Jika sebelum ini ditampilkan 10 perkara tentang Valladolid yang menyukakanku, kali ini dikemukakan pula 10 perkara yang mengjengkelkan.

 

SAMPAH. Bandar sampah. Itulah gelaran yang layak untuk bandar Valladolid terutamanya di Rondilla iaitu kawasan di mana aku tinggal. Masyarakat Valladolid khususnya Rondilla agak gemar membuang sampah merata-rata meskipun tong-tong sampah disediakan dengan secukupnya. Di bar-bar pula, sampah sarap sengaja dibiarkan bertimbun di lantai kerana itu adalah simbol kemegahan dan kehebatan bar tersebut. Semakin banyak sampah bermakna semakin ramai pengunjung.

ROKOK. Bandar perokok. Bandar Valladolid dipenuhi oleh perokok-perokok tegar samada lelaki maupun perempuan. Masyarakat Valladolid, tanpa mengira usia dan jantina, merokok di mana sahaja termasuk di dalam bangunan yang bertanda “DILARANG MEROKOK”. Perbuatan merokok seakan sudah sebati di dalam diri mereka, dan mereka dan rokok adalah dua entiti yang tidak dapat dipisahkan sama sekali.

ANJING. Bandar anjing. Bandar Valladolid dipenuhi oleh anjing-anjing peliharaan. Malah bilangan anjing di Valladolid mungkin melebihi bilangan kanak-kanak. Anjing dilayan dan disayangi sama seperti manusia malah mungkin lebih daripada manusia. Adalah lumrah di Valladolid, anjing didukung seperti baby, dibelai, didandan, dicium malah didahulukan kemahuannya melebihi kepentingan tuannya sendiri. Lagak tuan anjing yang membiarkan anjingnya berjalan di hadapan kadang-kadang mengelirukan aku. Siapa yang membawa siapa? Siapa yang memelihara siapa?

JAHIL. Bandar yang dihuni oleh orang-orang jahil. Tahap kejahilan masyarakat Valladolid agak kritikal apabila mereka bukan sahaja tidak tahu di mana Malaysia, malah tidak tahu pun yang Malaysia itu wujud. Bila disebut Malaysia, soalan mereka adalah “Malaysia itu apa?” bukan “Malaysia itu di mana?”. Malah ada yang bertanya “Malaysia tu jenama kasut kah?”. Kadang-kadang mahu ku layang sahaja kasut busukku ke muka mereka.

HIPOKRIT. Bandar yang dipenuhi oleh orang-orang yang “cakap tidak serupa bikin”. Jika anda ke Valladolid dan dipuji begini “muy bien” yang bermakna “very good” maka usahlah perasan yang anda itu bagus. Sudah menjadi habit orang-orang di sini berkata begitu meskipun apa yang ada lakukan itu langsung tidak bagus atau hampeh.

KAD PENGENALAN. Bandar yang menyenakkan otak dalam urusan kad pengenalan. Prosedur pembaharuan kad pengenalan tidak pernah sama atau konsisten setiap tahun. Peraturan diubah atau ditambah sesuka hati tanpa notis pemberitahuan. Akibatnya, berlaku pembaziran masa, tenaga dan wang apabila pemohon terpaksa berulang alik ke pejabat pendaftaran sehingga urusan pembaharuan selesai yang lazimnya mengambil masa antara 4 hingga 5 bulan.

TERTUTUP. Bandar yang tertutup dengan maksud kurang terdedah kepada bangsa, budaya dan bahasa lain, terutamanya asia. Kebanyakan masyarakat Valladolid menyangka yang Islam adalah agama untuk orang arab sahaja. Mereka juga menyangka yang semua bangsa di dunia bertutur dalam bahasa Sepanyol. Akibatnya, mereka pelik melihat orang asia bertudung dan berasa aneh apabila bangsa lain tidak dapat bertutur dalam bahasa mereka dengan fasih.

APA PUN TIADA. Bandar yang “apa pun tiada”. Rempah ratus asia seperti kunyit, halia, lengkuas, serai, daun kari, daun limau purut, cili api dan lain-lain lagi boleh ditemui di Madrid dan Barcelona tetapi tidak di Valladolid. Valladolid adalah bandar yang “apa pun tarak”. Tika kemeroyanan makanan Melayu melanda, hentam sahajalah apa yang ada dan memasak seadanya.

KOMUNITI. Bandar yang “berkomuniti”. Kewujudan komuniti di setiap kawasan penempatan agak memeningkan apabila jiran-jiran mempunyai autoriti untuk menentukan apa yang tidak boleh dan apa yang boleh diletakkan di luar rumah kita. Akibatnya, jika jiran tidak suka akan pasu-pasu bunga kita, mereka berhak meminta kita membuang atau mengalihkannya meskipun pasu-pasu tersebut diletak di halaman rumah kita sendiri yang sedikit pun tidak menganggu mereka.

KESPESIFIKKAN YANG KETERLALUAN. Bandar yang mementingkan kespesifikkan. Setiap urusan perlu dilakukan oleh mereka yang diiktiraf pakar di dalam bidangnya sahaja. Akibatnya, masa yang lama diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu urusan meskipun ia bersifat “urgent”. Contohnya, doktor biasa tidak dibenarkan memeriksa kanak-kanak yang sakit meskipun ketika dibawa ke hospital kanak-kanak tersebut berada dalam keadaan kritikal. Contoh lain pula ialah, tukang kayu hanya boleh membaiki benda-benda yang melibatkan kayu sahaja meskipun dia berkebolehan dalam membaik pulih paip yang rosak. Jika rumah rosak, sekurang-kurangnya empat orang tukang terlibat iaitu tukang paip, tukang kayu, tukang simen, tukang cat dan mungkin juga tukang-tukang yang lain.

 

Suatu sudut di Pusat Bandar Valladolid.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...