Tika dedahan primavera dihembus angin melambai-lambai
dan mereka berumah di rumput reramai,
Tika suria yang garang
menumpah sinarnya yang gemilang,
Tika awan membiru
dan similir menderu,
Tika lebah-lebah berpesta madu
dan orang-orang tidak mahu berbaju,
Tika sungai berhenti berolak
dan laut ketandusan ombak,
Tika beburung menyanyi mengalun adiós invierno
dan rerama mengepak-ngepak berlarian di awan nano,
Tika ranting-ranting yang botak mula bertunas
dan putik-putik mekar pantas,
Tika warna mendung
berubah segar,
Tika wajah yang murung
bertukar mekar,
Tika rindu untuk pulang bergelora
tika sayu untuk meninggalkan berleluasa,
Tika hati mahu menjerit tidak
mulut dibisukan oleh perasaan yang bukan kehendak,
Tika pedih menyiyat-nyiyat jiwa
dan sedih dari segala sedih mengoyak rasa,
Mahu sahaja aku ke gunung
dan di puncaknya melaung
bingunggggggggggggggggg!!!!
 
SUBHANALLAH!
bukankah ada DIA yang agung?
tempat sebenarnya mengadu
meraung?

 

Sekuat manapun tekad
segagah manapun kederat
pada DIA jua akhirnya tertiarap
meratap …
 

 

Di suatu sabtu yang biru…

Dia: Apam balik…

Aku: Aarr?

Dia: Apam balik…

Aku: Demam?

Dia: Tak! (geleng-geleng kepala)

Aku: Mengapa dengan apam balik?

Dia: Teringat apam balik.

Aku: Apam balik mana?

Dia: Pasar malam.

Aku: Aarr? Apam balik kah atau penjual apam balik?

Dia: Apa?

Aku: Teringat …?

Dia: Apam baliklah ..

Aku: Ooo, apa istimewanya?

Dia: Sedap!

Aku: Ooo, teringin?

Dia: Nak ..

Aku: Jom!!

Dia: Ke mana?

Aku: Apam balik?

Dia: Aarr?

Aku: Tadi kan nak apam balik? Jom ke dapur ..

Dia: Ada?

Aku: Takde!

Dia: Aarr??

Aku: Alaa kita buat laa ..

Dia: Tahu buat?

Aku: Entah!

Dia: Resepi?

Aku: Tak tahu!

Dia: Habis tu?

Aku: Buat dulu…

Dia: Pastu? Buang?

Aku: Haishh, makanlaaa

Dia: Ooo…

Aku: Jom!!

Dia: Jadi?

Aku: Tak sure (angkat bahu)..

Dia: Apa jadi?

Aku: Apam balik laa

Dia: Kalau tak jadi?

Aku: Makan!

Dia: Kalau tak makan?

Aku: Jaga!!!!!

Susulan dari dialog di atas;

Gandum diblend bersama susu segar, telur, gula, serbuk penaik dan sedikit garam. Ketepikan. Tumbuk kacang tanah hingga pecah. Ketepikan. Tapis jagung dari airnya (jagung tin). Ketepikan. Sediakan gula di dalam mangkuk. Ketepikan. Panaskan kuali beserta minyak, sendukkan adunan yang dikisar dan tuang ke tengah kuali. Dadarkan ia. Tabur kacang tumbuk, gula dan jagung. Tunggu hingga naik bau atau masak. Lipat lempeng/dadar biar inti (kacang, gula, jagung) berada di tengah. Angkat dan hidang. Ketepikan? Makan!

Memanglah rupanya tidak seperti apam balik pasar malam, tetapi rasanya jauh lebih sedap, lebih menepati citarasa alam. Buktinya, disantap reramai bertalam-talam. Alhamdulillah, rekod dunia tercipta lagi, manusia pertama membikin apam balik di …. Valladolid?

Tika membaca bait-bait ini, anda senyum. Ia bukan buah fikir, bukan juga lontaran rasa, ia… entah! Namun, senyumlah juga kerana setiap kali anda senyum menampakkan gigi yang tersusun santun dalam safnya, anda sebenarnya sedang mengepakkan jiwa anda. Dan bila kepak itu panjang dan semakin panjang, anda mampu terbang!

Saya tidak mengharapakan anda faham, saya cuma berharap anda senyum…

Valladolid, Primavera 2012

..bahawa tiada sesiapa yang menyuruh anda mati dengan memotong sayap-sayap anda untuk terbang …

Bahawa dahulu aku pernah berangan-angan untuk berada dalam kepungan pepohon pinky begini. Tidak pernah terlintas akan ia menjadi realiti kerna sangkaku ia hanya wujud dalam hikayat sang pari-pari. Namun kini, melurut kembang-kembang pinky di dahannya dengan jemari adalah realiti, bukan lagi ilusi, maupun igau di siang hari.

Oh, jika ini sebenarnya mimpi, usah aku dikejutkan-kejutkan lagi. Biar selamanya bermimpi, aku tidak mahu bangkit-bangkit lagi.

 

Primavera (musim bunga) telah tiba. Selamat tinggal dahan-dahan dan ranting-ranting botak invierno (musim sejuk). Daun-daun mula keluar dan bunga-bunga mula mekar, patuh pada gilirannya yang telah ditentukan oleh yang maha besar. Sungguhpun dunia ini fana, tetapi Allah menjadikannya indah dengan segala hiasan flora dan fauna. Asyik dan mempersona. Untuk siapa? Untuk kita hambaNya, yang kadang-kadang lupa untuk bersyukur atas segala kunia.

Gambar-gambar di bawah adalah koleksi primavera 2012, hasil seni miskin saya yang amat cintakan keindahan. Kerana saya menghargai alam, kerana saya mencintai alam dan sebagai tanda syukur atas nikmat Tuhan, maka ia dirakam, … dalam segala keterhadan dan dalam segala kekangan. Tanpa kamera mahal, tanpa waktu anjal, berbekalkan cuma sony murah digital, saya bergagah, sanggup berpayah, mencuri sedikit waktu yang bukannya mudah, kerana cinta saya kepada “indah”. Sesungguhnya Allah itu indah, suka akan keindahan. Kan?

 

Gambar-gambar di sebelah kiri adalah gambar-gambar asal, manakala yang di sebelah kanan pula telah diberi sentuhan kreativiti dan seni empunya diri yang extrim terhadap fotografi. Namun, waktu dan status (isteri, ibu, pelajar, pekerja, ahli masyarakat) membataskan ruang dan masa untuk berkarya dan bernukil tinta.

Kalau asyik makan ikan gulai dan budu, apa yang saya belajar tentang keju? Kadang-kadang rasa masa terbuang kerna terlalu taksubkan ikan singgang, sepatutnya saya merebut peluang untuk belajar masakan orang. Tuhan tidak menghantar saya sejauh ini untuk balik-balik sambal bilis, hari-hari kari, sikit-sikit nasik lemak. Tuhan nak saya belajar daripada penghuni benua ini yang hari-hari makannya sayur, yang hari-hari makannya teratur. Tak hairanlah mereka panjang umur. Saya bukan lupa diri, saya cuma berasa rugi kerna mengsia-siakan peluang yang mungkin diberi hanya sekali!

Yang ini tetap idaman kalbu, tengkyu bonda!

“Matahari yang menipu”, kata orang sepanyol. Sinarnya garang, seolah-olah terik panasnya, tetapi bahangnya tidak cukup untuk menyingkir dingin di hujung winter yang menyucuk-nyucuk tulang dan menikam-nikam rasa. Salji sudah pergi, waktu berlari, dan di bilik yang berkabus ini, ada insan yang masih bergelut untuk sekepal cahaya di hujung usianya …

Río Pisuerga, Valladolid

 Si lloras por haber perdido el sol, las lágrimas no te dejarán ver las estrellas (Rabindranath Tagore).

(Jika kamu menangis kerna kehilangan matahari, maka air matamu akan menghalangmu dari melihat bintang)

Río Pisuerga Valladolid

El Sol no espera a que se le suplique para derramar su luz y su color. Imítalo y haz todo el bien que puedas sin esperar a que se te implore (Epicteto).

(Matahari tidak menunggu dirinya dirayu untuk menumpahkan cahayanya. Ikuti ia dan lakukan yang terbaik tanpa menunggu ia mengemis kepadamu).

Río Pisuerga, Valladolid

Si el sol pudiera mirarte, nunca sería de noche (Anónimo)

(Jika matahari boleh melihatmu, nescaya tidak pernah ada malam)

15. March 2012 · 2 comments · Categories: Jiwa

Meskipun kadang-kadang kelihatannya seperti kita ini tidak terbuat apa yang kita sendiri nasihatkan atau sarankan kepada orang lain, tetapi, teruskanlah juga menasihati, teruskanlah juga menyaran, teruskanlah juga berpesan-pesan, teruskanlah juga menyeru kepada kebaikan. Hari ini, mungkin atas sebab-sebab tertentu kita tidak “ter” laksanakannya, namun, atas sebutan, atas pesanan, atas seruan yang berterusan, insyaallah suatu hari nanti Allah akan membuka hijab hati kita untuk ketagih melakukan kebaikan. Tidak salah berangan untuk memegang watak suci seputih kapas seperti di dalam al Quran, malah beranganlah kerana itulah titik mula sebuah perubahan, yang asalnya adalah sebuah angan-angan. Setiap orang berhak untuk berhati baik, setiap orang berhak untuk berkelakuan baik, setiap orang berhak untuk berkata baik, setiap orang berhak untuk menjadi baik, malah setiap orang berhak untuk berfikir bahawa dirinya adalah baik. Tetapi, jika diri sendiri terasa hitam silalah hitam sorang-sorang, namun, kepada orang lain, serakkanlah keputihan agar dunia ini penuh dengan kecerahan, agar dunia ini penuh dengan kesinaran, agar dunia ini penuh dengan kecahayaan dan kegemerlapan iman.

Hidayah itu hak Allah, sifatnya misteri tetapi indah. Ada orang Allah bagi hidayah dengan cara Allah jentikkan hatinya untuk menyeru orang lain berbuat baik meskipun dirinya sendiri masih tunggang terbalik. Menyeru orang lain berbuat baik adalah salah satu cara untuk mengikat diri sendiri dengan tali rumbu ramba kebaikan. Memberi nasihat jauh lebih mudah dan seronok berbanding menerima nasihat. Namun hakikatnya, terbeban ke atas bahu orang yang memberi nasihat itu dua tanggungjawab. Pertama, tanggungjawab untuk menguatkuasakan nasihat tersebut ke atas dirinya sendiri. Dan kedua, tanggungjawab untuk menguatkuasakan nasihat tersebut ke atas orang lain. Maka, marilah kita membantu dan menyokong mereka dengan berkata “teruslah menyeru kepada kebaikan moga seruan itu juga menjadi amalan harian kamu”, dan usah berkata “hek elee, suruh orang buat baik, dia sendiri hampeh!”. Orang Terengganu kata “kalau kita perangai huduh, dokkang kita nok suruh orang lain perangai huduh etek?”

Berusahalah untuk hati menjadi seputih salji dan sesuci kanak-kanak yang belum berdosa.

Valladolid, winter 2008.

Seorang kenalan berbangsa Cuba berwarganegara Sepanyol (lelaki) telah datang ke rumah saya. Orangnya sungguh baik. Dengan santunnya dalam bertingkah laku, dengan lembutnya dalam berbicara, dengan sopannya dalam mendepani saya, dan juga dengan kacaknya yang memukau jiwa (muda lagi, berusia 25 tahun). Pendek kata dia ada segala-galanya, kecuali …… AGAMA!  Dia memberitahu saya bahawa dia seorang yang tidak mempunyai agama, tidak mempercayai mana-mana agama dan tidak meyakini mana-mana Tuhan. “Mengapa?” Tanya saya. Jawapan beliau “Sekian lama saya mencari-cari satu agama yang boleh meyakinkan saya bahawa agama itulah yang terbaik. Dan dalam banyak-banyak agama, saya paling tertarik kepada Islam. Namun, bila saya melihat terlalu banyak persengketaan antara sesama penganut Islam khususnya di dunia arab hari ini, saya menjadi ragu dan menjadi tidak yakin untuk menganut agama itu. Saya mahu mencari agama yang boleh memberikan saya ketenangan dan hidup di dunia ini dengan aman”. Dalam kunjungannya yang amat singkat itu, tidak sempat untuk saya menerangkan kepadanya, sejelas-jelasnya, bahawa yang salah itu bukanlah AGAMA, tetapi sikap sebahagian penganutnya yang tidak menghayati AGAMA. Sikap kita yang suka bertelagah sesama sendiri telah memberi imej yang amat buruk kepada agama kita sendiri, juga telah menakutkan mereka yang sedang tercari-cari kebenaran seperti pemuda Cuba itu tadi. Saya berdoa moga Allah ketemukan saya dan dia lagi dan saya diberi kesempatan untuk sekurang-kurangnya menjadi batu asas yang dipijak dalam usaha dia untuk mendaki sebuah jambatan besar, menuju agama yang benar. Jiwa saya tersentuh apabila sebelum pulang dia menghadiahkan kepada saya sebuah beg plastik yang apabila saya buka, di dalamnya terkandung beberapa buku tentang Islam di dalam bahasa Sepanyol. “Ambillah” katanya. “Semua itu adalah buku-buku yang saya sendiri beli dan baca”. “Kenapa hadiahkannya kepada saya?” tanya saya terpinga. Dia menjawab “Ambillah, saya sudah tidak memerlukannya lagi”, kemudian, sebelum melangkah pergi dia berkata “Doakan, moga saya bertemu dengan agama benar yang sekian lama saya mencari”. Oh ….

Antara buku yang dihadiahkannya kepada saya. Buku tentang Islam, tentang kebenaran agama Allah, dan tentang Muhammad yang ditulis di dalam bahasa Sepanyol.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...