Apabila kemusafiran saya di Valladolid berjaya dijejaki menerusi blog miskin ini, maka ada sedikit rasa bahagia dan lega di jiwa saya. Saya bahagia dan lega kerana adalah juga walau sedikit manfaat blog ini kepada pembaca. Meskipun apa yang saya tulis mungkin hanya sampah pada sesetengah orang, namun ternyata kewujudan blog ini menambah koleksi kenalan, dan rujukan kepada mereka yang berhasrat ke Valladolid atas sesuatu urusan. Allah mengatur sesuatu perkara itu dengan secantik-cantik kejadian meskipun kadang-kadang kita gagal melihatnya di permulaan.

Kepada Suhaida Abdullah dan Hazlina Ali, dua insan yang dahulunya tidak pernah saya kenali, terima kasih atas silaturrahim yang diberi yang bermula dari usaha kalian untuk menjejaki saya menerusi blog ini. Saya menghargainya dan berdoa moga silaturrahim ini berpanjangan. Maha kaya Allah yang menemukan kita, maha kaya Dia juga yang telah membuka pintu hati saya untuk menukil di blog ini yang dengan sebab itu kemusafiran saya di sini dikesani lalu saya dihubungi. Alhamdulillah, pada hari kalian bertandang ke bumi Valladolid ini, saya berada dalam keadaan sihat yang maksimum yang dengan kesihatan tersebut saya mampu membantu apa yang perlu. Bantuan yang dihulur (jika layak dipanggil bantuan) adalah tersangat kecil dan minimum berbanding hikmah atau faedah yang diperolehi iaitu persahabatan dan silaturrahim.

Terima kasih kerana mempercayai saya dan terima kasih jugalah atas hadiah-hadiah yang dibawa.


 
 
 

Mereka yang ku kenal menerusi blog ini.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...