Budaya memberi hadiah adalah universal yakni ia wujud di semua negara dan diamalkan oleh semua bangsa. Hadiah boleh diberi oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua, dalam apa jua bentuk dan rupa, pada bila-bila masa, atas apa jua sebab dan alasan atau boleh juga tanpa sebarang motif. Hadiah boleh diterima daripada seorang yang lebih dewasa atau sebaliknya, oleh lelaki atau sebaliknya, oleh mereka yang berstatus lebih tinggi atau sebaliknya, oleh mereka yang tidak dikenali atau sebaliknya, oleh mereka yang kaya atau sebaliknya, malah oleh sesiapa jua kepada sesiapa jua. Hadiah boleh bersifat konkrit atau abstrak, boleh berupa material atau moral, boleh dilihat dan disentuh atau sebaliknya, malah senyuman dan doa juga boleh menjadi hadiah. Hadiah boleh diberi atas apa jua alasan, kejayaan, kejuaraan, kemenangan, sokongan, motivasi, galakan, rangsangan, ikatan, kegembiraan, kebahagiaan, kepercayaan, malah hadiah juga boleh diberi tanpa sebarang alasan. Namun, hadiah lazimnya dikaitkan dengan kegembiraan atau sesuatu yang berunsur positif.

Apa yang hendak aku nukilkan di sini sebenarnya ialah perbezaan di antara dua budaya, Melayu dan Sepanyol dalam konteks menerima hadiah. Seperti yang telah aku nyatakan di atas, amalan memberi hadiah wujud dalam kedua-dua budaya, malah wujud dalam semua budaya yang ada di dunia ini. Namun, ada sedikit perbezaan dari sudut penerimaan hadiah atau lebih tepat lagi perbezaan dari segi cara penerima menunjukkan penghargaan atau rasa terima kasihnya kepada si pemberi atas hadiah yang telah diterima. Perbincangan ini adalah terhad kepada pemberian hadiah berupa material yang lazimnya dibungkus atau dibalut bertujuan menimbulkan kesan kejutan atau tertanya-tanya di pihak penerima, atau boleh jadi ia dibungkus untuk mengelakkan rasa malu atau rendah diri di pihak pemberi jika hadiah itu tidak seberapa dari segi rupa dan nilai kebendaannya.

Seperti yang diketahui, membuka bungkusan hadiah di hadapan si pemberi dalam budaya Melayu, adalah dianggap sebagai tidak sopan atau tidak beradab. Masyarakat Melayu mengaitkan hal tersebut dengan kegelojohan, kebendaan, ketamakkan, ketidak-sabaran dan seupamanya. Ia bukan sahaja memberi imej buruk kepada penerima hadiah, malah juga boleh mengaibkan pemberi hadiah. Bayangkan, jika si pemberi adalah seorang miskin yang hanya mampu membeli barang murah untuk dihadiahkan kepada si penerima dan hadiah tersebut dibuka di hadapan orang lain termasuk pemberi sendiri, maka keadaan itu boleh mengaibkan pemberi atau boleh membuatnya berasa rendah diri. Membuka hadiah secara terus sebaik berpindah tangan terutamanya dalam majlis yang dihadiri ramai orang adalah amat tidak sopan. Ia tidak lebih dari menunjukkan ketidak-pekaan penerima terhadap perasaan orang lain dan juga seolah-olah seperti hendak membanding-bandingkan hadiah yang diberi oleh seseorang dengan seseorang yang lain. Ia boleh menjatuhkan air muka pemberi. Berbeza halnya dengan amalan yang dilakukan oleh pengantin masa kini yang membuka hadiah-hadiah yang diterima selepas selesai upacara persandingan kerana ia dilakuan setelah kesemua jemputan pulang. Lazimnya ia dilakukan di hadapan ahli keluarga dan sanak saudara terdekat untuk menambah meriahkan lagi suasana.

Namun, keadaan adalah di sebaliknya dalam budaya Sepanyol. Hadiah yang tidak terus dibuka di hadapan pemberi akan melukakan hati pemberi. Masyarakat Sepanyol berpendapat bahawa hadiah perlu dibuka di hadapan pemberi kerana ia melambangkan kepercayaan, penghargaan, kegembiraan, kebahagian, kesyukuran dan seumpamanya di pihak penerima. Seseorang itu akan dianggap tidak sopan dan tidak beradab jika tidak terus membuka bungkusan hadiah sebaik menerimanya daripada pemberi. Jika hadiah tersebut tidak terus dibuka, pemberi akan berasa yang dirinya seolah-olah seperti tidak berharga dan hadiah yang diberi seolah-olah seperti tiada nilainya. Bagi mereka, tergesa-gesa membuka hadiah di hadapan pemberi adalah suatu kemuliaan kerana ia menunjukkan bahawa si penerima begitu gembira hingga tidak sabar-sabar hendak melihatnya. Semakin rakus si penerima membuka bungkusan, semakin si pemberi berasa bangga dan gembira kerana itu menunjukkan yang si penerima begitu menghargai hadiah tersebut dan amat bersyukur menerimanya. Sebaliknya pula, jika hadiah yang diberi itu diletak ketepi atau dibawa masuk ke bilik atau disorokkan dahulu, maka si pemberi akan berasa rendah diri dan keciwa kerana beranggapan ia tidak istimewa dan tidak dihargai oleh si penerima.

