Seperti yang pernah ku nukil sebelum ini, Diego adalah jiranku yang juga adalah pembantuku dalam analisis data. Setiap pukul 11 pagi hingga 1 tengahari (Isnin – khamis), Diego akan datang ke rumahku untuk melaksanakan tugasnya sebagai pembantu analisis data. Aku amat berpuas hati dengan ilmu yang dimilikinya yang banyak memudahkan aku dalam analisis terutamanya dalam membuat klasifikasi yang agak rumit. Namun, aku sedikit terkilan dengan komitmennya daripada aspek waktu. Iaitu, datangnya lambat (kadang-kadang pukul 11.30 baru datang) dan pulangnya awal (selalunya 12.45 sudah meminta untuk pulang), sedangkan aku membayarnya berdasarkan hari (2 jam sehari). Namun, setiap kali keterkilangan menerpa, aku cuba memujuk jiwa dengan berkata; “syukurlah kerana dia ada dan dia sudi membantu, jika tidak, mungkin aku akan menghadapi masalah besar untuk menyiapkan kajian dan tesisku”. Bersabar sahajalah  walaupun ternyata ia memberi kesan kepada jadual pengajianku. Jika Diego datang tepat pada waktu, mungkin analisis ini boleh disempurnakan lebih awal dan aku boleh menumpu kepada hal-hal yang lain pula. Namun, terdetik pula persoalan di hati; “katakanlah Diego datang tepat pada waktu, adakah aku pasti yang analisis itu boleh disiapkan di dalam waktu?” Lalu, aku terus memujuk diri sendiri dengan berkata; “jika keadaan ini (sikap Diego dan kelewatan menyiapkan analisis) adalah merupakan ujian dari Allah untukku, maka pasti aku akan mampu melaluinya kerana Allah telah berjanji bahawa DIA tidak akan menguji melainkan kepada mereka yang mampu menghadapi”. Maka terubatlah lara di jiwa dengan rasa sebesar-besar syukur pula kerana, pertama; Allah telah membuka hati Diego untuk bersetuju membantuku, kedua; Allah mengujiku bermakna Allah mengasihiku, dan ketiga; Allah mengujiku bermakna Allah tahu aku mampu.

Berbalik kepada Diego, beberapa hari lepas aku telah memberikan kepadanya sebekas puding roti kismis. Ku masak dua loyang, satu untukku dan satu lagi untuk beliau dan keluarganya. Sebelum ini setiap kali aku memasak puding roti, hasilnya tidak pernah menghampakan, sedap dan cantik rupanya. Namun kali ini, kedua-dua puding rotiku sedikit hangus dek keralitan menganalis data di ruang tamu, tidak tersedar yang puding di dalam ketuhar telah separuh hitam. Namun oleh kerana aku telah pun memaklumkan kepada Diego yang aku sedang memasak puding untuknya dan dia nampak seperti tidak sabar-sabar hendak merasanya maka terpaksalah juga ku berikan kepadanya untuk dibawa pulang. Berkali-kali Diego mengatakan kepadaku; “daripada baunya, saya penuh yakin yang ianya amat enak dan saya tidak sabar hendak memakannya di rumah bersama ibu, ayah dan kakak saya”. Sebelum melangkah pulang sempat dia bergurau; “mungkin saya akan memakannya sorang-sorang di bilik tidur jika rasanya terlalu enak” disambut ketawa hubby yang terbahak-bahak. Manakala aku, tidak putus-putus berdoa moga puding tersebut enak dan menjadilah hendaknya. Malam, masuk sahaja waktu berbuka aku terus memakan puding tersebut kerana aku sudah tidak sabar-sabar hendak mengetahui rasanya. Adusss!! Sudahlah tawar, hangit pula. Memang ketara rasa hangitnya. Ku suarakan pada hubby yang aku berasa amat terkilan kerana telah memberikan kepada Diego dan keluarganya puding yang tidak sedap. Meskipun hubby memujuk dengan berkata; “tidak mengapa, mereka juga tahu yang kita berpuasa, so of coz lah tak dapat rasa”, tetapi hatiku tetap terbuku hingga malam itu aku tidak dapat tidur kerana asyik terbayangkan wajah Diego dan ahli keluarganya yang berkerut-kerut kerana memakan puding roti hangusku. Justeru, keesokkan harinya, sebaik selesai bersahur ku terus mengajak hubby membantuku mengepuk telur untuk dibuat puding karamel atau puding gula hangus pula. Aku berniat hendak memberikannya kepada Diego sebagai ganti kepada puding roti yang hampeh sebelumnya. Puding karamel tersebut berjaya dikukus dengan jaya dan aku tidak sabar-sabar hendak menunggu Diego datang untuk, pertama; mendengar komennya tentang puding rotiku yang semalam dan kedua; memberikan kepadanya puding karamel sebagai tanda memohon maaf.

Seperti biasa lebih kurang pukul 11.30 pagi Diego terjongol di muka pintu rumahku. Duduk sahaja di kerusi, aku terus meminta maaf daripadanya berkali-kali kerana telah memberikannya puding yang tidak sedap. Manakala Diego pula berkali-kali mengatakan; “ianya ok, cuma rasanya sedikit tawar. Tapi tak mengapa sebab kami telah memakannya dengan merendamkannya ke dalam susu terlebih dahulu”, sambil gelak kecil. Aku berasa sedikit lega apabila mengetahui Diego dan keluarganya tetap boleh menikmati puding tersebut dengan sedikit kreativiti dan modifikasi. Ketika Diego hendak pulang, aku telah menyerahkan kepadanya seloyang puding karamel sambil berkata; “nah, terimalah puding karamel ini. Ia sebagai ganti kepada puding roti yang separuh hangus semalam. Harap-harap ianya sedap”. Diego nampak terkejut namun tetap mengambilnya tanpa banyak soal kerana sudah menjadi budaya orang Sepanyol untuk tidak menolak pemberian sebaliknya cuba menerimanya dengan senang hati. Aku amat gembira dan berdoa agar puding karamel itu enak di lidah mereka sebagaimana ia tidak pernah tidak enak di lidahku dan keluarga. Keesokkan harinya, sebelum sesi analisis data bermula, Diego, dengan suara separa berbisik telah memberitahuku yang puding karamel tersebut sangat sedap dan disukai oleh semua ahli keluarganya. Aku senyum hingga ke telinga, rabit hingga ke belakang kepala. Kemudian, dengan ikhlasnya Diego memintaku menyenaraikan bahan-bahan yang tidak boleh dimakan oleh orang Islam. Dia memberitahuku bahawa ibunya mahu memasak sesuatu untukku sebagai membalas pemberianku. Namun, ibunya risau jika bahan-bahan yang akan digunakannya nanti tidak boleh dimakan oleh ku dan keluarga. Dengan senang hati aku menjelaskannya kepada Diego dan Diego telah mendengarnya dengan teliti serta penuh minat.

Moralnya, orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa. Tidak rugi berbuat baik sesama manusia walau apa pun bangsa dan agama mereka. Kerana Islam itu indah dan mudah, baik dan cantik. Islam adalah mulia, adalah agama untuk semua.

Selamat meneruskan Ramdhan dariku, hambaNya yang hina.

Puding roti yang dibuat tahun lepas, elok jerr jadi.

 

Ini juga adalah hasil air tangan tahun lepas.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *