Saleh Yaakob nak kahwin lagi? Biarlah, dia mampu, buktinya ketiga-tiga isterinya yang terdahulu bersetuju dan redha. Itu petunjuk atau “clue” kemampuan paling utama. Adapun tulisan miskin di bawah ini adalah sekadar pendapat peribadi saya yang fungsinya lebih kepada peringatan kepada diri sendiri. Maka, hayatilah ia dengan tenang.

 

Manusia adalah milik Pencipta. Semua, tidak ada yang terkecuali. Siapa pun dia dan apa pun statusnya, anak, ibu, bapa, suami, isteri, adalah milik Pencipta. Isteri bukan milik suami, dia cuma dipinjamkan kepada suami untuk dia berfungsi sebagai manusia bernama isteri, menjalankan kerja-kerja atau tugas-tugas keisteriannya di muka bumi ini. Apa pun yang dibuat dia sebagai seorang isteri, dipantau dan diperhati Pencipta dari atas sana. Begitu juga suami, pemiliknya adalah Pencipta, bukan isterinya. Dia, cuma dipinjamkan sementara oleh Pencipta kepada isteri untuk dia berfungsi sebagai suami. Begitu juga ibu bapa dan anak-anak, mereka bukan milik sesiapa melainkan dipinjamkan sementara oleh Pencipta kepada manusia untuk; ibu menjalankan fungsi ibu, bapa sebagai bapa dan anak-anak dengan fungsi dan kewajipannya sebagai anak. Dengan memberi dan mengatur fungsi-fungsi itulah maka Pencipta memerhati dan menilai mutu atau kualiti kerja kita sebagai makhluk.

Kerana semua itu milik Pencipta, maka Dia berhak untuk menarik dan mengambilnya bila-bila masa. Samada Dia mengambil hakNya semula dengan cara mencabut nyawa kita atau dengan menjauhkan orang-orang kesayangan dari kita, kita tetap akan berasa kehilangan. Darjah pedih atas kehilangan itu mungkin tidak sama. Ia bergantung kepada hati dan jiwa kita yang sebenarnya dikawal oleh akal kita. Jiwa dikawal akal? Ya, jiwa sebenarnya dikawal akal. Sebab itu ayat pertama diturunkan Pencipta menyuruh kita agar “membaca´´. Mengapa? Kerna membaca adalah pintu kepada ilmu. Kerna ilmu adalah kunci untuk memperkasa akal. Bila akal perkasa, maka ia akan mengawal jiwa dengan baik dan jadilah akhirnya jiwa itu hebat. Contoh, kalau kita banyak membaca, kita akan tahu bahawasanya manusia itu hakikatnya milik Allah. Allah pinjamkan sahaja misalnya anak kepada ibu bapa, isteri kepada suami, dan sebaliknya. Begitu juga kawan kepada kawan, kekasih kepada kekasih. Dah namanya pinjam tentu suatu masa akan diambilNya semula. Bila akal kita memproses maklumat ini ia akan menghantar isyarat kepada jiwa agar REDHA menerima kehilangan. Maklumat atau informasi itu adalah ilmu yang sumbernya boleh pelbagai (membaca, pengalaman, bergaul dengan mereka yang berilmu dan lain-lain). Ilmu memperkasa akal terlebih dahulu sebelum akal mengawal jiwa menjadi hebat. Redha bukan hanya pada kata-kata, redha pada hati, pada jiwa, yang kemudiannya terserlah pada tindak tanduk, tingkah laku.

Sebab itu sebenarnya, tidak ada istilah merampas dalam situasi seorang perempuan bercinta hatta berkahwin dengan suami orang. Merampas siapa daripada siapa? Merampas suami daripada isteri? Kedua-duanya milik Pencipta, suami bukan milik isterinya, isteri bukan milik suaminya. Merampas dari Pencipta? Adakah kuasa kita melebihi kuasa Dia untuk kita mampu merampas milikNya? Sedangkan kita juga dicipta olehNya, adalah juga milikNya. Namun, kita kena ingat, memanglah kita semua ini milik Allah tetapi Allah memberi autoriti kepada kita untuk menjadi “tuan sementara´´ untuk kita saling menjaga di antara satu sama lain di muka bumi ini. Seorang lelaki tidak boleh sewenang-wenangnya melarikan anak dara orang kerana Allah telah memberi autoriti kepada kedua ibu bapanya untuk menjaga dan mengawalnya. Begitu juga seorang isteri tidak boleh bebas sewenang-wenangnya kerana Allah telah memberi autoriti kepada suaminya untuk menjaga dan mengawalnya. Ibu bapa mempunyai autoriti ke atas anak-anak, dan suami ke atas isteri. Autoriti itu juga adalah pinjaman. Ia bukan mutlak. Ia boleh dilucutkan bila-bila masa mengikut kehendakNya. Dan ia juga ada hadnya. Autoriti bapa ke atas anak perempuan tamat sebaik anaknya itu berkahwin. Autoriti suami ke atas isterinya tamat sebaik isterinya itu diceraikan. Contoh dalam konteks perlucutan autoriti pula ialah jika si ayah tiba-tiba menjadi gila maka dia sudah tidak mempunyai apa-apa autoriti ke atas anak-anaknya lagi.

Nampaknya dalam hal ini, ayah dan suami lebih mempunyai autoriti. Persoalannya, siapa pula yang mempunyai autoriti ke atas dua golongan ini? Jawapannya, keadaan! Contohnya, isteri tidak boleh berkahwin lain kerana Allah telah memberi autoriti kepada suaminya untuk menjadi pemiliknya yang sementara. Selagi mana ia bergelar isteri kepada suami tersebut, dia tidak boleh berkahwin lain. Manakala suami pula boleh berkahwin lain meskipun sudah beristeri. Akan tetapi suami yang ingin berkahwin lain perlu mendapat keizinan daripada pihak yang mempunyai autoriti ke atasnya iaitu “keadaan´´. Keadaanlah yang akan menentukan samada suami boleh atau tidak berkahwin lain atau dengan kata lain, layak atau tidak berkahwin lain. Adakah suami ingin berkahwin lain atas sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan dan diizinkan syarak? Misalnya, isteri yang sedia ada menjadi tidak siuman lalu tidak boleh lagi menjalankan fungsinya sebagai isteri. Atau isteri tidak mampu melahirkan zuriat, atau isteri mengidap penyakit berat hingga tidak boleh melaksanakan kewajipannya sebagai isteri. Jika hanya kerana nafsu, agama menyarankan agar berpuasa sunat untuk mengekang nafsu. Sesuatu yang dilakukan atas dasar nafsu juga tidak pernah menghasilkan keputusan atau pengakhiran yang indah. Tenangkah hati si suami itu jika dia berkahwin lain sedangkan hati isterinya luka dan setiap saat menangis hiba? Dan tenangkah hati perempuan yang menjadi isteri baru itu sedangkan hati isteri lama yang luka setiap saat mengingat dan mempotretkannya sebagai perampas?

Parameter utama untuk seorang suami mengukur kemampuannya berkahwin lebih dari satu ialah isterinya sendiri. Jika si suami memaklumkan kepada si isteri bahawa dia ingin berkahwin lain dan si isteri setuju dan redha maka itu bermakna dia mampu. Mengapa begitu? Ia perlu dianalisis atau diteliti begini; apabila isteri itu setuju ia bermakna isteri itu yakin bahawa suaminya akan berlaku adil. Apabila isteri yakin suaminya akan berlaku adil maka itu menunjukkan yang si suami itu adalah seorang yang soleh dan beriman. Tidak ada orang yang lebih tahu tentang seorang lelaki atau suami melainkan isteri yang sentiasa di sisinya. Suami yang soleh yang menjalankan tugas dan kewajipannya sebagai suami terhadap isteri yang dipinjamkan Allah kepadanya dengan baik dan sempurna, dengan cemerlang dan gemilang, pasti akan turut meningkatkan kesolehan isterinya hingga dia mampu redha jika suaminya itu mahu berkahwin lain. Kerna suami yang soleh tidak mungkin ingin berkahwin lain semata-mata hanya kerana nafsu, mungkin kerana sebab-sebab tertentu misalnya kasihan melihat seorang janda beranak 8 yang terbiar dan berhasrat untuk membantunya. Dengan cara apa lagi si suami itu tadi dapat membantu janda tersebut jika tidak dengan cara berkahwin dengannya yang dengan itu mereka terelak dari fitnah dan perkahwinan sahajalah yang boleh merealisasikan hasrat si suami itu tadi untuk membantu menanggung janda tersebut zahir dan batin.

Keterbalikkan dari hal di atas, jika sebaliknya isteri tidak bersetuju apabila suami menyuarakan hasratnya untuk berkahwin lain maka itu tandannya suami tidak mampu. Sebab utama isteri tidak setuju ialah kerana isteri bimbang hidupnya akan disia-siakan dan dirinya akan dilupakan jika suami mempunyai isteri baru. Dari mana datangnya perasaan bimbang itu? Sudah tentu dari pengalaman hidupnya sendiri bersama suami yang sering mengabaikannya atau tidak menjalankan kewajipannya sebagai suami ke atasnya dengan baik. Kalau belum berkahwin lain sudah jarang balik ke rumah kerana sibuk berpeleseran dengan kawan-kawan, lepas berkahwin lain lagilah susah hendak balik. Kalau belum berkahwin lain sudah garang dengan isteri, lepas berkahwin lain kemungkinan untuk menjadi lebih garang adalah tinggi kerana tanggungjawab semakin banyak dan berat. Jika belum berkahwin lain isteri sudah jarang-jarang merasa dibelai, lepas berkahwin lain lagilah peluang untuk dibelai itu menjadi tipis kerana bertambah pula orang yang nak dibelainya si suami. Benda-benda itulah yang difikirkan si isteri yang menjadikannya bimbang dan takut lalu menyatakan tidak setuju. Jika hak ke atas isteri itu ditunaikan dengan cemerlang isteri malah mungkin menyarankan kepada suaminya agar berkahwin lain, usahkan hendak menghalang!

Tidak salah hendak menumpang kasih dengan suami orang, kerana itu Allah yang maha mengetahui membenarkan lelaki memiliki sehingga empat isteri. Salah satu hikmahnya adalah agar wanita-wanita yang “tercicir´´ seperti wanita yang sudah lanjut usia tetapi masih tidak dipinang orang, atau janda yang tidak terbela, atau wanita yang teraniaya (mangsa rogol, mangsa lacur, mangsa sendiket) dan sebagainya dapat diselamatkan dan dilindungi dan dalam masa yang sama dapatlah mereka menumpang kasih. Namun, berhati-hatilah kerana bukan semua suami orang boleh ditumpang, boleh menjadi dahan. Teliti akhlaknya, selidiki latarnya. Jangan tertipu dengan keindahan sementara alam bercinta kerna dalam keadaan manusia itu berhubung tanpa ikatan, akan sentiasa ada iblis dan syaitan yang menjadikan rencah perhubungan itu enak dan mengasyikkan. Ilusi sentiasa terkehadapan mengatasi realiti!

Andai tidak terelak dari mempunyai perhubungan istimewa dengan suami orang, maka berhati-hatilah. Macam mana kita nak tahu suami orang itu soleh, ikhlas, berkualiti dan seumpamanya? Pertama, hayati setiap tutur katanya. Jangan pula kita rasa hebat jika dia memilih kita sebagai tempat  untuk meluahkan masalahnya dengan isterinya. Itu tanda suami yang tidak soleh. Tanda suami bermasalah. Jangan dekati dia agar tidak terperangkap dalam apa-apa jua perasaan terhadapnya. Suami yang baik dan soleh tidak akan sekali-kali mengadu masalah rumahtangganya kepada perempuan lain. Tidak sekali-kali! Kedua, selidiki latar belakangnya, siapa isterinya, siapa anak-anaknya. Jika dia memiliki isteri dan anak-anak yang cemerlang sudah tentu dia juga adalah suami dan ayah yang cemerlang. Jika perhubungan sudah terlalu jauh maksudnya sudah sampai ke tahap dia meluah sayang, minta dia kenalkan kita kepada isterinya. Seorang suami yang soleh dan yakin akan kesolehannya pasti tidak mempunyai masalah untuk memperkenalkan kita kepada isterinya kerana dia tahu isterinya tidak akan marah kerana isterinya adalah isteri yang solehah kepada sirinya yang terlebih dahulu soleh. Dan itu juga tandanya dia memilih kita bukan atas dasar nafsu, mungkin atas sebab-sebab tertentu, misalnya kerana merasa kasihan lalu berhasrat untuk membantu dan bagi mengelak fitnah, penyelesaiannya adalah berkahwin. Akan tetapi jika dia mengelak atau bermati-matian tidak mahu isterinya tahu perhubungan kita dengannnya maka itu tanda dia bukan suami yang soleh, dia tidak ikhlas dan dia sebenarnya takut pada bayang-bayangnya sendiri. Kerana dia tahu tidak mungkin isterinya setuju kerana dia sendiri tidak pernah menjadi suami yang baik kepada isterinya, maka dia tidak mahu kita dan isterinya bertemu kerana bimbang rahsia dia yang menjadi suami yang tidak cemerlang akan terbongkar. Sebaliknya dia akan mengajak kita meneruskan hubungan rahsia tersebut hingga kalau nak berkahwin pun dibuat secara rahsia atau kahwin lari. Tenangkah hidup jika itu berlaku? Tenangkah hidup si suami itu atau isteri barunya?

Manusia tidak pernah merasa hebat kerana memiliki kasih Allah, sebaliknya berasa hebat jika dapat memiliki kasih sesama manusia. Jika ditakdirkan kita tidak ada jodoh dengan suami orang, usahlah bersedih. Samada suami orang atau bukan, mereka itu tidak kekal, suatu hari mungkin akan pergi dan pasti akan mati, tetapi Allah kekal selamanya, rasa hebat memiliki kasih Allah boleh dinikmati selamanya kerana Allah itu wujud selamanya. Jika ditakdirkan kita tidak ada jodoh dengan sesiapa hingga ke akhir hayat kita pun, maka itu tidak menjadi suatu kekurangan apa-apa kepada diri kita sebaliknya mungkin itulah cara Allah mahu memberi kita peluang untuk mengumpul lebih pahala sabar dan pahala tabah. Bukan senang untuk redha menahan hati yang sunyi. Namun, kenyataan ini bukan bermakna saya mendoakan sesiapa begitu, atau mahu sesiapa begitu dan bukan juga alasan untuk sesiapa di luar sana berputus asa daripada berusaha dan berdoa untuk diketemukan jodoh. Bukan! Sebaliknya saya berdoa agar sesiapa jua bertemu jodoh yang soleh tidak kira apa statusnya dan berdoa moga impian untuk menjadi isteri solehah tercapai dan cita-cita untuk memperolehi zuriat yang soleh dan solehah itu terlaksana. Tulisan miskin ini cuma satu justifikasi atas apa yang telah berlaku berdasarkan bacaan dan pengalaman, dan juga atas apa yang mungkin berlaku.

 

Satu-satunya pelabuhan untuk pelayar tegar adalah KEMATIAN. Mereka tidak membiarkan diri mereka dipukul ombak, malah merekalah yang memukul ombak! Mereka melawan badai, bukan berpatah ke pantai! 

Kentallah, wahai hati!

Sumber gambar:- Google

Saya amat tidak bersetuju jika dikatakan bidang adalah penentu kepada masa depan seseorang. Saya kuat berpendapat bahawa kegemilangan hidup seseorang itu bukan ditentukan oleh bidang, sebaliknya ditentukan oleh sikap dan pemikiran individu itu sendiri. Jika kita bagus, mempunyai prinsip yang padu dan mempunyai visi dan misi tersendiri untuk dicapai, apa pun jua bidang yang diterjuni akan berakhir dengan kecemerlangan. Bukan pengkhususan yang menempatkan kita samada di tempat mulia atau sebaliknya dalam masyarakat tetapi yang menentukan kedudukan kita adalah jati diri kita sendiri. Setiap ilmu itu ada tempatnya di dunia ini. Memasuki bidang sastera di sekolah atau universiti tidak lebih hina daripada menceburi bidang sains. Malah, ilmu sasteralah (agama, filosofi, bahasa, komunikasi, lingusitik, psikologi dan lain-lain) adalah sebenarnya ilmu asas kehidupan sedangkan ilmu sains dan teknologi itu adalah sampingan semata. Dengan kata lain, ilmu sastera adalah ilmu dasar yang diperlukan untuk hidup, manakala sains dan teknologi adalah ilmu untuk memudahkan hidup atau bersifat pelengkap sahaja. Analoginya, tanpa ilmu agama manusia boleh berbunuhan sesama sendiri tanpa sebab, akan tetapi manusia tetap boleh hidup tanpa teknologi, misalnya tanpa mesin basuh, manusia boleh menggunakan tangan untuk membasuh, tanpa pembersih hampa gas manusia boleh membersih rumah dengan penyapu, bukan? Tanpa bahasa, manusia tidak boleh menyampaikan ilmu dan maklumat kepada orang lain termasuklah dalam bidang sains dan teknologi itu sendiri dengan baik dan jaya. Namun, tanpa komputer, ilmu tetap boleh disebarkan, cuma mungkin lambat. Sebab itu dikatakan sains dan teknologi itu ilmu pemudah kehidupan tetapi bukan ilmu tunjang. Sedangkan ilmu bahasa adalah ilmu tunjang yang jika tiada, komputer pun mungkin tidak berjaya dicipta. Oleh yang demikian, janganlah kita memandang rendah kepada mereka yang bukan daripada aliran sains. Janganlah kita melihat mereka yang berkelulusan dalam bidang sastera itu sebagai hina atau lebih rendah mutunya daripada mereka yang memilih untuk terjun ke bidang yang berstatus sampingan sahaja. Kemajuan sains dan teknologi akhir-akhir ini dilihat memberi kesan lebih buruk daripada baiknya samada ke atas keseimbangan alam secara fizikal maupun keseimbangan penghuni alam secara spiritual. Akhirnya manusia terpaksa jua kembali kepada ilmu-ilmu asas (keagamaan, kemanusian, keinsanan, kejiwaan dan lain-lain) yang telah dipandang rendah dan diperlekehkan sekian lama. Sudahlah dipandang sebelah mata, pendokong-pendokong atau bijak pandai dalam ilmu-ilmu itu juga dipandang tidak seberapa, hingga terlontar soalan begini; “Perlukah biasiswa diberi kepada mereka yang berkelulusan bahasa untuk menyambung pengajian di peringkat PhD? Ilmu bahasa, setakat SPM pun sudah cukup”. Bukankah ilmu itu saling lengkap melengkapi? Adakah tuan berasa darjat tuan itu tinggi hanya kerana tuan beraliran sains sedangkan hari-hari tuan makan ikan yang ditangkap oleh nelayan yang hanya ada ilmu solat lima waktu dan ilmu berkomunikasi dengan laut dan isinya tanpa tahu apa itu sains dan teknologi? Anak-anak tuan belajar mengaji dengan tok guru berkelulusan pondok yang mungkin jahil tentang sains dan teknologi, yang dia tahu hanyalah ilmu mengaji. Adapun tuan seorang saintis, tetapi makhraj huruf pun tidak betul. Barangkali, kerana ceteknya ilmu tuan dalam bahasa itulah yang telah menjadikan tuan, “tidak reti bahasa”. Kerana tuan menyangka ilmu bahasa itu sekadar ilmu belajar membaca, atau ilmu belajar mengeja. Huhu, tak apalah, kerana tuan seorang saintis yang robotik atau pakar ekonomi yang hanya tahu tentang statistik. Tuan tidak tahu apa itu pragmatik, tuan tidak arif tentang pragmalinguistik, tuan tidak faham apa itu psikolingustik, tuan jahil tentang sosiolinguistik, kerana selama ini tuan terkurung dalam kefahaman ilmu tuan yang sempit dan fanatik.

Poco-poco, jika ditarikan dengan niat untuk menyihatkan tubuh badan, tidak mengandungi unsur-unsur yang memesongkan akidah, maka di manakah salahnya? Kelihatannya, yang salah itu bukan nama, tetapi niat dan pelaksanaan. Tarian zapin, inang, malah tarian-tarian lain, sekali pun namanya berbunyi arab yang sinonim dengan Islam, jika dilakukan dengan niat memuja dan dilaksanakan pula dalam keadaan yang tidak diizinkan syariat umpamanya bercampur lelaki perempuan, tidak menutup aurat, ditarikan di tempat-tempat yang boleh mengundang fitnah dan sebagainya maka hukumnya juga adalah haram. Seorang isteri yang melakukan tarian poco-poco dalam keadaan tidak bebaju di dalam bilik tidurnya di depan suaminya, adalah harus, malah wajib andai ia merupakan perintah daripada si suami. Namun, jika si isteri tadi menarikan tarian inang atau tarian lain selain daripada poco-poco di hadapan orang lain yang bukan muhrimnya atau di tempat terbuka dalam keadaan tidak menutup aurat, samada tanpa atau dengan keizinan suaminya, maka hukumnya adalah haram.

Namun begitu, harus direnung, apakah sebenarnya rujukan tarian poco-poco? Jika poco-poco itu adalah nama tarian yang secara universalnya (sebagaimana yang telah diterima atau difahami ramai di seluruh dunia) merujuk kepada tarian yang ditarikan oleh kumpulan atau bangsa asal yang menciptanya untuk tujuan keagamaan, maka nama “poco-poco” itu adalah isu utamanya. Analoginya; “Arak” telah diguna pakai dan telah diterima oleh masyarakat kita sebagai perkataan yang merujuk kepada “minuman daripada anggur yang diperam, memabukkan dan hukum meminumnya adalah haram”. Malah air teh atau kopi hatta air kosong sekalipun, jika di panggil atau dianggap sebagai arak, maka hukum meminumnya juga adalah haram. Kerana arak adalah nama spesifik (dalam bahasa melayu) yang merujuk kepada minuman yang telah diharamkan oleh Allah s.w.t.

Sekalipun nama bersifat arbitrari (wewenang), tetapi apabila ia telah diterima dan diguna pakai dengan meluas dalam sesuatu masyarakat untuk merujuk kepada sesuatu benda atau perkara tertentu maka rujukannya adalah spesifik. Contoh tentang kearbitrarian; Tidak ada ketetapan yang mengatakan bahawa benda berkaki empat yang digunakan oleh manusia untuk duduk, harus dinamakan “kerusi”. Malah ia boleh sahaja dipanggil “selipar”. Namun, oleh kerana perkataan “kerusi” telah dipilih sebagai lambang kepada objek kerusi itu dan ia telah diterima dan diguna pakai dengan meluas dalam masyarakat Melayu a.k.a Malaysia, maka rujukan “kerusi” telah menjadi spesifik. Jadi, dalam bahasa Melayu, apabila disebut “kerusi” secara automatik rujukannya adalah kepada “objek berkaki empat yang digunakan oleh manusia untuk duduk”.

Berbalik kepada isu poco-poco, penulis berpendapat adalah molek kiranya sebarang tarian atau senaman yang dilakukan bukan dengan niat seperti niat tarian asal poco-poco dan metod pelaksanaannya juga tidak sama, dipanggil dengan nama lain. Jika ia ditarikan tanpa niat keagamaan dan berbeza daripada poco-poco, maka usahlah dipanggil poco-poco, demi untuk mengelakkan keterpesongan akidah atau fitnah ke atas akidah umat Islam oleh orang-orang Islam sendiri, atau untuk mengelakkan kekeliruan seterusnya perbalahan sesama umat Islam. Gunakan nama lain, misalnya “senaman ceria” atau sebarang nama yang masih belum digunakan oleh mana-mana pihak untuk apa jua aktiviti pemujaan agama mereka. Apa, tak seronok ke kalau tak dipanggil poco-poco?

Oh ya, jika benar tarian poco-poco berasal daripada Filipina, maka mungkin perkataan poco-poco berasal daripada perkataan Sepanyol, memandangkan Sepanyol pernah menjajah Filipina suatu masa dahulu. Dalam bahasa Sepanyol, “poco” bermaksud “sedikit”. Adakah “poco-poco” dalam bahasa Filipina bermaksud “sedikit-sedikit”? Entah, kerana penulis tidak arif tentang bahasa Filipina, sekadar tahu yang pengaruh Sepanyol ke atas Filipina kesan daripada penjajahan dahulu adalah sangat besar, samada ke atas budayanya maupun bahasanya. Tetapi, jika “poco-poco” memang bermaksud “sedikit-sedikit” dalam bahasa Filipina, maka mungkin tarian poco-poco itu dilakukan oleh mereka sebagai salah satu cara atau kaedah untuk mendekati Tuhan mereka, sedikit demi sedikit. Sedikit-sidikit? Ya, perkataan ini wajar digeruni kerana memang segalanya  bermula daripada sedikit-sedikit. Termasuklah, usaha mereka di luar sana untuk memesongkan akidah kita, sedikit demi sedikit. Wallahua´lam.

Langkah ketam mengajar anaknya berjalan betul wajar dipuji. Dia tidak mahu anaknya mewarisi kekurangannya. Analoginya; seorang penagih dadah tidak mahu anaknya menagih sepertinya. Keterlibatannya dalam penagihan dadah mungkin kerana terperangkap, kurang pendidikan, desakan hidup dan sebagainya. Sekurang-kurangnya dia telah mengajar anaknya ke haluan yang benar meskipun dirinya sendiri sudah tidak mampu berubah lagi. Begitu juga halnya dengan seorang pelacur yang berdoa siang dan malam agar anak dan keturunannya tidak melakukan kerja-kerja terkutuk sepertinya. Dia melacur mungkin atas sebab-sebab yang serupa seperti kes penagih dadah di atas tadi. Meskipun amat sukar untuknya kembali ke pangkal jalan, sekurang-kurannya dia telah berusaha agar hidup zuriatnya tidak bergelumang malang.

Sesungguhnya jika kita bersih dan bebas daripada melakukan perkara-perkara jijik seperti yang didakwa orang lain adalah mustahil atau susah untuk kita diperangkap oleh sesiapa pun. Mustahil perlakuan tidak senonoh kita boleh dirakam andai ia bukan habit hidup kita. Andai rakaman itu adalah suatu konspirasi atau rancangan jahat pihak lawan, paling busuk pun pihak yang merancang konspirasi hanya berkemungkinan berjaya memerangkap kita berkhalwat atau berdua-duan dengan bukan muhrim di dalam bilik sahaja. Tidak akan sampai ke tahap berjaya merakam aksi-aksi biru kita. Sekalipun dipujuk atau digoda oleh orang yang mungkin telah diupah atau menjadi agen pihak lawan, kita pasti tidak akan melakukannya jika kita bukan pengamal amalan-amalan kotor tersebut. Jika seorang perempuan mendakwa tidak tahu menahu tentang apa yang berlaku kerana telah diberi minuman berdadah atau pil tidur terlebih dahulu, ia boleh diterima. Perempuan boleh diperkosa atau diperlakukan apa sahaja dalam keadaan dirinya terlentang tidak sedarkan diri. Akan tetapi, dalam konteks seorang lelaki adalah tidak masuk akal untuk mendakwa; telah dikhayalkan oleh apa jua bahan hingga tidak sedarkan diri, apabila aksi-aksi dalam rakaman jelas menunjukkan yang ia telah dilakukan dalam keadaan sedar atau sengaja. Adakah ia berlaku dalam kondisi diri disihir? Lalu, siapakah pula yang telah memulihkan dirinya kembali daripada sihir tersebut setelah aksi-aksi mual itu selesai dilakukan? Jika kita seorang yang benar-benar bersih, selicik dan sebijak mana pun pihak musuh merancang untuk menampakkan kita kotor di mata umum, ia tidak akan berjaya kerana kita sememangnya bersih. Sebaliknya, jika kita memang pengotor maka mudahlah pihak musuh memanipulasikan kekotoran itu untuk menjatuhkan kita. Baguslah jika ada pihak yang berusaha untuk membasmi kekotoran itu sebelum kuman dan fungusnya berjangkit kepada tubuh badan orang lain.

Jangan sekadar bijak memetik, harus diamal dan dipraktik agar yang buruk dari hidupmu itu akan beralih menjadi indah dan cantik. Adapun kata-kata hikmah memang ditulis indah, penuh madah, akan matamu meneliti, akan akalmu menghalusi, akan jiwamu menghayati, maka haruslah akan ia diserlah dalam gerak geri! Salam Maulidur Rasul ..

 

Semua agama pun mendakwa agama mereka adalah yang benar, jika tidak, tidaklah mereka menganut agama tersebut. Dan semua pendakwah dalam semua agama pun mahu menarik penganut agama lain masuk ke agama mereka. Menyebar apa yang mereka yakin benar tentang agama mereka adalah tugas hakiki seorang pendakwah. Sudah tentu dalam usaha meyakinkan orang ramai tentang kebenaran agama mereka, maka kebenaran agama lain akan dinafikan. Itu adalah normal kerna jika semua agama benar, kenapa perlu memilih hanya satu? Adakah logik pendakwah agama A dalam ceramahnya membenarkan segala bagai atau sebahagian samada pegangan atau amalan agama B? Jika begitu, untuk apa beliau menjadi pendakwah agama A? Begitu juga pendakwah agama B, sudah tentu dalam ceramah beliau, tidak ada yang benar tentang agama A, kerna jika sebahagian atau seluruhnya tentang agama A itu benar, untuk apa beliau menjadi pendakwah agama B? Pendakwah agama A berdakwah atau berceramah dalam program agama A untuk tontonan khususnya penganut agama A. Jika kebetulan ada penganut agama B menonton sama atau tertonton program tersebut, logik kah untuk marah-marah? Fikirkan, dalam ceramah pendakwah B di tempat-tempat ibadat atau program-program untuk agama B, adakah pendakwah B memuji-muji atau membenarkan segala bagai tentang agama A? Sudah tentu tidak! Jika tidak, perlu apa beliau menganut agama B hatta menjadi pendakwah? Jika semua agama mendakwa agama mereka sahaja benar, sudah tentu secara automatik, agama-agama lain tidak benar! Tidak ada orang menganut separuh agama A, separuh lagi agama B, bukan? Seorang ustazah yang cuba menyampaikan mesej bahawa sambutan hari valentine adalah salah di sisi Islam kerna ia boleh memesongkan akidah dikecam lebih hebat dari mereka yang menyambutnya. Mungkin ustazah tersebut tersilap dalam bicaranya tetapi niatnya suci. Benda ini sengaja dijadikan isu walhal bicara yang menidakkan kebenaran agama lain oleh pendakwah sesuatu agama telah sekian lama berlaku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...