Satu-satunya pelabuhan untuk pelayar tegar adalah KEMATIAN. Mereka tidak membiarkan diri mereka dipukul ombak, malah merekalah yang memukul ombak! Mereka melawan badai, bukan berpatah ke pantai!

Ramai yang tidak tahu bahawa dua tahun lepas (2010) saya sekeluarga telah diperintahkan pulang ke Malaysia atau dengan kata lain dihalau oleh kerajaan Sepanyol. Punca? Terlupa renew resident card (kad yang diperlukan oleh orang luar untuk menetap lebih daripada tiga bulan di sesebuah negara). Pada hari saya pergi untuk memperbaharuinya ia sebenarnya telah expired selama dua bulan. Dalam keadaan tidak bersedia dan tidak berduit untuk pulang, saya terpaksa berhutang. Kelam kabut usah cerita. Maka pulanglah kami lima beranak ke tanah air dengan terpaksa melalui semula semua proses memohon visa yang rumit dan berjela (certificate of good conduct, medical check-up, borang visa, dokumen-dokumen lain, etc.). Dengan visa yang baru maka barulah kami boleh masuk semula ke negara ini dan memohon kad residen yang baru.

Bayangkanlah berapa banyak perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan untuk pulang ke tanah air dan kemudian balik semula ke Sepanyol. Sudah tentu tiket yang dibeli secara mengejut berharga amat mahal. Masa yang terpaksa dikorbankan pula, usah cerita. Dalam keadaan saya sedang bergelut untuk menyiapkan projek penyelidikan sebagai syarat pengajian, saya terpaksa ke hulu ke hilir mencari orang yang sanggup meminjamkan sejumlah wang untuk membeli tiket untuk pulang. Ke sana ke mari untuk hal-hal yang lain seperti, ke sekolah untuk urusan notis ketidak-hadiran (anak-anak) untuk tempoh yang tidak diketahui, ke bank untuk urusan pembayaran sewa rumah dan segala bil selama ketiadaan, ke fakulti untuk pelbagai urusan yang berkaitan dengan pengajian, ke pejabat pendaftaran untuk mengisi borang itu dan borang ini dan pelbagai urusan lain lagi.

Keperitan itu sungguh perit, amat perit. Tetapi ia memberi banyak pengajaran dan sudah tentu pengalaman berharga yang amat mahal, melebihi segala wang ringgit yang telah saya habiskan akibat daripada kenanaran ini. Dan ia juga akan kekal dalam memori saya dan keluarga sebagai antara kenangan pahit terindah selama-lamanya.

Mahalnya harga sebuah journey untuk menggenggam hanya tiga huruf ini; p, h, d! Sebenarnya tiga huruf tersebut tidak membawa apa-apa erti sangat pun. Yang amat tinggi harganya itu adalah rempah-rempah untuk membikinnya, adalah rencah-rencah yang terkandung di dalam resepinya; pedih, letih, sedih, dan jerih, yang memberi kepada saya hambaNya yang hina dina ini anugerah kalih. Kalih dalam menghadapi pasang surut hidup yang bersilih, kalih dalam mengharungi cahaya terang dan redup yang bertindih.

Terima kasih
kepada DIA yang pengasih.
Yang memilih
untuk menempatkan aku
ke golongan “terpilih”.
Untuk mengecap
pedih
letih
sedih
dan jerih.
Ini adalah anugerah daripada si Pengasih
anugerah kalih.
Pada pasang dan surut hidup
yang bersilih.
Pada cahaya terang dan redup
yang bertindih.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *