Mengidolakan adalah menghayati dan mempraktis seluruhnya kelakuan sang idola. Selamat meningkatkan keidolan kepada baginda Rasulullah s.a.w dalam segenap kehidupan.

Baginda tidak meminta diraikan kelahirannya tetapi baginda menyeru diamalkan ajarannya.

SEDAR ialah kita tersentak dan bertindak, bukan mengucapnya di mulut tetapi duduk memeluk lutut. Dan untuk SEDAR, kadang-kadang hati perlu “dibakar”, biar leka menggelupur, biar khayal tersungkur. Biar nanti yang tinggal adalah abu-abu yang akan menjadi baja kepada percambahan tunas-tunas jiwa yang segar dan baru.

Apa kaitan tart nanas di dalam gambar di bawah dengan persoalan sedar di atas? Baca seterusnya ulasan di bawah gambar…

Kaitan tart nanas dengan isu di atas ialah ia merupakan analogi mudah untuk memahami maksud sedar. Tart nanas dipilih kerana ia merupakan antara biskut raya yang popular dan digemari ramai termasuk diri saya sendiri.

Saya memang hantu tart nanas. Saya tidak ada masalah untuk memamahnya tanpa henti hingga ke balang ketiga pun di dalam satu-satu masa. Yang menjadi masalah ialah untuk berhenti. Saya tahu atau sedar bahawa memakannya dalam kadar yang banyak adalah tidak baik untuk kesihatan dan boleh menjadi punca obes disebabkan oleh kandungan gulanya yang tinggi.

Namun, apalah maknanya jika hanya diucap “saya sedar” tanpa apa-apa usaha atau tindakan untuk berhenti memakannya. Itu bukan sedar tetapi menipu diri sendiri mengatakan sedar. Tetapi untuk berhenti menikmatinya nasihat yang lembut kadang-kadang tidak berbekas maka perlu kepada nasihat yang keras yang berbaur ugutan misalnya dan dengan perkataan-perkataan yang boleh menggerunkan saya tentang bahaya memakannya terlalu banyak (inilah yang dimaksudkan dengan “kadang-kadang hati perlu dibakar”). Maka barulah saya seolah-olah seperti tersentak, tersedar dari lamunan ketart-nanasan yang mengasyikkan yang kemudiannya menggerakkan pula anggota badan saya seperti tangan dan mulut daripada berhenti mengambil dan mengunyahnya. Begitu.

Selamat sedar diri, dari saya hambaNya yang hina.

Pakaian yang sopan dan senonoh bukan sahaja membuatkan mereka yang berhati sopan dan senonoh sejuk memandang, tetapi juga menjadi motivasi yang kuat untuk pemakainya menyopan dan menyenonohkan kelakuan mereka sendiri. Tetapi jika ada yang berpakaian sopan dan senonoh tetap tidak sopan dan senonoh dalam perangainya, maka itu bukan salah pakaian, itu adalah manifestasi kegagalan pemakai untuk menyopan dan menyenonohkan niat mereka sendiri dalam berpakaian begitu.

_____________________________________________________________________________________________

Adapun di Sepanyol darul jauh ini, tiba sahaja summer ataupun belum tiba tetapi dekat-dekat hendak tiba maka berlucutanlah kain-kain di badan bangsa mereka. Kadang-kadang pakaian mereka itu adalah pakaian semulajadi, iaitu pakaian yang sama yang mereka pakai ketika mereka dilahirkan ke dunia ini. Pada mereka tubuh dan seluruh yang ada padanya sudah tidak ada nilai, malah bodohlah jika tidak dipamer, ditayang-tayangkan kepada orang ramai.

Apa nak malu? Jawab beberapa orang yang sempat saya interview. Malah belum sempat soalan-soalan seterusnya diaju, saya pula diterjah pertanyaan bertalu-talu; Awak tak malu ke bertutupan begini seolah-olah seperti memperkecil-kecilkan anugerah Tuhan yang telah mengurniakan kita keindahan tubuh badan?. Hoho, tu diaa, mereka pula yang lebih-lebih bersyarah tentang Tuhan dan ciptaanNya. Takpelah, golongan begitu tidak perlu diusaha hujah kerna mereka memang telah sesat dalam pemahaman mereka sejak dari hari pertama mereka tahu berfikir lagi. Yelah, kalau sudah dari kecil diwarwarkan berbogel sebagai amalan mulia, sebagai salah satu cara menyatakan kesyukuran konon-kononnya, maka apa lagi malu yang mereka ada untuk bertelanjang bulat ketika dewasa? Bangga lagi ada.

