Pakaian yang sopan dan senonoh bukan sahaja membuatkan mereka yang berhati sopan dan senonoh sejuk memandang, tetapi juga menjadi motivasi yang kuat untuk pemakainya menyopan dan menyenonohkan kelakuan mereka sendiri. Tetapi jika ada yang berpakaian sopan dan senonoh tetap tidak sopan dan senonoh dalam perangainya, maka itu bukan salah pakaian, itu adalah manifestasi kegagalan pemakai untuk menyopan dan menyenonohkan niat mereka sendiri dalam berpakaian begitu.

_____________________________________________________________________________________________

Adapun di Sepanyol darul jauh ini, tiba sahaja summer ataupun belum tiba tetapi dekat-dekat hendak tiba maka berlucutanlah kain-kain di badan bangsa mereka. Kadang-kadang pakaian mereka itu adalah pakaian semulajadi, iaitu pakaian yang sama yang mereka pakai ketika mereka dilahirkan ke dunia ini. Pada mereka tubuh dan seluruh yang ada padanya sudah tidak ada nilai, malah bodohlah jika tidak dipamer, ditayang-tayangkan kepada orang ramai.

Apa nak malu? Jawab beberapa orang yang sempat saya interview. Malah belum sempat soalan-soalan seterusnya diaju, saya pula diterjah pertanyaan bertalu-talu; Awak tak malu ke bertutupan begini seolah-olah seperti memperkecil-kecilkan anugerah Tuhan yang telah mengurniakan kita keindahan tubuh badan?. Hoho, tu diaa, mereka pula yang lebih-lebih bersyarah tentang Tuhan dan ciptaanNya. Takpelah, golongan begitu tidak perlu diusaha hujah kerna mereka memang telah sesat dalam pemahaman mereka sejak dari hari pertama mereka tahu berfikir lagi. Yelah, kalau sudah dari kecil diwarwarkan berbogel sebagai amalan mulia, sebagai salah satu cara menyatakan kesyukuran konon-kononnya, maka apa lagi malu yang mereka ada untuk bertelanjang bulat ketika dewasa? Bangga lagi ada.

Tetapi kepada yang datang bertanya, yang datang untuk meminta kepastian, maka mereka itu wajar dihujah, perlu diterang dan harus difahamkan tentang prinsip dan kebenaran agama kita. Mengapa? Kerana mereka yang bertanya itu adalah mereka yang ingin tahu, adalah mereka yang mencari jawapan dan mungkin juga mereka yang sedang tercari-cari kebenaran. Maka, praktikkan segala skill yang ada untuk sekurang-kurangnya mengetuk bongkah minda mereka kalaupun tidak memecahkannya.

Jika tidak mampu berhujah agama disebabkan sensitiviti atau faktor keselamatan, maka berusaha untuk menjelaskan kepada mereka tentang budaya dan pegangan adat kita juga sudah memadai sebagai titik mula dakwah dan perjuangan. Kadang-kadang orang barat pantang mendengar kita bercakap soal agama, mereka akan cenderung memandang kita sebagai extremist atau terrorist. Ingat, dakwah perlu tabah dan istiqamah, perlu juga kepada kemas dan berhikmah. Bukan pakai redah, pakai terjah dan pakai belasah ikut rasa marah. Kan?

Amapola, antara kurnia Pencipta kepada hambaNya yang hanya terbit atau berbunga di kala primawera (spring) dan verano (summer).

Mari menyenonohkan pakaian dan kelakuan, dari saya, hambaNya yang hina.

Baru-baru ini saya telah pergi ke pameran patriot yang diadakan di dalam bangunan milik tentera, di Valladolid ini. Bangunan tersebut hanya dibuka sekali sahaja setahun untuk orang awam termasuklah orang sepanyol sendiri.

Apa yang dipamer? Dah namanya pameran pariot, maka sudah tentu yang dipamer adalah segala yang berkait dengan patriot; askar, tentera, militan dan lain-lain yang seumpama dengannya. Entah, saya sendiri sebenarnya tidak berapa arif tentang beza di antara setiap istilah tersebut, tetapi ya, ada bezanya.

Secara spesifiknya, apakah barang-barang yang dipertontonkan kepada orang awam? Ada segala. Senjata; senapang, pistol, pedang, lembing, tombak, pisau rambo, bom, segala! Maaf, saya tidak berapa minat tentang senjata-senjata perang makanya saya tidak berapa galak untuk mengambil tahu. Pakaian perang; baju bulu, baju besi, tali pinggang, topi dan segala macam pakaian tentera yang kebanyakkannya tidak pernah saya lihat sebelum ini. Kemah tentera dan segala jenis peralatan komun di dalam kemah; kerusi, meja, buyung air, teko, gelas, pinggan mangkuk, hingga kad atau daun terup yang digunakan oleh para askar untuk bermain di waktu kelapangaan mereka pun turut diperlihatkan. Pendek kata, segala peralatan tentera termasuk segala kelengkapan perang dipamerkan untuk tontonan awam.

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya berkenaan pameran tersebut. Pertama, sikap askar-askar yang menjadi petugas pada hari pameran adalah amat baik dan terpuji. Sabar melayan karenah orang ramai, mesra budak, bersedia untuk menjawab segala pertanyaan dan bijak menerangkan segala kemusykilan. Di samping itu mereka juga sungguh kacak, berwajah mesra alam, berbicara dalam tona yang lembut dan amat merendah diri. Amat tidak berketepatan dengan sangkaan awal saya bahawa askar-askar mereka mempunyai tona suara yang keras dan garang. Paling saya suka, mereka amat mesra budak. Melayan kanak-kanak seperti anak sendiri dengan penuh kasih sayang. Hurm, jika ada pameran yang serupa di tanah air, begitu jugakah sikap askar-askar kita melayan orang ramai?

Antara banyak benda yang dipamerkan, secara peribadi saya paling tertarik kepada peta-peta klasik yang digunakan oleh pihak tentera dalam misi-misi ketenteraan mereka pada zaman dahulu. Peta-peta tersebut mengalami revolusi yang amat menarik hingga terhasil peta moden yang digunakan pada hari ini. Sayang sekali saya ini seorang yang tidak berapa cekap menulis maklumat menyebabkan tidak banyak yang boleh saya ceritakan tentang peta-peta tersebut melainkan memanifestasikan sahaja gambar-gambarnya di dalam blog miskin ini.

______________________________________________________________________________________________

Buat tatapan mereka yang berasa ia berguna dan perlu ditilik perhati, terimalah:-

 

Insyaallah dalam entri yang akan datang saya akan tunjukkan gambar-gambar lain berkaitan pameran tersebut yang pada perkiraan saya menarik untuk dihayati.

Mama, boleh dak adik nak buat surprise untuk mama?

Surprise? Surprise apa?

Surprise hari lahir.

Bila?

Pada hari lahir mama laa..

Macam mana nak buat tu?

Adik akan suruh mama pergi kedai, masa mama takde adik akan hiaskan meja dengan bunga dan belon, kemudian bila mama balik, mama buka pintu ….. surprise!!!!!!

Kakak nak buat surprise jugalah, kakak nak letak hadiah atas meja, hadiah tu kakak tutup dengan kain, mama ingatkan apa, bukak-bukak taraaaaa ……surprise!!!! (menyampuk si kakak).

Tapi mama jangan bagitahu kat mama sendiri ya adik dan kakak nak buat surprise, k? ………….tapi, aikk, aarrr??? (garu2 kepala)

(dia baru sedar yang dia sedang menceritakan surprise yang dia rancang untuk mengsurprisekan mama, kepada mama sendiri)!!

¡¡¡¡Dia terkantoi!!!!

