Jumaat terakhir tahun ini, langit Valladolid amat mendung, seolah-olah bersedih kerana bakal meninggalkan 2011 yang menyimpan sejuta ceritera, suka dan duka, manis dan sadis, ria dan hampa. Segalanya terjalin dalam acuan qadar yang telah ditentukan dan berjalan mengikut qadak yang telah ditetapkan. Berkata sabar itu mudah, berbenar-benar sabar itu payah. Untuk jiwa menerima ketentuan bukan semudah lidah mengungkapkan. Namun, redhalah jua kerana kita ini hanya hamba yang tidak layak sedikit pun untuk mempersoalkan takdir DIA, pemilik dan empunya segala semesta.

2012, melangkah penuh taqwa…Insyaallah!

Valladolid, Autum 2011

Sejuk perut mendengar suara anak-anak mengaji setiap kali selepas subuh dan sebelum tidur (dua waktu yang diwajibkan). Budaya mencintai al Quran dan bertali arus membacanya harus dipupuk dari kecil. Harus diterangkan juga kepada anak-anak bahwa membaca Quran bukan sekadar untuk khatam tetapi ia ibarat mengulangkaji buku-buku sekolah untuk menghadapi peperiksaan. Jika peperiksaan di sekolah hanya dilakukan sekali atau dua kali sahaja di setiap semester, peperiksaan atau ujian dari Tuhan berlaku di setiap saat dan di setiap ketika. Sesungguhnya Allah menguji kita di setiap masa, maka ulangkaji (membaca Quran) untuk menghadapinya juga harus dilakukan di setiap masa…, baca sedikit, tahu/ingat sedikit, lulus sedikit, markah pun sedikit, sebaliknya baca banyak, tahu/ingat banyak, lulus banyak, markah pun banyak!

Untuk mengelakkan anak-anak faham bahawa Quran dibaca sekadar untuk khatam maka elakkan juga membuat majlis besar-besaran apabila mereka khatam al Quran. Jika mahu menghadiahkan mereka sesuatu sebagai galakan dan tanda penghargaan, boleh, tetapi jangan berlebihan atau keterlaluan hingga tampak seolah-olah itulah matlamat akhir membaca al Quran. Jika itu berlaku, selalunya mereka akan berpuas hati di setakat itu sahaja dan sebaik khatam mereka enggan atau berasa tidak perlu untuk terus mengalungkan al Quran lagi. Ini saya perhatikan di kampung-kampung malah juga di bandar-bandar di mana kanak-kanak yang telah khatam al Quran tidak akan kembali ke rumah tok gurunya lagi untuk mengaji malah di rumah sendiri pun mereka sudah tidak mahu mengaji lagi kerana beranggapan tujuan mengaji telah pun tercapai sebaik mereka khatam surah terakhir. Lebih-lebih lagi jika ia diraikan pula dalam majlis besar-besaran yang membuatkan mereka bertambah yakin bahawa khatamlah matlamat akhir membaca al Quran. Mari bertanya kepada diri, yang mana sebenarnya matlamat hakiki; khatam dan selesai, atau terus membaca, menghayati dan mengamalkan yang disuruh serta meninggalkan yang ditegah di dalamnya di sepanjang hidup kita selagi nyawa di kandung badan? Kualiti kita di negeri abadi nanti tidak dinilai daripada berapa kerapkah kita khatam al Quran tetapi dihitung daripada berapa banyakkah amalan yang telah kita lakukan yang berlandaskan al Quran, kitab suci Tuhan!

Selamat memupuk budaya membaca dan mencintai al Quran dalam kalangan anak-anak. Dari saya, hambaNya yang hina.

Autumn 2011, Valladolid.

Belum lagi pulang namun saya sudah mula berasa kehilangan, kerinduan dan ketersangatan dalam keinginan untuk kembali ke sini. Seolah-olah saya sudah berada di tanah air dan sedang keterseksaan dalam menanggung rindu kepada daerah di mana saya bermusafir. Meski di sini segalanya berbeda dan sukar, tetapi di hati, kasih berbunga dan mekar…

Valladolid, Autum 2011

 

Valladolid, Autum 2011

Akhirnya kita terpaksa jua mengakui bahawa segala kesakitan dan keperitan yang kita alami selama ini adalah sebenarnya kesan daripada kecintaan kita yang lebih kepada kedunian. Mencintai makhluk lebih daripada mencintai Khalidnya, menggantungkan harapan kepada manusia lebih daripada menggantungkan harapan kepada Penciptanya, meletakkan rasa percaya kepada hamba lebih daripada mempercayai Pemiliknya. Akhirnya, apabila yang berlaku tidak seperti yang ditunggu, apabila yang terjadi tidak seperti yang diimpi, dan apabila yang mendapat tidak seperti yang diharap, maka akan sengsara dan tersiksalah jiwa, maka akan luka dan sakitlah hati, maka akan tersepit dan menderitalah diri. Berlapang dadalah untuk menyoal; cerdikkah mencintai yang fana? Sedangkan mencintai Tuhan lebih dari segala-galanya itu adalah sungguh nikmat, tidak perlu runsing akan derita kehilangan, tidak perlu resah akan derita dikeciwakan, dan tidak perlu menghitung hari DIA akan pergi. Kerana DIA itu kekal, kerana DIA itu abadi, kerana cinta DIA terhadap kita, pasti!

Kakak: Mama, si X tu sombonglah.

Mama: Mana kakak tau dia sombong?

Kakak: Dia tak pernah tegur kakak.

Mama: Kakak pernah tegur dia?

Kakak: Tak!

Mama: Senyum?

Kakak: Tak jugak!

Mama: Macam mana kakak tahu dia sombong, kakak sendiri tak pernah tegur dia, hatta senyum pun tak pernah?

Kakak: Habis tu apa harus kakak buat?

Mama: Tegur dan senyum padanya dahulu, jika tiada respon mungkin betul dia sombong. Tapi, ¨mungkin¨ sahaja, tak semestinya begitu.

Kakak: Ooo (angguk-angguk faham).

 

Nota:

Jangan mudah berkata “sombong” kepada seseorang yang kita sendiri tidak pernah berusaha untuk menegur atau memahami, atau sekurang-kurangnya senyum kepadanya. Latar hidup manusia tidak sama, jika latar kita gembira mungkin latar mereka derita. Jangan pula nanti dek kerana gelojohnya kita melabel orang itu dan orang ini sebagai “sombong”, kita pula menjadi “bodoh sombong” yang sudahlah “bodoh”, “sombong” pula. Maka jadilah kita ini “dua kali buruk” di mata manusia.

Saya sangat suka dipeluk ketika sedih dan marah terutamanya oleh tangan-tangan kecil yang suci. Tetapi saya tidak mungkin menikmati itu jika saya tidak terlebih dahulu memeluk mereka ketika mereka sedih dan marah. Ya, marah tidak boleh direda dengan marah, tetapi ia sering kalah kepada sikap mengalah. Mengalah itu pula bukan maknanya lemah, mengalah itu adalah sabar yang sangat indah!

Insyirah dipeluk oleh guru sekolahnya yang amat pengasih.

 

Suatu hal yang saya sangat-sangat suka dan kagum di Sepanyol ini ialah sikap guru-guru sekolah mereka yang amat profesional, ikhlas, penuh ilmu psikologi, serta melayan pelajar-pelajar mereka seperti anak-anak sendiri. Mereka sangat sabar dan tidak cepat melatah dengan karenah kanak-kanak. Mereka memilih profesion guru kerana mereka sukakan kanak-kanak dan kerana mereka ikhlas untuk memberi pendidikan kepada kanak-kanak. Mereka melaksanakan kerja mereka dengan penuh amanah dan amat berhemah. Ikhlas mereka tidak dilaungkan tetapi ia jelas daripada setiap tindakan dan perbuatan, hingga meresap begitu mendalam ke jiwa dan perasaan kanak-kanak yang dipertanggungjawabkan.

Kanak-kanak di sini jika ditanya; “mana lebih kasih, cekgu atau mama?” Mereka jawab; “Cekgu!” Tiga tahun anak-anak saya bersekolah di sini, tidak pernah walau satu hari pun mereka merengek untuk tidak mahu ke sekolah. Hari minggu pun mereka minta untuk ke sekolah. Malah jika boleh, tidur pun mereka mahu tidur di sekolah. Di tanah air dahulu, lepas sebulan bersekolah, hari-hari anak saya mencari helah untuk tidak mahu ke sekolah. Jika disebut; “takyah pi sekolahlah hari ni, nampak cam demam jerr” (padahal tak demam pun), mereka melompat-lompat gembira. Sebaliknya di sini, bila dihalang ke sekolah atas arahan doktor kerana demam yang amat kuat sekalipun, mereka menangis dan merayu-rayu hiba. Lepas sebulan bersekolah di sini, anak-anak saya terus berkata; “mama, kita orang taknak balik ke Malaysia, sekolah sana tak best, kita orang nak sekolah kat sini selamanya!” Berbanding ketika mereka mula-mula masuk darjah satu di tanah air dahulu, lepas hanya seminggu ke sekolah, mereka cakap; “mama, boleh tak kakak taknak sekolah? Tak bestlah sekolah!” Kini mereka sudah mula bungkam kerana tahu hujung tahun depan mereka terpaksa pulang juga ke Malaysia dan menyambung sekolah mereka di sana.

Dan sesuatu yang amat menarik untuk dikongsi adalah bahawa waktu kerja guru-guru di sini adalah sama dengan waktu kerja penjawat-penjawat awam mereka yang lain. Waktu mula bekerjanya sama dan waktu pulangnya juga adalah sama. Infrustruktur? Alahai, kebanyakan sekolah kadang-kadang sayu kita melihat; dengan buruknya, dengan tidak ada rupa sekolahnya, dengan kekurangan dalam serba serbinya. Bilik guru mereka juga tidak secantik bilik guru di sekolah-sekolah di negara kita. Tiada kemudahan satu meja untuk seorang guru, sebaliknya mereka berkongsi meja bulat atau meja panjang yang buruk, beramai-ramai. Secara fizikal, sekolah-sekolah di Malaysia jauh lebih cantik dan lebih, dalam serba serbinya. JAUH! Tetapi, lebihnya sekolah mereka adalah pada keikhlasan dan kekuatan jiwa serta jati diri guru-guru mereka yang amat-amat berdedikasi dalam melaksanakan tugas dan amanah yang diberi!

Mari kita renungkan bersama dengan hati yang lapang…

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...