15. March 2012 · 2 comments · Categories: Jiwa

Meskipun kadang-kadang kelihatannya seperti kita ini tidak terbuat apa yang kita sendiri nasihatkan atau sarankan kepada orang lain, tetapi, teruskanlah juga menasihati, teruskanlah juga menyaran, teruskanlah juga berpesan-pesan, teruskanlah juga menyeru kepada kebaikan. Hari ini, mungkin atas sebab-sebab tertentu kita tidak “ter” laksanakannya, namun, atas sebutan, atas pesanan, atas seruan yang berterusan, insyaallah suatu hari nanti Allah akan membuka hijab hati kita untuk ketagih melakukan kebaikan. Tidak salah berangan untuk memegang watak suci seputih kapas seperti di dalam al Quran, malah beranganlah kerana itulah titik mula sebuah perubahan, yang asalnya adalah sebuah angan-angan. Setiap orang berhak untuk berhati baik, setiap orang berhak untuk berkelakuan baik, setiap orang berhak untuk berkata baik, setiap orang berhak untuk menjadi baik, malah setiap orang berhak untuk berfikir bahawa dirinya adalah baik. Tetapi, jika diri sendiri terasa hitam silalah hitam sorang-sorang, namun, kepada orang lain, serakkanlah keputihan agar dunia ini penuh dengan kecerahan, agar dunia ini penuh dengan kesinaran, agar dunia ini penuh dengan kecahayaan dan kegemerlapan iman.

Hidayah itu hak Allah, sifatnya misteri tetapi indah. Ada orang Allah bagi hidayah dengan cara Allah jentikkan hatinya untuk menyeru orang lain berbuat baik meskipun dirinya sendiri masih tunggang terbalik. Menyeru orang lain berbuat baik adalah salah satu cara untuk mengikat diri sendiri dengan tali rumbu ramba kebaikan. Memberi nasihat jauh lebih mudah dan seronok berbanding menerima nasihat. Namun hakikatnya, terbeban ke atas bahu orang yang memberi nasihat itu dua tanggungjawab. Pertama, tanggungjawab untuk menguatkuasakan nasihat tersebut ke atas dirinya sendiri. Dan kedua, tanggungjawab untuk menguatkuasakan nasihat tersebut ke atas orang lain. Maka, marilah kita membantu dan menyokong mereka dengan berkata “teruslah menyeru kepada kebaikan moga seruan itu juga menjadi amalan harian kamu”, dan usah berkata “hek elee, suruh orang buat baik, dia sendiri hampeh!”. Orang Terengganu kata “kalau kita perangai huduh, dokkang kita nok suruh orang lain perangai huduh etek?”

Berusahalah untuk hati menjadi seputih salji dan sesuci kanak-kanak yang belum berdosa.

Valladolid, winter 2008.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...