Satu-satunya pelabuhan untuk pelayar tegar adalah KEMATIAN. Mereka tidak membiarkan diri mereka dipukul ombak, malah merekalah yang memukul ombak! Mereka melawan badai, bukan berpatah ke pantai!

Ramai yang tidak tahu bahawa dua tahun lepas (2010) saya sekeluarga telah diperintahkan pulang ke Malaysia atau dengan kata lain dihalau oleh kerajaan Sepanyol. Punca? Terlupa renew resident card (kad yang diperlukan oleh orang luar untuk menetap lebih daripada tiga bulan di sesebuah negara). Pada hari saya pergi untuk memperbaharuinya ia sebenarnya telah expired selama dua bulan. Dalam keadaan tidak bersedia dan tidak berduit untuk pulang, saya terpaksa berhutang. Kelam kabut usah cerita. Maka pulanglah kami lima beranak ke tanah air dengan terpaksa melalui semula semua proses memohon visa yang rumit dan berjela (certificate of good conduct, medical check-up, borang visa, dokumen-dokumen lain, etc.). Dengan visa yang baru maka barulah kami boleh masuk semula ke negara ini dan memohon kad residen yang baru.

Bayangkanlah berapa banyak perbelanjaan yang terpaksa dikeluarkan untuk pulang ke tanah air dan kemudian balik semula ke Sepanyol. Sudah tentu tiket yang dibeli secara mengejut berharga amat mahal. Masa yang terpaksa dikorbankan pula, usah cerita. Dalam keadaan saya sedang bergelut untuk menyiapkan projek penyelidikan sebagai syarat pengajian, saya terpaksa ke hulu ke hilir mencari orang yang sanggup meminjamkan sejumlah wang untuk membeli tiket untuk pulang. Ke sana ke mari untuk hal-hal yang lain seperti, ke sekolah untuk urusan notis ketidak-hadiran (anak-anak) untuk tempoh yang tidak diketahui, ke bank untuk urusan pembayaran sewa rumah dan segala bil selama ketiadaan, ke fakulti untuk pelbagai urusan yang berkaitan dengan pengajian, ke pejabat pendaftaran untuk mengisi borang itu dan borang ini dan pelbagai urusan lain lagi.

Keperitan itu sungguh perit, amat perit. Tetapi ia memberi banyak pengajaran dan sudah tentu pengalaman berharga yang amat mahal, melebihi segala wang ringgit yang telah saya habiskan akibat daripada kenanaran ini. Dan ia juga akan kekal dalam memori saya dan keluarga sebagai antara kenangan pahit terindah selama-lamanya.

Mahalnya harga sebuah journey untuk menggenggam hanya tiga huruf ini; p, h, d! Sebenarnya tiga huruf tersebut tidak membawa apa-apa erti sangat pun. Yang amat tinggi harganya itu adalah rempah-rempah untuk membikinnya, adalah rencah-rencah yang terkandung di dalam resepinya; pedih, letih, sedih, dan jerih, yang memberi kepada saya hambaNya yang hina dina ini anugerah kalih. Kalih dalam menghadapi pasang surut hidup yang bersilih, kalih dalam mengharungi cahaya terang dan redup yang bertindih.

Terima kasih
kepada DIA yang pengasih.
Yang memilih
untuk menempatkan aku
ke golongan “terpilih”.
Untuk mengecap
pedih
letih
sedih
dan jerih.
Ini adalah anugerah daripada si Pengasih
anugerah kalih.
Pada pasang dan surut hidup
yang bersilih.
Pada cahaya terang dan redup
yang bertindih.
 
 
Sebut selalu
Setiap hari
Setiap waktu
Saya adalah muslim yang baik.

 

Perasan?
Tidak mengapa,
lebih baik perasan baik
daripada berperasaan tidak baik.

 

Siapa muslim yang baik?
muslim yang sentiasa mahu belajar
bukan yang kurang ajar.
muslim yang sentiasa merebut peluang
bukan yang mengambil kesempatan.
muslim yang sentiasa berfikir
bukan yang berotak fakir.
muslim yang menyahut cabaran
bukan pengecut di jalanan.
muslim yang sentiasa mahu maju
bukan yang suka ditipu.
muslim yang cerdik
bukan yang mudah diperkatik.
muslim yang cergas
bukan yang malas.
muslim yang tahu harga diri
bukan yang suka meninggi.
muslim yang bermaruah
bukan yang murah.
muslim yang tahu bersyukur
bukan yang takbur.
muslim yang berpekerti mulia
bukan yang gemar mengcela.
muslim yang suka membantu
bukan yang membenci tidak menentu.
muslim yang berakal
bukan yang khayal.
muslim yang menyeru dengan hikmah
bukan yang mengajak dengan marah.
muslim yang berfikiran positif
bukan yang berperasaan negatif.
muslim yang beradab
bukan yang biadab.
muslim yang berjiwa pejuang
bukan yang berhati petualang.
muslim yang menyintai akhirat
bukan dunia atau pangkat.
muslim yang cita-citanya adalah syahid
bukan yang berusaha memesong tauhid.
muslim yang tahu
selepas mati manusia dibangkit
bukan yang mahu
selamanya menongkat langit!

 

Serulah
dengan megah
Saya adalah muslim yang takutkan Allah!!
bukan yang berakidah goyah.
 

Muhammad

 

Fathimah

 

Saya adalah muslim yang baik. Inilah sebenarnya polis kita, yang akan mengikat kita dengan gari jati diri, muslim hakiki. Yang akan mencapakkan kita ke dalam penjara hamba kepada Tuhan yang Esa. Ekpresi tersebutlah yang akan menjadikan kita kuli kepada Ilahi.

 

 
Allah itu indah
seni itu indah
bersenilah dalam berdakwah.

 

Berkata sabar itu mudah
berbenar-benar sabar itu susah
bersenilah dalam berdakwah.

 

Silap kata, marah
silap bahasa, parah…
bersenilah dalam berdakwah.

 

Silap seru, rekah
silap tuju, rebah…
bersenilah dalam berdakwah.

 

Silap tongkah, balah
silap langkah, kalah…
bersenilah dalam berdakwah.

 

Sudah lumrah
dalam dakwah
ada lurah,
bersenilah dalam berdakwah.

 

Bukan mahu megah
atau hendak gah
tetapi,
demi maruah
demi ummah
walau senaskah
atau sepatah
Istiqamah!
bersenilah dalam berdakwah.

 

Bukan kerna air yang dicurah
bukan masalah keladi yang menadah
ia masalah,
seni di dalam dakwah!
 
Apa guna berilmu tinggi, jika hanya mampu menghebatkan diri sendiri, untuk mengajak masyarakat mendekati Ilahi, tiada upaya kerna dakwah tiada seni… kerna seruan tidak didengari. Ibarat melontar wacana mati kepada telinga-telinga yang tuli.
 
Allah, tunjukkan kami jalan yang lurus …
 

Jika hidup tidak ada surut dan pasang, itu bermakna tiada kehidupan. Jika hidup selamanya bersuka atau selamanya berduka, itu bermakna gila. Jika hidup sekejap aman, sekejap merana, maka itu tandanya sempurna.

 

bila hati…
redha menerima,
bila jiwa…
gentar kepadaNya,
tampaklah semua…
serba kena,
serba…
sempurna.
  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...