Getar Ramadhan

Bergetar segala rasa

Kala tiba ramadhan

Teringat segala dosa

Akankah Tuhan mengampunkan?

Telah difahami hikmah ramadhan

Namun seperti sukar diinsafi

Kerna kita menganggapnya bulan

Berpesta juadah itu dan ini

Ramadhan yang mulia

Adalah bulan melatih diri

Menginsafi sang fakir

yang perut sentiasa kosong

dan berkeroncong

Pernahkah sekali?

sewaktu berbuka..

Kita menolak sirap dan seri muka

dengan memakan cuma

sebiji kurma?

Bergetarlah segala rasa

Kala tiba ramadhan

Teringat segala dosa

Akankah Tuhan mengampunkan?

 

Pada 17 Jun 2011 yang lalu, saya ada menampilkan sekeping gambar di dalam blog ini dan meminta pembaca meneka apakah bendanya di dalam gambar tersebut. Dan janji saya, jawapan kepada teka teki itu akan saya tampilkan kemudian. Ada beberapa orang pembaca budiman yang telah meneka dan menghantar jawapannya kepada saya. Janji saya lagi, kepada pemenang iaitu orang pertama yang berjaya meneka dengan tepat akan saya hadiahkan cenderahati dari Sepanyol. Insyaallah, saya berpegang kepada janji. Maka pada hari sabtu yang ceria ini, 30 hb Julai 2011, saya dengan ini mengumumkan bahawa pembaca yang telah meneka dengan tepat sekaligus menjadi pemenang ialah PUAN NYSMA WAHAB dari Pahang Darul Makmur Malaysia (beliau berasal dari Kedah, bertugas di UMP, Pahang). Dan jawapannya ialah; PUDING KARAMEL. Tahniah kepada Puan Nysma dan hadiah akan diserahkan samada menerusi pos atau diserahkan sendiri oleh kedua tangan saya esok-esok ketika pulang ke tanah air (bergantung kepada keadaan). Namun, saya akan pastikan hadiah tersebut berada di dalam tangan puan walau apa pun caranya. Terima kasih dan tahniah sekali lagi atas kesudian meneka dan menceriakan sebahagian daripada hari-hari saya.

Di bawah ini ditampilkan gambar penuh objek yang diteka. Ianya adalah puding karamel yang menjadi kegemaran saya dan hubby sejak sekian lama. Namun, karamel yang ini agak banyak dan ketara rekahannya berbanding yang dibuat sebelum ini. Dari kecil saya memang suka makan puding karamel. Seloyang tidak cukup untuk saya seorang. Akan tetapi kegemaran saya memakan puding ini tidak diwarisi oleh anak-anak saya. Saya dapati anak-anak saya tidak berapa menggemari benda-benda manis terutamanya Abdullah yang amat anti manis. Dari satu segi, saya patut bersyukur kerana mereka tidak sukakan makanan manis yang seperti kita semua sedia maklum tidak bagus untuk kesihatan. Berbalik kepada puding karamel, bagi saya ia adalah antara kuih yang amat mudah dibuat dan sedikit sahaja bahan-bahan yang diperlukan untuk membuatnya. Telur, susu segar, gula dan gula hangus. Selalunya saya menggunakan 7 biji telur untuk satu liter susu. Gula pula, bergantung, kadang-kadang sedikit, kadang-kadang tercurah banyak. Vanila? Saya lebih suka tanpa vanila kerana rasa dan aroma semulajadi telur dan susu akan lebih menyerlah tanpanya. Bau telur hanyir? Oh, tidak di hidung pesek saya dan hubby. Kami berdua adalah penggemar keaslian dan kesemulajadian sejak sekian lama. Okey, nikmatilah rekahan karamel di bawah, sesuai sebagai juadah berbuka puasa nanti.

 

 

Peberet saya dan hubby.

 

Rekahan yang menambah selera.

 

 

Suatu pagi, di summer yang berbahang, di meja makan rumahku.

Aku: Ada tak peribahasa bahasa Sepanyol yang boleh kita gunakan dalam berjual beli?

Diego: Ermm, peribahasa untuk berjual beli?

Aku: Ya. Ada tak?

Diego: Saya tak fahamlah soalan tu, ..peribahasa… (menggosok-gosok dagunya).

Aku: Tak faham? Peribahasa… tau kan peribahasa?

Diego: Peribahasa tu tahu, tapi konteks yang awak hendak tu saya tak faham.

Aku: Peribahasa yang digunakan dalam konteks jual beli, contohnya, jika saya rasa harga barang yang dijual tidak setanding kualitinya, lalu saya nak komen, tapi saya tak mau komen direct, saya nak guna peribahasa, ada tak?

Diego: Mmm, macam mana tu ya, saya masih belum faham? (menggaru-garu kepala)

Aku: Katakanlah saya pergi ke kedai. Kedai baju misalnya. Saya berkenan dengan sehelai baju, harganya 20 euro. Tetapi setelah ditilik dan diperhati saya dapati harga tersebut tidak setanding dengan kualiti kainnya atau jahitannya, walaupun cantik. Saya nak tawar harganya, tetapi sebelum itu saya nak komen dahulu tentang kualitinya. Namun, saya tak nak beritahu secara direct kepada penjual tersebut bahawa baju itu mahal tidak sepadan dengan kualitinya. Saya nak komen secara indirect. So, ada tak peribahasa yang boleh saya gunakan untuk melontarkan komen saya itu?

Diego: Maksud awak, nak tawar harga? (dengan nada terkejut).

Aku: Ya, tapi sebelum tu saya nak komen dahulu supaya ada kelogikan dalam penawaran itu.

Diego: Hurm, di negara awak, ada tawar menawar ke di kedai-kedai?

Aku: Ada. Kecuali di supermarket. Di kedai-kedai biasa kita boleh tawar menawar.

Diego: Oh, pasal itu lah awak tanya tentang hal itu ya (senyum).

Aku: Aarr? Nape awak senyum?

Diego: Untuk pengetahuan awak, di Sepanyol tidak wujud tawar menawar (serius).

Aku: Aarr? Betulkah? (percaya tak percaya).

Diego: Ya. Serius!

Aku: Aarr?

Diego: Di Sepanyol, orang yang menawar harga dianggap biadab, kurang sopan, jakun atau tak reti bahasa.

Aku: Aarr? (sambil tutup mulut)

Diego: Ya, betul.

Aku: Serius? (masih tidak percaya)

Diego: Serius! Di Sepanyol orang tidak akan menawar harga barang kerana ia adalah lambang orang yang tidak beretika.

Aku: Habis tu, macam mana kalau kita rasa barang itu mahal?

Diego: Jika kita masuk ke sebuah kedai dan dapati barang yang kita nak beli itu mahal, kita toksah beli, kita masuk kedai lain. Kalau di kedai lain pun mahal, jangan beli juga, masuk kedai lain pula. Kedai kan banyak. Tapi, jangan sekali-sekali tawar. Sebab orang Sepanyol akan memandang serong kepada mereka yang menawar harga barang.

Aku: Oh, tidakkk!! (sambil menutup muka)

Diego: Nape? Awak pernah tawar menawar ke di sini? (sambil gelak)

Aku: Bukan setakat pernah awak. Bahkan, semua kedai yang saya masuk saya mesti tawar kecuali di supermarket-supermarket. Oh tidakkkkk!!!

Diego: Fuhhh (geleng-geleng kepala).

Aku: Tapi, kenapa tak ada sorang pun yang maklumkan hal ini kepada saya sebelum ini?

Diego: Tak pernah ada sesiapa maklumkan pada awak?

Aku: (geleng-geleng kepala) dan saya hanya tahu setelah dua tahun lebih saya di sini? Oh..

Diego: Mungkin sebab orang tahu awak orang asing, so mereka kata “no hal” lah (sambil gelak).

Aku: Patutlah setiap kali saya menawar, saya lihat muka penjual merah dan semacam. Pastu siap dengan jari tangan berkata “No, no. No way!”. Dari wajah mereka mungkin hati di dalam berkata; “entah dari manalah datangnya si jakun ni”. Adusss (tepuk-tepuk dahi).

Diego: Hak hak hak (gelak besar). Memang pun mereka berkata begitu di dalam hati. Sebab kalau saya jadi penjual pun saya akan cakap macam tu, hahahahaha …

Aku: Aiiyyy, malunya, malunya!

Diego: Alaa, relex aa, awak kan orang asing. So mereka faham, mereka dah dapat meneka mesti awak datang dari negara yang boleh tawar menawar.

Aku: Ok, orait. Lepas ni tak nak tawar-tawar lagi dah.

Diego: (gelak) okey lah awak, saya nak kena balik dah ni. Dah pukul 1, saya ada hal sikit nak buat kat bawah.

Aku: Ok, baik. So besok datang kan?

Diego: Yup, jumpa lagi besok (bangun dari kerusi)

Aku: (menghantar Diego ke muka pintu).

Selepas Diego keluar, ku ceritakan kepada hubby tentang perbualan tadi.

Aku: Yang, tahu tak yang dekat Sepanyol ni kita tak boleh tawar harga barang, tak beretika namanya.

Hubby: Aarr?? Ya ka?

Aku: Yup. Baru kejap tadi Diego terangkan ngan panjang lebar. Aduss, malulah pulak rasa.

Hubby: Laa, baik kita tak tahu. Dah tahu jadi takutlah pula nak menawar. Kalau tak tahu, selamba je kita tawar. Mana tahu, dapat penjual yang kasihan tengok muka kita? Haa dapatlah kita harga yang lebih murah. Awak ni satu, yang pergi tanya tu kenapa?

Aku: Aarr??

 

Nota:-

Diego adalah jiran di depan rumahku yang juga merupakan pembantuku dalam analisis data. Beliau adalah seorang guru dan berkelulusan dalam bidang yang hampir sama dengan ku, cuma jurusan spesifiknya sahaja yang berbeza. Setiap hari, lebih kurang pukul 11 pagi Diego akan datang ke rumahku untuk membantuku menganalisis data-data dari Sepanyol. Di samping itu Diego juga bertindak menjadi guru peribadiku dalam bahasa dan budaya Sepanyol. Aku baru tahu yang tawar menawar tidak wujud di Sepanyol setelah dimaklumkan oleh Diego. Sebelum itu selamba badak aje aku dan hubby menawar harga barang di kedai-kedai, malah siap bertekak dan menyindir-nyindir tuan kedai. Oh, besarnya perbezaan di antara dua benua dan indahnya kehidupan apabila kita perpeluang merasai dan melalui semua pengalaman itu.

Di bawah adalah gambar-gambar meja makan di rumahku yang aku dan Diego gunakan setiap hari untuk memproses data. Sudah hampir 2 bulan meja tersebut bertukar statusnya dari meja makan ke meja memproses data.

Dahulu kami makan di meja ini.

 

Sekarang kami makan di meja jepun itu. Hubby buat sendiri meja tu.

Oh, piojos menyerangggg!! Siapa kata eropah bebas dari piojos? Di spain ia merupakan satu wabak, ia adalah makhluk universal, dijunjung di atas kepala pelbagai bangsa.

Teringat masa kecil-kecil dahulu, ketika hingus masih meleleh di hidung dan mata sentiasa bertahi, piojos menjadi wabak yang nampak kecil, sekecil jasadnya tetapi impaknya besar. Tergaru-garu seperti monyet dan duduk bersusun di atas tangga memburu piojos. Yang ku dengar, piojos boleh mengakibatkan kelesuan, menghilangkan selera makan dan menjejaskan tumpuan kepada pelajaran. Piojos menyedut darah, dan jika terlalu banyak boleh mengakibatkan anemia?

Mitos tentang piojos, ia adalah wabak kampung. Dijunjung hanya oleh kepala penghuni kampung nan miskin. Di bandar-bandar dikatakan bahawa piojos tiada kerana persekitaran bandar tidak digemari oleh sang piojos untuk membiak. Lalu dahulu, jijiklah mereka yang dilahirkan dan membesar di bandar untuk mendekati anak-anak kampung-kampung kerana dikhuatiri dijangkiti piojos. Sebelum ini juga saya menyangka yang piojos hanya wujud di negera-negara dunia ketiga yang miskin. Di negara-negara maju seperti di kebanyakan negara eropah termasuk Sepanyol, rakyatnya bebas daripada piojos. Rupa-rupanya sangkaan saya meleset. Setelah bermusafir di sini baru saya tahu bahawa di sini juga banyak piojos malah saiznya lebih besar dan tegap seperti saiz orang eropah.

Hakikatnya piojos hanya mahukan kepala, tanpa mengambil kira kepala orang bandar maupun orang kampung. Bezanya ialah, di bandar, orang sibuk siang dan malam hingga tidak mempunyai waktu untuk memikirkan tentang piojos dan menyedari kehadiran piojos di celah-celah mahkota mereka. Manakala kampung didiami oleh kebanyakkannya suri rumah sepenuh masa yang mempunyai banyak masa terluang hingga mampu mengesan kewujudan piojos lalu berusaha memburunya. Selalunya, tangga atau muka pintu  menjadi lokasi paling digemari untuk mengejar piojos. Mengapa tangga? Dan mengapa pintu? Kerana di kedua-dua lokasi itu, cahaya menyimbah paling maksimum dan ini memudahkan usaha mereka menangkap piojos.

Apakah tanda-tanda diserang piojos? Sudah tentu signal utamanya adalah kegatalan amat sangat di kepala. Gatal yang tidak boleh ditahan-tahan, yang mendorong jari jemari mencakar kulit kepala hingga berdarah dan rambut-rambut berguguran. Bila piojos sudah membiak maju serta membina empayarnya dengan jitu, maka akan menyusul pula signal keseterusnya iaitu wajah menjadi pucat dan tubuh menjadi lesu. Darah kita disedut setiap saat dan kerabat piojos berpesta darah tanpa kita sedari. Tidur malam boleh terganggu dek kegatalan kritikal dan akibat lainnya ialah selera makan hilang dan wajah menjadi tidak berseri. Pendukung piojos akan menjadi tidak bermaya dari hari ke hari selagi piojos tidak dinyahkan dari tempatnya bersarang.

Secara psikologi, piojos boleh menghilangkan keyakinan diri. Lebih-lebih lagi jika individu itu dikesan oleh orang lain memiliki piojos. Maka mulalah mereka menjauhkan diri dan memandang jijik kepadanya? Dengan piojos melakukan pelbagai aktiviti di kepala, penjungjungnya juga tidak akan senang duduk samada di tempat kerja maupun di sekolah atau di mana-mana sahaja. Kadang-kadang orang tidak tahu yang piojos berkampung di atas kepala pembawanya, tetapi mereka yang tersebut itu takut hendak mendekati orang lain kerana bimbang diketahui. Pertama, jika diketahui, mungkin mereka akan diejek. Kedua, mungkin mereka akan dipinggir. Sangkaan tersebut boleh mengakibatkan para pengusung piojos bertindak memencil diri. Seterusnya ia boleh melumpuhkan kehebatan diri serta membantut usaha untuk bersaing.

Apakah penyelesaian ke atas kemelut piojos ini? Atau dengan lain perkataan, bagaimanakah hendak menghindarkan diri daripada piojos atau mengnyahkannya? Saya bukan seorang pengkaji serangga atau haiwan halus yang arif tentang habitat piojos ini. Saya cuma tahu tentang kewujudannnya, simpton-simpton memilikinya dan akibat daripadanya berdasarkan pengalaman sendiri yang ketika kecil dahulu bertahun-tahun makan dan tidur bersama piojos. Saya bebas daripada piojos hanya setelah memasuki universiti. Mungkin ketika itu piojos tidak lagi menyukai rambut serta kepala saya atau sudah bosan dengan kulit kepala saya yang berubah seiring dengan perubahan usia dan hormon. Entah! Sejak itu hingga ke hari ini saya merdeka daripada penjajahan piojos.

Namun, setelah bertahun-tahun saya mengecap nikmat kemerdekaan daripada piojos, kini iaitu pada tahun ini anak saya telah diserang piojos secara agresif dan telah berjaya menakluki kepalanya dengan menghiasi setiap helai rambutnya dengan telur-telurnya yang putih berkilat. Dan ini amat mendukacitakan saya. Saya kembali runsing dan kembali tidak duduk diam meskipun ternyata piojos tidak suka atau sudah tidak mahu meminum darah saya lagi. Sebagai ibu, saya lebih rela ia menjakiti kepala saya daripada berkampung di kelapa zuriat kecil saya yang mungkin akan merasai kesannya seperti yang pernah saya deritai dahulu. Daripada 3 orang anak, 2 perempuan dan seorang lelaki, piojos hanya mahu menawan dan berkawan dengan anak dara nombor dua saya yang berusia 8 tahun. Dan orang yang dipilih untuk ditaklukinya itu adalah seorang yang amat rajin menjaga dan mendandan rambutnya. Anak dara saya yang sulong yang mewarisi sifat saya yang malas menyikat rambut tidak pula dijangkiti. Begitu juga anak lelaki saya yang separa botak. Hubby juga bebas daripadanya. Mengapa piojos memilih Habibah? Adakah darah Habibah lebih manis dan enak berbanding yang lain? Atau adakah kerana Habibah pandai menjaga rambutnya dengan baik, mengsyampunya hampir setiap hari menyebabkan kulit kepalanya bersih dan wangi, lalu telah menarik perhatian piojos untuk memilihnya sebagai tanah jajahan baru? Jika begitu, ia bermakna piojos sebenarnya sukakan kebersihan dan kewangian. Piojos juga pandai memilih mereka yang gemarkan kekemasan. Piojos bukan makhluk pengotor sebaliknya makhluk yang cintakan keindahan. Bolehkah disimpulkan begitu? Entah! Hanya Allah yang tahu!

