Mama, dah lama kakak tak nampak mama shopping.

Hah? tanjat mama.

Hahaha, … nape mama dah tak shopping sekarang?

Takde fulus nak.

Fulus tu apa?

Pitis!

Pitis tu apa?

Ahh, dinero, dinero … (dinero, perkataan Spanish = pitis).

Ohh, sebelum ni mama ada je pitis?

Sebelum ni, sekarang tidak lagi, dah bengkrap.

Nape bengkrap?

Itulah akibatnya jika kita tidak pandai berjimat, boros. Ketika berpitis berbelanja tak hingat. Beli itu beli ini, semua rasa nak beli.

Memang pun kakak tengok mama macam tu, erm ..

Hurm, so kakak jangan buat yang serupa, kena ada batas dalam berbelanja sekalipun kita fikir kita berduit. Kena tahu membezakan apa yang kita perlu dengan apa yang kita mahu.

Apa maksud, tahu membezakan yang kita perlu dengan yang kita mahu, mama?

Yang kita perlu adalah “keperluan” yang jika tiada akan mencacatkan kehidupan, seperti makanan asas (beras, ikan, sayur), pakaian asas (baju, seluar, kain, tudung, stokin, kasut), dan segala macam keperluan asas yang lain (api, air, gas, lain-lain). Yang kita mahu pula adalah benda-benda yang melangkaui keperluan asas, benda yang jika tidak ada tidak akan menjejaskan kehidupan. Selalunya nafsulah yang menjadikan kita mahu ini mahu itu. Nafsulah yang membuatkan kita terbeli benda yang kita tidak perlu. Misalnya, kita sudah ada cukup baju untuk dipakai, kita beli yang baru semata-mata kerana mahu bergaya dan dipandang lawa. Kita sudah ada cukup banyak beg tetapi kita tetap mahukan beg yang baru kerana kita tertipu dengan trend dan fesyen. Begitu.

Ooo, tapi kakak tak pernah tukar beg sekolah, beg yang sama kakak pakai sejak kita ke mari, kira-kira lima tahun lepas.

Ya, mama tahu anak mama ni sungguh baik orangnya. Mama tahu kakak tak suka menyusahkan mama. Malah kakak senantiasa mempermudahkan urusan mama. Mama ucap berbanyak-banyak terima kasih atas segala kerjasama yang telah kakak berikan.

Kakak cuma mahu mama gembira, itu sahaja. (senyum, ala tomey)

Oh anak, syurgalah hendaknya nanti tempat mu, amin ya rabbul alamin. (memeluk dan mencium dahi kesayanganku, pengarang jantung hatiku)

Nota:-

Oh, pertayaan kakak tetiba membuatkan aku rindu untuk shopping. Tapi ahhh …

Sangat tidak waras apabila kemeluapan untuk shopping melonjak ke tahap maksimum di saat ketiadaan fulus. Tetapi, ia jauh lebih baik daripada shopping dengan ketidak-warasan di tahap maksimum ketika sedang berfulus.

Allah maha bijak, bila DIA mengatur, kita terakur, tersungkur!

Mengidolakan adalah menghayati dan mempraktis seluruhnya kelakuan sang idola. Selamat meningkatkan keidolan kepada baginda Rasulullah s.a.w dalam segenap kehidupan.

Baginda tidak meminta diraikan kelahirannya tetapi baginda menyeru diamalkan ajarannya.

Apakah yang membezakan status-status di FB itu sebagai “hendak menunjuk-nunjuk” atau “hendak berkongsi”? Kita terpaksa menerima, bahawa yang membezakan keduanya adalah “HATI PEMBACA atau HATI PENILAI”. Jika hati itu negatif, yang positif pun akan sentiasa di negatifkan. Sebaliknya, jika hati positif, yang negatif tetap akan diambil sebagai “ada hikmah” atau “ada pengajaran”.

Contohnya, ada orang warwarkan di statusnya tentang kejayaan keluarganya dalam perniagaan. Yang berhati negatif akan menganggap ia sebagai “mahu menunjuk-nunjuk”. Yang berhati positif pula mungkin akan mengambilnya sebagai suatu teladan, suatu perkongsian, suatu cabaran malah suatu bentuk motivasi berguna untuk dirinya melonjak ke level yang sama.

Lain halnya dengan status yang berbunyi begini:

keluarga aku adalah keluarga terkaya atau terberjaya di dunia, takde sorang pun rakyat Malaysia boleh lawan!

Atau ditulisnya begini:

Dalam dunia ni, anak akulah yang paling lawa, paling cute, paling macho, k? ko, ado?

Itu pun sebelum lancang mulut menuduh dia nak menunjuk-nunjuk kita kena kaji pragmatiknya dahulu; digunakan dalam konteks apa? kata-kata itu ditujukan kepada siapa? untuk gurauan sesama kenalan rapatkah? atau saja-saja menyakat atau memprovokasi kamcing-kamcing atau member-member yang udah bertahun-tahun serasi atau dengan kata lain “kacik molek”?

Begitu juga gambar, yang tidak perlu diusaha selidik lagi akan niatnya ialah gambar-gambar yang menyembul aurat sendiri atau gambar-gambar kemewahan yang ditag pula dengan kata-kata seperti:

Rumah tokwan aku, kaya raya, rumah menteri kesihatan pun tak sebesar rumah tokwan aku!

Kalau dia letak gambar ruang tamu rumah dia meskipun ada sofa kulit buaya besar gedabak dan ada skrin tv sebesar lori balak, biaq pi kat dia laa, kebetulan yang duduk atas sofa tu ialah tokki dia, dan dia upload gambar tu pasal nak perkenalkan pada rakan-rakan dia, “inilah tokkiku”. Tak boleh ke mempositifkan hati begitu? Dan yang berhati negatif pula, duk pi buat analisis sofa, analisis perabut rumah orang segala bagai tu, nape?? Terluang sangatkah masa? Takde kerja sangat la tu ya?

Suka dinasihatkan, kepada yang berasa status-status atau gambar-gambar si fulan itu si fulan ini di FB itu sebagai serba tak kena, serba tak selesa padanya, dan serba yang dia baca dan dia lihat dia TERmenderita dengan perasaan kemenyampahan, plisss anda ada dua pilihan; tutup akaun FB anda sebab hakikatnya takde siapa paksa anda main FB (ke abah paksa?), atau pilihan kedua, anda block atau remove atau unfriend semua mereka yang anda fikir menulis bukan-bukan atau meletak gambar bukan-bukan, agar anda tidak TERmenderita kemuntahan atau kegelian telinga yang akhirnya boleh membuat anda biul.

Pun begitu, tulisan ini tidak sekali-kali menyokong status-status di FB yang melampaui batas samada batas agama, bahasa maupun provokasi ke atas bangsa. Fokus nukilan ini ialah kepada mereka yang sering meluah “meluat” atau “menyampah” dengan status orang ini, status orang itu, gambar orang ini, gambar orang itu.

Meluat tapi tak buka FB sehari macam kucing tergeliat urat!

 Nenek yang celik FB, hehe …

Aikk, nape luah kat sini, bukan di FB? Haishh, nanti orang meluat pula atau sakit-sakit urat. FB bila kita post sesuatu ia akan dilihat meskipun tanpa niat untuk melihat tetapi bila ia terpampang di status maka mahu tak mahu, suka tak suka akan terlihatkan. Tetapi blog, hanya mereka yang rajin baca blog atau secara kebetulan terjumpa sesuatu blog ketika sedang search benda lain, yang akan membuka dan membacanya. So kalau anda meluat itu salah sendiri, siapa suruh buka dan baca? FB pula tak boleh kata salah sendiri, tak boleh persoal “napa pi baca”? Sebab nama pun jaringan sosial, memang untuk supaya post kita dilihat, dibaca dan terkesankan, kan?

 

Laporan akhbar:http://www.harian-metro-online.com/dera-saya-menyesal-serah-fatin

 

Asal ada kes dera kanak-kanak, penderanya adalah “teman lelaki” si ibu. Persoalan:-

  1. Mengapa ibu ada teman lelaki? – ibu sunyi
  2. Mengapa ibu sunyi? – ibu tiada suami
  3. Mengapa ibu tiada suami? – ibu bercerai
  4. Mengapa ibu bercerai? – suami lari/mati/ada perempuan lain/tak serasi/salah sendiri/takdir
  5. Di mana ahli keluarga ibu; mak, ayah, adik beradik? – tidak endah/tidak peduli/tidak ambil tahu/tidak cakne/susah tanggung sendiri
  6. Di mana masyarakat ibu; jiran, kawan, saudara mara? – tidak perihatin/lebih seronok memfitnah daripada bertanya apa masalah atau meringankan yang susah, lebih cenderung mengeji daripada mengambil peduli

 

Solusi:-

  1. Ibu – tabah dan redha menghadapi ketentuan dalam perkahwinan, kuatkan iman dan semangat.
  2. Suami ibu – yang diceraikan ibu, bukan anak-anak. Tanggungjawab bapa kepada anak-anak tidak putus sekalipun terputus hubungan dengan ibu mereka akibat daripada terputus ikatan perkahwinan. Bertanggungjawab memberi nafkah secukupnya kepada anak-anak yang dengan itu terelak beban ditanggung sendirian oleh si ibu yang boleh membuatnya tertekan zahir dan batin.
  3. Ahli keluarga ibu – mengambil peduli tentang ibu, memberi sokongan moral dan material walau apa pun sebab kegagalan rumahtangganya. Apabila ibu telah bercerai samada hidup maupun mati dengan suaminya, maka tanggungjawab menjaga kebajikan ibu beralih kepada bapanya semula dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli keluarganya untuk meneruskan hubungan yang baik dengan ibu dan membantu apa yang perlu. Jika ibu masih berkehendakkan kepada suami, maka menjadi tanggungjawab ahli keluarga si ibu untuk merealisasikan perkahwinan ke seterusnya si ibu dengan berusaha mencari jodoh yang sesuai agar zahir ibu terpelihara dan kekosongan batin ibu terisi.
  4. Masyarakat ibu – sahabat, rakan taulan, jiran-jiran dan ahli masyarakat yang lain harus cakna dan mengambil tahu tentang ibu dengan memberi sepenuhnya motivasi untuk ibu meneruskan hidup sebagai ibu tunggal yang berjaya dan berkualiti. Jangan difitnah dan usah dikeji. Tiada ibu rela diceraikan sekalipun atas kesalahannya sendiri. Bukan kehendaknya untuk menjadi ibu tunggal tetapi takdirlah yang telah menentukan perkahwinannya berakhir dengan perpisahan. Kasihanilah ibu tunggal, bimbinglah mereka, jangan sisihkan mereka, berilah mereka keyakinan bahawa hidup akan kembali bersinar dengan mereka menyerah seluruhnya jiwa dan pergantungan mereka kepada Tuhan.

 

Dengan demikian, tidaklah si ibu mencari teman lelaki sebagai alternatif untuk berlindung atau memohon bantuan yang akhirnya akan menjerat diri dan kehidupan mereka di hari kemudian, seperti berlakunya kes penderaan demi penderaan.

 

Gambar dari Harian Metro

Apa tidak menangis jiwa, apa tidak teruntun raga, melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa bengkak mukanya, lebam sini sana, patah tulang patah semua, malah ada yang melayang nyawa kerana didera?

AYUH CAKNA

MASYARAKAT = SAYA, ANDA, KITA!

Mama, mengapa bila sembahyang kita pakai telekung warna putih? Telekung warna lain takde ke?

Dulu ya, warna putih sahaja. Sekarang telekung ada dalam bermacam-macam warna.

Mama suka warna apa?

Putih!

Warna-warna lain?

Suka juga, tapi bukan sebagai telekung sembahyang. Telekung sembahyang mama suka yang warna putih sahaja.

Kenapa?

Bila sembahyang mama nakkan kekusyukkan, sebab itu mama suka telekung yang warnanya putih sahaja, putih seputih-putihnya.

Tapi, macam mana pula putih boleh dikaitkan dengan kekusyukkan?

