Semalam, sekali lagi aku menerima nota “senarai dosa” yang telah ditinggalkan di atas mejaku. Ia ditulis secara bersama oleh Insyirah dan Habibah di dalam bahasa Sepanyol. Setelah hampir 3 tahun bersekolah di sini, mereka tidak lagi boleh mengarang di dalam bahasa Melayu dengan baik. Mereka lebih selesa menulis dan berbual di dalam bahasa Sepanyol. Jika mereka bertutur di dalam bahasa Melayu pun, kedengarannya seperti India masuk Melayu. Berbelit-belit.

Berbalik kepada nota “senarai dosa” tersebut, ia merupakan nota kedua yang ku terima di sepanjang kemusafiran ini. Kali pertama ialah pada 23 april yang lalu, yang turut ku nukilkan tentangnya di dalam blog ini (baca di sini). Nota yang pertama dahulu juga telah dicoret di dalam bahasa Sepanyol dan juga telah dihasilkan secara bersama oleh kakak dan adik (panggilan untuk mereka berdua).

Terjemahan daripada nota yang telah ditulis itu secara lebih kurangnya adalah begini:-

Mama, kakak dan Habibah telah berbuat dosa. Tetapi ia telah berlaku lama dahulu. Ketika kita tinggal di rumah tepi pantai di Gong Badak (rumah yang kami sewa sebelum ke mari), kami telah mengambil duit mama. Maaf, mama. Kakak akan bayar balik duit yang telah kakak ambil itu nanti. Dan juga di ramadhan 2010, ketika kami berada di sekolah musim panas (summer school), kami telah makan ketika waktu rehat tengahari. Elena (cekgu summer school) yang telah memaksa kami makan, dan kami pun makan (beberapa hari) dan di hari terakhir sekolah. Dan juga pada tahun 2009, ketika mama keluar, kami telah membuka laptop mama dan kami telah meneka kata laluannya yang sebenarnya telah pun kami ketahui. Kami cuba membuka internert tetapi tidak berjaya. Kami berjanji tidak akan melakukannya lagi. Kami sayang mama dan kami hendak masuk syurga, bukan api neraka. Dan satu lagi, ketika kali terakhir kita balik ke rumah tok dahulu, kakak tak puasa hari tu, kakak tak tahu kenapa. Kakak telah dipaksa oleh seseorang, tetapi sebenarnya ia bukan kehendak kakak. Daripada: Insyirah dan Habibah.

Secara ringkasnya nota di atas memaklumkan (setelah diolah dan disusun semula);

  1. Dosa mengambil duit mama ketika di Malaysia.
  2. Dosa tidak puasa ketika di rumah tok di Malaysia.
  3. Dosa tidak puasa di Sepanyol ketika berada di summer school kerana telah dipaksa oleh cekgu untuk makan.
  4. Dosa membuka laptop mama tanpa kebenaran, di Sepanyol.

Daripada empat dosa yang disenaraikan itu, dua daripadanya telah didakwa dilakukan di tanah air, manakala dua lagi di Sepanyol.

Sama seperti ketika membaca nota pertama dahulu, kali ini perasaan ku juga berbaur. Bangga, keciwa, gembira dan sebak.

Bangga: Atas keberanian mereka mengaku kesalahan.

Keciwa: Atas kegagalanku mendidik mereka agar tidak mengambil atau menggunakan barang orang lain tanpa izin.

Gembira: Atas keberkesanan kempen “berani kerana benar” dan “pohonlah maaf” atas apa jua kesalahan.

Sebak: Atas usaha dan keikhlasan mereka untuk “memenangi” hatiku. Hati seorang ibu.

Daripada empat perasaan di atas, dua daripadanya adalah perasaan aku terhadap mereka (bangga dan sebak) dan dua lagi adalah perasaan aku terhadap diriku sendiri (keciwa dan gembira).

Betapa jiwa si kecil sungguh suci. Adapun, mesej besar dan utama daripada nota tersebut adalah;

  1. Mereka amat dahagakan perhatian dan kasih sayangku.
  2. Mereka amat memerlukan aku.
  3. Mereka kurang dipedulikan aku.
  4. Mereka mencabarku untuk melakukan hal serupa atas segala dosa-dosaku terhadap sesama manusia (beranikah aku mengaku seperti mereka?).

Aku melihat ini sebagai; bukan sekadar nota dari tangan kecil mereka, tidak juga sekadar senarai dosa mereka. Tetapi ia sebenarnya adalah amaran daripada Allah dan juga adalah senarai dosa-dosaku sendiri; dosa mengabaikan mereka, dosa tidak mengendahkan mereka, dosa meminggir mereka, dosa memperkecilkan mereka, dosa tidak memperdulikan hati dan perasaan mereka, dosa tidak menunaikan hak ke atas mereka dan segala bagai dosa lagi ke atas mereka yang dengan itu bermakna aku juga turut berdosa terhadap Allah Rabbul Jalil. Kerana hakikatnya mereka itu, adalah amanah untukku, penentu redhaNya terhadapku.

Air mata sesal dan insaf menitis lagi di ramadhan yang suci ini.

Subhanallah!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...