Sehari sebelum ramadhan Mubarak, 2011.

Kakak: Mama, kenapa kita kena puasa?

Aku: Sebab Allah suruh kita puasa.

Kakak: Kenapa Allah suruh kita puasa?

Aku: Apa kita rasa bila kita puasa?

Kakak: Rasa penat dan lapar.

Aku: Benar! Itulah sebabnya Allah suruh kita puasa.

Kakak: Aarr? Kakak tak faham.

Aku: Cuba fahamkan.

Kakak: Kenapa Allah nak kita penat dan lapar? Bukankah Allah itu penyayang?

Aku: Kerana Allah itu penyayanglah maka disuruhnya kita berpuasa.

Kakak: Aarr? Lagilah kakak tak faham. Jika Allah itu penyayang mengapa Allah nak menyiksa kita?

Aku: Adakah kakak rasa tersiksa bila berpuasa?

Kakak: Ya. Lapar dan penat itu amat menyiksakan.

Aku: Bagus! Itulah sebabnya Allah menyuruh kita berpuasa.

Kakak: Aarr? Mengapa Allah yang penyayang nak kita rasa penat dan lapar?

Aku: Kerana Allah nak kita berkasih sayang sesama manusia.

Kakak: Aarr? Apa kaitan penat dan lapar dengan kasih sayang?

Aku: Cuba kakak fikir, agak-agaknya di atas dunia ini, golongan mana yang hidup mereka senantiasa dalam keadaan lapar dan penat.

Kakak: Erm, kakak penat sebab kakak lapar, kakak lapar sebab kakak tak makan, kakak tak makan sebab kakak puasa, kakak puasa sebab Allah suruh, Allah suruh sebab Allah nak kakak lapar dan penat, Allah nak kakak lapar dan penat sebab Allah sayangkan kakak dan nak kakak berkasih sayang sesama manusia, Allah nak kakak berkasih sayang sesama manusia agar hidup ini aman dan sentosa.

Aku: Bagus! Pandai anak mama.

Kakak: Tapi, kakak masih tak faham; kaitan di antara lapar dan penat dengan kasih sayang?

Aku: Sebab kakak masih belum jawab soalan mama; golongan mana yang hidup mereka senantiasa dalam keadaan lapar dan penat?

Kakak: Golongan yang tidak makanlah. Betulkan mama?

Aku: Ya. Betul. Tapi kenapa mereka tidak makan?

Kakak: Kerana mereka tidak ada makanan?

Aku: Ya. Betul. Tapi kenapa mereka tidak ada makanan?

Kakak: Agaknya kerana mereka tidak ada duit untuk membeli makanan?

Aku: Ya. Dan apa nama golongan tersebut? Maksud mama, kita panggil mereka apa?

Kakak: Orang yang tidak ada duit untuk membeli makanan adalah orang-orang miskin.

Aku: Pandai! Orang-orang miskin. Mereka itu adalah golongan fakir miskin.

Kakak: Tapi, kenapa Allah nak suruh kita penat dan lapar macam orang miskin pulak?

Aku: Kerana itulah caranya untuk kita memahami dan menyelami penderitaan mereka.

Kakak: Kakak masih belum faham, perlu apa kita memahami dan menyelami penderitaan mereka?

Aku: Agar kita menyayangi mereka, menghormati mereka dan membantu mereka. Agar kita ada rasa hendak bersedeqah dan tidak menghina mereka. Tiada manusia yang ingin menjadi faqir dan miskin hingga hendak membeli makanan pun tidak mampu.

Kakak: Ooo (ternganga mulutnya dan mengangguk-nganggukk).

Aku: Dalam setahun, kita hanya perlu berlapar selama sebulan, sedangkan golongan faqir berasa lapar di sepanjang hidup mereka. Tidakkah kakak berasa sedih mengenangkan nasib mereka?

Kakak: Sedih (air mata bergenang).

Aku: Tapi, jika di sepanjang masa kita hidup dalam kekenyangan, mungkin kita tidak akan faham situasi mereka lalu tidak akan terbit rasa simpati dan kasihan terhadap mereka. Tanpa perasaan simpati, mungkin kita juga tidak akan mempunyai motivasi yang tinggi untuk mensedeqahkan sedikit daripada harta kita kepada mereka.

