“Setelah lama memerap di rumah maka saya cadangkan kepada anak-anak; “Jom kita pi melancong, nak?” Dan anak saya menjawab; “mama, duit yang orang bagi tu lebih baik mama buat kebajikan, misalnya belikan buku-buku untuk kakak, atau kalau nak jalan-jalan pun ke tempat yang budak-budak suka, ni sikit-sikit shopping kompleks, stadium, musium, bangunan-bangunan lama. Cubalah bawa ke gedung mainan, kita orang gembira, mama pun dapat pahala!”. Oh, rupa-rupanya selama ini saya belum cukup membuat kebajikan….”

Kadang-kadang saya lupa yang anak-anak itu ada jiwa, ada kehendak. Kadang-kadang saya membuat sesuatu berdasarkan apa yang saya fikir sebagai seorang ibu. Sedangkan mereka itu adalah anak-anak yang juga mempunyai sudut pandangan mereka sendiri. Semakin mereka membesar, mereka tidak lagi boleh menjadi sekadar penurut perintah, sebaliknya mereka mahu sama-sama melontar pendapat dan menunjuk arah. Tidak salah walaupun kita ibu, kita merendahkan diri kita untuk menerima tunjuk ajar atau paling tidak mendengar apa yang mereka luahkan. Mereka tidak boleh dikatakan kurang ajar jika mereka memandai-mandai menunjuk ajar. Malah suara anak-anaklah sebenarnya yang paling penting untuk didengar dan diteliti, kerana mereka itu umpama rakyat yang diperintah kita, namun nama sahaja kita ini pemerintah akan hakikat sebenarnya kita ini adalah hamba yang bekerja untuk keselesaan mereka. Justeru, gusar apa jika ditegur anak, hatta dikritik sekalipun kerana merekalah juri yang paling valid untuk menilai “siapa diri kita”. Saya bersyukur ke hadrat Allah kerana diberi naluri untuk menyedari hal ini dan bersyukur kerana diberi anak-anak sebagai pemandu dan pengawal segala tingkah laku saya. Mungkin ia adalah hasil bisikan saya yang berterusan ke telinga mereka; “wahai anak-anak mama, mama ini manusia yang penuh dengan kelemahan. Jika mama salah, tegurlah mama, mama tidak marah. Jika mama betul, ikutlah mama, dan mama akan teramat gembira. Jangan ikut apa yang mama buat atau kata jika anak-anak tahu ianya adalah salah sekalipun mama ini ibumu. Yang penting, bukan status siapa yang berkata tetapi apa yang mereka kata. Jika kata-kata itu benar, sekalipun ianya keluar dari mulut orang lain, maka ambillah ia sebagai nasihat atau ikutan, akan tetapi jika kata-kata itu dusta, abaikan dan jadikanlah sempadan sekalipun ia terlontar dari mulut manis mamamu. Jika mama silap, ampunkan mama dan pandulah mama ke jalan yang benar.”

Alhamdulillah, hasilnya adalah kebaikan kerana hampir di setiap kali kealpaan, anak-anak akan menegur saya tanpa rasa takut. “Mama dah solat belum? Adik rasa mama belum solat, dari tadi asyik depan laptop”, “Tak baik mama marah-marah macam tu kat Abdullah, bukan ke Abdullah kecil lagi?”, “Mama suruh kita ngaji tapi mama tak ngaji pun”, “Bila kakak minta beli buku, mama kata takde duit, tapi kakak tengok mama beli baju baru”, dan sebagainya adalah antara teguran-teguran yang menginsafkan tanpa melukakan hati saya. Kerana kanak-kanak adalah amat ikhlas dalam mengekpresikan sesuatu, mereka tidak mempunyai kepentingan peribadi, mereka menasihati dari lubuk hati mereka yang sungguh suci. Dan nasihat itu kerana ianya sungguh ikhlas, maka ia terus sampai ke jiwa dan roh kita tanpa waswas, tanpa prejudis, tanpa perlu berkecil hati atau menderita menanggung jiwa yang panas.

Oleh yang demikian, saya sangat mengambil berat akan setiap kata-kata anak terhadap saya dan saya sanggup berhenti bercakap dengan sesiapa jua jika anak-anak menunjukkan isyarat untuk memberitahu saya sesuatu. Saya percaya bahawa; Kita perlu belajar daripada anak-anak lebih daripada kita perlu mengajar mereka!

Gambar diambil di hari raya 2011.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...