Semakin dekat harinya untuk aku mengucap selamat tinggal
kepada daerah ini
semakin hinggap pelbagai perasaan janggal
ke lembah nurani
bagaimana mahu diterjemahkan ini?
ke dalam perkataan
untuk menggambarkan warna-warna perasaan
yang berserakan.
adakah kerna sayang terlalu
atau hati yang tertipu?
adakah kasih telah tertumpah
kepada bukan tanah tumpah darah?

 

Entah!
itu sahaja yang mampu termuntah
dari berat lidah untuk bermadah
atau menjerit dan melaung amarah
kepada siapa?
entah!

 

Bila batin menjerit
meronta-ronta untuk tidak mahu melepaskan
segala yang sedang aku melalui
masa yang sedang aku melewati
kerna inilah mimpiku dedari kecil
baring di atas karpet reribu daun
di autumn
menghirup wangi amapola
di primavera
menari-nari di hamparan putih awan nano
di invierno
dan berteduh di sombra, tika matahari garing
di summernya yang kering.

 

Mana mungkin mata hati
tidak melihat kepada yang hakiki
bahawa aku hanya sang pemusafir
yang singgahnya sederas angin similir
yang tenggeknya cuma secangkir
pada daerah yang bukan pun tanah air?
lantas,
perlu apa mengsaratkan fikir?
pinggir, usir?
 
Entah!
hanya itu yang mampu termuntah.
 
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...