Di petang ramadhan yang agak panas dan kering.

Aku: Anak-anak mama, waktu untuk membaca al quran (lembut tapi tegas).

Habibah: Alaaa, adik nak tengok tv la mama.

Aku: Lepas baca quran boleh tengok tv.

Habibah: Tapi cerita tu dah habislah masa tu.

Aku: Cerita apa yang adik nak tengok sangat tu?

Habibah: Ceritalah!

Aku: Okey, adik tengok dulu sekejap, lepas tu wuduk dan baca quran.

Habibah: Kakaklah baca dulu (mengusul).

Aku: Ok. Kakakkk! Jom, baca quran.

Kakak: Alaaa penatlah mama.

Aku: Penat? Belum baca lagi dah penat? (senyum)

Kakak: Penatlah mama, kakak kan puasa. Letihlaaa (muncung).

Aku: Betul kakak penat? (provokasi)

Kakak: Ya (angguk-angguk kepala). Dan perut rasa sangat pedih. Tekak pula rasa sangat kering.

Aku: Bagus. Alhamdulillah.

Kakak: Aarr? Mama ni, orang cakap penat, perut pedih, tekak kering, dikatanya bagus?

Aku: Ya. Baguslah tu. Bila kita tidak makan dan minum sepanjang hari, memang begitulah yang sepatutnya kita rasa dan alami. Jika sebaliknya, tak makan dan minum pun tetap rasa kenyang, rasa selesa dan tidak letih, tak normalah namanya itu. Mungkin sistem badan rosak atau tidak berfungsi dengan baik.

Kakak: Kakak tahulah. Kakak dah belajar kat sekolah; jika kita tidak makan, asid hidroklorik akan dirembeskan dan kita akan berasa lapar. Tapi, mengapa mama cakap bagus pulak, kakak rasa siksa sangat ni.

Aku: Mama cakap bagus sebab, pertama; kepedihan dalam perut yang kakak alami itu menunjukkan yang kakak adalah seorang yang normal. Tidak ada apa-apa yang tidak kena dengan sistem biologi kakak. Kakak adalah makhluk Allah yang sempurna. Begitu juga dengan tekak yang kering atau rasa yang haus itu. Kedua; bagus, sebab tujuan atau motif kakak berpuasa telah tercapai iaitu untuk merasai kesengsaraan dan penderitaan golongan fakir yang bukan sahaja tidak mempunyai cukup makanan, malah tidak ada makanan langsung pun untuk dimakan. Jika perut kakak berasa pedih dan tekak kakak berasa kering, maka itulah juga yang dideritai oleh mereka yang fakir, malah apa yang mereka rasa jauh lebih azab dan teruk daripada kakak. Kakak cuma lapar di siang hari, sedangkan mereka terpaksa berlapar siang dan malam. Kakak bukan duduk dalam keadaan tidak mempunyai makanan, cuma kakak memilih untuk tidak makan dan minum di siang hari kerana mematuhi perintah Allah agar berpuasa. Tetapi mereka tidak makan kerana hakikatnya memang mereka tidak mempunyai apa-apa pun untuk di makan. Ketiga; mama kata bagus sebab bila kakak letih, kakak nak marah pun tak larat, kakak nak menjerit-jerit pun tak mampu, dan usahkan nak mengumpat dan mengata orang, kakak nak bersembang pun tak bernafsu. Jadi, apa maknanya itu? Sudah tentu kakak terselamat daripada dosa bercakap yang sia-sia. Betul tak?

Kakak: Ermm, betul! Hehe.. (terpukul)

Aku: Ok. Jangan lengahkan masa, wuduk dan kita baca quran sama-sama. Jom!

Kakak: Alaaa, tak laratnya kakak nak baca quran. Nak buka mulut pun malas.

Aku: Kena lawan. Kena baca juga quran setiap hari.

Kakak: Kenapa kita kena baca quran mama?

Aku: Sebab Allah suruh dan Allah suka hambaNya yang membaca al quran.

Kakak: Kenapa Allah suruh kita baca quran?

Aku: Sebab quran sumber segala ilmu, maklumat dan rujukan umat Islam di sepanjang hayat. Kalau kita tidak membacanya macam mana kita nak tahu apa yang ditulis di dalamnya? Jika kita tidak tahu apa yang ditulis di dalamnya macam mana kita nak hayati isinya? Macam buku ceritalah, kalau kita tidak baca macam mana kita nak tahu cerita di dalamnya, kan?

Kakak: (angguk-angguk kepala). Tapi, kenapa kita kena baca hari-hari? Tak boleh ke kalau kita baca sebulan sekali?

Aku: Ok, sebelum mama jawab soalan kakak, kakak jawab dulu soalan-soalan mama, boleh?

Kakak: Boleh!

Aku: Dekat sekolah, selalu tak cekgu buat ujian atau peperiksaan?

Kakak: Ya. Selalu.

Aku: Kenapa cekgu buat ujian atau adakan peperiksaan?

Kakak: Sebab nak tahu setakat mana pencapaian kita. Sebab nak uji kita dah pandai ke belum atau faham ke tidak apa yang cekgu ajar selama ini.

Aku: Anak mama memang sangat-sangat pandai. Benar sekali jawapan itu.

Kakak: (sengeh panjang)

Aku: Ok, setiap kali nak ujian atau nak hadapi peperiksaan, apa kakak kena buat?

Kakak: Kakak kena ulangkaji.

Aku: Pandai. Boleh beritahu mama, macam mana kakak ulangkaji?

Kakak: Kakak baca semua nota-nota yang cekgu bagi dan baca buku.

Aku: Bagus. Kakak baca banyak tak?

Kakak: Banyak!

Aku: Kerap tak? Maksud mama, kakak baca sekali ke, atau berulang-ulang kali?

Kakak: Berulang-ulang kali.

Aku: Agak-agaknya, kenapa kakak baca banyak dan acap kali, berulang-ulang kali? Baca sekali tak boleh ke?

Kakak: Kakak terpaksa baca banyak sebab kalau kakak baca sedikit, sedikit sahajalah yang kakak tahu. Dan kakak baca berulang-ulang kali sebab kalau kakak baca sekali sahaja, kakak tak ingat. Kena baca banyak kali baru ingat.

Aku: Bijak. Nama pun ulangkaji. Ada perkataan “ulang” di situ. Sebab bila diulang banyak kali baru kita ingat, kan?

Kakak: Ya (angguk laju).

Aku: Sekarang beritahu mama, kenapa bila nak ujian atau periksa kakak buat ulangkaji?

Kakak: Sebab kakak nak lulus, kakak nak dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan atau ujian itu.

Aku: Ya. Benar sekali. Sebab kakak nak lulus dengan jayanya dalam peperiksaan atau ujian tersebut. Kalau kakak tak baca, mungkin kakak tak lulus, kan? Kalau kakak baca sikit pula, mungkin lulus tapi tak dapat cemerlanglah, kan?

Kakak: (angguk-angguk)

Aku: Ujian Allah pun begitulah. Kita perlu mengulangkaji setiap hari untuk lulus ujian Ilahi. Sebab itu kita kena baca al quran setiap hari.

Kakak: Aarrr?? (ternganga, terpinga)

Aku: Kakak perlu membaca al quran setiap hari kerana Allah menguji kakak dan kita semua setiap hari. Malah, setiap saat sebenarnya Allah menguji kita. Tidak ada walau sedetik pun waktu yang kita tidak berada dalam keadaan diuji oleh Nya, diperhati oleh Nya. Sebagaimana kita perlu mengulangkaji agar lulus jaya dalam peperiksaan di sekolah begitulah juga kita perlu mengulangkaji agar lulus jaya dalam ujian-ujian Allah. Dan buku yang perlu dibaca, diulangkaji setiap masa bagi menghadapi ujian yang ESA adalah, al quran yang mulia. Sedikit kita baca, mungkin sedikit juga yang kita beringat dan sedikit jugalah pahala yang kita mendapat. Pahala yang sedikit itu bermakna markah yang rendah sahajalah yang kita perolehi dari Allah.

Kakak: Oooo (panjang ooonya)

Aku: Mama tahu anak mama hendak lulus cemerlang dalam ujian Allah, sebagaimana dia cemerlang dalam ujian-ujian di sekolah. Sebab itu dia suka ulangkaji, dan dia suka baca quran setiap hari.

Kakak: Mama, kakak pergi wuduk dulu ya, kakak nak baca quran dengan mama. Hari ni kakak nak belajar macam mana kita nak sambung semula bacaan yang terhenti disebabkan nafas tak cukup.

Aku: Bagus. Anak mama memang bagus. Mama doakan agar kakak sentiasa berada di dalam rahmatNya dan beroleh kejayaan cemerlang dunia dan akhirat. Amin.

Kakak: (berlari ke bilik air).

Nota:-

Sesungguhnya al quran adalah buku untuk diulangkaji secara istiqamah bagi menempuh segala ujian Allah. Kita mungkin boleh mengarahkan anak-anak membacanya setiap hari kerana sebagai ibu atau bapa kita mempunyai autoriti untuk berbuat begitu. Namun, bukan mudah untuk memahamkan mereka bahawa ia bukan sekadar perlu dibaca, malah perlu difahami akan motif dan tujuannya dibaca. Jika kita gagal berbuat begitu (memahamkan mereka), mungkin apabila mereka dewasa kelak atau setelah mereka tidak lagi bergantung hidup dengan kita (setelah bekerja atau berumahtangga) mereka akan berhenti membacanya kerana mereka tidak nampak akan keperluan untuk terus membaca dan mengalunkannnya, sekalipun mereka menyuruh atau menggesa anak-anak mereka pula membacanya. Suruhan atau gesaan itu sekadar menjadi suatu tradisi yang diwarisi dari satu generasi ke generasi. Sedangkan yang perlu mereka wariskan ialah kefahaman tentang “mengapa ia perlu dibaca” agar kehendak untuk membacanya bertali arus dan mengalir tanpa henti di dalam jiwa, hingga ke akhir nyawa. Kerana al quran adalah kitab untuk difahami dan dihayati, sebagai panduan hidup di dunia dan bekal menuju negeri mati!

Nur Insyirah, Valladolid, España.

 

Narrated ‘Abdul ‘Aziz bin Rufai’:

Shaddad bin Ma’qil and I entered upon Ibn ‘Abbas. Shaddad bin Ma’qil asked him, “Did the Prophet leave anything (besides the Qur’an)?” He replied. “He did not leave anything except what is Between the two bindings (of the Qur’an).” Then we visited Muhammad bin Al-Hanafiyya and asked him (the same question). He replied, “The Prophet did not leave except what is between the bindings (of the Qur’an).”

(Sahih Bukhari)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...