Ada seorang makcik sepanyol yang sangat fakir, rumahnya tidak tahu di mana tetapi kerjanya hari-hari ialah menyelongkar tong-tong sampah besar, mengutip segala sisa terbuang untuk dijadikan santapan harian. Kerap juga aku memberinya makanan jika ada kelebihan kerana aku paling kasihan melihat anaknya yang kurus kering, tidak ubah seperti papan sekeping.

Suatu hari dia menahan hubbyku dan berkata “awak, lain kali kalau awak nak bagi makanan kat kita, berhati-hati tau, jangan bagi yang macam semalam, sebab ada sedikit rosak, kalau saya sakit, sape nak bayar bil hospital?”, membuat hubbyku terkedu. Bila hubby memaklumkannya kepadaku, aku berasa sungguh sedih dan malu. Tak terniat sedikit pun di hati nak bagi dia yang rosak, mungkin dalam banyak yang diberi itu ada terselit yang sedikit rosak.

Aku tidak dapat tidur semalaman memikirkan yang dia mengharapkan makanan yang special dariku setelah hari-hari makannya dari tong sampah. Keesokkan harinya aku masak spagetti, letak dalam bekas aiskrim besar dan minta hubby hantar kepadanya. Melompat dia gembira …

Ingat ya, jika hendak memberi, berilah yang baik, yang elok, yang boleh memberi manfaat kepada orang yang diberi. Dan memberi sesuatu yang berharga, yang kita sayang kepada orang lain itu, lagi besar pahalanya, lagi hebat ganjaran Allah ke atasnya. Jika hendak kedekut, biarlah pada yang hak, biarlah bertempat. Jika sampai melihat orang merempat, memang hati aku tersentuh, bagai disentap-sentap, bagai ditoreh disiat-siat.

Kadang-kadang Allah menghadirkan mereka ke dalam hidup kita adalah untuk menguji kemurahan hati kita. Biarlah mereka berlainan bangsa dan agama pun, kerana mudah-mudahan dengan pemberian kecil begitu yang pada mereka cukup besar maknanya, boleh memberi gambaran cantik dan indahnya Islam kepada mereka, boleh memahamkan mereka tentang mulia dan sucinya agama kita.

Mana tahu, dengan kerap memakan makanan daripada air tangan orang Islam, suatu hari nanti cahaya menyimbah hati mereka yang kelam lalu menarik mereka ke jalan pulang yang diredha Tuhan.

Apa pun IKHLAS itu nombor satu.

Di tong-tong sampah besar inilah setiap hari makcik tersebut dan anaknya mengutip sisa-sisa makanan sebagai santapan harian mereka. Sungguh sedih melihatnya.

Selamat bersedekah dan bermurah hati dari saya, hambaNya yang hina.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *