Tika dedahan primavera dihembus angin melambai-lambai
dan mereka berumah di rumput reramai,
Tika suria yang garang
menumpah sinarnya yang gemilang,
Tika awan membiru
dan similir menderu,
Tika lebah-lebah berpesta madu
dan orang-orang tidak mahu berbaju,
Tika sungai berhenti berolak
dan laut ketandusan ombak,
Tika beburung menyanyi mengalun adiós invierno
dan rerama mengepak-ngepak berlarian di awan nano,
Tika ranting-ranting yang botak mula bertunas
dan putik-putik mekar pantas,
Tika warna mendung
berubah segar,
Tika wajah yang murung
bertukar mekar,
Tika rindu untuk pulang bergelora
tika sayu untuk meninggalkan berleluasa,
Tika hati mahu menjerit tidak
mulut dibisukan oleh perasaan yang bukan kehendak,
Tika pedih menyiyat-nyiyat jiwa
dan sedih dari segala sedih mengoyak rasa,
Mahu sahaja aku ke gunung
dan di puncaknya melaung
bingunggggggggggggggggg!!!!
 
SUBHANALLAH!
bukankah ada DIA yang agung?
tempat sebenarnya mengadu
meraung?

 

Sekuat manapun tekad
segagah manapun kederat
pada DIA jua akhirnya tertiarap
meratap …
 

 

Tika membaca bait-bait ini, anda senyum. Ia bukan buah fikir, bukan juga lontaran rasa, ia… entah! Namun, senyumlah juga kerana setiap kali anda senyum menampakkan gigi yang tersusun santun dalam safnya, anda sebenarnya sedang mengepakkan jiwa anda. Dan bila kepak itu panjang dan semakin panjang, anda mampu terbang!

Saya tidak mengharapakan anda faham, saya cuma berharap anda senyum…

Valladolid, Primavera 2012

..bahawa tiada sesiapa yang menyuruh anda mati dengan memotong sayap-sayap anda untuk terbang …

“Matahari yang menipu”, kata orang sepanyol. Sinarnya garang, seolah-olah terik panasnya, tetapi bahangnya tidak cukup untuk menyingkir dingin di hujung winter yang menyucuk-nyucuk tulang dan menikam-nikam rasa. Salji sudah pergi, waktu berlari, dan di bilik yang berkabus ini, ada insan yang masih bergelut untuk sekepal cahaya di hujung usianya …

Río Pisuerga, Valladolid

 Si lloras por haber perdido el sol, las lágrimas no te dejarán ver las estrellas (Rabindranath Tagore).

(Jika kamu menangis kerna kehilangan matahari, maka air matamu akan menghalangmu dari melihat bintang)

Río Pisuerga Valladolid

El Sol no espera a que se le suplique para derramar su luz y su color. Imítalo y haz todo el bien que puedas sin esperar a que se te implore (Epicteto).

(Matahari tidak menunggu dirinya dirayu untuk menumpahkan cahayanya. Ikuti ia dan lakukan yang terbaik tanpa menunggu ia mengemis kepadamu).

Río Pisuerga, Valladolid

Si el sol pudiera mirarte, nunca sería de noche (Anónimo)

(Jika matahari boleh melihatmu, nescaya tidak pernah ada malam)

15. March 2012 · 2 comments · Categories: Jiwa

Meskipun kadang-kadang kelihatannya seperti kita ini tidak terbuat apa yang kita sendiri nasihatkan atau sarankan kepada orang lain, tetapi, teruskanlah juga menasihati, teruskanlah juga menyaran, teruskanlah juga berpesan-pesan, teruskanlah juga menyeru kepada kebaikan. Hari ini, mungkin atas sebab-sebab tertentu kita tidak “ter” laksanakannya, namun, atas sebutan, atas pesanan, atas seruan yang berterusan, insyaallah suatu hari nanti Allah akan membuka hijab hati kita untuk ketagih melakukan kebaikan. Tidak salah berangan untuk memegang watak suci seputih kapas seperti di dalam al Quran, malah beranganlah kerana itulah titik mula sebuah perubahan, yang asalnya adalah sebuah angan-angan. Setiap orang berhak untuk berhati baik, setiap orang berhak untuk berkelakuan baik, setiap orang berhak untuk berkata baik, setiap orang berhak untuk menjadi baik, malah setiap orang berhak untuk berfikir bahawa dirinya adalah baik. Tetapi, jika diri sendiri terasa hitam silalah hitam sorang-sorang, namun, kepada orang lain, serakkanlah keputihan agar dunia ini penuh dengan kecerahan, agar dunia ini penuh dengan kesinaran, agar dunia ini penuh dengan kecahayaan dan kegemerlapan iman.

Hidayah itu hak Allah, sifatnya misteri tetapi indah. Ada orang Allah bagi hidayah dengan cara Allah jentikkan hatinya untuk menyeru orang lain berbuat baik meskipun dirinya sendiri masih tunggang terbalik. Menyeru orang lain berbuat baik adalah salah satu cara untuk mengikat diri sendiri dengan tali rumbu ramba kebaikan. Memberi nasihat jauh lebih mudah dan seronok berbanding menerima nasihat. Namun hakikatnya, terbeban ke atas bahu orang yang memberi nasihat itu dua tanggungjawab. Pertama, tanggungjawab untuk menguatkuasakan nasihat tersebut ke atas dirinya sendiri. Dan kedua, tanggungjawab untuk menguatkuasakan nasihat tersebut ke atas orang lain. Maka, marilah kita membantu dan menyokong mereka dengan berkata “teruslah menyeru kepada kebaikan moga seruan itu juga menjadi amalan harian kamu”, dan usah berkata “hek elee, suruh orang buat baik, dia sendiri hampeh!”. Orang Terengganu kata “kalau kita perangai huduh, dokkang kita nok suruh orang lain perangai huduh etek?”

Berusahalah untuk hati menjadi seputih salji dan sesuci kanak-kanak yang belum berdosa.

Valladolid, winter 2008.

Maafkan mereka dan senyum, maka hati menjadi harum dengan ketenangan yang ranum. Perbezaan sebenarnya adalah satu rahmat, kerana dari situ manusia belajar tentang hormat dan muafakat. Sengketa bukan untuk berpecah, ia adalah latihan untuk menambah taqwa kepada Allah!

Jumaat terakhir tahun ini, langit Valladolid amat mendung, seolah-olah bersedih kerana bakal meninggalkan 2011 yang menyimpan sejuta ceritera, suka dan duka, manis dan sadis, ria dan hampa. Segalanya terjalin dalam acuan qadar yang telah ditentukan dan berjalan mengikut qadak yang telah ditetapkan. Berkata sabar itu mudah, berbenar-benar sabar itu payah. Untuk jiwa menerima ketentuan bukan semudah lidah mengungkapkan. Namun, redhalah jua kerana kita ini hanya hamba yang tidak layak sedikit pun untuk mempersoalkan takdir DIA, pemilik dan empunya segala semesta.

2012, melangkah penuh taqwa…Insyaallah!

Valladolid, Autum 2011

Sejuk perut mendengar suara anak-anak mengaji setiap kali selepas subuh dan sebelum tidur (dua waktu yang diwajibkan). Budaya mencintai al Quran dan bertali arus membacanya harus dipupuk dari kecil. Harus diterangkan juga kepada anak-anak bahwa membaca Quran bukan sekadar untuk khatam tetapi ia ibarat mengulangkaji buku-buku sekolah untuk menghadapi peperiksaan. Jika peperiksaan di sekolah hanya dilakukan sekali atau dua kali sahaja di setiap semester, peperiksaan atau ujian dari Tuhan berlaku di setiap saat dan di setiap ketika. Sesungguhnya Allah menguji kita di setiap masa, maka ulangkaji (membaca Quran) untuk menghadapinya juga harus dilakukan di setiap masa…, baca sedikit, tahu/ingat sedikit, lulus sedikit, markah pun sedikit, sebaliknya baca banyak, tahu/ingat banyak, lulus banyak, markah pun banyak!

Untuk mengelakkan anak-anak faham bahawa Quran dibaca sekadar untuk khatam maka elakkan juga membuat majlis besar-besaran apabila mereka khatam al Quran. Jika mahu menghadiahkan mereka sesuatu sebagai galakan dan tanda penghargaan, boleh, tetapi jangan berlebihan atau keterlaluan hingga tampak seolah-olah itulah matlamat akhir membaca al Quran. Jika itu berlaku, selalunya mereka akan berpuas hati di setakat itu sahaja dan sebaik khatam mereka enggan atau berasa tidak perlu untuk terus mengalungkan al Quran lagi. Ini saya perhatikan di kampung-kampung malah juga di bandar-bandar di mana kanak-kanak yang telah khatam al Quran tidak akan kembali ke rumah tok gurunya lagi untuk mengaji malah di rumah sendiri pun mereka sudah tidak mahu mengaji lagi kerana beranggapan tujuan mengaji telah pun tercapai sebaik mereka khatam surah terakhir. Lebih-lebih lagi jika ia diraikan pula dalam majlis besar-besaran yang membuatkan mereka bertambah yakin bahawa khatamlah matlamat akhir membaca al Quran. Mari bertanya kepada diri, yang mana sebenarnya matlamat hakiki; khatam dan selesai, atau terus membaca, menghayati dan mengamalkan yang disuruh serta meninggalkan yang ditegah di dalamnya di sepanjang hidup kita selagi nyawa di kandung badan? Kualiti kita di negeri abadi nanti tidak dinilai daripada berapa kerapkah kita khatam al Quran tetapi dihitung daripada berapa banyakkah amalan yang telah kita lakukan yang berlandaskan al Quran, kitab suci Tuhan!

Selamat memupuk budaya membaca dan mencintai al Quran dalam kalangan anak-anak. Dari saya, hambaNya yang hina.

Autumn 2011, Valladolid.

Belum lagi pulang namun saya sudah mula berasa kehilangan, kerinduan dan ketersangatan dalam keinginan untuk kembali ke sini. Seolah-olah saya sudah berada di tanah air dan sedang keterseksaan dalam menanggung rindu kepada daerah di mana saya bermusafir. Meski di sini segalanya berbeda dan sukar, tetapi di hati, kasih berbunga dan mekar…

Valladolid, Autum 2011

 

Valladolid, Autum 2011

Akhirnya kita terpaksa jua mengakui bahawa segala kesakitan dan keperitan yang kita alami selama ini adalah sebenarnya kesan daripada kecintaan kita yang lebih kepada kedunian. Mencintai makhluk lebih daripada mencintai Khalidnya, menggantungkan harapan kepada manusia lebih daripada menggantungkan harapan kepada Penciptanya, meletakkan rasa percaya kepada hamba lebih daripada mempercayai Pemiliknya. Akhirnya, apabila yang berlaku tidak seperti yang ditunggu, apabila yang terjadi tidak seperti yang diimpi, dan apabila yang mendapat tidak seperti yang diharap, maka akan sengsara dan tersiksalah jiwa, maka akan luka dan sakitlah hati, maka akan tersepit dan menderitalah diri. Berlapang dadalah untuk menyoal; cerdikkah mencintai yang fana? Sedangkan mencintai Tuhan lebih dari segala-galanya itu adalah sungguh nikmat, tidak perlu runsing akan derita kehilangan, tidak perlu resah akan derita dikeciwakan, dan tidak perlu menghitung hari DIA akan pergi. Kerana DIA itu kekal, kerana DIA itu abadi, kerana cinta DIA terhadap kita, pasti!

Kerja adalah amanah Allah, adalah ibadah kepada Allah yang jika dilakukan dengan ikhlas akan mendapat pahala yang sangat besar dari Allah. Jika semua pihak dari se atas-atas kedudukan hingga ke se bawah-bawah kedudukan berkerjasama dengan baik dan berusaha meningkatkan prestasi diri, insyaallah kontoversi pun tidak akan wujud. Menghormati dan menunaikan hak orang lain yang telah diamanahkan kepada kita dengan baik adalah termasuk dalam usaha untuk mengurangkan atau menghilangkan “kontroversi”. “Kontroversi” dalam hubungan kita sesama manusia tidaklah seberapa berbanding “kontroversi” dalam hubungan kita dengan Allah. Namun, “kontroversi” dalam hubungan kita sesama manusia juga boleh mencetuskan “kontroversi” dalam hubungan kita dengan Allah. Allah mencipta manusia itu ramai, dari pelbagai puak dan keturunan adalah untuk kita berbaik sangka dan hidup dalam harmoni dan aman. Daripada Dia kita datang kepada Dia kita kembali…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...