 _______________________________________________________________________________________________________

Hahahahahaha, rasa macam tak nak bagi jer anak-anak menjadi dewasa, kan? Rasa macam nak mereka kanak-kanak selamanya. Kerna hati nurani kanak-kanak sungguh suci, sungguh murni dan putih bersih seperti embun pagi. Mereka sentiasa ikhlas dalam ekspresi diri. Meskipun kadang-kadang mereka itu memeningkan tetapi kehadiran mereka di dalam hidup kita amat-amatlah membahagiakan.

Mereka memberi makna kepada kehidupan, mereka memberi kita peluang untuk mengecap segala rencah yang wujud di dalam perasaan; suka, duka, pahit, tawar, ria dan debar. Mereka membuatkan hidup kita penuh dengan surprise-surprise yang tidak terduga. Bayangkan jika mereka tiada, hidup sungguh sunyi dan sudah tentu ibu bapa akan berada dalam keadaan yang “tidak tahu hendak buat apa”.

Masa kita terisi dengan telatah “macam-macam” mereka, hidup kita beerti dengan proses kedewasaan mereka. Jika wujud segelintir manusia yang tidak suka kepada kanak-kanak dan tidak tahu menghargai, apatah lagi menyiksa mereka, maka saya tidak tahu manusia jenis apakah mereka itu, perlu dibencikah atau dikasihani? Perlukah dihumban ke gaung api, atau dirawat diberi terapi?

Saya juga manusia biasa, kadang-kadang terkhilaf jua dalam bertingkah laku dan bertutur bicara dengan mereka. Tetapi jika itu berlaku, saya akan mencari satu waktu khusus untuk memesrai mereka, meminta maaf kepada mereka dan cuba mengkanak-kanakkan diri saya sendiri agar mereka berasa yang saya sungguh-sungguh menyesal dan mahu mereka menerima saya semula. Jangan lupa ya, pelukan dan ciuman adalah penawar paling mujarab untuk membeli hati dan jiwa anak-anak.

Mengapa perlu membeli hati dan jiwa mereka? Atau, mengapa perlu melayan mereka seperti permaisuri atau raja? Ahh, jangan pula kita lupa, besok-besok waktu kita tua, kita mahu kita juga dilayan seperti raja, kita juga mahu diri kita menjadi permaisuri di hati mereka, kita mahu kita sebagai ibu bapa tidak dilupa, malah selamanya bertahta di dalam ingatan mereka. Kita mahu mereka terus-terusan mendoakan kita selepas kepergian kita. Tetapi tidakkah pelik, jika kita mengharapkan begitu dari mereka sedangkan terlebih dahulu kepada mereka kita memperlakukan sebaliknya, menganggap mereka sebagai beban dan menyusahkan, menganggap kehadiran mereka sebagai bala dan menyulitkan.

Sayang tidak cukup jika hanya disimpan di dalam perasaan, atau sekadar diluah pada semata-matanya ucapan. Sayang, jika benar-benar sayang, perlu diserlahkan ke dalam tindakan, perlu dimanifestasikan, harus didemostrasikan ke dalam perlakuan yang kanak-kanak boleh faham bahawa sesungguhnya mereka itu kita sayang. Jika makna sayang itu sekadar pada ungkapan “I love u”, kerbau pun mampu berkata yang sama jika diajar, diasuh bercakap setiap hari. Maka, apa bezanya kita dengan kerbau?

Bersungguh-sungguhlah kita wahai ibu bapa untuk mengajak anak-anak menjadi hambaNya yang berjaya. Kejayaan adalah subjektif. Tidak semestinya di dalam pelajaran. Namun, walau apa pun mereka jadi di masa depan, matlamat utama kita adalah untuk mendekatkan diri mereka kepada Tuhan dan untuk memerdekakan diri mereka daripada ketakutan selain daripada Tuhan.

Cuando nace un niño nace la esperanza de un mejor mundo, la esperanza se pierde cuando los padres no lo saben educar (Bila lahir seorang kanak-kanak maka lahirlah harapan untuk dunia yang lebih baik, harapan musnah apabila ibu bapa tidak tahu mendidik).

Mari menyayangi kanak-kanak dengan sepenuh jiwa raga kita, dari saya hambaNya yang hina.

Masa mula-mula masuk UMT dahulu, ada dua orang pelajar yang mendaftar subjek saya datang ke bilik.

Salah seorang bertanya begini:-

Puan, puan memang berkelulusan dalam bidang “A” kah? (dengan wajah penuh “mempersoalkan” dan wajah “ketidak-percayaan”).

Dan ini jawapan spontan saya:-

Eh, tak!!! Mana ada, saya bukan berkelulusan dalam bidang itu, malah saya tak tahu apa-apa pun tentang “A” (dengan wajah serius).

Dengan muka “bertambah persoalan” dia terus bertanya:-

Habis tu puan lulusan apa?

Ini pula adalah jawapan paling selamba saya:-

Saya degree pun tak ada. Saya cuma ada sijil gubah bunga dari Balairaya Kemas Seberang Takir!!

Dengan muka dewa terperanjat dia mempersoal:-

 Apa?? Dah tu puan mengajar kita orang?

Respon bersahaja saya:-

Entah!! Saya pun tak tahu saya mengajar apa. Saya pakai redah jer. Nasib awak laa.

Tiba-tiba kawan dia mengajak dia keluar dari bilik saya dengan segera. Dan saya terdengar perbualan mereka di luar pintu: –

Eh, kau yang bangang sangat pi tanya camtu nape? Of coz la puan tu berkelulusan dalam bidang yang dia mengajar. Puan tu jawab begitu nak sindir engkau, tau tak??.

Huhu,

Pendapat miskin saya; Pelajar-pelajar sekalian, toksahlah kita sibuk nak memeriksa kelulusan pengajar, sebaliknya tunjukkanlah tanggungjawab kita sebagai pelajar dengan belajar bersungguh-sungguh. Berusaha menjadi pelajar yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Kerana mereka yang mengajar kita itu bukan terdiri daripada makcik-makcik atau pakcik-pakcik yang ditemui majikan di tepi jalan lalu diajak atau disuruh mengajar sesuka hati di universiti. Mereka itu diambil dengan kelulusan dan saringan. Tidak cerdiklah majikan jika mengambil mereka yang berkelulusan dalam bidang senaman taici untuk mengajar tentang jahit-menjahit labuci. Kan? Lagipun, pihak yang mengambil mereka bekerja itu adalah panel universiti, bukan mereka punya tok atau tokki!!

Kepada pelajar-pelajar universiti, selamat mempulun study. Kepada pengajar-pengajar pula, selamat mempertingkatkan ilmu diri. Universiti adalah tempat untuk pelajar dan pengajar sama-sama belajar.

Bilik ofis yang saya sangat rindu.

Mari belajar menjadi seperti padi. Semakin berisi, semakin tunduk ke bumi. Dari saya, hambaNya yang hina.

Ada seorang makcik sepanyol yang sangat fakir, rumahnya tidak tahu di mana tetapi kerjanya hari-hari ialah menyelongkar tong-tong sampah besar, mengutip segala sisa terbuang untuk dijadikan santapan harian. Kerap juga aku memberinya makanan jika ada kelebihan kerana aku paling kasihan melihat anaknya yang kurus kering, tidak ubah seperti papan sekeping.

Suatu hari dia menahan hubbyku dan berkata “awak, lain kali kalau awak nak bagi makanan kat kita, berhati-hati tau, jangan bagi yang macam semalam, sebab ada sedikit rosak, kalau saya sakit, sape nak bayar bil hospital?”, membuat hubbyku terkedu. Bila hubby memaklumkannya kepadaku, aku berasa sungguh sedih dan malu. Tak terniat sedikit pun di hati nak bagi dia yang rosak, mungkin dalam banyak yang diberi itu ada terselit yang sedikit rosak.

Aku tidak dapat tidur semalaman memikirkan yang dia mengharapkan makanan yang special dariku setelah hari-hari makannya dari tong sampah. Keesokkan harinya aku masak spagetti, letak dalam bekas aiskrim besar dan minta hubby hantar kepadanya. Melompat dia gembira …

Ingat ya, jika hendak memberi, berilah yang baik, yang elok, yang boleh memberi manfaat kepada orang yang diberi. Dan memberi sesuatu yang berharga, yang kita sayang kepada orang lain itu, lagi besar pahalanya, lagi hebat ganjaran Allah ke atasnya. Jika hendak kedekut, biarlah pada yang hak, biarlah bertempat. Jika sampai melihat orang merempat, memang hati aku tersentuh, bagai disentap-sentap, bagai ditoreh disiat-siat.

Kadang-kadang Allah menghadirkan mereka ke dalam hidup kita adalah untuk menguji kemurahan hati kita. Biarlah mereka berlainan bangsa dan agama pun, kerana mudah-mudahan dengan pemberian kecil begitu yang pada mereka cukup besar maknanya, boleh memberi gambaran cantik dan indahnya Islam kepada mereka, boleh memahamkan mereka tentang mulia dan sucinya agama kita.

Mana tahu, dengan kerap memakan makanan daripada air tangan orang Islam, suatu hari nanti cahaya menyimbah hati mereka yang kelam lalu menarik mereka ke jalan pulang yang diredha Tuhan.

Apa pun IKHLAS itu nombor satu.

Di tong-tong sampah besar inilah setiap hari makcik tersebut dan anaknya mengutip sisa-sisa makanan sebagai santapan harian mereka. Sungguh sedih melihatnya.

Selamat bersedekah dan bermurah hati dari saya, hambaNya yang hina.

Adalah menjadi kelumrahan atau kecenderungan kepada para bijaksana juga bijaksini, menulis artikel atau buku di dalam bidang mereka, menggunakan jargon-jargon yang sukar difahami, menggunakan bahasa yang kadang-kadang terbelit urat kepala untuk dicerapi, dengan putar pusing fakta dan hujahnya yang terjuling biji mata untuk diselami.

Ya, tahu ilmu tuan tinggi, tinggi mencecah awan. Tetapi tuan bertanyakah kepada diri sendiri, kepada siapa ditujukan segala ekspresi? Jika kepada saya atau mereka sewaktu saya yang sangat marhain akan cakup akal ini, maka tuanlah profesor syok sendiri, yang sebenarnya tidak tahu mengajar orang bodoh menjadi pandai, yang tuan tahu, hanya memberitahu kepada yang sudah tahu bahawa kuda itu kuda, dan kaldai itu kaldai?

Tuan, ilmu bukan untuk tuan menjadi perasan, ilmu adalah untuk tuan, saya dan mereka berdekat-dekat dengan Tuhan. Maka, dengan stail tuan yang tuan fikir sudah tersangat ampuh, sebetulnya jahil kami tidak pun tersuluh, malah kami berasa yang diri kami ini semakin menekuni semakin mengjauh, jauh dan jauh …

Lainlah jika tuan seorang profesor kesusateraan yang memang tuntutan keilmuan tuan penuh kemetaforaan, kehipebolaan, kesimiliran dan kemelankolikan? Sehingga angin bisu mampu berbisik, awan lesu bisa menangis dan ombak boleh berbicara pada batu-batu rindunya maya karin terhadap aron aziz?

Akan kami ini, menangislah sendiri-sendiri di hadapan meja stadi ini dengan helaian-helaian buah fikir tuan yang semakin diselak, semakin senak, semakin dimutola´ah, semakin hilang arah …

Kamikah yang tidak faham bahasa atau tuankah yang terlalu hebat berbahasa?

Actos de habla (Speech acts), antara buku kesayangan, Searle adalah fenomena kepada kajian-kajian speech act. Inilah yang sedang saya tekuni sekarang, mengkaji tentang speech acts dan isu politeness merentas bangsa dan budaya.
 

How to do things with words, mula asalnya tercetus ilmu speect act adalah daripada akalan si Austin, seorang ahli falsafah tersohor. Buku ini adalah kompilasi kuliah-kuliahnya yang telah diusahakan oleh para pelajarnya untuk dibukukan, lama setelah kematian beliau.
 

Sebahagian daripada rujukan dalam pengajian saya.
 

Koleksi novel-novel berbahasa sepanyol. 
  
05. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

Hakikatnya susah nak jumpa orang yang boleh “berbuat” sehebat “berdebat”. Debat di lidah, dan lidah selamanya tidak pernah bertulang. “Buat” pula pada tindakan, guna “tulang”, ada konteks, ada keadaan, ada faktor penyumbang dan juga penumbang. Semua boleh diteorikan ikut logik fikiran, tetapi tidak semua boleh dipraktiskan bila kita benar-benar duduk di dalam keadaan. Contohnya, waktu kita sihat kita marahkan orang sakit yang tidak mahu makan ubat, macam-macam kita kata; “dah sakit degil pula”, “suka hang lah, nyawa hang”, “eiyy teruknya, budus punya worang”, dan macam-macamlah. Tapi bila tiba giliran kita pula sakit baru kita tahu yang pada masa itu bukan kita sengaja tidak mahu makan ubat atau minum banyak air atau apa-apalah yang boleh menyembuhkan segera kita daripada kesengsaraan, tetapi otak kita sebenarnya telah dilemahkan oleh virus-virus yang menyerang yang menghantar isyarat kebencian kepada segala ubat-ubatan dan makanan-makanan kesihatan. Itulah yang dinamakan faktor penumbang.

Tidaklah saya menyarankan agar kita membiarkan sahaja orang yang sakit itu hanyut dalam kesakitannya atau mati terus, tetapi apa yang hendak saya utarakan di sini ialah tidak semua benda boleh dilaksana, semudah merencana. Dan janganlah terlalu ringan mulut menghina dan mengcemuh sedangkan jika peluang itu berada di tangan kita atau kita berada dalam keadaan yang serupa belum tentu kita mampu mengendalikannya mengikut idea kita yang kita fikir adalah yang paling ampuh. Ampuh pada akal, belum tentu teguh pada praktikal. Dalam contoh orang sakit tadi, jika kita sabar melayaninya, jika kita maklum akan kesakitannya, jika kita faham akan duduk perkaranya, maka depanilah dia dengan baik, dengan ikhlas. Jika kita bijak memujuk, mungkin dia akan mendengar kata, mungkin dia akan percayakan kita, maka tidaklah keadaannya menjadi semakin teruk. Inilah pula yang dikatakan faktor penyumbang. Keteguhan kita kepada keyakinan bahawa “penyabar tidak pernah kecundang, Allah dah janji merekalah pemenang” menyumbang kepada kesihatan dia, menyumbang kepada kesejahteraan dia. Dia sihat, dia sejahtera sama maknanya dengan kita hebat, kita berjaya!

Mempraktis,
tidak semudah teori-teori yang keluar dari bibir-bibir yang menyinis.
Namun menyinis, itulah yang memperbaiki praktis.
Meletak getar pada jiwa yang pesimis,
memacu nadi menjadi optimis.
Dan, menyinis atas landasan kewarasan,
bukan atas perasaan keamokan.

Setelah lama duduk dalam keadaan tidak berpitis, maka semalam, setelah memperolehi pitis, saya membawa anak-anak ke supermarket, membenarkan mereka memilih apa yang mereka mahu makan, mengizinkan mereka membuat keputusan atas apa yang mereka mahu saya masakkan.

Pada mulanya saya ingin memasak ikan singgang, lauk kegemaran saya dan hubby sejak dari zaman berzaman. Maka saya merancang mahu membeli dua atau tiga potong ikan aya untuk disinggangkan. Malangnya tiada pula ikan aya di supermarket yang saya berkunjung itu pada hari tersebut. Agak keciwa jugalah kerana sudah lama saya mendambarkan ikan singgang setelah kali terkahir saya memakannya setahun lepas. Manakala anak-anak pula, sebaik terlihat kelibat ketam di situ, terus terjerit-jerit kegembiraan, “nak ketam, nak ketam” jerit mereka. Melihatkan harganya yang agak murah pada hari itu (sebelum ini harga ketam amat mahal di sini), maka saya terus membelinya dengan banyak. Niat di hati agar mereka dapat menikmatinya puas-puas setelah hampir dua minggu makan bertengat dek kering pitis.

Sampai di rumah, si kakak dan adik bergaduh, seorang mahu ketam itu dimasak merah bertelur, seorang lagi ingin ia dimasak kuning berlemak. Alahai, selepas kata sepakat gagal dicapai, akhirnya mama membuat keputusan, demi anak-anak, yess mama akan masak kedua-duanya, merah bertelur dan kuning berlemak.

Maka, ketam-ketam itu pun dibahagikanlah kepada dua, satu untuk masak merah, satu lagi untuk masak kuning. Lepas sejam, yess semua telah tersedia di meja, anak-anak melompat gembira, “yeyyy ketam, ketam”. Mama pula tersenyum puas dapat menunaikan kemengidaman anak-anak. Papa pula jenis tak kisah, masaklah apa pun, merah, kuning, hijau hatta ungu sekalipun dia bedal. Bagus sungguh lidah dia yang langsung tidak memilih rasa. Asal makanan, semua sedap padanya.

Maka, makanlah kami berlima sepuas-puasnya ketam yang dimasak dua cara. Bahagia tak terkata melihat mereka memakannya dengan ria, meskipun macam-macam alat dibawa ke meja guna untuk mengetuk sepit ketam, lesung batu, tukul besi, senduk kayu, atau guna gigi kapak ajer, ahhhhhhh seronoknya menikmati ketam yang banyak dan ada pilihan menu pula, merah atau kuning. Banyak tak banyak ketam yang dibeli, sampai semua dah kenyang kepuasan, ketam masih berbaki. So, apa lagi, simpanlah untuk esok hari, dah tentu mama tak perlu susah payah masak lauk lain lagi. Dan dapatlah mama buat OT main FB, ehem …

Cair, santan di sini adalah terhad, mujur ada juga sebuah dua kedai menjualnya. Santan dari dalam tinnya memang cair, tak dicampur air pun ia cair.

 Masak merah pedas bertelur, biar rupa tak cantik, asal rasanya menarik, tertarik.

Mari mengucap syukur atas segala nikmat dan pemberian dariNya.

01. May 2012 · Write a comment · Categories: Jiwa

“Berdamba” perlu disepakejkan dengan “berusaha”.

Damba tanpa usaha, adalah sia-sia.

Usaha tanpa damba adalah bahaya.

Kerna damba menghidupkan usaha, memotivasikan usaha.

Dan usaha merealisasikan damba, mengkabulkan damba.

Damba adalah jiwa, keinginan, dan azam.

Usaha pula adalah tenaga, tindakan dan kesungguhan.

Mari mengapungkan damba dan mempertingkatkan usaha demi sebuah redha dan syurgaNya.

Gambar-gambar di atas dirakam di kawasan rekreasi Rondilla berdekatan kawasan tempat tinggal penulis di Valladolid, Spain.

Adapun syurgaNya di sana jauh lebih indah. Lebih meriah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...