Maka, andai suatu hari anda menerima apa-apa hadiah daripada mana-mana orang Sepanyol, maka bukalah bungkusannya cepat-cepat di hadapan si pemberi itu sendiri kerana itulah sebesar-besar penghargaan dan terima kasih yang boleh anda tunjukkan atas kesudian dan susah payah mereka memberikan anda hadiah. Dan apabila tiba giliran anda pula memberi hadiah kepada mereka, janganlah pula terkejut atau berasa pelik jika hadiah itu dibuka dengan gelojohnya di hadapan anda atau orang lain kerana itulah caranya mereka menunjukkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada anda yang telah memberikan mereka hadiah.

Antara perkara yang paling aku suka di Sepanyol ialah layanan “first class” pemilik kedai baju dan pekerja-pekerja mereka terhadap para pelanggan. Walau apa pun status kedai, dari kedai baju biasa hingga ke butik-butik berjenama, layanan yang diberi adalah sama, memuaskan. Mereka amat profesional dalam menyediakan perkhidmatan dan sungguh beradab dalam memberi layanan. Sentuhlah nak sentuh apa pun baju, cubalah nak cuba sebanyak mana pun baju, pelanggan tidak akan dimarahi malah langsung tidak akan diperhati. Mereka juga tidak kisah andai pelanggan mahu mencuba kesemua baju yang ada di dalam kedai, malah menggalakkan. Jika pelanggan keluar dengan tangan kosong, yakni tidak membeli apa-apa, mereka pula yang akan meminta maaf berkali-kali, kerana itu tandanya mereka telah gagal memuaskan hati atau menyempurnakan apa yang dihajati pelanggan. Jadi, bolehlah dikatakan bahawa, aktiviti membeli belah di sini tidak mempunyai unsur-unsur tekanan, menyebabkan jiwa pelanggan menjadi riang dan tenang. Bukan itu sahaja, baju yang dibeli juga boleh ditukar atau dikembalikan. Malah, sebahagian kedai tidak menetapkan tempoh pemulangan, bermakna pelanggang boleh menyimpan baju-baju yang telah dibeli selama mana yang diingini dan jika dipulangkan kemudiannya, duit akan dikembalikan sepenuhnya. Itu barulah benar-benar berketepatan dengan konsep pelanggan adalah raja.

Amatlah berbeza keadaannya dengan di Malaysia. Di tanah air kita, cara pekedai melayan pelanggan seolah-olah seperti pelanggan dijatuhkan hukuman wajib membeli. Sebaik melangkah masuk sudah diperhati seperti penjenayah. Paling berbulu ialah sikap pekedai atau pekerja-pekerja yang datang membaiki kedudukan baju ketika kita masih sedang menilik-nilik. Keadaan itu menggambarkan yang seolah-olah mereka tidak suka kedai mereka dikunjungi pelanggan. Jika begitu keadaannya, macam mana rezeki nak masuk? Itu belum lagi bab menerang atau menjawab pertanyaan pelanggan. Sudahlah pelanggan dihidangkan dengan ekspresi wajah yang tidak mesra alam, apabila ditanya itu ini, dijawab pula secara lebih kurang. Kadang-kadang cara mereka menjawab seolah-olah seperti mereka amat geram dan tidak suka dengan kehadiran pelanggan. Pelik, bukan? Paling pening, apabila wujud kedai baju yang meletakkan tanda “TIDAK DIBENARKAN MENYENTUH ATAU MENCUBA” di rak-rak baju jualan mereka. Sungguh kurang cerdik hingga anak-anak kecil pun boleh tertawa dan berkata; Hahaha, mama, kelakarlah,  tak boleh sentuh dan cuba, habis tu macam mana kita nak tahu baju tu sesuai atau tidak dengan kita? Erm, bijak sangatlah tu. Kalau dah tak boleh sentuh dan cuba, lebih baik ditulis begini, “TIDAK DIBENARKAN MEMBELI”, kemudian tutup kedai, kan senang?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...