Tetapi kepada yang datang bertanya, yang datang untuk meminta kepastian, maka mereka itu wajar dihujah, perlu diterang dan harus difahamkan tentang prinsip dan kebenaran agama kita. Mengapa? Kerana mereka yang bertanya itu adalah mereka yang ingin tahu, adalah mereka yang mencari jawapan dan mungkin juga mereka yang sedang tercari-cari kebenaran. Maka, praktikkan segala skill yang ada untuk sekurang-kurangnya mengetuk bongkah minda mereka kalaupun tidak memecahkannya.

Jika tidak mampu berhujah agama disebabkan sensitiviti atau faktor keselamatan, maka berusaha untuk menjelaskan kepada mereka tentang budaya dan pegangan adat kita juga sudah memadai sebagai titik mula dakwah dan perjuangan. Kadang-kadang orang barat pantang mendengar kita bercakap soal agama, mereka akan cenderung memandang kita sebagai extremist atau terrorist. Ingat, dakwah perlu tabah dan istiqamah, perlu juga kepada kemas dan berhikmah. Bukan pakai redah, pakai terjah dan pakai belasah ikut rasa marah. Kan?

Amapola, antara kurnia Pencipta kepada hambaNya yang hanya terbit atau berbunga di kala primawera (spring) dan verano (summer).

Mari menyenonohkan pakaian dan kelakuan, dari saya, hambaNya yang hina.

Mama, boleh dak adik nak buat surprise untuk mama?

Surprise? Surprise apa?

Surprise hari lahir.

Bila?

Pada hari lahir mama laa..

Macam mana nak buat tu?

Adik akan suruh mama pergi kedai, masa mama takde adik akan hiaskan meja dengan bunga dan belon, kemudian bila mama balik, mama buka pintu ….. surprise!!!!!!

Kakak nak buat surprise jugalah, kakak nak letak hadiah atas meja, hadiah tu kakak tutup dengan kain, mama ingatkan apa, bukak-bukak taraaaaa ……surprise!!!! (menyampuk si kakak).

Tapi mama jangan bagitahu kat mama sendiri ya adik dan kakak nak buat surprise, k? ………….tapi, aikk, aarrr??? (garu2 kepala)

(dia baru sedar yang dia sedang menceritakan surprise yang dia rancang untuk mengsurprisekan mama, kepada mama sendiri)!!

¡¡¡¡Dia terkantoi!!!!

 _______________________________________________________________________________________________________

Hahahahahaha, rasa macam tak nak bagi jer anak-anak menjadi dewasa, kan? Rasa macam nak mereka kanak-kanak selamanya. Kerna hati nurani kanak-kanak sungguh suci, sungguh murni dan putih bersih seperti embun pagi. Mereka sentiasa ikhlas dalam ekspresi diri. Meskipun kadang-kadang mereka itu memeningkan tetapi kehadiran mereka di dalam hidup kita amat-amatlah membahagiakan.

Mereka memberi makna kepada kehidupan, mereka memberi kita peluang untuk mengecap segala rencah yang wujud di dalam perasaan; suka, duka, pahit, tawar, ria dan debar. Mereka membuatkan hidup kita penuh dengan surprise-surprise yang tidak terduga. Bayangkan jika mereka tiada, hidup sungguh sunyi dan sudah tentu ibu bapa akan berada dalam keadaan yang “tidak tahu hendak buat apa”.

Masa kita terisi dengan telatah “macam-macam” mereka, hidup kita beerti dengan proses kedewasaan mereka. Jika wujud segelintir manusia yang tidak suka kepada kanak-kanak dan tidak tahu menghargai, apatah lagi menyiksa mereka, maka saya tidak tahu manusia jenis apakah mereka itu, perlu dibencikah atau dikasihani? Perlukah dihumban ke gaung api, atau dirawat diberi terapi?

Saya juga manusia biasa, kadang-kadang terkhilaf jua dalam bertingkah laku dan bertutur bicara dengan mereka. Tetapi jika itu berlaku, saya akan mencari satu waktu khusus untuk memesrai mereka, meminta maaf kepada mereka dan cuba mengkanak-kanakkan diri saya sendiri agar mereka berasa yang saya sungguh-sungguh menyesal dan mahu mereka menerima saya semula. Jangan lupa ya, pelukan dan ciuman adalah penawar paling mujarab untuk membeli hati dan jiwa anak-anak.

