SEDAR ialah kita tersentak dan bertindak, bukan mengucapnya di mulut tetapi duduk memeluk lutut. Dan untuk SEDAR, kadang-kadang hati perlu “dibakar”, biar leka menggelupur, biar khayal tersungkur. Biar nanti yang tinggal adalah abu-abu yang akan menjadi baja kepada percambahan tunas-tunas jiwa yang segar dan baru.

Apa kaitan tart nanas di dalam gambar di bawah dengan persoalan sedar di atas? Baca seterusnya ulasan di bawah gambar…

Kaitan tart nanas dengan isu di atas ialah ia merupakan analogi mudah untuk memahami maksud sedar. Tart nanas dipilih kerana ia merupakan antara biskut raya yang popular dan digemari ramai termasuk diri saya sendiri.

Saya memang hantu tart nanas. Saya tidak ada masalah untuk memamahnya tanpa henti hingga ke balang ketiga pun di dalam satu-satu masa. Yang menjadi masalah ialah untuk berhenti. Saya tahu atau sedar bahawa memakannya dalam kadar yang banyak adalah tidak baik untuk kesihatan dan boleh menjadi punca obes disebabkan oleh kandungan gulanya yang tinggi.

Namun, apalah maknanya jika hanya diucap “saya sedar” tanpa apa-apa usaha atau tindakan untuk berhenti memakannya. Itu bukan sedar tetapi menipu diri sendiri mengatakan sedar. Tetapi untuk berhenti menikmatinya nasihat yang lembut kadang-kadang tidak berbekas maka perlu kepada nasihat yang keras yang berbaur ugutan misalnya dan dengan perkataan-perkataan yang boleh menggerunkan saya tentang bahaya memakannya terlalu banyak (inilah yang dimaksudkan dengan “kadang-kadang hati perlu dibakar”). Maka barulah saya seolah-olah seperti tersentak, tersedar dari lamunan ketart-nanasan yang mengasyikkan yang kemudiannya menggerakkan pula anggota badan saya seperti tangan dan mulut daripada berhenti mengambil dan mengunyahnya. Begitu.

Selamat sedar diri, dari saya hambaNya yang hina.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...