03. August 2011 · 2 comments · Categories: Dialog

Mengimbau ramadhan tahun lepas (tahun kedua ramadhan di kemusafiran). Sebaik pulang dari sekolah, dengan mata berkaca kakak terus meluru kepadaku;

 

Kakak: Mama, geram kakak tau (wajah separuh menangis).

Aku: Anak mama kenapa ni? (memujuk)

Kakak: Kawan-kawan dekat sekolah semua ejek kakak sebab kakak puasa.

Aku: Oo. Mereka kata apa? (bertanya dengan lembut)

Kakak: Mereka cakap; “alaaa buat lapar je puasa”, “eh kesiannya takleh makan”, “bodoh puasa” dan macam-macam lagi. Sakit hati kakak tau (manik-manik kaca mula jatuh ke pipi).

Aku: Biarlah mereka ejek. Biarlah mereka hendak kata apa pun. Mereka tidak tahu hikmah puasa kerana mereka bukan beragama Islam (sambil mengusap kepalanya).

Kakak: Tapi kakak geram tau.

Aku: Sabar. Allah sayangkan kakak.

Kakak: Jika Allah sayangkan kakak kenapa Allah sakitkan hati kakak?

Aku: Bukan Allah, kawan-kawan kan?

Kakak: Tapi Allah yang buka hati kawan-kawan untuk ejek kakak!

Aku: Kenapa agaknya Allah buat begitu? Mesti ada sebab.

Kakak: Kakak tak buat apa-apa. Kakak hanya berpuasa. Kenapa Allah nak hukum kakak begitu?

Aku: Betul, kakak tak buat apa-apa, sebaliknya kakak berpuasa iaitu melaksanakan apa yang Allah suruh. Allah tidak menghukum kakak, sebaliknya Allah nak gandakan pahala untuk kakak.

Kakak: Kalau nak gandakan pahala mengapa pula dengan menyiksa?

Aku: Anak mama ni pandai tau. Sebab tu Allah kasih. Dan sebab itu Allah nak bagi pahala lebih.

Kakak: Aarr????

Aku: Ejekan itu sebenarnya adalah satu bentuk ujian. Allah sedang menguji kakak. Allah nak tengok, kakak lulus atau tidak ujian itu. Jika kakak sabar, tidak membalas ejekan tersebut, dan tidak marah-marah, maknanya kakak telah lulus dan pahala yang Allah berikan amat besar. Jika sebaliknya, kakak gagal dan tiadalah pahala dari Allah. Lagi banyak Allah menguji, lagi banyak pahala diperolehi. Jika Allah tidak menguji, macam mana kita nak tahu yang kita ini hambaNya yang berkualiti atau tidak. Allah bukan hendak menyiksa, tetapi hendak memberi peluang kepada kita untuk menambah pahala. Jika kita redha, kita tidak akan berasa tersiksa.

Kakak: Kakak tak lawan pun dia orang. Kakak senyap jerr. Macam tu lulus tak? (sudah mula tenang)

Aku: Luluslah tu.

Kakak: Hureyyyyy (gembira).

Aku: Macam tulah anak mama. Kuat dan hebat. Okey?

Kakak: Tapi kan mama, Ismail (anak orang morocco) pun tak puasa tau.

Aku: Iya? Ismail kan dah 12 tahun?

Kakak: Betul mama, dia tak puasa.

Aku: Mana kakak tahu dia tak puasa?

Kakak: Dia makan depan kakak! Dialah yang paling kuat mengejek.

Aku: Iya? Ishh, Ismail ni. Mak dia tahu tak dia tak puasa?

Kakak: Dia cakap, mak dia tak bagi dia puasa sebab dia budak lagi.

Aku: Memang budak tak wajib puasa, tapi kalau tak berpuasa dari budak, nanti bila dah besar rasa berat dan sukar.

Kakak: Ismail cakap apa tau mama, budak-budak tak boleh puasa, nanti mati.

Aku: Isshhh!!

Kakak: Betul ke mama?

Aku: Tahun lepas kakak puasa tak?

Kakak: Puasa!

Aku: Mati tak?

Kakak: Kalau mati, camne kakak boleh borak-borak dengan mama sekarang?

Aku: Tahu takpe. Kalau kanak-kanak boleh mati kerana berpuasa, takdelah kakak di atas muka bumi ini.

Kakak: Kenapa?

Aku: Sebab mama takde?

Kakak: Takde? Mama pergi mana?

Aku: Mati!

Kakak: Kenapa?

Aku: Sebab berpuasa! Dari kanak-kanak lagi mama berpuasa. Dan mama pun mungkin tak sempat juga melihat dunia ini.

Kakak: Aarr? Kenapa?

Aku: Sebab tok dan tokki takde!

Kakak: Mana pula mereka pergi?

Aku: Mati!

Kakak: Aarr?? Kenapa?

Aku: Sebab berpuasa! Tok dan tokki pun berpuasa sejak dari kanak-kanak juga.

