06. August 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

 

Dua bulan lepas, di bilik si comel (supervisorku) yang dikasihi.

SV: Hurm, saya dah baca bab 1 yang awak tulis itu.

Aku: So, macam mana prof? Okey ke, tak okey?

SV: Hurm, secara keseluruhannya okey, cuma saya rasa kupasan dalam intro itu kurang kemas. Maksud saya ia bercampur aduk. Macam rojak.

Aku: Aarr? (ada juga konsep rojak di sini rupanya).

SV: Yang saya maksudkan dengan rojak itu ialah awak campurkan sekali huraian tentang speect act dengan politeness dan cross-cultural politeness. Awak macam keliru antara ketiga-tiganya itu.

Aku: Aarr? (bukankah itu intro? Huraian dalam intro kan ringkas dan bercampur?)

SV: So, saya nak awak ubah. Awak tak boleh campurkan ketiga-tiganya begitu. Awak kena hurai mengikut yang mana datang dahulu; teori speect act dahulu, kemudian politeness seterusnya teori-teori tentang cross-cultural politeness.

Aku: Aarr? (masih terpinga-pinga tentang maksud “bercampur”?)

SV: Awak boleh faham tak apa yang saya maksudkan? Nampak cam pening jerr… (senyum)

Aku: Erm, prof, saya tahu tentang teori mana yang lahir dahulu, yang mana kemudian antara ketiga-tiganya itu. Saya faham tentang itu. Yang saya tidak faham ialah yang prof maksudkan “bercampur”.

SV: Bercampur kerana awak menghuraikannya di dalam satu seksyen atau sub-bab. Ia perlu dikupas secara berasingan di dalam tiga seksyen berbeza. Awak tak boleh campur adukkan teori speect act dengan politeness dan cross-cultural politeness dalam satu seksyen.

Aku: Tapi prof, itukan intro. Dalam bab 2 nanti akan dikupas kembali secara detail tentang ketiga-tiganya di dalam seksyen dan sub-sub yang berbeza.

SV: Ya, saya tahu. Tapi dalam intro ni pun ia perlu dihurai dalam seksyen-seksyen berasingan. Baru kemas.

Aku: Aarr? (sungguh, aku keliru)

SV: Okey, saya tuliskan di sini hirarkinya supaya awak boleh hurai mengikut turutan. Mula-mula perihalkan sedikit tentang pragmatik sebab ilmu itu yang wujud dahulu, kemudian speect act, seterusnya politeness dan akhirnya cross-cultural politeness (beria menulisnya di kertas).

Aku: Pragmatik pun nak kena hurai juga ke prof? (pelik)

SV: Ya, sentuh sedikit.

Aku: Betulkah prof nak saya buat begini? (minta kepastian)

SV: Yup! Buat begitu.

Aku: Yang lain-lain tu?

SV: Yang lain-lain tu dah cantik. Objektif kajian, kepentingan kajian, justifikasi, semua tu tak perlu diubah lagi. Dah kemas dan bagus. Intro itu sahaja. Balik awak ubah. Minggu depan datang jumpa saya balik. Kita revise semula sama-sama, ok?

Aku: Erm, ok (ok dalam keterpingaan).

Dalam masa seminggu yang diberi itu, kelam kabut aku menyiapkan intro tersebut menurut spesikasi yang telah ditetapkan oleh si comel. Dalam masa sama aku sangat-sangatlah tidak bersetuju dengan cadangannya itu kerana pada pendapatku, intro tidak perlu mempunyai seksyen dan apa yang diterangkan di dalam intro adalah ringkasan keseluruhan tesis, atau latar belakang kajian atau ringkasan kajian. Bahkan, berpuluh-puluh artikel dan tesis-tesis lepas berkaitan yang ku rujuk juga ditulis intronya tanpa seksyen. Tidak cukup dengan itu, aku kembali menelaah beberapa buah buku tentang “research design”, pun tidak ku temui seksyen dalam bahagian intro. Setakat yang aku tahu dan baca, apa yang perlu ada dalam intro kajian sains sosial ialah; Topic, Research problem, Evidence justifying the research problem, Deficiencies in evidence dan Audience (John W. Creswell, 2009). Nak pecah kepala aku dek tersepit di antara hendak memenuhi kehendak si comel dengan mengikut arus yang ku fahami sekian lama. Dalam ketersepitan begitu, selalunya hubby lah tempat meluah meskipun dia sekadar boleh mendengar kerana bidangnya amat jauh berbeza dengan bidangku.

Aku: Kanda, nak pecah dah kepala dinda ni. Kalau pecah tolong gamkan ya (lawak dalam resah).

Hubby: Alaa, ayang boleh buat. Saja la tu buat-buat tak boleh.

Aku: Betul kanda. Kali ni kepala dinda rasa macam betul-betul nak meletup.

Hubby: Takpe, kalau meletup, kita ganti dengan pumpkin. Hidung nanti kita ukir mancung sikit.

Aku: Kanda?? (alaa buat lawaklah pulak dia)

Hubby: Dah tu? Nak sangat kepala tu pecah nampak? Buat jelah apa yang supervisor tu suruh. Ikut jerr. Nanti tak ikut macam mana. Semua di tangan dia kan?

Aku: Itulah yang dilema tu. Dinda dah baca, takde dibuatnya orang macam yang dia suruh itu. Huhu..

Hubby: Apa kehendak supervisor ayang tu sebenarnya?

Aku: Dia suruh dinda buat cam ni ha, bla bla bla bla bla bla bla …, takde orang buat macam tu masalahnya, tak ke pincang jadinya tesis dinda nanti? Lagi satu, perlu apa nak dihurai juga tentang pragmatik? Dah understood bidang dinda ni paragmatik kan? Dalam bab 2 pun orang tak hurai tentang pragmatik, ni kan pula nak letak dalam bab 1, dalam intro pula tu. Dalam intro kan orang duk cite tentang spesifik bidang, kemudian isu yang mencetus keinginan untuk menjalankan kajian, bukti dari kajian-kajian lepas yang menunjukkan ia pernah dikaji, seterusnya kekurangan-kekurangan dalam kajian-kajian lepas tersebut yang kita nak atasi atau nak penuhi dalam kajian kita, dan akhirnya manfaat atau faedah kajian kita kepada masyarakat. Yang si comel dinda ni pula nak dinda ulas teori-teori lak, siap minta diulas dalam seksyen-seksyen berasingan. Dah cakap semua itu akan ditulis nanti di dalam bab 2 tapi dia kata; Saya tahu, tapi awak hurai juga serba sedikit dalam intro. Haih!

Hubby: Hurm, berat juga tu ya. Takpe, ayang buat je dulu macam yang dia suruh. Tengok dia kata apa nanti.

Aku: Masalah dengan dinda ni kanda, kalau dinda takleh terima sesuatu konsep itu, dinda takleh nak laksanakannya. Tinggal dua hari saja lagi, tapi dinda masih tak boleh nak buat macam yang dia suruh. Otak terblocked!

Hubby: Usahakan juga buat macam mana pun. Jumpa dia, tunjuk. Tengok camne.

Aku : Okeylah. Dinda cuba.

Maka, tak tidurlah aku selama dua hari yang terakhir itu duduk mengrepair bab1 mengikut kehendak sicomel. Akhirnya siap dalam keadaan aku bengkak hati (yalah buat perkara yang kita tak setuju). Pada hari yang dijadualkan untuk berjumpanya maka pergilah aku dengan wajah sembab (tak tidur).

Aku: Selamat pagi prof.

SV: Selamat pagi.

Aku: Ini dia bab 1 dan bahagian intro yang prof minta saya baiki itu.