Putih mengingatkan kita kepada kain kafan, kepada kematian, langsung menambahkan kesungguhan kita untuk memaksimumkan kualiti sembahyang.

Oo gitu…

Seboleh mungkin kita mahu sembahyang kita itu mampu menjadikan kita serendah-rendahnya hamba kepada setinggi-tingginya DIA, Pemilik dan Pencipta semesta alam.

Ooo (angguk-angguk)…

Sebab itu mama suka pada telekung yang warnanya putih sahaja, putih putih-seputihnya. Tanpa sulam, tanpa kerawang, tanpa motif bunga-bunga, tanpa warna, tanpa apa-apa!

Tapi, bukankah sulam, kerawang, bunga-bunga, dan semua warna-warna itu cantik? Maka ia akan menambah-cantikkan lagi telekung kita, kan mama?

Betul, cantik. Tapi kerana ia cantik dan mencantikkan telekunglah mama tak suka. Kerana fitrah mata dan jiwa manusia Tuhan jadikan melirik dan asyik kepada benda-benda yang cantik. Ketika sembahyang kita mahu jiwa kita difokus sepenuhnya kepada Tuhan. Macam mana jiwa nak fokus jika mata asyik melihat kepada keindahan sulam dan kerawang, ada pula motif bunga-bunga yang cantik pelbagai warna. Nanti mata sibuk membuat analisis sulam, analisis kerawang, analisis bunga dan analisis warna. Tuhan entah ke mana.

Hihihi (ketawa tutup mulut), kakaklah tu, hihihihi…

Sebab itu jika mahu jiwa mempersempahkan sepenuh-penuhnya keasyikkan dan kekusyukkan cinta kepada DIA, putihlah solusinya. Yang warnanya putih sahaja, putih seputih-putihnya. Jiwa kita tenang, jiwa makmum yang lain di dalam saf juga tenang. Tiadalah ada rasa untuk berbicara soal dunia di dalam rumah Allah jika kita bersembahyang di masjid atau surau.

Berbicara soal dunia?

Jika si fulan ini melihat si fulan itu memakai telekung bersulam cantik berkerawang indah, mungkin akan ada dorongan untuk bertanya; beli di mana, berapa harga, macam mana rasa, bagaimana nak jaga dan sebagainya. Kan?

Hmm, betul juga tu mama.

Lagipun, putih itukan lambang kebersihan.

Tapi mama, tidakkan warna putih mudah nampak kotor jika terkena kekotoran?

Ya betul. Sebab itulah warna putih dikaitkan dengan warna kebersihan. Oleh kerana warna putih mudah nampak kotor jika terkena kekotoran, maka cepatlah kekotoran itu dikesan, dan cepatlah juga usaha-usaha untuk menyucikannya dilakukan. Jika ia pakaian, maka kekalah ia di dalam kebersihan.

Oo begitu…

Bandingkan pula dengan warna-warna lain. Warna hitam misalnya. Memang susah nampak comot tetapi jika ada kekotoran ia sukar dikesan. Bila sukar dikesan, maka kekal melekatlah kekotoran itu pada zatnya selama-lamanya sehingga ia diketahui lalu dicuci. Nampak tak?

Nampak, nampak… (angguk-angguk)…

Mmm, mama rasa dah masuk waktu solat isyak ni, jom kita sembahyang, ek…

Jom! (senyum, comel)…

Nota:-

Dahulu, telekung atau di Terengganu di panggil baju sembahyang hanya wujud di dalam warna putih sahaja. Tetapi kini, ia ada di dalam bermacam-macam warna. Ketika telekung bersulam mula wujud, sulamnya kecil-kecil sahaja. Tetapi lama kelamaan sulam-sulamnya makin besar, makin banyak motif-motifnya dan kerawang-kerawangnya juga makin berselirat dan berserabut.

Saya suka telekung yang dulu-dulu. Yang warnanya putih sahaja. Putih seputih-putihnya.

Bila saya boleh jumpa Prof?

Erm, kita jumpa 31 hb.

Baik.

31 hb Disember 2012 (depan fakulti):-

Fakulti tutup, semua pintu terkunci. Kita tak boleh masuk.

So, macam mana Prof?

Kita cuba tengok library sana (menunjuk ke arah library awam berdekatan).

Tutup jugalah Prof, hari ni semua tutup ka?

Tak semua. Pejabat-pejabat kerajaan buka separuh hari.

Oo gitu, so macam mana Prof?

Kita discuss kat bar, jom!

Ok, baik (berjalan sama-sama ke bar berdekatan)

Di bar:-

Awak nak minum apa?

Kopi.

Kopi apa?

Kopi dengan gula.

Aar? Kopi apa?

Kopi ngan gula! (ulang suara dengan ton sedikit tinggi tapi lembut)

Yelah, tapi kopi apa?

Err … kopi laa … ngan gula!?

Kopi o ke kopi susu?

Oh, kopi o, ya ya kopi o (aiseh salah sebut) ..

Ok, kopi o satu, kopi susu satu (prof order).

Erm ..

Ok, jom, kita discuss pasal chapter awak ni, bla bla, bla, bla, bla, bla (10 minit siap bla bla bla)

Ok, baik Prof, saya akan baiki macam yang Prof nak.

Ok, orait.

Chapter yang satu lagi tu Prof?

Oh yang itu saya tertinggal di ofis, belum baca.

So, pertemuan kita seterusnya bila ya Prof?

Erm, 8 hb januari baru fakulti buka, kita tengok dulu, 6 hb awak email saya.

Ok, baik.

Orait, ada apa-apa soalan lagi? (sambil menunjuk signal mahu bangun)

Err, erm, buat sementara ni takde Prof.

Ok, kalau camtu, sampai di sini saja untuk hari ni (bangun).

Err, ya ya (bangun juga)

Ok, adiós, jumpa lagi 8 hb.

Terima kasih banyak-banyak Prof kerna belanja kopi.

Sama-sama, ok selamat tahun baru, adiós (sambil berlalu dengan laju)

Erm, ya selamat tahun baru juga buat Prof, adiós… (terpinga-pinga, secepat itu diskusi, selaju itu dia pergi, dalam cawan masih berbaki separuh lagi kopi)

Nota:

Empat tahun menjadi pelajar di bawah seliaanya, baru kali ini buat pertama kalinya dia mempelawa aku minum kopi bersama, di hari terakhir tahun 2012, 31 hb Disember 2012. Itu pun kerana fakulti dikunci sempena cuti krismas. Semenjak Rajoy mengambil alih tampuk pimpinan Sepanyol, penjimatan besar-besaran telah dilakukan untuk memulihakan ekonomi negara mereka. Salah satu usaha penjimatan itu termasuklah mengunci semua pintu bangunan fakulti di universiti-universiti awam mereka ketika cuti umum untuk mengelakkan tenaga seperti eletrik, air, gas dan sebagainya diguna meskipun oleh staf mereka sendiri.

Dalam konteks orang lain mungkin minum atau makan bersama supervisor sudah menjadi perkara biasa, tetapi tidak bagiku. Supervisorku adalah seorang yang sangat skema, sangat formal, sangat spesifik, sangat berprotokol, sangat objektif dan segala macam sangat lagi yang seumpamanya. Dia bukan seorang yang boleh duduk bersembang-sembang dengan pelajar di cafe, dia bukan seorang yang suka duduk di dalam kumpulan, dia suka bersendirian, dia bukan seorang yang boleh diajak bersantai dan bergurau senda, dia hanya bercakap dan berbicara soal-soal penting dan mustahak sahaja.

Maka semalam, 31 hb Disember 2012, adalah HARI INI DI DALAM SEJARAH, bila mana dia telah TERsudi membelanjakan aku secawan kopi, yang saiz cawannya sebesar ibu jari kaki sahaja (saiz tipikal cawan kopi di bar-bar di Sepanyol). Punyalah aku gabra di hari pertama dalam sejarah minum kopi bersama supervisor sendiri. Tu yang pi minta kopi ngan gula tu, hak hak hak…. kat Malaysia pun orang tak order “kopi ngan gula satu!”.

Hampeh!

Cawan ini kecil sahaja, besar sikit jer daripada ibu jari kaki, huhu …

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...