Kakak: Oo. Betulah mama…

Aku: Jika benar kanak-kanak atau budak-budak boleh mati kerana berpuasa, takdelah pewaris bangsa kita. Orang Melayu, kecil-kecli lagi sudah berpuasa.

Kakak: Ya, kakak faham dah (angguk-angguk).

Aku: Besok, kalau Ismail cakap macam tu lagi, kakak jawab macam mama jawab.

Kakak: Tapi, kalau kakak jawab kakak tak dapat pahala sabar pula.

Aku: Kakak jawab elok-elok. Dengan suara lembut. Bukan dengan niat hendak bertekak tapi hendak memaklumkan, memahamkan. Jika dia tidak mahu dengar, haa kakak biarkan sahaja. Jika dia diam itu tandanya dia terpukul dan mengiakan kebenaran di dalam hatinya. Jika dia menjawab itu maknanya dia menolak dan kakak tidak perlu melayannya lagi.

Kakak: Okey, besok kakak akan cakap macam tu jika Ismail mengejek lagi.

Aku: Ya.

 

Keesokkan hari, sebaik pulang dari sekolah, kakak dengan penuh tidak sabar bercerita;

 

Kakak: Mama, hari ini Ismail ejek yang serupa.

Aku: Iya?

Kakak: Ya. Diulangnya berkata; budak-budak kalau puasa akan mati.

Aku: So, kakak cakap apa?

Kakak: Kakak kata padanya apa yang telah mama katakan pada kakak semalam.

Aku: Apa reaksinya?

Kakak: Dia terus diam dan tak jadi habiskan makanannya. Hi!

Aku: Bagus. Anak mama memang hebat. Dia terdiam kerana mungkin dia berasa malu pada dirinya sendiri dan tindakan kakak itu telah membuatkan dia berfikir. Mungkin besok atau lusa atau setidak-tidaknya tahun depan, dia akan mula berpuasa seperti kita.

Kakak: Hihi, kakak berasa sungguh seronok hari ini dan kakak tak kisah jika kawan-kawan ejek lagi. Kakak ada Allah dan mama.

Aku: Bagus!!! (memeluknya kuat-kuat, erat-erat).

 

Nota:

Sungguh besar cabaran berpuasa di negara orang. Lebih-lebih lagi dalam konteks seorang budak seperti kakak. Tahun lepas dan tahun sebelumnya, puasa jatuh pada musim sekolah. Kakak dan Habibah yang telah dengan rela hati berpuasa (tanpa dipaksa) terpaksa melalui pelbagai dugaan di sekolah. Antaranya diejek kawan-kawan temasuk dipersoal oleh guru-guru akan kenapa mereka berpuasa. Ada di antara mereka yang sengaja makan di hadapan kedua beradik tersebut dengan tujuan untuk membuatkan mereka terliur. Malah sampai ke tahap mereka sengaja hendak menyumbat-nyumbat makanan ke mulut mereka berdua. Apa pun, kakak dan Habibah tetap meneruskan puasa hingga lengkap sebulan dan itu amat membanggakan aku. Dalam melatih mereka berpuasa, aku tidak memaksa tetapi memberikan mereka pilihan iaitu; “Tidak mengapa andai kakak dan adik (panggilan untuk Habibah) tidak mahu berpuasa kerana kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa, tetapi jika kakak dan adik berpuasa, mama amat gembira dan Allah amat suka dan akan memberi banyak pahala”. Dan mereka memilih untuk menggembirakan aku dengan berpuasa. Justeru, apa lagi yang aku kurang? Jika seindah ini Allah mengurniakan kepadaku anak-anak dan kehidupan? Bersyukurlah wahai lidah, wahai hati, wahai jiwa!

Tahun ini, alhamdulillah, ramadhan jatuh pada musim cuti sekolah. Maka ringanlah sedikit cabaran yang terpaksa mereka tempuh. Namun, 24 jam di rumah juga adalah merupakan satu ujian. Mereka bosan dan berasa waktu amat lambat bergerak. Hasilnya, selang 10 minit bertanya; “bila nak berbuka? lambat lagi ke berbuka? lambatnya masa, lamanya puasa, penatnya, bosannya dan sebagainya.” Apapun, yang penting mereka tetap berpuasa dan tetap bersemangat untuk menyemarakkan ramadhan. Allahu Akbar!

 

 

Gambar tahun lepas, bersiap nak ke sekolah di bulan puasa.

 

 

Alhamdulillah, di hari kedua ramadhan saya telah berjaya melaksanakan apa yang dirancang iaitu bertadarus bersama Insyirah, cahaya kegembiraan saya. Saya amat menaruh harapan agar cita-cita untuk bertadarus hingga khatam bersama puteri-puteri kesayangan di ramadhan ini diperkenan Ilahi. Saya juga telah berjanji kepada diri sendiri untuk tidak lagi mewarwarkan tentang juadah, sebaliknya biar nampak meriah pada ibadah. Biar ramadhan kali ini menjadi ramadhan yang benar-benar wangi hingga melekat wanginya kepada bulan-bulan yang lain juga. Insyaallah. Selamat mewangikan ramadhan!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...