Saya sering tertanya-tanya, wanita yang tidak bertudung tetapi mendakwa tidak pernah meninggalkan solat, tidakkah mereka berasa janggal kerana ketika bersolat mereka memakai telekung, sebaliknya tika keluar melaksanakan pelbagai urusan mereka enggan bertudung? Mengapa ketika solat bertelekung ketika keluar tidak bertudung? Tepat sekali ulasan para ustaz bahawa mereka yang tidak bertudung tetapi mendakwa bersolat, maka solat mereka itu mungkin “something wrong”! Mengapa mereka bersolat? Kerana Allah suruh. Tetapi mengapa pula mereka tidak bertudung? Allah tidak suruh? Aneh!

Saya juga hairan apabila wanita yang enggan bertudung kelihatannya terlalu yakin dan sombong dalam jawapan mereka terhadap soalan; “Mengapa anda tidak bertudung? Bukankah bertudung itu wajib?” Sebahagiannya menjawab; “Orang yang bertudung tak semestinya baik. Ada yang tak solat pun!” Benar, bertudung tidak semestinya baik. Jika niat bertudung itu ialah sekadar suatu fesyen, maka ada atau tidak tudung di atas kepala tidak akan mengubah apa-apa. Yang gedik tetap gedik, yang tidak cerdik terus tidak cerdik. Tetapi, tidak bertudung, sah-sahlah tidak baik. Tidak perlu lagi diusul periksa solat atau amalan-amalannya yang lain kerana dia telah menunjukkan dengan jelas akan keengganannya untuk mematuhi perintah Allah. Jika perintah yang semudah itu pun tidak mahu dituruti, maka kewajiban-kewajiban lain yang lebih berat, lagilah sukar dibuat. Atau, buat, tapi ada kepincangan pada tujuan atau niat. Manakala mereka yang bertudung pula, jika tidak nyata akan perbuatan mungkar yang dilakukannya maka tidak boleh sama sekali menuduhnya seorang yang tidak baik. Jika kita tidak melihat dengan mata kepala sendiri yang dia tidak solat maka tidak boleh sewenang-wenangnya menuduh dia tidak solat. Solat boleh dilakukan secara sembunyi-sembunyi. Bertudung perlu dizahirkan. Wanita yang tidak menutupi kepala a.k.a rambut maka sahlah dia berdosa. Tetapi jika kita melihat seseorang itu tidak solat, maka bolehkah kita dengan melulunya menuduh dia berdosa? Mana kita tahu dia tidak solat? Jika dia uzur syarie? Jika dia solat senyap-senyap? Jika dia jamak dan qasarkan solatnya atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan? Berbeza dengan kita melihat perempuan tidak bertudung, terus kita boleh menuduhnya mungkar akan perintah Allah yang telah memerintahkan sekalian wanita agar bertudung.

Perempuan yang tidak bertudung juga sering melaung-laungkan; “Eh, suka hati kitalah. Ini kepala kita. Dosa, dosa kita. Sibuk kenapa?” Allah akbar, jika tidak bertudung itu dosa anda seorang, kami pun sebenarnya tidak ingin hendak sibuk. Tapi, tahukah anda, kepala anda yang dogol itu telah turut menyebabkan lelaki-lelaki di dalam hidup kami; atuk kami, bapa kami, pakcik-pakcik kami, adik beradik lelaki kami, sepupu-sepupu lelaki kami, saudara mara lelaki kami, suami kami, anak-anak lelaki kami, jiran-jiran lelaki kami, dan lelaki-lelaki di negara kami, negeri kami, daerah dan kampung kami turut berdosa kerana memandang aurat anda? Apa? Anda jawab; “Yang pi pandang tu nape? Sendiri punya masalah laa…”? Dahtu, anda fikir, mampukah semua lelaki di dunia ini pejam mata sambil; bawak kereta, tunggang motor, kayuh basikal, jalan kaki, berjual beli, mengajar, berurusan di kaunter, bertugas walau apa, dan di mana? Sudah tentu ia mustahil, bukan? Anda sendiri tahu tetapi anda kura-kura di dalam perahu.