SV: Oo. Okey. Erm, tapi maaf ya saya tak boleh nak baca lagi buat sementara ini kerana mulai besok saya akan bercuti kerana lusa saya akan menjalani pembedahan mata dan selepas itu saya perlu berehat selama sebulan. So, bulan depan awak datang ya.

Aku: Ok. Orait prof. Saya doakan prof selamat dan pembedahan itu suksess. Saya minta diri dulu ya.

SV: Terima kasih. Adios!

Aku: Adiós (sambil menutup pintu biliknya)

 

Sebulan kemudian (khamis minggu lepas).

Aku: Selamat pagi prof.

SV : Selamat pagi. Sila duduk.

Aku: Terima kasih. Prof sihat? Macam mana pembedahan tu?

SV: Sihat. Baik. Saya sekarang tidak perlu lagi memakai cermin mata. Saya boleh nampak objek yang berada jauh dengan jelas dan saya juga boleh memandu tanpa apa-apa masalah.

Aku: Muy bien (very good). Dan prof juga kelihatan semakin kacak tanpa cermin mata (jek sikit jerr).

SV: Ya ka? (ketawa, comel)

Aku: Prof dah baca intro yang saya betulkan itu?

SV: Yup. Dah baca.

Aku: Apa pendapat prof, saya dah buat seperti yang prof mahu.

SV: Hurm. Ada banyak benda yang saya tidak setuju. Pertama; Perlu apa awak ulas tentang pragmatik? Kan ke sudah difahami bahawa kajian awak ini berada dalam bidang pragmatik, maka tidak perlu lagi diulas tentangnya, terus zoom pada bidang yang spesifik dan isu kajian. Takde orang buat macam ni, tau. Kedua; Mengapa awak menulis teori-teori ini di dalam bab 1? Teori-teori tentang speect act, politeness dan cross-cultural politeness? Bukankah ksemuanya itu akan awak tulis dan kupas secara detail di dalam bab 2? Teori tak perlu dihurai di dalam bab 1. Bab 2, kan? Ketiga; Mengapa awak buat seksyen-seksyen begini di dalam intro? Seksyen-seksyen begini dibuat di dalam bab 2. Dalam intro kita cuma buat satu seksyen sahaja, iaitu “introduction” yang di bawahnya kita hurai secara ringkas tentang kajian kita secara keseluruhan? So, saya nak awak baiki balik dan buat macam yang saya beritahu itu, okey?

Aku: Aaarrrr??????

Keluar sahaja dari biliknya aku terus meluru mendapatkan hubby yang menunggu di luar fakulti.

Hubby: Camne ayang? Dia puas hati tak?

Aku: Uwaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaa!!!

 

Nota:-

Aku memanggilnya si comel kerana dengan kulitnya yang bewarna pink, dan wajahnya yang baby-face, dia memang sungguh comel di mataku. Di samping comel, dia juga baik hati dan lemah lembut orangnya. Namun, usah berhujah dengannya kerana ia ibarat mencurah air di daun keladi. Dia merupakan professor paling senior di jabatanku, paling tua (hanya menunggu hari untuk pencen), paling dihormati (kerana usianya) dan pernah juga aku mendengar dari mulut sebahagian pelajar post-grad bahawa dia adalah profesor paling tegas tapi unpredictable. Berhari-hari aku bingung dan termenung selepas pulang dari berjumpanya yang terbaru itu. Kadang-kadang terfikir; Sudah nyanyukkah dia? Huhu…

Benar kata mereka yang telah melaluinya;

Jika tidak berat, jika tidak sukar, jika tidak mencabar, jika tidak diuji, dan jika air mata tidak menitis hingga ke kaki, maka tidaklah namanya PhD!

Adakah Allah akan redha jika aku sendiri tidak redha? Ya Allah, ini ujianMu, aku redha dan akan ku redah.

Ya, redha dan redah!

Monumen dalam gambar; Acueducto; Segovia, Spain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...