Mengapa perlu membeli hati dan jiwa mereka? Atau, mengapa perlu melayan mereka seperti permaisuri atau raja? Ahh, jangan pula kita lupa, besok-besok waktu kita tua, kita mahu kita juga dilayan seperti raja, kita juga mahu diri kita menjadi permaisuri di hati mereka, kita mahu kita sebagai ibu bapa tidak dilupa, malah selamanya bertahta di dalam ingatan mereka. Kita mahu mereka terus-terusan mendoakan kita selepas kepergian kita. Tetapi tidakkah pelik, jika kita mengharapkan begitu dari mereka sedangkan terlebih dahulu kepada mereka kita memperlakukan sebaliknya, menganggap mereka sebagai beban dan menyusahkan, menganggap kehadiran mereka sebagai bala dan menyulitkan.

Sayang tidak cukup jika hanya disimpan di dalam perasaan, atau sekadar diluah pada semata-matanya ucapan. Sayang, jika benar-benar sayang, perlu diserlahkan ke dalam tindakan, perlu dimanifestasikan, harus didemostrasikan ke dalam perlakuan yang kanak-kanak boleh faham bahawa sesungguhnya mereka itu kita sayang. Jika makna sayang itu sekadar pada ungkapan “I love u”, kerbau pun mampu berkata yang sama jika diajar, diasuh bercakap setiap hari. Maka, apa bezanya kita dengan kerbau?

Bersungguh-sungguhlah kita wahai ibu bapa untuk mengajak anak-anak menjadi hambaNya yang berjaya. Kejayaan adalah subjektif. Tidak semestinya di dalam pelajaran. Namun, walau apa pun mereka jadi di masa depan, matlamat utama kita adalah untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan dan untuk memerdekakan diri mereka daripada ketakutan selain daripada Tuhan.

Cuando nace un niño nace la esperanza de un mejor mundo, la esperanza se pierde cuando los padres no lo saben educar (Bila lahir seorang kanak-kanak maka lahirlah harapan untuk dunia yang lebih baik, harapan musnah apabila ibu bapa tidak tahu mendidik).

Mari menyayangi kanak-kanak dengan sepenuh jiwa raga kita, dari saya hambaNya yang hina.

Ada seorang makcik sepanyol yang sangat fakir, rumahnya tidak tahu di mana tetapi kerjanya hari-hari ialah menyelongkar tong-tong sampah besar, mengutip segala sisa terbuang untuk dijadikan santapan harian. Kerap juga aku memberinya makanan jika ada kelebihan kerana aku paling kasihan melihat anaknya yang kurus kering, tidak ubah seperti papan sekeping.

Suatu hari dia menahan hubbyku dan berkata “awak, lain kali kalau awak nak bagi makanan kat kita, berhati-hati tau, jangan bagi yang macam semalam, sebab ada sedikit rosak, kalau saya sakit, sape nak bayar bil hospital?”, membuat hubbyku terkedu. Bila hubby memaklumkannya kepadaku, aku berasa sungguh sedih dan malu. Tak terniat sedikit pun di hati nak bagi dia yang rosak, mungkin dalam banyak yang diberi itu ada terselit yang sedikit rosak.

Aku tidak dapat tidur semalaman memikirkan yang dia mengharapkan makanan yang special dariku setelah hari-hari makannya dari tong sampah. Keesokkan harinya aku masak spagetti, letak dalam bekas aiskrim besar dan minta hubby hantar kepadanya. Melompat dia gembira …

Ingat ya, jika hendak memberi, berilah yang baik, yang elok, yang boleh memberi manfaat kepada orang yang diberi. Dan memberi sesuatu yang berharga, yang kita sayang kepada orang lain itu, lagi besar pahalanya, lagi hebat ganjaran Allah ke atasnya. Jika hendak kedekut, biarlah pada yang hak, biarlah bertempat. Jika sampai melihat orang merempat, memang hati aku tersentuh, bagai disentap-sentap, bagai ditoreh disiat-siat.

Kadang-kadang Allah menghadirkan mereka ke dalam hidup kita adalah untuk menguji kemurahan hati kita. Biarlah mereka berlainan bangsa dan agama pun, kerana mudah-mudahan dengan pemberian kecil begitu yang pada mereka cukup besar maknanya, boleh memberi gambaran cantik dan indahnya Islam kepada mereka, boleh memahamkan mereka tentang mulia dan sucinya agama kita.

Mana tahu, dengan kerap memakan makanan daripada air tangan orang Islam, suatu hari nanti cahaya menyimbah hati mereka yang kelam lalu menarik mereka ke jalan pulang yang diredha Tuhan.

Apa pun IKHLAS itu nombor satu.

Di tong-tong sampah besar inilah setiap hari makcik tersebut dan anaknya mengutip sisa-sisa makanan sebagai santapan harian mereka. Sungguh sedih melihatnya.

Selamat bersedekah dan bermurah hati dari saya, hambaNya yang hina.

05. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

Hakikatnya susah nak jumpa orang yang boleh “berbuat” sehebat “berdebat”. Debat di lidah, dan lidah selamanya tidak pernah bertulang. “Buat” pula pada tindakan, guna “tulang”, ada konteks, ada keadaan, ada faktor penyumbang dan juga penumbang. Semua boleh diteorikan ikut logik fikiran, tetapi tidak semua boleh dipraktiskan bila kita benar-benar duduk di dalam keadaan. Contohnya, waktu kita sihat kita marahkan orang sakit yang tidak mahu makan ubat, macam-macam kita kata; “dah sakit degil pula”, “suka hang lah, nyawa hang”, “eiyy teruknya, budus punya worang”, dan macam-macamlah. Tapi bila tiba giliran kita pula sakit baru kita tahu yang pada masa itu bukan kita sengaja tidak mahu makan ubat atau minum banyak air atau apa-apalah yang boleh menyembuhkan segera kita daripada kesengsaraan, tetapi otak kita sebenarnya telah dilemahkan oleh virus-virus yang menyerang yang menghantar isyarat kebencian kepada segala ubat-ubatan dan makanan-makanan kesihatan. Itulah yang dinamakan faktor penumbang.

Tidaklah saya menyarankan agar kita membiarkan sahaja orang yang sakit itu hanyut dalam kesakitannya atau mati terus, tetapi apa yang hendak saya utarakan di sini ialah tidak semua benda boleh dilaksana, semudah merencana. Dan janganlah terlalu ringan mulut menghina dan mengcemuh sedangkan jika peluang itu berada di tangan kita atau kita berada dalam keadaan yang serupa belum tentu kita mampu mengendalikannya mengikut idea kita yang kita fikir adalah yang paling ampuh. Ampuh pada akal, belum tentu teguh pada praktikal. Dalam contoh orang sakit tadi, jika kita sabar melayaninya, jika kita maklum akan kesakitannya, jika kita faham akan duduk perkaranya, maka depanilah dia dengan baik, dengan ikhlas. Jika kita bijak memujuk, mungkin dia akan mendengar kata, mungkin dia akan percayakan kita, maka tidaklah keadaannya menjadi semakin teruk. Inilah pula yang dikatakan faktor penyumbang. Keteguhan kita kepada keyakinan bahawa “penyabar tidak pernah kecundang, Allah dah janji merekalah pemenang” menyumbang kepada kesihatan dia, menyumbang kepada kesejahteraan dia. Dia sihat, dia sejahtera sama maknanya dengan kita hebat, kita berjaya!

Mempraktis,
tidak semudah teori-teori yang keluar dari bibir-bibir yang menyinis.
Namun menyinis, itulah yang memperbaiki praktis.
Meletak getar pada jiwa yang pesimis,
memacu nadi menjadi optimis.
Dan, menyinis atas landasan kewarasan,
bukan atas perasaan keamokan.

01. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

“Berdamba” perlu disepakejkan dengan “berusaha”.

Damba tanpa usaha, adalah sia-sia.

Usaha tanpa damba adalah bahaya.

Kerna damba menghidupkan usaha, memotivasikan usaha.

Dan usaha merealisasikan damba, mengkabulkan damba.

Damba adalah jiwa, keinginan, dan azam.

Usaha pula adalah tenaga, tindakan dan kesungguhan.

Mari mengapungkan damba dan mempertingkatkan usaha demi sebuah redha dan syurgaNya.

Gambar-gambar di atas dirakam di kawasan rekreasi Rondilla berdekatan kawasan tempat tinggal penulis di Valladolid, Spain.

Adapun syurgaNya di sana jauh lebih indah. Lebih meriah.

Ada orang tidak boleh ditegur dengan kata-kata, kerana hatinya cepat terasa, macam saya. Tetapi itu tidak bermakna yang orang macam saya ini harus dibiar hanyut dalam kederhakaan mereka kepadaNya (jika mereka derhaka) dan lemas dalam kesalahan mereka kepada manusia (jika mereka berdosa sesama manusia). Ada cara dan kaedahnya. Jika tidak boleh dengan kata-kata, gunalah tinta. Tetapi menggunakan tinta juga harus berhati-hati. Bahasa biarlah lembut, indah, agar nasihat itu berbekas di hati.

Setiap kali ingin melontar nasihat, fikirkan begini; kita mahu orang yang kita nasihati itu kembali kepada Ilahi, kita bukan mahu menunjuk-nunjuk yang ilmu kita ini tinggi. Andai betul tinggi, adakah Allah suruh kita membangga-banggakan diri? Kita hendak orang yang kita nasihati itu masuk syurga bersama-sama kita, kita bukan mahu menghukum mereka masuk neraka. Neraka, hak siapa? Kita ingin orang yang kita nasihati itu mendapat semaksimumnya manfaat, kita bukan hendak mewarwarkan kepada mereka yang kita ini hebat. Hebatkah kalau sekadar mampu melaknat sedangkan hubungan mereka dengan Allah tidak pula menjadi semakin dekat, semakin rapat?

Tidak ada manusia yang sempurna, sebab itu nasihat itu berguna. Namun, nasihat yang berguna adalah nasihat yang memberi makna, yang mampu menembusi kalbu sedalam-dalamnya, yang berupaya menjadikan yang dinasihati bertambah takut dan gerun kepadaNya. Dan, penasihat juga harus sabar, harus tenang, harus istiqamah, kerana hakikatnya, tidak ada satu benda pun di dalam dunia Allah, boleh diraih dengan mudah tanpa melalui jalan susah payah. Begitu juga dakwah. Dakwah bukan semudah mengucapnya di lidah, dakwah hadir di dalam pakej duka dan lelah, air mata dan darah, redha dan redah, berhikmah dan istiqamah. Ini, kalau sampai peluh sebutir pun enggan tertitis, maka molek berhenti berdesis. Berhenti menguis. Bukan tidak optimis, bukan masalah pesimis, tetapi  tidak semua yang kita hendak akan datang kepada kita seolah-olah seperti kita yang mengawal suis. Kenyataannya, tidak semua teori itu mudah dipraktis, menegak, melaksana hakikatnya tidak sesenang menyinis, dan takdir kita pula bukan kita yang melukis. Plisss …

Selamat berjuang, dari saya hambaNya yang hina. Moga Allah mengampuni, menunjuk kita ke jalan pulang … 

Budak-budak bila mereka buat perangai kepada ibu bapa, itu bukan saja-saja, semuanya ada makna. Kadang-kadang mereka nak mengetest bahasa, kadang-kadang mereka nak mengetest market mereka. Yang pasti, Allah mencipta mereka dan mengurnia mereka untuk mengetest kita. So, buat test validity & realibility dengan mereka dulu sebelum keluar kepada masyarakat, jika tak lepas, tak boleh rasa hebat walau tercecah langit sekalipun darjat dan pangkat …

 

Selamat bersabar-sabar dalam melayan telatah dan kemengada-ngadaan mereka, dari saya, hambaNya yang hina …

 
Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada ubat
untuk jiwa yang ralat.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada darah
untuk perasaan yang parah.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada solusi
untuk hati yang mati.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada cat
untuk dada yang berkarat.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada cahaya
untuk minda yang tidak bermaya.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada lampu
untuk otak yang buntu.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada gendang
untuk kalbu yang gersang.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada tukul
untuk fikiran yang tumpul.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada makanan
untuk roh yang kelaparan.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada penyembuh
untuk semangat yang lumpuh.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada peta
untuk mata yang buta.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada penyuluh
untuk batin yang rapuh.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada penawar
untuk iman yang hambar.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada tongkat
untuk akal yang terencat.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada pedang
untuk akhlak yang tempang.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada peta jalan pulang
untuk diri yang termenyimpang.

 

Tarik tanganku
ke majlis ilmu
di sana ada tazkirah
untuk kita ke alam barzah!
 
 

La adquisición de cualquier conocimiento es siempre útil al intelecto, que sabrá descartar lo malo y conservar lo bueno (Leonardo da Vinci).

Pengetahuan tentang apa sahaja ilmu adalah senantiasa berguna untuk intelek, yang mampu menyingkirkan yang tidak baik dan memelihara yang baik (Leonardo da Vinci).

Mari mencintai ilmu, dari saya hambaNya yang hina.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...