 

Aktiviti yang meralitkan, tak makan pun takpe.

 

24. July 2011 · 3 comments · Categories: Dialog

 

Tahun pertama aku di sini dahulu, si kecilku Abdullah, sering demam. Setiap bulan dia mesti demam. Suatu hari ku dapati badannya teramat panas dan dia amat tidak bermaya hingga langsung tidak boleh membuka mata (seperti separuh pengsan). Lantas aku dan hubby membawanya ke ambulatorio (pusat kesihatan) terdekat. Itulah kali pertama aku membawa Abdullah ke ambulatorio.

 

(Di kaunter pendaftaran kecemasan)

Aku: Selamat petang. Saya nak jumpa doktor, anak saya demam.

Petugas: Selamat petang. Kad?

Aku: Oh, ini dia cik (mengambil kad perubatan dari dalam begku).

Petugas: Berapa tahun umur anak puan?

Aku: 3 tahun.

Petugas: Maaf puan, doktor tiada ketika ini.

Aku: Aarr? Tapi saya lihat ada beberapa orang doktor mundar mandir di sana.

Petugas: Ada, tetapi mereka itu bukan doktor kanak-kanak.

Aku: Aarr?

Petugas: Doktor biasa tidak boleh memeriksa kanak-kanak. Kanak-kanak perlu diperiksa oleh doktor kanak-kanak.

Aku: Tapi mereka kan doktor juga? Takkan tak boleh tengok-tengokkan langsung?

Petugas: Maaf puan, tak boleh. Kanak-kanak perlu diperiksa oleh doktor kanak-kanak.

Aku: Habis tu, takkan pusat kesihatan sebesar ini tidak mempunyai seorang pun doktor kanak-kanak?

Petugas: Ada, tetapi mereka bertugas di sebelah pagi. Puan datang petang, hanya ada doktor biasa.

Aku: Aarr?

Petugas: Puan patut datang pagi.

Aku: Mana saya nak tahu yang anak saya nak tenat waktu mana? Bukankah ini unit kecemasan yang sepatutnya menerima kes-kes kecemasan?

Petugas: Ya, tetapi doktor biasa memang tidak boleh memeriksa kanak-kanak.

Aku: Tolonglah cik. Anak saya sudah separuh pengsan. Tolonglah benarkan dia dirawat oleh mana-mana doktor di sini.

Petugas: Apa masalah anak puan sebenarnya?

Aku: Dia demam panas. Tolonglah! (dah mula menangis)

Petugas: Berapa suhunya? (dengan wajah serba salah)

Aku: Entah, saya tak tahu.

Petugas: Jika tidak tahu, macam mana puan boleh tahu dia demam?

Aku: Aarr? Badannya amat panas.

Petugas: Badan panas tak semestinya demam.

Aku: Aarr?

Petugas: Puan sepatutnya mengambil dahulu suhu badannya sebelum ke mari.

Aku: Aarr? Bukankah suhu diambil oleh doktor?

Petugas: Eh, tak! Suhu mesti diambil di rumah. Bila sah demam baru dibawa ke klinik.

Aku: Di negara saya, suhu diambil oleh doktor.

Petugas: Itu di negara awak, di sini tidak. Setiap keluarga wajib mempunyai termometer di rumah. Puan tak ada termometerkah?

Aku: Tak!

Petugas: Puan kena beli satu. Beli di farmasi, murah sahaja harganya. Ingat, bila datang jumpa doktor, suhu yang akan ditanya dahulu.

Aku: Ooo, gitu pulak.

Petugas: Yup!

Aku: Dah anak saya ni macam mana? (menunjukkan Abdullah yang tidak bermaya di dukungan hubby)

Petugas: Puan kena datang semula pagi besok. Pagi, doktor kanak-kanak ada.

Aku: Aarr? Dahtu, jika terjadi apa-apa kepada anak saya, macam mana? Bukan cik tak tahu jika kanak-kanak demam, boleh sawan dan terencat jika lambat bertindak.

Petugas: (memandang Abdullah dan aku dengan wajah serba salah)

Aku: Tolonglah! (sambil menyeka air mata)

Petugas: Kejap ya puan, saya tanya doktor.

 

(Sejurus kemudian doktor keluar)

Aku: Tolonglah doktor, anak saya demam panas, sudah seperti separuh pengsan (meluru merayu kepada doktor).

Doktor: Maaf puan, saya doktor biasa, bukan doktor kanak-kanak. Saya tidak boleh memeriksa anak puan (menerangkan dengan lembut).

Aku: Tapi ini kan kes kecemasan. Takkan doktor tak boleh tengok-tengokkan anak saya?

Doktor: Saya amat bersimpati dengan puan tetapi saya tidak boleh lakukan apa-apa. Saya doktor biasa, adalah salah jika saya memeriksa kanak-kanak. Saya boleh diambil tindakan atau didenda malah boleh dipenjarakan.

Aku: Sampai begitu?

Doktor: Ya. Puan kena faham dan terima bahawa undang-undang di sini memang begitu. Jika puan atau suami puan yang sakit tiada masalah untuk saya periksa, tetapi anak puan saya tidak boleh periksa. Undang-undang menetapkan bahawa hanya doktor kanak-kanak yang boleh memeriksa kanak-kanak.

Aku: Habis tu macam mana? Bukan saya tidak boleh datang semula besok, tetapi jika berlaku sesuatu terhadap anak saya malam ini, macam mana? Badannya amat panas!

Doktor: Berapa suhunya?

Aku: Saya tidak tahu.

Doktor: Aarr? Macam mana puan boleh kata dia demam dan boleh bawanya ke sini tanpa puan tahu suhunya? (mengulangi kata-kata petugas sebelumnya)

Aku: Saya memang tidak mengambil suhunya. Tetapi badannya amat panas dan dia amat tidak bermaya. Doktor rasalah sendiri bandannya dan lihatlah sendiri keadaannya.

Doktor: (melekapkan tangannya di dahi dan badan Abdullah)

Aku: Panas, kan?

Doktor: Ya, panas. Amat panas dan dia pucat lesi.

Aku: Habis tu? Apa harus saya buat sekarang?

Doktor: Ok, jika puan nak juga dapatkan rawatan itu sekarang, puan boleh pergi ke Pilarica. Di sana ada doktor kanak-kanak.

Aku: Pilarica? Apa tu? Dan, di mana?

Doktor: Pilarica ialah nama tempat yang jaraknya lebih kurang 2 kilometer dari sini. Di sana ada sebuah klinik kesihatan yang doktor kanak-kanaknya bertugas hingga ke malam.

Aku: Tapi, saya tidak tahu tempat itu?

Doktor: Saya tuliskan alamatnya di kertas dan puan boleh pergi dengan bas nombor sekian-sekian (menulis alamat klinik dan nombor bas di kertas).

Aku: Aduh, mana nak tunggu bas tu?

Doktor: Puan boleh tunggu di perhentian sekian-sekian (menerangkan dengan panjang lebar).

Aku: Ok, terima kasih (bergegas keluar dengan hubby, dan Abdullah di dukungan, sudah lembik).

 

Oleh kerana pada masa itu aku belum mahir dengan simpang siur basnya, maka aku mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja ke Pilarica yang jaraknya kira-kira dua kilometer dari ambulatorio. Sampai di sana, aku segera mendaftarkan Abdullah dan Abdullah telah diperiksa dengan sewajarnya oleh doktor kanak-kanak di sana.

 

Nota:-

Aku tidak pasti, adakah ia undang-undang di seluruh Sepanyol atau hanya undang-undang di Valladolid. Yang pasti, memang doktor biasa tidak akan memeriksa kanak-kanak walau macam mana tenat sekali pun keadaan kanak-kanak tersebut. Sampai ke tahap itu spesifiknya mereka bekerja, namun aku amat berpuas hati dengan cara doktor kanak-kanak mereka melayan dan memeriksa anak-anakku. Amat professional dan penuh psikologi. Di Malaysia, doktor biasa boleh memeriksa sesiapa sahaja, itulah kadang-kadang yang tersalah periksa dan terkhilaf dalam membuat keputusan. Bila keadaan kronik barulah dirujuk kepada doktor pakar. Itupun, berbulan-bulan atau paling tidak pun berminggu-minggu selepas itu baru boleh berjumpa. Doktor biasa pula, entah betul entah tidak mendalami ilmu perubatan bertahun-tahun. Sudahlah tidak profesional, angkuh pula dengan ilmu sendiri. Maaf, saya agak negatif terhadap doktor-doktor di Malaysia kerana saya mempunyai terlalu banyak pengalaman buruk ketika berhubungan dengan mereka. Pengalaman menghadapi doktor yang angkuh ketika bersalin, pengalaman melihat dengan mata sendiri bagaimana sekumpulan doktor sibuk makan durian dalam bilik kecemasan dalam keadaan pesakit-pesakit ditinggalkan dengan darah dan kecederaan termasuk bapa saudara saya yang parah akibat kemalangan, pengalaman berhadapan dengan doktor yang malas hingga nak pandang pesakit pun malas dan nak sentuh pesakit pun malas, pengalaman melihat dengan mata dan mendengar dengan telinga sendiri bagaimana sekumpulan doktor muda sibuk bercakap tentang pakwe masing-masing dan sibuk berbalas sms di bilik kecemasan, pengalaman berhadapan dengan doktor yang tiba-tiba naik angin dan marah-marah apabila anak saya yang ketika itu berusia 9 bulan membaling pen lalu mengenai dahi doktor tersebut, pengalaman melihat sendiri bagaimana doktor on call tertidur di bilik on callnya sedangkan ketika itu misi-misi sedang sibuk mencarinya kerana bapa saudara saya sedang nazak di wad akibat parah dalam kemalangan, pengalaman adik yang terpaksa menelan kesedihan apabila diberitahu oleh doktor pakar yang mungkin bayinya akan lumpuh seumur hidup akibat daripada lambat bertindak kerana doktor biasa yang ditemuinya berpuluh-puluh kali sebelum itu mengatakan yang bayinya “biasa sahaja” meskipun telah diberitahu bahawa bayi tersebut menangis setiap hari tanpa henti, dan beribu pengalaman buruk lagi yang tidak cukup kertas jika hendak dinukilkan kesemuanya. Persoalan; Kepada mereka yang memilih profesion doktor di tanah air kita, adakah anda benar-benar ikhlas untuk merawat pesakit atau anda memilih untuk menjadi doktor kerana nama atau kedudukan yang sekian lama dipuja masyarakat? Tepuk dada, tanya iman. Jangan kami menjadi mangsa keadaan. Maaf!

 

Beginilah keadaan Abdullah bila demam. Terpaksa dibogelkan, dibaringkan di atas plastik dan disiram selalu dengan air sejuk untuk menurunkan suhu. Setiap kali direnjis air Abdulah akan menjerit kesejukkan. Lazimnya dia demam di musim sejuk. Hanya kaki diselimutkan untuk mengelak dia berasa terlalu sejuk.

 

Sejak dari minggu lepas, saya pulun ganti puasa. Fuhh, amat mencabar. Kala cuaca amat panas dan kering, dan magrib pula amat lewat di summer ini, saya pula berlapar dan berdahaga di samping terpaksa juga meneruskan rutin saya sebagai pelajar dan ibu yang tegar. Hasrat saya untuk segera menggantikan puasa sebaik berakhir ramadhan yang lepas tidak tercapai. Salah satu sebabnya ialah, sebaik berakhir summer (selepas raya), musim luruh akan menyusul dan selepas itu akan datang pula musim sejuk. Cuaca di musim luruh sudah mula sejuk dengan angin yang mengilukan tulang. Manakala di musim sejuk pula, usah diceritalah akan sejuknya. Meskipun di musim luruh terutamanya di musim sejuk waktu siangnya amat singkat (magrib lebih kurang pukul 5 petang), tetapi saya tidak mampu berpuasa di kala itu kerana cuaca yang amat sejuk akan meningkatkan metabolisma badan membuatkan perut saya berasa amat kepedihan dan senantiasa berada dalam kelaparan yang luar biasa. Telah saya cuba untuk berpuasa di dua musim tersebut tetapi hanya boleh selama 2 hari sahaja. Sebaliknya di musim panas pula, meskipun terpaksa menahan perut hingga ke pukul 10 malam (pukul 10 baru maghrib), tetapi saya boleh tahan kerana cuaca yang amat panas menyebabkan saya menjadi tidak berselera makan sebaliknya lebih banyak meminum air.

 

Kala kelaparan begini, mulalah datang pelbagai keinsafan; atas nasib mangsa-mangsa kebuluran di benua afrika sana dan juga nasib para faqir miskin di seluruh dunia. Mulalah datang penyesalan atas kerakusan menikmati makanan tanpa memikirkan akan nasib orang-orang yang kelaparan. Menitik air mata keinsafan ini dan bertekad, ramadhan nanti biarlah disambut sederhana dari segi penyediaan makanan sebaliknya dilebihkan pada tadarus al-Quran dan bangun solat malam. Kadang-kadang kita ini belum lagi kaya raya, belum lagi harta melimpah tetapi sudah lupa kepada mereka yang hidup susah. Bila ramadhan semakin hampir, yang banyak diwarwarkan ialah iklan biskut raya dan seumpamanya (lihat sahajalah di dalam FB), jarang sekali ada iklan atau peringatan yang mengajak kita umat Islam berfikir; akan azabnya si miskin, akan deritanya si faqir, lalu ramadhan dipenuhi oleh amalan-amalan dan zikir, bukan bulan untuk menyumbat mulut dan perut dengan segala bagai juadah yang hingga otak pun turut tersumbat untuk berfikir. Selamat menggantikan puasa kepada diriku, hambaNya yang hina.

 

Cukuplah berbuka dengan sehidangan ini sahaja bersama air masak dan sepotong buah.

 

 

 

Sukarnya memahami

Bahasa sepi.

Tanpa suara

Tanpa kata-kata

Tanpa tinta.

 

Sepi itu sepi

Sepi, sesepi-sepinya.

 

Sepi itu indah

Atau,

gundah?

 

Wahai sepi

Usah kau sepi.

Wahai sepi

Mengapa sepi?

 

Dalam hati

Ada sepi.

Dalam sepi

Ada hati?

 

Sukarnya memahami

Bahasa sepi.

Sepikah

bila menyepi?

 

Sepi…

 

20. July 2011 · 7 comments · Categories: Dialog

 

Suatu hari dalam perjalanan pulang dari fakulti aku terserempak Raquel, rakan sepengajianku yang sudah beberapa bulan tidak bertemu.

 

Raquel: Hola, hey, lamanya tak jumpa awak (meluru memeluk dan mencium pipiku).

Aku: Yup. Mana awak pergi? Dah tak datang fakulti ke?

Raquel: Itulah, saya sibuk sangat kebelakangan ni. Tak sempat nak pergi fakulti selalu. Ni pun datang nak pulangkan buku.

Aku: Ooo.

Raquel: Awak apa khabar sekarang? Belajar camne, progress?

Aku: Sihat. Belajar pun okey.

Raquel: Okey la tu. Saya ni pula entah apa-apa. Tak boleh nak fokus laa, sibuk sangat dengan tugas-tugas harian sebagai guru. Susah kalau tak belajar sepenuh masa.

Aku: Kan? Saya pun belum tentu boleh fokus dengan baik jika belajar sambil bekerja.

Raquel: Eh, oklah, saya nak cepat ni, nak kena balik semula ke sekolah. Nanti saya call awak ya, kita minum kopi.

Aku: Ok, silakan. Saya pun nak balik rumah dah ni.

Raquel: Ok, jumpa lagi tau. Saya call nanti, minum kopi (diulangnya minum kopi), ek?

Aku: Bila?

Raquel: Nantilah, saya call nanti, okey? Chau, tataaa .. (bergegas pergi)

Aku: Adiós!

 

Sampai di rumah aku terus memaklumkan kepada hubby akan pertemuan tersebut langsung meminta izinnya untuk keluar minum kopi dengan Raquel. Ku katakan pada hubby yang nanti Raquel akan menelefonku (yang ku faham “nanti” itu sebagai “pada hari yang sama”) dan kami akan keluar bersama. Gembiranya hati bila hubby mengizinkan. Namun, tunggu punya tunggu, hingga ke malam tiada panggilan. Keesokkannya juga tiada panggilan. Masuk hari kedua, aku mula gelisah dan tidak keruan. Itu tidak bermakna yang aku ini hendak sangat keluar dengan Raquel, tetapi aku ini adalah seorang yang tidak akan senang duduk selagi tidak selesai perkara yang dijanjikan, samada dijanjikan oleh ku kepada orang lain atau janji-janji orang lain kepadaku. Lantas pada petang hari kedua itu, aku telah dengan bendulnya menelefon Raquel.

 

Aku: Hello, Raquel ke tu?

Raquel: Yup, Raquel sini. Siapa tu?

Aku: Sayalah, ris!

Raquel: Oo, ris. Apa khabar?

Aku: Sihat!

Raquel: Ada apa ya ris call saya?

Aku: Hurm, hari tu kan awak ajak saya minum kopi, ingat tak? Awak kata nak call, saya tunggu tapi tak call. Saya risau gak. Hehe ..

Raquel: Aarr? Ajak minum kopi?

Aku: (panik, hati mula berdebar-debar)

Raquel: Bila ya saya ajak awak minum kopi? Saya lupa dah. Tapi seingat saya tak pernah. Awak salah orang kut!

Aku: Aarr? Masa kita jumpa semalam dulu?

Raquel: Yalah kita jumpa. Tapi saya tak ada ajak awak minum kopi pun?

Aku: Aarr? Ya ke?

Raquel: Ya!

Aku: Aarr? Maaf, mungkin saya salah orang atau salah dengar.

Raquel: Takpe.

Aku: Ok, terima kasih (cepat-cepat letak telefon). ?????

 

Nota:

Peristiwa di atas berlaku sewaktu aku baru beberapa bulan di Sepanyol. Ketika itu aku masih belum masak sepenuhnya dengan gaya komunikasi orang Sepanyol. Rupa-rupanya dalam budaya mereka, kata-kata seperti “nanti saya call ek, kita minum kopi” dan sebagainya adalah signal untuk menamatkan perbualan. Ia langsung tidak bermaksud “mengajak minum kopi bersama” malah tidak mempunyai apa-apa makna pun tetapi diujarkan oleh mereka sebagai salah satu cara untuk mengakhiri komunikasi. Melainkan, jika dalam perbualan tersebut mereka berkata; “saya menjemput awak untuk minum kopi di sekian tempat di sekian hari dan di sekian waktu” atau dengan kata lain diberi detail tentang hal tersebut. Jika sekadar dinyatakan, “nanti saya call awak ek” maka usahlah membuang masa menunggu kerana ia tidak mempunya apa-apa makna melainkan “style” komunikasi mereka semata-mata.

 

Mengajak jiran-jiran minum kopi sambil sembang-sembang di rumah.

19. July 2011 · 4 comments · Categories: Dialog

 

Dua hari lepas, aku dan hubby ke balai polis (lebih kurang 15km dari rumah) untuk mengambil kad pengenalan Sepanyol kami yang baru siap. Oleh kerana cuaca amat panas maka aku tinggalkan ketiga-tiga kenitku di rumah. 3 jam kemudian aku dan hubby pulang.

 

Aku: Assalamualaikum semua, anak-anak mama.

Anak-anak: Walaikumussalam mama.

Aku: Semua okey?

Anak-anak: Okey!

Aku: Alhamdulillah.

Anak-anak: Kenapa lama sangat mama keluar?

Aku: Bas lambat. Dan mama singgah kedai kejap beli barang.

Anak-anak: Barang apa?

Aku: Barang-barang untuk dimasaklah.

Anak-anak: Ooo (angguk-angguk).

Aku: Kakak dah solat? (soalan lazim)

Kakak: Dah!

Aku: Habibah?

Habibah: Adik dah solat, tadi adik solat dalam bilik mama.

Aku: Bagus.

Sudah menjadi kelazimanku sebaik tiba di rumah, bersandar seketika di sofa dan ketiga-tiga kenitku akan berebut-rebut untuk duduk di sebelahku. Ketika itulah aku akan merisik bertanya tentang apa yang telah mereka lakukan di rumah di sepanjang ketiadaaanku.

 

Aku: Masa mama keluar tadi, kakak buat apa?

Kakak: Kakak belajar dalam bilik.

Aku: Betul?

Kakak: Betul!

Aku: Kakak belajar apa?

Kakak: Matematik. Kakak buat banyak latihan.

Aku: Boleh mama tengok?

Kakak: Boleh! (berlari masuk bilik dan keluar semula dengan buku latihan di tangan).

Aku: Okey, bagus. Satu ciuman untuk anak yang super bagus (mencium pipinya dengan sepenuh hati).

Kakak: Gracias mama.

Aku: Adik pula? Buat apa masa mama tiada? (mata memandang Habibah)

Habibah: Adik belajar juga, tapi sikit jerr. Tapi adik tolong angkat baju letak dalam bakul dan tolong mandikan Abdullah. Adik juga tolong buatkan susu untuk Abdullah.

Aku: Bagus, mama suka anak mama yang suka tolong orang dan membantu adiknya apa yang patut. Satu ciuman juga untuk anak yang ringan tulang ini (mencium pipinya, juga dengan sepenuh hati).

Habibah: Hehe (terkiput malu).

Aku: Hurm, ni, hero mama ni? Buat apa tadi masa mama tiada? (bertanya pada Abdullah).

Abdullah: Abdullah main masyak-masyak. Abdullah masyak gulai tipu-tipu dan main dengan muñeca (anak patung)!

Aku: Aaarrr???

Kakak dan Habibah: Hahahahaha, betul mama. Dari mula mama keluar tadi, Abdullah main masak-masak. Macam-macam dimasaknya, lepas tu main ngan patung barbie kita orang lak, sorang-sorang kat ruang tamu (becok jerr si kakak-kakak bercerita).

Aku: Aiseh (tepuk dahi), oh no, no!

Papa, kakak & Habibah: Hahahahahaha….

Abdullah: ??????

 

Nota:

Adeh, dahlah anak lelaki sorang, main masak-masak pulak. Nak kena beli lebih banyak transformer dan kereta kebal mainan untuk Abdullah, the one and only hero in the family. Teman bermain Abdullah dari baby adalah dua orang kakaknya itu yang memang gemar main masak-masak seperti kelaziman kanak-kanak perempuan yang lain. Haih!

 

Tiga kenit, tiga nyawa, tiga permata.

 

17. July 2011 · 4 comments · Categories: Dialog

 

Di pagi yang bening, sebaik aku membuka pintu bilikku setelah bangkit dari lena yang panjang, bertemankan mimpi yang macam-macam.

 

Anak-anak: Mama, feliz cumpleaños, selamat hari jadi (meluru memelukku).

Aku: Aarr? Hari lahir mama ke hari ini?

Anak-anak : Yup, 17hb hari jadi mama.

Aku: Oh, mama lupa.

Anak-anak: Selamat hari jadi (menciumku yang baru bangun tidur, bertalu-talu).

Aku: Maaf ya, mama nak betulkan sedikit, hari lahir, bukan hari jadi. Sebut; Selamat hari lahir mama, bukan selamat hari jadi.

Anak-anak: Kenapa mama? Apa bezanya?

Aku: Kita tidak tahu bila dan hari apa kita dijadikan, hanya Allah sahaja yang tahu. Kita hanya tahu bila dan hari apa kita dilahirkan, kan?

Anak-anak: Apa beza “jadi” dan “lahir”?

Aku: “Jadi” itu ialah saat Allah mencipta kita yang mungkin berlaku ketika Allah meniupkan roh ke dalam jasad kita ketika kita berada di dalam perut ibu atau mungkin ia merujuk pada hari berlakunya persenyawaan di antara benih lelaki dan telur perempuan. Akan hal itu hanya Allah yang tahu kerana Dia Pencipta, kita tidak tahu.

Anak-anak: Ooo (angguk-angguk kepala).

Aku: Manakala “lahir” pula ialah hari kita keluar dari perut ibu, hari ibu melahirkan kita, hari pertama kita melihat dunia setelah lebih kurang 9 bulan di dalam perut ibu.

Anak-anak: Oooo (makin panjang “O” nya).

Aku: Terima kasih, ikhlas dari hati mama kerana anak-anak semua ingat hari lahir mama yang mama sendiri pun lupa. Tapi hari lahir anak-anak mama tidak pernah lupa. Mama ingat dan senantiasa belikan sesuatu sebagai hadiah.

Anak-anak: Kami pun ada hadiah tau untuk mama (melompat-lompat gembira terutama Abdullah).

Aku: Aarr? Ada hadiah? Oh, terima kasih, mama rasa sungguh terharu.

Anak-anak: Ini dia hadiahnya. Ini dari kakak. Ini pula dari Habibah. Yang ini pula dari Abdullah (menunjukkan satu persatu hadiah mereka).

Aku: Wuaa, cantiknya! Terima kasih.

Anak-anak: Mama suka tak?

Aku: Suka, dah tentu mama suka. Hadiah hari lahir dari anak-anak sentiasa menjadi hadiah hari lahir yang terbaik dan penuh bermakna buat mama. Sekali lagi mama ucapkan berbanyak terima kasih atas penghargaan ini.

Anak-anak: Kalau mama bagi kami duit, dapatlah kami beli hadiah yang cantik-cantik. Tapi mama tak bagi. Ini jelah hadiah yang kami boleh beri. Kami buat sendiri.

Aku: Tapi inilah hadiah yang paling indah di mata mama, paling cantik. Cantik itu tak semestinya barang yang mahal. Cantik itu ialah pada ikhlasnya memberi.

Anak-anak: Mama sukalah ya? (sengeh ketiga-tiganya)

Aku: Suka! Suuukkka sangat! Tapi ada lagi hadiah yang kalau anak-anak mama boleh berikan, mama laaaagi suka! Bahagia sangat!

Anak-anak: Apa dia mama? (bersungguh nak tahu)

Aku: Mama akan bahagia sangat-sangat jika anak-anak mama tidak meninggalkan solat, selalu baca al Quran, belajar rajin-rajin, bersopan santun, berbudi bahasa, tolong menolong sesama manusia, berakhlak baik dan berbudi pekerti mulia. Boleh hadiahkan mama semua itu?

Anak-anak: Boleh!!! Kami bahagia jika mama juga bahagia. (bersungguh mengiakan)

Aku: Oh, insyaallah. Anak-anak mama akan jadi manusia soleh yang berguna untuk agama, bangsa dan negara, amin. (berpelukkan sambil menitis air mata).

 

Nota:

Alhamdulillah, bangun tidur dengan nikmat usia dan kehidupan. Bertambah setahun lagi umurku pada hari ini, bermakna perjalananku menuju mati semakin hampir. Tidak kira bila dan pada hari apa aku akan pergi, yang pasti, ia semakin hampir. Terima kasih Tuhan kerna mengurniakan aku anak-anak yang comel yang sentiasa berusaha untuk mengembirakan aku meskipun dalam usia mereka yang kecil itu, akulah yang sepatutnya berusaha untuk mengembirakan mereka. Latar hidup setiap manusia tidak sama. Dengan liku latar hidupku yang hanya segelintir tahu, aku amat bersyukur kerana Allah masih sudi memberiku nyawa untuk terus bernafas di usia emas ini. Hendaknya dengan usia yang makin bertambah, iman dan taqwa juga akan makin bercambah, dengan umur yang makin meningkat, ingatan dan bekalan untuk ke negeri akhirat juga bertambah hebat. Amin.

 

 

Hadiah dari Insyirah.

 

Haidah dari Habibah.

 

 

Hadiah dari si kecil, Abdullah.

 

 

Kesemua hadiah di atas dibuat sendiri oleh mereka. Kanak-kanak sangat ikhlas dalam ekspersi diri. Apa yang diberi adalah ikhlas dari hati mereka yang suci. Setiap kali tiba hari lahir mama, mama senantiasa mendapat hadiah-hadiah yang indah sebegini. Terima kasih wahai anak-anak. Terima kasih Tuhan!

 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...