Pulang dari bertemu supervisor, aku termenangis di depan anak-anak. Tidak pasti tangisan itu adalah sebenarnya untuk apa, atau kerana apa. Tetapi, ada sedikit macam keciwa bergendang-gendang di jiwa. Dan mungkin juga Allah mengizinkan air mata ku tumpah di depan zuriatku sendiri kerana Allah mahu aku mempelajari ini:-

Senarai sikap supervisor yang menumpahkan air mataku diikuti oleh refleksi anak-anak kecilku terhadap sendu dan lagu di dalam tangisku.

1)      Dia terlalu perfectionist sehingga kadang-kadang aku tertekan untuk memenuhi standard dan kesempurnaannya itu.

Kata anak-anaku; mama juga seorang yang perfectionist sehingga kami stress untuk memenuhi piawaian mama. Jika mama mahu kami kemas bilik, mama tak nak tengok ada cacat cela hingga cadar berkedut sedikit pun mama tidak boleh terima. Begitu juga di ruang tamu, mama sentiasa mahu ia kemas, bersih dan cantik hingga mama tidak benarkan kami duduk di atas sofa dan jika ternampak sampah di lantai terus mama bising-bising. Standard kekemasan dan kerapian mama terlalu tinggi hingga tidak mampu kami penuhi.

2)      Dia sangat dominan dan autokrat, dia mahu aku mengikut kehendaknya sahaja tanpa memberi peluang kepadaku untuk bersuara dan melontar pandangan sehingga kadang-kadang aku berasa yang aku ini tidak ubah seperti mak cik bedah penjual goreng pisang yang tiba-tiba kena sampuk tak semena-mena terhegeh-hegeh belayar sejauh ini untuk membuat PhD dengannya. Sedangkan jika aku tidak mempunyai latar belakang yang cukup dalam bidangku, mustahil ku diterima masuk ke universiti ini dan tidak cerdiklah majikanku kerana menggajikan aku untuk mengajar ilmu di dalam bidangku di sebuah universiti awam di tanah airku sendiri.

Kata anak-anaku; mama juga seorang yang terlalu dominan dan autokrat. Mama sentiasa mahukan suara dan kehendak mama sahaja dituruti. Pernahkah mama terfikir yang anak-anak mama juga mempunyai kehendak? Pernahkah mama terdetik yang anak-anak mama juga memiliki pendapat dan pandangan mereka sendiri terhadap sesuatu perkara? Dan pernahkah mama memberi peluang kepada anak-anak mama untuk melontarkan isi hati dan buah fikir mereka?

3)      Dia tidak pernah meluangkan masa yang secukupnya kepadaku setiap kali aku pergi untuk konsult dengannya, menyebabkan perkara-perkara yang tidak difahami, yang mengelirukan, yang perlu penjelasan, yang telah aku garis dan tulis di dalam buku nota kecilku, tidak pernah berjaya dikemukakan kepadanya sepenuhnya. Dan dia sentiasa dalam keadaan yang tergesa-gesa untuk meninggalkan biliknya dalam setiap pertemuannya denganku. Pulang hampa adalah perkara biasa bagiku.

Kata anak-anaku; mama juga tidak pernah meluangkan masa yang cukup untuk kami. Sudah lama kami tidak merasa bersarapan dengan mama. Setiap pagi kami mengambil atau menyediakan sarapan kami sendiri kecuali pada hari minggu, itupun kadang-kadang kami makan sendiri. Mama asyik maksyuk di depan laptop di dalam kamar tanpa mengendahkan kami. Mama buat macam kami tidak wujud. Jika kami masuk ke bilik untuk memberitahu sesuatu, mama angguk-angguk sahaja tanpa memalingkan muka kepada kami. Tidak pernah kami berjaya untuk menanya mama itu dan ini, lebih-lebih lagi untuk bercerita panjang lebar tentang sekolah, kawan-kawan, cekgu dan macam-macam lagi.

4)      Dia seolah-olah seperti menganak-tirikan aku. Selain daripada aku, dia mempunyai beberapa orang pelajar lain lagi di bawah seliaannya. Setiap kali aku berjumpa dengannya, dia sering memberitahuku yang dia tidak boleh lama-lama denganku kerana dia ada temujanji dengan pelajar A, pelajar B, kena selia tesis pelajar C, pelajar D, dan sebagainya. Aku tertanya-tanya; mengapa setiap kali membuat temujanji, tarikh dan waktu yang ditetapkan kepadaku adalah sama dengan tarikh dan waktu yang telah ditetapkannya untuk temujanjinya dengan pelajar-pelajarnya yang lain? Setiap kali aku pergi untuk berjumpanya, pasti akan ada sekurang-kurangnya seorang, atau dua orang pelajar lain yang sama-sama menunggu di depan pintunya.

Kata anak-anaku; mama juga kadang-kadang menganak-tirikan kami. Mama lebih mementingkan urusan mama daripada kami. Mama memperuntukkan masa untuk kerja mama jauh lebih banyak daripada masa yang diperuntukkan untuk kami. Setiap kali kami mengajak mama keluar, mama cakap mama sibuk. Jika keluar pun mama sentiasa dalam keadaaan tergesa-gesa untuk balik. Macam-macam alasan mama; kerja banyak nak buat la, nak kena menaip la, chapter belum semak la, dan pelbagai alasan lagi. Apa, tidak bolehkah mama memperuntukkan satu waktu yang hati dan jiwa mama betul-betul dibulatkan dan ditumpukan sepenuhnya kepada kami?

Tersentak rohku dari ulitan perasaaan sendiri yang selama ini menyangka bahawa hanya aku yang menjadi mangsa. Aku sahajalah yang malang, yang menderita dan keciwa. Luahan jiwa si kecil berjaya menghentikan seketika air mata. Meski pahit tetapi ia adalah ubat paling mujarab untuk hati yang tidak sempurna. Mahalnya pelajaran yang aku perolehi di dalam hidup ini daripada sikap seorang supervisor dan lontaran suara si kecil yang masih suci dari segala dosa. Terima kasih Tuhan kerna menghadirkan mereka ke dalam hidupku.

Namun, di sebalik hal-hal yang disenaraikan di atas dia mempunyai banyak kelebihan dan kebaikan yang lain seperti; lemah lembut dalam pertuturan, mudah memberi kerjasama dalam hal surat menyurat (surat sokongan, lampiran dan macam-macam jenis surat) dan akan bermati-matian mempertahankanku jika aku diserang atau dikritik oleh panel dalam pembentangan dan sebagainya. Mahu tidak mahu aku terpaksa menerima hakikat bahawa tiada manusia yang sempurna, lebih dia di situ kurang dia di sini, sama sepertiku, lebih di sini, kurang di situ.

Sesungguhnya Allah sedang mengajarku.

Sebuah kebenaran yang membuat anda menangis adalah lebih baik daripada sebuah pembohongan yang membuat anda ketawa.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...