Ikhlas, saya sangat serba salah jika perempuan tidak bertudung datang ke rumah lebih-lebih lagi untuk bermalam. Takkanlah sepanjang dia di rumah, suami kena tutup mata? Atau suami terpaksa menumpang tidur di rumah orang lain sehingga dia pulang? Lazimnya perempuan yang tidak bertudung, tidak akan rasa bersalah atau berdosa untuk memakai “seksi”. Kadang-kadang bajunya ketat, seluarnya sendat. Malah ada yang dengan selamba memakai seluar tiga suku yang menampakkan separuh betisnya yang “berbulu”. Sudahlah baju tidak berlengan, menampakkan pula bahunya yang “berkerutu”. Anak-anak tengok pun malu, tapi dia selamba je huha huha di rumah kita. Serba salah sungguh. Tak tegur rasa semacam, tegur putus kawan. Tapi, bila difikir-fikirkan, lebih baiklah putus kawan, daripada putusnya rahmat Tuhan. Lebih baiklah dia mencuka, daripada Allah yang murka. Jika tidak mampu membawa dia mendekati Ilahi, lebih baiklah menjauhi.

Paling saya hangin, apabila ada perempuan dogol yang menjadikan rumah orang sebiji seperti rumahnya sendiri. Jika hendak ke dapur memakan itu dan ini saya tidak kisah, jika hendak lepak di ruang tamu menonton tv juga saya tidak marah. Tetapi, jika sampai tidak tahu membezakan rumah orang dengan rumah sendiri dalam konteks menjaga tatasusila berpakaian, maka tolonglah, tolonglah kasihankan orang dan takutkan Tuhan. Jika di rumah sendiri, anda mahu bertelanjang bulat pun kami tak kisah. Kerana itu rumah anda, sudah di luar hak kami untuk mengambil kisah. Tetapi, jika sampai di rumah orang pun anda hendak berselamba dan bermudah-mudah, maka sudah semestinya kami mengamuk dan marah-marah. Adakah, jika di rumah sendiri anda bebas memakai apa sahaja maka di rumah orang pun anda hendak bertogel juga? Jika anda tidak mahu menghormati diri sendiri, hormatilah tuan rumah. Usah fikir semua orang sama tidak bermaruah. Haih!!

Dalam kes saya, disebabkan oleh suatu peristiwa, iaitu keselambaan tetamu berbaju tidur nipis tanpa pakaian dalam kemudian melintas di hadapan hubby tanpa sedikit pun rasa berdosa dan segan telah menyebabkan hubby akhirnya memutuskan; “Tidak boleh membawa mana-mana kawan awak yang tidak bertudung ke rumah. Malah, jika bertudung pun tetapi berlengang pendek, berskirt ketat walau labuh, berbaju sendat, juga diharamkan! Muktamad!!!”

Haa, kan dah tak pasal-pasal putus kawan dan suami pun berang?? Jika suami anda suka anda dedahkan aurat, jangan anda ingat suami orang pun suka melihat aurat anda!

Selamat bertudung dan menjaga tatasusila, di bulan ramadhan bulan yang mulia.

Tenang dan menenangkan jika bertudung. Manis dan sopan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

2 Comments

  1. •tersentuh hati dgn blog ni ,suke bace dari 1st smpi ke akhir, ilmu dapat ,pengajaran pown dapat ,thankz kakak ..ade mase nak share blog ni dgn teman2 ,izinkan ye. 🙂

    • SALAM. Ambil. sebar. yang menarik. yang baik. lebih molek. lebih cantik. dengan izin pemilik. link/kreditkan kepada dhiah.com. bukan kerna cita mahu masyhur tetapi mahu jujur. kerna kita ini orang timur beradab berluhur. kerna kita ini muslim syumul cinta kepada makmur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *