aku segera memasukkan kek keju tersebut ke dalam peti sejuk untuk mengelakkan kedua-dua anak daraku yang berpuasa berasa tersiksa kerana terliurkannya. Dari tadi masing-masing sibuk meneka-neka akan rasanya. “Macam karipapkah?” tanya Insyirah. “Apa rasanya mama? Pizza?” teka si Habibah pula. “Entah!” jawabku. “Biarlah rahsia dan menjadi misteri sehingga tiba waktu berbuka, misteri itu indah” kataku lagi. Manakala Abdullah sedikit pun tidak menunjukkan rasa ingin tahu atau minat terhadap kek tersebut. Abdullah memang anti segala kuih muih atau makanan manis. Tengok aje pun dia dah geli, usahkan nak makan. Aku tidak kisah kerana keadaaan itu sebenarnya bagus untuk kesihatan Abdullah. Tetapi jika Abdullah liat makan sayur atau buah maka baru aku bertindak.

Okeh, sekadar berkongsi secebis kisahku dengan jiran yang baik hati. Di bawah ini ku tampilkan dua keping gambar; gambar Diego dengan kek kejunya di depan pintu rumahku dan gambar kek keju dari dekat. Maka, adalah sedikit kelainan dalam menu berbuka puasa kami di ramadhan ini.

Jiran yang baik hati.

 

Kek Keju.

 

Seperti yang pernah ku nukil sebelum ini, Diego adalah jiranku yang juga adalah pembantuku dalam analisis data. Setiap pukul 11 pagi hingga 1 tengahari (Isnin – khamis), Diego akan datang ke rumahku untuk melaksanakan tugasnya sebagai pembantu analisis data. Aku amat berpuas hati dengan ilmu yang dimilikinya yang banyak memudahkan aku dalam analisis terutamanya dalam membuat klasifikasi yang agak rumit. Namun, aku sedikit terkilan dengan komitmennya daripada aspek waktu. Iaitu, datangnya lambat (kadang-kadang pukul 11.30 baru datang) dan pulangnya awal (selalunya 12.45 sudah meminta untuk pulang), sedangkan aku membayarnya berdasarkan hari (2 jam sehari). Namun, setiap kali keterkilangan menerpa, aku cuba memujuk jiwa dengan berkata; “syukurlah kerana dia ada dan dia sudi membantu, jika tidak, mungkin aku akan menghadapi masalah besar untuk menyiapkan kajian dan tesisku”. Bersabar sahajalah  walaupun ternyata ia memberi kesan kepada jadual pengajianku. Jika Diego datang tepat pada waktu, mungkin analisis ini boleh disempurnakan lebih awal dan aku boleh menumpu kepada hal-hal yang lain pula. Namun, terdetik pula persoalan di hati; “katakanlah Diego datang tepat pada waktu, adakah aku pasti yang analisis itu boleh disiapkan di dalam waktu?” Lalu, aku terus memujuk diri sendiri dengan berkata; “jika keadaan ini (sikap Diego dan kelewatan menyiapkan analisis) adalah merupakan ujian dari Allah untukku, maka pasti aku akan mampu melaluinya kerana Allah telah berjanji bahawa DIA tidak akan menguji melainkan kepada mereka yang mampu menghadapi”. Maka terubatlah lara di jiwa dengan rasa sebesar-besar syukur pula kerana, pertama; Allah telah membuka hati Diego untuk bersetuju membantuku, kedua; Allah mengujiku bermakna Allah mengasihiku, dan ketiga; Allah mengujiku bermakna Allah tahu aku mampu.

Berbalik kepada Diego, beberapa hari lepas aku telah memberikan kepadanya sebekas puding roti kismis. Ku masak dua loyang, satu untukku dan satu lagi untuk beliau dan keluarganya. Sebelum ini setiap kali aku memasak puding roti, hasilnya tidak pernah menghampakan, sedap dan cantik rupanya. Namun kali ini, kedua-dua puding rotiku sedikit hangus dek keralitan menganalis data di ruang tamu, tidak tersedar yang puding di dalam ketuhar telah separuh hitam. Namun oleh kerana aku telah pun memaklumkan kepada Diego yang aku sedang memasak puding untuknya dan dia nampak seperti tidak sabar-sabar hendak merasanya maka terpaksalah juga ku berikan kepadanya untuk dibawa pulang. Berkali-kali Diego mengatakan kepadaku; “daripada baunya, saya penuh yakin yang ianya amat enak dan saya tidak sabar hendak memakannya di rumah bersama ibu, ayah dan kakak saya”. Sebelum melangkah pulang sempat dia bergurau; “mungkin saya akan memakannya sorang-sorang di bilik tidur jika rasanya terlalu enak” disambut ketawa hubby yang terbahak-bahak. Manakala aku, tidak putus-putus berdoa moga puding tersebut enak dan menjadilah hendaknya. Malam, masuk sahaja waktu berbuka aku terus memakan puding tersebut kerana aku sudah tidak sabar-sabar hendak mengetahui rasanya. Adusss!! Sudahlah tawar, hangit pula. Memang ketara rasa hangitnya. Ku suarakan pada hubby yang aku berasa amat terkilan kerana telah memberikan kepada Diego dan keluarganya puding yang tidak sedap. Meskipun hubby memujuk dengan berkata; “tidak mengapa, mereka juga tahu yang kita berpuasa, so of coz lah tak dapat rasa”, tetapi hatiku tetap terbuku hingga malam itu aku tidak dapat tidur kerana asyik terbayangkan wajah Diego dan ahli keluarganya yang berkerut-kerut kerana memakan puding roti hangusku. Justeru, keesokkan harinya, sebaik selesai bersahur ku terus mengajak hubby membantuku mengepuk telur untuk dibuat puding karamel atau puding gula hangus pula. Aku berniat hendak memberikannya kepada Diego sebagai ganti kepada puding roti yang hampeh sebelumnya. Puding karamel tersebut berjaya dikukus dengan jaya dan aku tidak sabar-sabar hendak menunggu Diego datang untuk, pertama; mendengar komennya tentang puding rotiku yang semalam dan kedua; memberikan kepadanya puding karamel sebagai tanda memohon maaf.

Seperti biasa lebih kurang pukul 11.30 pagi Diego terjongol di muka pintu rumahku. Duduk sahaja di kerusi, aku terus meminta maaf daripadanya berkali-kali kerana telah memberikannya puding yang tidak sedap. Manakala Diego pula berkali-kali mengatakan; “ianya ok, cuma rasanya sedikit tawar. Tapi tak mengapa sebab kami telah memakannya dengan merendamkannya ke dalam susu terlebih dahulu”, sambil gelak kecil. Aku berasa sedikit lega apabila mengetahui Diego dan keluarganya tetap boleh menikmati puding tersebut dengan sedikit kreativiti dan modifikasi. Ketika Diego hendak pulang, aku telah menyerahkan kepadanya seloyang puding karamel sambil berkata; “nah, terimalah puding karamel ini. Ia sebagai ganti kepada puding roti yang separuh hangus semalam. Harap-harap ianya sedap”. Diego nampak terkejut namun tetap mengambilnya tanpa banyak soal kerana sudah menjadi budaya orang Sepanyol untuk tidak menolak pemberian sebaliknya cuba menerimanya dengan senang hati. Aku amat gembira dan berdoa agar puding karamel itu enak di lidah mereka sebagaimana ia tidak pernah tidak enak di lidahku dan keluarga. Keesokkan harinya, sebelum sesi analisis data bermula, Diego, dengan suara separa berbisik telah memberitahuku yang puding karamel tersebut sangat sedap dan disukai oleh semua ahli keluarganya. Aku senyum hingga ke telinga, rabit hingga ke belakang kepala. Kemudian, dengan ikhlasnya Diego memintaku menyenaraikan bahan-bahan yang tidak boleh dimakan oleh orang Islam. Dia memberitahuku bahawa ibunya mahu memasak sesuatu untukku sebagai membalas pemberianku. Namun, ibunya risau jika bahan-bahan yang akan digunakannya nanti tidak boleh dimakan oleh ku dan keluarga. Dengan senang hati aku menjelaskannya kepada Diego dan Diego telah mendengarnya dengan teliti serta penuh minat.

Moralnya, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Tidak rugi berbuat baik sesama manusia walau apa pun bangsa dan agama mereka. Kerana Islam itu indah dan mudah, baik dan cantik. Islam adalah mulia, adalah agama untuk semua.

Selamat meneruskan Ramdhan dariku, hambaNya yang hina.

Puding roti yang dibuat tahun lepas, elok jerr jadi.

 

Ini juga adalah hasil air tangan tahun lepas.

Pada 17 Jun 2011 yang lalu, saya ada menampilkan sekeping gambar di dalam blog ini dan meminta pembaca meneka apakah bendanya di dalam gambar tersebut. Dan janji saya, jawapan kepada teka teki itu akan saya tampilkan kemudian. Ada beberapa orang pembaca budiman yang telah meneka dan menghantar jawapannya kepada saya. Janji saya lagi, kepada pemenang iaitu orang pertama yang berjaya meneka dengan tepat akan saya hadiahkan cenderahati dari Sepanyol. Insyaallah, saya berpegang kepada janji. Maka pada hari sabtu yang ceria ini, 30 hb Julai 2011, saya dengan ini mengumumkan bahawa pembaca yang telah meneka dengan tepat sekaligus menjadi pemenang ialah PUAN NYSMA WAHAB dari Pahang Darul Makmur Malaysia (beliau berasal dari Kedah, bertugas di UMP, Pahang). Dan jawapannya ialah; PUDING KARAMEL. Tahniah kepada Puan Nysma dan hadiah akan diserahkan samada menerusi pos atau diserahkan sendiri oleh kedua tangan saya esok-esok ketika pulang ke tanah air (bergantung kepada keadaan). Namun, saya akan pastikan hadiah tersebut berada di dalam tangan puan walau apa pun caranya. Terima kasih dan tahniah sekali lagi atas kesudian meneka dan menceriakan sebahagian daripada hari-hari saya.

Di bawah ini ditampilkan gambar penuh objek yang diteka. Ianya adalah puding karamel yang menjadi kegemaran saya dan hubby sejak sekian lama. Namun, karamel yang ini agak banyak dan ketara rekahannya berbanding yang dibuat sebelum ini. Dari kecil saya memang suka makan puding karamel. Seloyang tidak cukup untuk saya seorang. Akan tetapi kegemaran saya memakan puding ini tidak diwarisi oleh anak-anak saya. Saya dapati anak-anak saya tidak berapa menggemari benda-benda manis terutamanya Abdullah yang amat anti manis. Dari satu segi, saya patut bersyukur kerana mereka tidak sukakan makanan manis yang seperti kita semua sedia maklum tidak bagus untuk kesihatan. Berbalik kepada puding karamel, bagi saya ia adalah antara kuih yang amat mudah dibuat dan sedikit sahaja bahan-bahan yang diperlukan untuk membuatnya. Telur, susu segar, gula dan gula hangus. Selalunya saya menggunakan 7 biji telur untuk satu liter susu. Gula pula, bergantung, kadang-kadang sedikit, kadang-kadang tercurah banyak. Vanila? Saya lebih suka tanpa vanila kerana rasa dan aroma semulajadi telur dan susu akan lebih menyerlah tanpanya. Bau telur hanyir? Oh, tidak di hidung pesek saya dan hubby. Kami berdua adalah penggemar keaslian dan kesemulajadian sejak sekian lama. Okey, nikmatilah rekahan karamel di bawah, sesuai sebagai juadah berbuka puasa nanti.

 

 

Peberet saya dan hubby.

 

Rekahan yang menambah selera.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...