Apakah perbezaan di antara orang yang kedekut wang dengan orang yang tidak cukup wang?

Orang yang kedekut wang ialah orang yang mempunyai cukup wang tetapi tidak mahu atau enggan membelanjakannya ke jalan yang hak atau sepatutnya. Manakala orang yang tidak cukup wang ialah orang yang mempunyai wang tetapi tidak cukup untuknya berbelanja meskipun ke jalan yang hak atau sepatutnya.

 

Bagaimanakah orang yang tidak cukup wang seperti aku hidup di luar negara? Untuk makluman, kos hidup di Sepanyol amat tinggi dan negara Sepanyol tidak membenarkan sama sekali samada pelajar maupun pasangan bekerja.

Mungkin orang ingat yang aku ini banyak wang. Berdasarkan kepada gambar-gambar masakan yang ku upload di FB, mungkin orang ingat itulah yang aku dan keluarga makan hari-hari di sini. Tetapi orang tidak tahu hakikat sebenar. Kadang-kadang kerana hendak jimatkan wang, aku terpaksa beli ayam yang paling kecil dan dibahagi-bahagikan pula kepada 10 bahagian untuk dimakan selama 10 hari. Barangkali juga orang tidak tahu yang selama dua tahun setengah di sini, aku dan keluarga makan nasi sekali sahaja sehari demi untuk menjimatkan lauk dan beras. Setiap hari, kami makan nasi pada pukul empat atau lima petang. Pagi, lazimnya kami makan roti atau telur. Tengahari pula, anak-anak makan di sekolah (makanan subsidi) manakala aku dan hubby sudah biasa mengikat perut sementara menunggu waktu makan. Alah bisa tegal biasa. Pakaian? Lazimnya aku menunggu waktu jualan murah atau dibeli di kedai-kedai cina yang menjual pakain dengan harga borong. Kadang-kadang aku membeli pakaian yang dilelong di kedai-kedai yang hendak gulung tikar. Ada juga orang Sepanyol yang bermurah hati mengsedekahkan kepadaku pakaian-pakaian yang sudah puas mereka pakai.

 

Bagaimanakah orang yang tidak cukup wang seperti aku menyempurnakan hajat untuk mengembara ke negara-negara lain? Atau sekurang-kurangnya menjelajah ke wilayah-wilayah lain di Sepanyol selain daripada Valladolid?

Sepertimana yang kita tahu, kos untuk travel atau mengembara lebih-lebih lagi ke negara luar adalah tinggi (flight, hotel, teksi, keretapi, bas, makanan, tiket untuk masuk ke museum-museum, zoo atau bangunan-bangunan bersejarah dan lain-lain). Dalam konteks aku dan keluargaku misalnya, keinginan untuk travel telah menyebabkan kami terpaksa mengorbankan beberapa perkara, misalnya; sanggup tidur di airport sahaja jika terpaksa transit meskipun lama, menyewa bilik paling murah di hotel atau hostel murah meskipun terpaksa tidur dalam keadaan kurang selesa atau kurang kemudahan (tak cukup selimut, bantal, bilik buruk, berbau, bilik air kecil, bocor dan lain-lain), makan nasi berlaukkan sardin semata selama travel (nasi masak di hotel, periuk nasi dan sardin dibawa dari rumah), travel di musim sejuk kerana harga hotel dan flight melambung di musim panas, sanggup berjalan kaki ke setiap destinasi dalam lokasi yang dilawati (kami berlima, bayangkan kosnya jika setiap kali hendak keluar atau hendak ke mana-mana kami naik bas atau suburban train atau teksi) dan membeli cenderahati yang kecil-kecil sahaja (pertama, harga yang kecil lebih murah, kedua, senang untuk dibawa balik) meskipun hati amatlah teringin untuk membeli barang yang besar-besar dan cantik-cantik.

Oleh yang demikian, jika ada dalam kalangan pembaca terserempak denganku, hubby dan tiga orang kenit kami tidur bergelimpangan di lantai airport (ada ketikanya bangku penuh, ramai rupanya tidur di airport), atau ketemu kami sedang menjamu nasi kosong di mana-mana, atau terjumpa kami di hostel atau rumah tumpangan murah, atau ternampak kami lima beranak berjalan kaki dalam keadaan keletihan, dalam tempoh travel, maka fahamilah bahawasanya; KAMI TIDAK CUKUP WANG, BUKAN KEDEKUT WANG!

 

Namun, TIDAK CUKUP WANG bukanlah alasan untuk berkata TIDAK pada keinginan untuk berjalan mengenal negara orang. Bukan juga alasan untuk TIDAK berasa bahagia!

 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...