Kakak: Ooo (angguk-angguk kepala). Tapi, mengapa pula kita perlu memberi sebahagian daripada harta kita kepada mereka? Penat-penat kita cari harta dan mereka itu pula tidak berusaha? Hanya menunggu pemberian kita?

Aku: Harta yang kita ada itu sekalipun diperolehi daripada hasil usaha kita tetapi Allah yang punya. Allah pinjamkan sahaja kepada kita. Allah pinjamkan untuk melihat bagaimanakah kita menggunakan atau membelanjakan harta tersebut; adakah ke jalan yang hak atau sebaliknya? Lalu Allah menguji mereka yang berharta dengan mencipta orang-orang miskin untuk melihat; adakah mereka bersyukur dengan pemberian Allah tersebut dengan berkongsi sebahagiannya dengan golongan yang tidak mampu atau mereka takbur dan sombong dengan menggunakan sepenuhnya harta yang dipinjam itu untuk diri mereka sahaja. Dari situlah Allah menilai dan memberi markah kepada kita dan dari situlah manusia itu berbeza di antara yang baik dengan yang tidak baik.

Kakak: Ooo begitu (angguk-angguk kepala).

Aku: Allah itu adil dan mengajar manusia juga agar bersikap adil.

Kakak: Tapi mama, jika Allah itu adil, mengapa diciptanya orang miskin dan orang kaya? Mengapa Allah tidak ciptakan semua manusia kaya?

Aku: Soalan yang bagus. Mama tahu anak mama suka berfikir. Agak-gaknya apa jadi jika semua manusia kaya?

Kakak: Tidak perlulah kita menolong sesiapa lagi, sebab semua dah kaya? Dan, tak perlulah kita puasa? Hihi…

Aku: Betul. Tidak perlu menolong sesiapa lagi kalau semua dah kaya, dah senang. Tentang puasa, mungkin Allah fardukan juga atau mungkin tidak. Cuba kakak fikir, apa akan jadi jika kita tidak perlu lagi menolong orang atau tidak perlu lagi meminta tolong daripada orang lain?

Kakak: Ermm, bila kita tidak perlu lagi menolong orang, tidak perlulah kita peduli kepada sesiapa pun? Dan, tak payahlah kita susah-susah nak bercakap dan sembang-sembang dengan orang. Masing-masing buat jelah hal sendiri.

Aku: Bagus! Pandai! Dan cuba kakak fikir, seronokkah hidup kita ini jika kita tidak bergaul dan bertegur sapa dengan orang lain? Indahkah hidup kita ini jika manusia membawa hal masing-masing tanpa memperdulikan orang lain?

Kakak: Kakak rasa dah tentu kita akan bosan.

Aku: Pasti! Kerana hidup menjadi indah dan beerti apabila kita saling lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Saling bantu membantu dan Allah memerhati dari atas sana. Kepada yang berbuat kebaikan dan kebajikan Allah berikan kepadanya pahala dan mereka yang berbuat keburukan akan mendapat dosa. Itulah kehidupan. Allah menilai kita, memberi markah kepada kita dengan mengatur fungsi-fungsi kita sebagai si fulan dan si fulan di atas dunia pinjamanNya ini.

Kakak: Ooo (angguk-angguk kepala)

Aku: Sekarang kakak faham kenapa Allah mengfardukan puasa kepada umat Islam?

Kakak: Ya (angguk-angguk kepala).

Aku: Sebab itu ketika sahur kita tidak boleh makan terlalu banyak dengan niat agar tidak terlalu lapar keesokkan hari. Jika tidak lapar, tidak tercapailah maksud berpuasa, betul tak?

Kakak: Ermm…, betul-betul (sengeh).

Aku: So, mulai hari ini, usah bersungut; lapar ke, penat ke, atau dahaga ke. Sebab, memang Allah suruh kita berpuasa supaya kita rasa penat dan lapar. Kalau tak rasa penat dan lapar, takde maknalah puasa kita. Bukan?

Kakak: Hurm, betul! (sengeh comel).

Aku: Selain daripada hikmah yang kita bincangkan tadi, sebenarnya puasa juga mengandungi sejuta lagi hikmah, yang zahir maupun yang tersembunyi. Antaranya puasa memberi peluang kepada sistem penghadaman kita untuk berehat selama sebulan setiap tahun.

Kakak: Perlu apa sistem penghadaman berehat?

Aku: Sistem penghadaman kita ibarat enjin yang jika bekerja siang dan malam tanpa rehat akan terbakar dan rosak. Bila enjin rosak, lumpuhlah kesemua sistem badan.

Kakak: Ooo (ternganga).

Aku: Di samping itu, puasa juga dapat melatih kita menjadi mukmin sejati.

Kakak: Macam mana tu?

Aku: Sepanjang kita berpuasa di siang hari, kita bukan sahaja tidak boleh makan dan minum, malah kita juga ditegah daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan juga perkara-perkara yang mengurangkan pahala puasa seperti mengumpat, mencaci, berbohong dan sebagainya. Secara tidak langsung ia melatih kita untuk meninggalkan segala sifat yang keji itu. Dan mudah-mudahan selama sebulan kita menjaga pahala puasa kita itu, ia akan terbawa-bawa ke bulan-bulan yang lain juga seterusnya ke sepanjang hayat kita. Manakala sahur pula memotivasikan kita untuk melaksanakan ibadat di malam hari dan kebiasaan itu diharapkan akan kekal selamanya di bulan-bulan yang lain juga. Begitulah indahnya puasa dan besarnya hikmah berpuasa.

Kakak: Ooo. Sekarang kakak sudah faham mengapa Allah menyuruh kita berpuasa. Puasa memotivasikan kita untuk bersedeqah kerana ibadat itu memahamkan kita tentang penderitaan dan kesusahan golongan fakir. Puasa memberi peluang kepada sistem perut kita untuk berehat dan menjadi lebih mantap. Di samping itu puasa juga melatih kita meninggalkan segala sifat buruk dan keji, dan melatih kita untuk bangun beribadat di malam hari.

Aku: Anak mama memang pandai. Super pandai. Hendaknya Allah memberkati dan merahmati kita semua dan mama doakan agar kakak mendapat pahala yang masimum daripada puasa yang kakak laksanakan untuk tahun ini. Amin.

Kakak : Amin (memeluk dan menciumku bersungguh-sungguh).

Nota :-

Ramadhan tiba lagi dan hati ini menjadi sayu mengenangkan indahnya berpuasa di tanah air sendiri bersama ayah bonda dan adik-adik tercinta. Namun, berpuasa di negara orang juga mempunyai keindahannya yang tersendiri. Pengalaman berpuasa di siang hari yang amat panjang dan berbuka ala kadar adalah amat indah. Sebenarnya, dari kecil aku kurang setuju dengan amalan beria berbelanja atau menyediakan juadah berbuka termasuk bersahur yang berlaku di tanah air kita. Dari kecil batinku menjerit melihat makanan yang tidak habis yang kadang-kadang dibuang begitu sahaja. Dan dari kecil aku berazam, jika mempunyai keluarga sendiri esok-esok, akan ku terapkan kepada anak-anakku amalan bersederhana samada dalam berbuka maupun bersahur, sebaliknya lebihkan amalan-amalan seperti solat sunat dan tadarus al-Quran. Alhamdulillah, ia berjaya ku terapkan sedikit demi sedikit. Ku bisikkan kepada anak-anakku bahawa kita tidak perlu mempunyai hidangan istimewa untuk berbuka, sebaliknya kita makan sahaja seadanya seperti kita makan pada hari-hari biasa malah seeloknya kurang daripada hari-hari biasa. Begitu juga ketika bersahur, aku tidak menggalakkan anak-anakku makan sebanyak mungkin untuk kononnya mengelak lapar keesokkan hari sebaliknya menyuruh mereka makan apa yang perlu sahaja daripada hidangan yang amat sederhana dan dhaif. Bukannya aku tidak mampu untuk menyediakan hidangan yang hebat-hebat. Dan bukan juga aku ini bakhil. Tetapi, bertanyalah kepada diri; Kita ini berpuasa untuk apa? Tujuan difardukan puasa ialah antaranya untuk kita menjiwai kehidupan si fakir, bukannya berpesta makan hingga kekenyangan sampai minda menjadi ketat untuk berfikir dan lidah menjadi berat untuk berzikir. Renung-renungkanlah.

 

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...