Jam menunjukkan pukul 11.25 pagi. Alaaa belum datang lagi si Diego ni, dah dekat sebelas setengah (rungutku dalam hati). Lambat lagilah jawabnya nak siap analisis ni. Tapi, tak mengapa, yang penting dia datang dan dia sanggup datang setiap hari (memujuk hati). Lambat sikit pun tak apa. Erm, walaupun setengah jam itu bukan lagi sikit namanya. Lebih kurang pukul 11.35 pagi loceng rumah berbunyi. Yeap dia datang. Lebih lambat daripada biasa pula hari ni. Tapi, tidak mengapalah kerna yang penting dia tetap datang dan syukurlah dia sanggup datang. Kan?

Aku meluru membuka pintu. Meluru, kerana kalau boleh aku tidak mahu mengsiakan walau sedetik pun waktu. Sebaik pintu dibuka terpacul wajah Diego, seperti biasa dengan wajah baru bangun tidurnya dan dengan senyumnya yang penuh gula. “Hola!”, dia menyapaku, sapaan lazim orang Sepanyol. “Hola!”, aku membalas sambil mengisyaratkan kepadanya agar masuk. Sebaik dia duduk, maka bermulalah sesi memperoses data untuk hari itu. Pukul 12.50 dia sudah menunjukkan isyarat mahu pulang. Ada hal katanya. Tetapi, sebelum keluar dia memberitahuku bahawa dia mahu memberikanku sesuatu. Sesuatu? Aku tertanya-tanya. Diego pula macam sengaja nak bagi aku suspen. “Tunggu”, katanya. “Saya balik kejap dan datang semula dalam beberapa minit”. Aku menunggu penuh teka teki.

Selang beberapa minit, Diego kembali. Mataku terpaku pada objek di tangannya. “Nah, terimalah hidangan balas dari kami buat anda sekeluarga”, katanya dalam nada ceria. “Apa tu?” tanya anakku yang sulung. “Oh, ini tarta de queso (kek keju), mak saya buat sendiri, khas untuk kalian semua”. “Wauu, nampak sedap dan menyelerakan”, kataku. “Ia enak dan manis, rasalah” usulnya. “Maaf, kami puasa, inikan ramadhan” kata hubby ku. “Eh lupa, maaf, so malam nantilah ya baru dapat rasa” balasnya. “Ya, malam nanti kami rasa, oh sungguh tidak sabar hendak memakannya”, kataku. Diego senyum lebar. “Ok, besok beritahu saya apa rasanya, ek!” pintanya. “Dah tentu, saya akan segera melaporkan kepada pihak sana nanti” jawabku dalam nada bergurau. Semua orang gelak termasuk Abdullah. Faham ke Abdullah? Diego meminta diri untuk pulang manakala aku, hubby dan anak-anak tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepadanya. “Peluk cium untuk mama ya” jeritku sebaik Diego sampai di depan pintu rumahnya yang betul-betul bertentangan dengan pintu rumahku. “Orait!” balas Diego. “Adiós” lambainya. “Adiós!” balas kami beramai-ramai.

Aku segera memasukkan kek keju tersebut ke dalam peti sejuk untuk mengelakkan kedua-dua anak daraku yang berpuasa berasa tersiksa kerana terliurkannya. Dari tadi masing-masing sibuk meneka-neka akan rasanya. “Macam karipapkah?” tanya Insyirah. “Apa rasanya mama? Pizza?” teka si Habibah pula. “Entah!” jawabku. “Biarlah rahsia dan menjadi misteri sehingga tiba waktu berbuka, misteri itu indah” kataku lagi. Manakala Abdullah sedikit pun tidak menunjukkan rasa ingin tahu atau minat terhadap kek tersebut. Abdullah memang anti segala kuih muih atau makanan manis. Tengok aje pun dia dah geli, usahkan nak makan. Aku tidak kisah kerana keadaaan itu sebenarnya bagus untuk kesihatan Abdullah. Tetapi jika Abdullah liat makan sayur atau buah maka baru aku bertindak.

Okeh, sekadar berkongsi secebis kisahku dengan jiran yang baik hati. Di bawah ini ku tampilkan dua keping gambar; gambar Diego dengan kek kejunya di depan pintu rumahku dan gambar kek keju dari dekat. Maka, adalah sedikit kelainan dalam menu berbuka puasa kami di ramadhan ini.

Jiran yang baik hati.

 

Kek Keju.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *