Sejuk perut mendengar suara anak-anak mengaji setiap kali selepas subuh dan sebelum tidur (dua waktu yang diwajibkan). Budaya mencintai al Quran dan bertali arus membacanya harus dipupuk dari kecil. Harus diterangkan juga kepada anak-anak bahwa membaca Quran bukan sekadar untuk khatam tetapi ia ibarat mengulangkaji buku-buku sekolah untuk menghadapi peperiksaan. Jika peperiksaan di sekolah hanya dilakukan sekali atau dua kali sahaja di setiap semester, peperiksaan atau ujian dari Tuhan berlaku di setiap saat dan di setiap ketika. Sesungguhnya Allah menguji kita di setiap masa, maka ulangkaji (membaca Quran) untuk menghadapinya juga harus dilakukan di setiap masa…, baca sedikit, tahu/ingat sedikit, lulus sedikit, markah pun sedikit, sebaliknya baca banyak, tahu/ingat banyak, lulus banyak, markah pun banyak!

Untuk mengelakkan anak-anak faham bahawa Quran dibaca sekadar untuk khatam maka elakkan juga membuat majlis besar-besaran apabila mereka khatam al Quran. Jika mahu menghadiahkan mereka sesuatu sebagai galakan dan tanda penghargaan, boleh, tetapi jangan berlebihan atau keterlaluan hingga tampak seolah-olah itulah matlamat akhir membaca al Quran. Jika itu berlaku, selalunya mereka akan berpuas hati di setakat itu sahaja dan sebaik khatam mereka enggan atau berasa tidak perlu untuk terus mengalungkan al Quran lagi. Ini saya perhatikan di kampung-kampung malah juga di bandar-bandar di mana kanak-kanak yang telah khatam al Quran tidak akan kembali ke rumah tok gurunya lagi untuk mengaji malah di rumah sendiri pun mereka sudah tidak mahu mengaji lagi kerana beranggapan tujuan mengaji telah pun tercapai sebaik mereka khatam surah terakhir. Lebih-lebih lagi jika ia diraikan pula dalam majlis besar-besaran yang membuatkan mereka bertambah yakin bahawa khatamlah matlamat akhir membaca al Quran. Mari bertanya kepada diri, yang mana sebenarnya matlamat hakiki; khatam dan selesai, atau terus membaca, menghayati dan mengamalkan yang disuruh serta meninggalkan yang ditegah di dalamnya di sepanjang hidup kita selagi nyawa di kandung badan? Kualiti kita di negeri abadi nanti tidak dinilai daripada berapa kerapkah kita khatam al Quran tetapi dihitung daripada berapa banyakkah amalan yang telah kita lakukan yang berlandaskan al Quran, kitab suci Tuhan!

Selamat memupuk budaya membaca dan mencintai al Quran dalam kalangan anak-anak. Dari saya, hambaNya yang hina.

Autumn 2011, Valladolid.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *