Setelah berminggu-minggu aku pening tentang data dan ke hulu ke hilir mencari orang yang sudi menjadi RA, akhirnya semalam Allah menunjukkan kepadaku jalan. Adapun, masalah yang ku hadapi begini; data kajianku terbahagi kepada dua, data Malaysia dan data Sepanyol. Respondennya adalah orang-orang Melayu dan Sepanyol. Kedua-dua data mempunyai masalah. Data dari Malaysia masih belum diterima. Dengan sebab itu urusan memperosesnya juga tertangguh. Data Sepanyol pula tidak boleh dibaca, oleh sebab itu urusan untuk menganalisisnya juga tertangguh.

Instrumen kajianku seperti yang lazim digunakan dalam kajian-kajian speech acts lain ialah DCT (Discourse Completion Test). DCT adalah kaedah yang diperkenalkan oleh Blum Kulka et. al. (1989) untuk mendapatkan data tentang speech acts. Beliau adalah antara pelopor kajian tentang speech acts. DCT adalah ujian melengkapkan wacana yang mengandungi situasi-situasi berbentuk provokasi. Responden dikehendaki membaca dan menghayati situasi-situasi tersebut dan membayangkan diri mereka berada di dalamnya lalu mengungkapkan atau menulis di ruangan yang disediakan, ujaran yang akan mereka hasilkan jika sekiranya mereka berada dalam situasi-situasi tersebut. Masalah yang ku hadapi ialah, aku tidak dapat membaca apa yang responden tulis di dalam soal selidik yang telah diedarkan. Tulisan tangan orang Sepanyol sangat berbeza dengan tulisan orang kita kerana mereka menulis dalam bentuk tulisan eropah.

Puas aku bertanya kepada orang itu dan orang ini, kalau-kalau mereka sudi menjadi tukang baca jawapan-jawapan responden itu sekaligus menjadi RA ku. Malangnya aku bertindak salah masa. Universiti sedang berada di hujung semester, pelajar tengah exam dan sibuk menyiapkan segala tugasan. Mana mungkin pelajar yang tengah sibuk gila-gila itu hendak menyibukkan lagi diri mereka dengan menjadi RA ku? Maka hampalah aku. Aku usul pula bertanya kepada kawan-kawan Sepanyol yang bukan pelajar, kalau-kalau mereka kenal sesiapa yang sudi menjadi RA ku beerti sanggup datang ke rumahku setiap hari sehingga semua data siap dibaca dan ditaip untuk kemudiannya diklasifikasikan pula dan dimasukkan dalam SPSS. Namun, jawapan yang ku terima juga hampa. Kebanyakkannya tidak sanggup datang ke rumah dan duduk berjam-jam mengadap kertas dan komputer walaupun hendak dibayar. Lagipun, orang Sepanyol bila masuk sahaja musim panas (summer) mereka sudah tidak ada mood untuk bekerja, sebaliknya mood untuk bercuti atau vacations berkobar-kobar. Maka pening dan bungkamlah aku berhari-hari, berminggu-minggu memikirkannya.

Namun, Allah itu maha adil, dan maha memakbul doa-doa hambanya yang ikhlas. Setelah setiap saat berdoa agar ditunjukkan jalan, akhirnya Allah menunjukkan kepadaku jalan. Ia berlaku dengan tidak semena-mena. Semalam, pagi aku ke bank di pusat bandar menyelesaikan beberapa urusan yang tidak kurang juga peningnya. Alahai bank! Selesai urusan di bank, aku mengajak hubby merayau dengan niat hendak melarikan seketika mindaku dari kepeningan memikirkan macam-macam perkara. Setelah puas merayau dan window shopping, aku mengajak hubby pulang. Aku berjalan pulang dalam keadaan bungkam, minda sedetik pun tidak berhenti dari memikirkan tentang data, manakala jiwa tidak putus-putus berdoa; “Ya Allah, tunjukkanlah aku jalan, hambaMu ini sungguh lemah, akan tetapi ya Allah aku tidak akan sekali-kali menyerah kalah.” Tiba di flat di mana kami tinggal, aku dan hubby menunggu pintu lift terbuka dengan sabar. Hubby nampak risau kerana aku terlalu bungkam. Diam membisu kerana jiwa terlalu runsing. Sebaik pintu lift terbuka aku terus menyerbu masuk. Bumm, badanku berlaga dengan tubuh orang. Aarr?? Oh, ada orang keluar dari lift rupanya. Jauhnya aku mengelamun hingga tidak nampak ada orang dalam lift. Rupa-rupanya orang yang ku langgar itu adalah jiran depan rumahku sendiri. Sepasang suami isteri yang kebetulan turun untuk ke pasar. Ditegurnya aku dengan ramah. Si suami bertanya kenapa aku nampak bungkam. Aku sekonyong-konyong bercerita tentang masalah yang ku hadapi. Tiba-tiba si isteri berkata, “haa, cuba tanya anak saya, dia kerja di hujung minggu sahaja, hari-hari lain dia free, lepak sahaja di rumah dengan laptopnya. Pergilah tanya dia, dia ada di rumah sekarang.” Oh, aku mula nampak sinar di hujung kegelapan ini. Aku segera naik, tekan loceng rumah jiranku itu dan terpacul anaknya yang hansem di muka pintu. Hansem satu hal, budi bahasa, masyaallah kalah kita orang Islam. Yang bestnya, dia terus setuju tanpa banyak bicara sebaik selesai ku nyatakan hajatku. Oh, leganya ya Allah, terima kasih Allah, kepadaMu jua aku meminta dan merujuk, sesungguhnya Engkau maha mengurnia ya Allah.

Memang sudah lama ku tahu yang jiranku mempunyai anak lelaki berkelulusan dalam bidang filosofi. Dia juga adalah bekas pelajar di fakulti sama di mana aku menuntut. Bidangnya juga tidak lari jauh dari bidangku cuma jurusan sahaja yang berbeza. Maka mulai hari ini dan hari-hari ke seterusnya seperti mana janjinya, dia akan datang ke rumahku pada setiap 11 pagi untuk membantuku memperoses data-data Sepanyol sehingga selesai. Alhamdulillah, sebesar syukur ke hadratMu, ya Allah. Terima kasih Allah!

 

 
 
 
 
 

Pintu rumah jiranku yang betul-betul bersetentang dengan pintu rumahku, tengah-tengah itu lift.

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...